Klik BENDERA untuk MELIHAT JALUR JEMBALANG yg besar
....
TERJEMAHAN ARTIKEL GLOBAL (264)
Di Sebalik Lensa Mossad
Bahagian Keempat

Pada awal Mei 1999, Johan Mac Namara terbang ke Geneva, Switzerland untuk bertemu Richard Tomlinson, seorang bekas pegawai kanan M16. Satu ketika dulu Tomlinson diramalkan bakal menjadi ketua M16. Namun selama empat tahun selepas keluar daripada perkhidmatan M16 sudah hidup merempat sambil melancarkan kempen menyakat bekas majikannya. Pada awalannya, Tomlinson telah dikagumi oleh seorang pencungkil bakat semasa beliau menuntut di Cambridge University, dan agen M16 itu telah menguruskan kemasukan beliau dalam perkhidmatan agensi risikan British yang terkenal itu. Tiba-tiba Tomlinson dibuang kerja pada musim bunga 1995, setelah dia memberitahu pegawai perjawatan M16 betapa dia dihurung masalah emosi ketika itu. 

Ketika kami bercakap di telefon, dia telah memberitahu betapa "keikhlasan saya menyebabkan saya dibuang kerja. Pihak yang berkuasa berpendirian walaupun saya menunjukkan kerja yang dipuji, saya masih tidak pandai mengzip mulut.” 

Tomlinson pernah menceritakan bagaimana dia cuba menyaman M16 kerana tindakan salah membuangnya, tetapi kerajaan British berjaya menyekat kes itu dikemukakan di mahkamah. Kemudian mereka menawarkan satu bentuk bayaran sagu hati “sebagai menutup mulut” kata Tomlinson. Tawaran itu ditarik balik apabila penerbit buku di Australia telah mengirimkan sinopsis satu buku yang mengandungi cerita Tomlinson ketika dia bertugas dengan M16. Tujuan penerbit ialah mengelakkan sebarang tuntutan mahkamah seandainya jalan cerita bercanggah. M16 bertindak pantas, Tomlinson telah diberkas. Ketika itu dia sedang bersiap meninggalkan Britain, dan dipenjarakan selama dua tahun kerana melanggar akta Official Secrets Act (yang menjadi asas OSA Malaysia - penterjemah).

Apabila dibebaskan daripada penjara pada April 1998, Tomlinson berpindah ke Paris dan kemudiannya ke Switzerland. Dari sana dia mula mengunjungi kafe-internet untuk mengirimkan beberapa maklumat yang menjatuhkan martabat M16. Antara kempen itu ialah pendedahan ‘ulat’ yang bertugas di Bank Pusat Jerman yang menggunakan nama kod ‘Orcadia’. Orang ini telah menjual rahsia negaranya kepada Britain. Dia juga mendedahkan maklumat mengenai rancangan membunuh Presiden Serbia, Solobodan Milosevic pada tahun 1992. 
Kemudian Tomlinson berubah daripada seorang spy yang kecundang dan malang kepada seorang upahan Mohammed Al-Fayed, yang sudahpun dikerumuni oleh banyak watak yang penuh kontroversi. 

Al-Fayed menganggap Tomlinson, yang sudah jatuh papa kedana, sebagai seorang 'yang datang daripada dunia lain’. Dia telah menggalakkan Tomlinson menceritakan apa juga yang dia tahu kepada hakim mahkamah di Peranchis yang menyiasat kematian Di dan Dodi. 

Dalam satu keterangan bersumpah, Tomlinson mendakwa M16 terlibat dengan kematian pasangan itu. Beberapa agen M16 telah berada dua minggu lebih awal sebelum hari kematian, dan mereka telah berbincang dengan Henri Paul, “yang merupakan talibarut upahan M16.” Dalam affidavitnya itu, Tomlinson mendakwa “mata Paul telah disuluh oleh cahaya laser berkuasa tinggi sehinggakan beliau menjadi buta ketika dia memandu memasuki terowong itu. Inilah satu teknik yang digunakan oleh M16 dalam banyak pembunuhan terancangnya.” 

Dakwaan yang berani itu merapatkan hubungan Tomlinson kepada Al-Fayed. Dia sudah dianggap lebih hebat daripada satu tanda daripada syurga. Al-Fayed sudah menganggapnya sebagai; 'seorang manusia yang mampu menyingkap kebenaran yang terselindung dalam satu peristiwa yang sungguh besar dan mempunyai kepentingan sejarah'.

Sebagai usaha menggalakkan Tomlinson dalam kempen itu makanya MacNamara terpaksa terbang ke Geneva.

Setibanya di Geneva, Tomlinson menghadapi masalah kewangan, sehingga tidak mampu membayar sewa biliknya. Usahanya mendapatkan duit daripada penulisannya mengenai tempat pelancongan tidak membawa banyak hasil. Usahanya untuk menjadi seorang mata-mata gelap menemui jalan buntu kerana dia tidak berani pergi ke negara Eropah takutkan ada pula agen M16 yang akan menyambarnya. Oleh kerana pengaruh M16, dia tidak boleh memasuki Amerika Syarikat, Australia dan Peranchis. Hanya Switzerland yang sanggup memberikannya perlindungan kerana kerajaan Switzerland menganggap kesalahan di bawah Official Secrets Act (OSA) adalah kesalahan politik yang mereka tidak ambil pusing. 

Sumber M16 yang pernah bercakap dengan saya mencadangkan betapa Mac Namara telah pergi mencari Tomlinson untuk menyelesaikan masalah kewangannya. Tidak berapa lama kemudian, Tomlinson kelihatan lebih bertenaga untuk melancarkan apa yang disebutnya sebagai 'my nuclear option' (pilihan nuklearku). Dengan menggunakan satu program canggih yang diubah masuk dalam komputernya yang memang canggih itu, Tomlinson telah membuka satu laman web peribadi dan menerbitkan satu senarai panjang lebih satu ratus pegawai M16 yang masih berkhidmat - termasuk nama dua belas orang pegawai yang terlibat dalam ‘plot’ (rencana) membunuh Diana dan Dodi. 

Tidak ada satupun bukti yang jelas untuk menyokong segala dakwaan ini. Tetapi, dalam beberapa jam sahaja nama mereka telah tersiar di serata dunia. 

M16 menjadi gugup dan cuba menutup laman web itu. Tetapi, setiap kali laman web itu berjaya ditutup, satu laman web lagi muncul dengan tugas yang sama. (Mereka sepatutnya gunakan pakar IT UMNO di PWTC!). Di London, Pejabat Luar telah mengaku betapa adanya kebocoran rahsia yang serius sejak Era Perang Dingin. 'Nyawa agen M16 dan para talibarut mereka sedang terancam'. Yang pasti mereka yang sedang bertugas di Iraq, Iran, Lebanon, dan beberapa negara Timur Tengah terpaksa diundurkan. 

Akan tetapi, Al-Fayed dan juga Tomlinson, gagal menduga adanya satu kesan daripada kerja-kerja pendedahan itu. Pencerobohan keselamatan M16 dipandang begitu serius sehinggakan ia telah menyungkup nama beberapa agen M16 dan juga konspirasi untuk membunuh Dodi dan Di. Kisah penglibatan mereka tidak dihiraukan kerana mudah dipatah-balik dengan alasan bahawa itu adalah satu helah Al-Fayed semata-mata. 

Pada bulan Jun 1999, keadaan kelam-kabut berterusan apabila Laman Web Al-Fayed di Harrod telah menyiarkan nama seorang pegawai kanan M16. Laman web itu telah menuduh pegawai itu yang pada ketika itu berkhidmat di Balkans telah melancarkan satu kempen dan 'cuba mencemar nama baik Al-Fayed.'

Kementerian Pertahanan Britain telah campur tangan dengan memberi amaran betapa dakwaan itu telah menyulitkan kedudukan agen itu dan juga semua tali-barutnya di Kosovo dan Serbia. 

Identiti agen itu telah terdedah bersama satu buku yang disediakan secara online, untuk orang luar mengirimkan pesan sempena ulang tahun kematian Diana dan Dodi. 

Jurucakap Harrod, Laurie Meyer, telah berjanji untuk memadamkan nama agen itu, 'kerana satu kesilapan, sebenarnya'. 

Beberapa laporan kemudiannya diterbitkan di Jerman. ‘Bild’ yang mempunyai edaran terbesar di Jerman telah melaporkan betapa Henri Paul pernah memasang satu alat perakam di bilik penginapan Diana di Ritz Hotel dan telah menyimpan rakaman 'aksi cumbuan terakhir' pasangan itu. Beberapa jam sebelum Paul memandu kereta yang membawa mereka, pasangan itu telah menghabiskan masa berdua-duaan di bilik itu. 

Menurut Bild, pita rakaman itu telah menjadi tumpuan utama M16 untuk mendapatkannya. 

Pada waktu yang sama, Fred Spencer, adik Diana, bertindak untuk masuk campur. Dia telah memberitahu penonton televisyen Amerika, bahawa setahunya 'kisah percintaan kakak saya dengan Dodi hanya mekar untuk musim panas sahaja, kerana beliau tidak berniat berkahwin dengannya'.

Mohammed Al-Fayed membalas pendapat itu dengan tepatnya, bahawa hubungan persaudaraan antara Spencer dan Diana ketika itu tidaklah semesra yang disangkakan. 

Semua pergolakan ini tidak mengejutkan Ben-Menashe. Dia telah mengikuti usaha Al-Fayed yang tidak bertepian itu 'untuk membuktikan betapa Queen Ratu England dan suaminya Prince Phillip merancang pembunuhan'. 

Pegawai perisik Israel yang sungguh berpengalaman itu berpendapat bahawa: “Apabila Al-Fayed mengambil khidmat Richard Tomlinson dan mempercayainya, Al-Fayed telah tersasar jauh daripada tujuan asal matlamatnya. Dia sudah terpaksa bergantung harap kepada bantuan siaran akhbar jenis tabloid sahaja. Namun, saya tahu kenyataannya, kalaulah beliau merencana usaha itu dengan jelas dan teratur, dia mampu menemui beberapa hasil yang mengejutkan. Memang ada yang ganjil dengan kematian Di dan Dodi. Tidak siapa menafikan memang ada ruang untuk menyiasatnya. Tetapi jejak siasatan itu telah dikucar-kacirkan oleh Fayed sendiri, sehingga menyulitkan. Itu mungkin bukan kesilapannya, tetapi disebabkan mereka yang menyuruhnya melihat di sini dan bukan di sana. Kepada kebanyakan mereka, memanjangkan kisah siasatan ini adalah satu bentuk bayaran pencen untuk mereka. Mereka sedar setiap kali tercetusnya teori yang setengah masak, Al-Fayed akan berbelanja lagi untuk mengesannya. Ketika melaksanakan semua itu, dia tertimbus jejak-jejak lama yang berguna yang tidak mudah untuk mengesannya semula.

Sindiran seperti itu menjadi kenyataan apabila pada akhir Jun 1999, muncul kisah satu kereta misteri yang digambarkan dalam siasatan rapi. Kereta itu ialah sebuah kereta jenis Fiat Uno, yang dilihat berlari laju secara ke tengah dan ke tepi dalam masa yang sama kemalangan itu terjadi. Kisah kereta berlari secara ‘zigzag’ itu telah dicetuskan oleh Danny Yatom ketika itu menjadi ketua pengarah Mossad. Dia menjadi prihatin kalau-kalau cerita Mossad mahu mendapatkan khidmat Henri Paul boleh dilihat sebagai satu ruang untuk menuduh pembabitan Mossad dalam kematian pasangan itu. 

Siasatan tertumpu kepada satu tempoh selama dua minggu sebelum kejadian kemalangan- ataupun apa yang disebut oleh Al-Fayed sebagai 'kemunculan satu kemalangan untuk melindungi satu pembunuhan' – dan hari-hari berikutnya. 

Siasatan Mossad menunjukkan ketika agen Mossad berada di Paris sebelum kematian pasangan itu, terdapat satu pasukan M16 yang dianggotai oleh empat orang. Untuk minggu pertama, mereka bertugas di Kedutaan British, kemudian mereka berpindah ke sebuah apartment yang disewa sebagai “M16 safe house” (rumah persembunyian M16) - tidak berapa jauh daripada Ritz Hotel. Salah seorang anggota M16 itu telah mendaftar untuk menginap di Hotel Ritz empat hari sebelum Di dan Dodi mati. 

Laporan Mossad itu mendedahkan juga, bahawa sekitar 14 dan 15 Ogos 1997, satu pasukan CIA tiba di bandar itu. Pasukan CIA memang telah lama memantau Diana kerana keceluparan beliau menyerang pembuat bom jerangkap samar, kebanyakannya berpusat di Amerika Syarikat. 

.....akan bersambung ke Bahagian Kelima

Terjemahan SPAR12-tmt-002

Lensa Mossad Bahagian 1 - Bahagian 2 - Bahagian 3

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!