Klik BENDERA untuk MELIHAT JALUR JEMBALANG yg besar
....
TERJEMAHAN ARTIKEL GLOBAL (264)
Di Sebalik Lensa Mossad
Bahagian Kedua

Mossad membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat seorang tali barut di Hotel Ritz untuk melaporkan segala aktiviti di sana. Usaha ini dimulakan dengan mendapatkan senarai nama pekerja hotel dengan cara menggodam sistem komputer hotel. Tidak siapapun di kalangan pengurus atasan hotel difikirkan cocok dengan peranan itu, sedangkan kakitangan bawahan tidak mempunyai hubungan yang mudah dan bebas dengan tetamu hotel untuk tujuan tersebut. Tetapi, tugasan Henri Paul dalam hal ehwal sekuriti hotel memberi ruang untuk dia mempunyai segala peluang itu. Kata-laluannya membolehkan dia memeriksa setiap kotak deposit simpanan tetamu. Tidak siapa yang akan menghalangnya kalau dia mahu memeriksa bil seseorang tetamu. Sesiapapun tidak akan menaikkan bulu kening kalau dia memeriksa catatan rakaman telefon yang dibuat oleh peniaga senjata perang dengan orang yang dihubunginya. Dia mudah mengetahui wanita mana yang telah digunakan oleh seseorang peniaga untuk menjadi orang perantaraannya. Sebagai supir tetamu istimewa (VIP Chauffer), Paul mempunyai kemudahan mendengar perbualan mereka, meneliti gelagat mereka, mengamati ke mana mereka pergi dan dengan siapa mereka berjumpa.

Kemudian, Mossad mula menyimpan fail peribadi (psycho-file) Paul. Selama beberapa minggu, maklumat sejarah peribadinya telah dibongkar oleh salah seorang ‘katsa’ yang berkhidmat di Paris. Dengan menggunakan pelbagai samaran, termasuk sebagai penjual insurans dan juru jual telefon, katsa itu telah mengetahui bahawa Paul adalah seorang bujang yang tidak ada hubungan serius dengan mana wanita. Dia menyewa sebuah apartment murahan, dan memandu sebuah kereta Mini, tetapi gemarkan kereta laju dan selalu memandu motosikal yang dimilikinya bersama orang lain. Kakitangan hotel telah menceritakan kegemarannya meminum. Ada juga beberapa sindiran betapa Paul telah menggunakan khidmat seorang pelacur kelas atasan yang turut memberikan khidmat kepada beberapa tetamu hotel. 

Maklumat ini telah dinilai oleh seorang pakar psikologi Mossad. Dia berpendapat ada semacam satu sifat tidak tenteram pada Paul. Pakar itu mencadangkan agar dipertingkatkan tekanan rangsangan, seperti menjanjikan upahan kewangan yang berbaloi untuk mengongkosi cara hidup Paul, sebagai umpan untuk mendapatkan khidmatnya. Operasi ini memakan masa kerana memerlukan ketabahan dan kepintaran. Menggunakan terus khidmat katsa tempatan itu, keputusan dicapai untuk menghantar Maurice berkhidmat di Paris. 

Seperti dalam operasi yang lalu, Maurice telah mematuhi peraturan yang teruji. Pertama, dalam beberapa kedatangannya, dia telah memastikan keadaan dalaman dan persekitaran di Ritz. Dia telah dapat mengecam Henri Paul, seorang yang gempal badannya dan berjalan dengan lenggang yang bergaya, memberikan gambaran dia tidak mudah menerima arahan daripada sesiapa. 

Maurice telah mengamati hubungan kemesraan antara Paul dengan paparazzi (kumpulan jurufoto pengintip) yang melepak di ruang luar Ritz, yang bersedia memetik kamera menggambarkan kumpulan selebriti yang datang melanggan hotel itu. Sekali-sekala Paul akan mengarahkan mereka melapangkan kawasan itu tanpa masalah. Mereka beredar dan mengelilingi blok bangunan di situ dengan motosikal dan kembali di tempat yang sama. Dalam pusingan yang pendek itu, Paul kerap menunggu mereka di pintu belakang hotel untuk berborak sambil mereka lalu dengan perlahan.. 

Pada malam hari, Maurice telah mengamati Paul pergi minum dengan beberapa orang paparazzi di salah sebuah bar minuman berhampiran The Ritz yang turut dikunjungi oleh kakitangan hotel selepas waktu kerja mereka. 

Dalam laporan kemajuannya kepada Tel Aviv, Maurice telah menceritakan keupayaan Paul minum alkohol begitu banyak, tetapi masih berupaya kelihatan seperti biasa. Maurice juga memperakukan betapa Paul memang sesuai untuk peranan seorang tali-barut berbanding perangai peribadinya: dia semacam mempunyai ruang untuk dipercayai oleh orang atasan. 

Ada satu ketika semasa membuat penilaian itu, Maurice telah ternampak bagaimana Paul telah mengingkari amanah yang diberikan kepadanya. Dia telah menerima wang daripada paparazzi sebagai ganjaran memberikan maklumat pergerakan tetamu hotel. Inilah yang membolehkan tukang gambar itu berada di lokasi yang bertepatan untuk menangkap gambar para selebriti. 

Pertukaran maklumat untuk bayaran wang tunai dilaksanakan di salah satu bar minuman ataupun di lorong sempit Rue (Jalan) Cambon, di mana letaknya pintu masuk kakitangan hotel. 

Pada pertengahan Ogos, peristiwa pertukaran semakin giat dan tertumpu kepada kemungkinan tibanya Puteri Diana, Princess of Wales, dan kekasihnya Dodi Al-Fayed, anak lelaki kepada tuan punya hotel itu. Mereka telah dijadualkan menginap di Imperial Suite hotel itu. 

Semua kakitangan hotel telah diberikan arahan yang khas dan tegas agar merahsiakan kedatangan Diana dengan amaran sesiapa yang melanggarnya akan dibuang kerja. Sebaliknya Paul telah berani mempertaruhkan kerjayanya dengan memberikan segala maklumat ketibaan Diana kepada beberapa paparazzi. Daripada setiap mereka dia telah menerima imbuhan wang yang tertentu. 

Maurice sedar Paul semakin galak dengan kegemarannya. Dia semakin kuat minum sehinggakan Maurice terdengar aduan kakitangan Ritz betapa timbalan ketua sekuriti itu sudah semakin bertukar peranan menjadi seorang ‘martinet’ (tukang disiplin); dia baru sahaja memecat seorang pekerja hotel kerana mencuri satu ketul sabun daripada kamar tetamu. Beberapa kakitangan hotel telah mengatakan bahawa Paul kerap memakan pil dan risau apakah pil itu bertujuan menenangkan moodnya. Setiap orang bersetuju bahawa Paul sudah berubah perangai kerana kerap bertukar angin; satu ketika dia berseloroh dan berjenaka dan pada satu ketika lainnya dia cepat marah dan naik darah. Maurice membuat keputusan sudah tiba masanya untuk dia mengorak langkahnya. 

Mereka mula-mula bertegur sapa di Harry’s Bar di Rue Daunou. Ketika Paul tiba, Maurice sudahpun menikmati koktelnya. Katsa Mossad itu memulakan satu perbualan yang sungguh licin, dan pegawai sekuriti itu telah menerima pelawaan Maurice membelanjanya setelah Maurice menyebut betapa ramai kawannya yang pernah menginap di The Ritz. Maurice menambah betapa kawannya itu terkejut melihatkan ramai orang Arab yang kaya-kaya menginap di hotel yang sama. 

Kalau gelagat Maurice itu merupakan satu serkap jarang, usahanya itu memang sudah mengena. Paul menjawab betapa ramai pelanggan Arab yang datang itu terlalu angkuh dan biadab dan mengharapkannya bangkit berdiri apabila mereka menguit jari. Yang paling tidak senonoh adalah orang Saudi. Maurice telah menyebut bahawa tetamu Israel mempunyai perangai yang serupa juga. Paul tidak bersetuju dengan pendapatnya, kerana semua orang Israel merupakan tetamu hotel yang terpuji belaka. 

Dengan perbualan yang menunjukkan kemesraan itu, mereka membuat satu temu janji berjumpa lagi beberapa hari kemudiannya, untuk makan malam di sebuah restoran tidak jauh daripada The Ritz. Ketika menikmati makan malam itu, Paul telah memperakukan kebanyakkan fakta yang Maurice sudahpun tahu terlebih dulu. Pegawai sekuriti itu menceritakan minatnya memandu kereta laju dan kalau boleh dia mahu belajar memandu sebuah pesawat udara, cuma gajinya yang kecil tidak memungkinkan semuanya. 

Apa yang berlaku seterusnya menari mengikut irama tarinya sendiri. Maurice telah memasang umpan yang amat mudah dimakan oleh Paul. Apabila cangkuk sudah mengena, mudahlah Maurice menarik tali pancingnya dengan segala kepintaran yang diperolehinya dulu di sekolah latihan Mossad. 

Ada satu ketikanya Maurice telah memberikan kiasan betapa dia mampu membantu Paul; mungkin dengan cara menyebut betapa dia berkerja dengan sebuah syarikat yang mengumpul maklumat dan bersedia membayar sedikit wang untuk maklumat terkini yang diterima. Kaedah ini memang merupakan trik lama kepada perisik Mossad yang mengambil pendekatan dingin sebagai taktik operasi mereka. Dari situ ia memerlukan sedikit jolokan lagi untuk memberitahu Paul bahawa kebanyakan tetamu di Ritz mempunyai maklumat yang amat diminati oleh syarikat itu. 

Mungkin Paul merasa tidak senang dengan cara perbualan mereka bertukar iramanya. Dia mungkin bertegas tidak bersetuju. Jika demikian Maurice mungkin telah mengambil jalan yang lagi satu dan menyebut betapa dia sendiri terkejut dengan sikap Paul seperti itu. Sedangkan, sudah menjadi satu pengetahuan umum bahawa Paul menerima upahan daripada paparazzi kerana memberikan maklumat mengenai tetamu hotel. Jadi, kenapa pula dia mesti tolak peluang terbaik untuk mendapatkan habuan wang yang lebih menarik.

Apabila menyorot peristiwa itu, Ari Ban-Menashe menilai keadaan itu mengikut operasi dan tahap perkembangannya sebagai berjalan mengikut cara lama yang dianggapnya sebagai cara klasik. “Dari pengetahuan peribadi saya, memang tidak ada operatif yang lebih pintar daripada Maurice (nama samaran operatif tersebut dalam operasi itu). Operasi yang menggunakan pendekatan dingin memerlukan satu jenis kebijaksanaan yang ada stailnya tersendiri. Kalau terlalu cepat dan tergopoh-gopoh, ikan yang diumpan akan terlepaskan pancingnnya. Kalau dilengahkan sedikit lagi, kecurigaan itu boleh bertukar menjadi ketakutan. Pengambilan orang sebagai calon adalah satu seni secara tersendiri, dan mengumpan seorang warga Eropah seperti Henri Paul adalah amat berbeza daripada mendapatkan khidmat seorang Arab di Tebing Barat atau di Gaza Strip (ataupun seorang ahli UMNO di PWTC?)” 

Kepintaran Maurice memulakan cadangannya dan cara dia memberitahu dengan selamba betapa dia mengetahui banyak butir peribadi Paul Henri bersama sikap dan perangainya telah dilakonkan dengan segala kemegahan yang bersalutkan desakan, dengan satu gerak kata yang menekan. Inilah yang membawa kesan terhadap Paul. 

Walaupun dia tidak bertanya, tentu dia sedar bahawa orang yang mengongsi meja makan dan duduk bertentangannya itu adalah seorang pegawai risik ataupun sekurang-kurangnya seorang yang merekrut untuk sesuatu perkhidmatan. 

Mungkin itu yang menyebabkan Paul memberikan jawapannya. Mengikut cerita seorang pegawai risik Israel yang ada sedikit pengetahuan mengenai hal itu; “Henri Paul telah berterus-terang: Apakah yang perlu disiasatnya? Berapa pula habuannya? Semudah itu! Tidak payah berpusing-pusing, sampai kepala naik pening. Cuma apakah urusannya dan dengan siapakah dia berkerja? Pada ketika itu Maurice terpaksa memerah otak untuk membuat keputusan. Apakah perlu memberitahu Paul yang dia berkhidmat dengan Mossad? Sebenarnya tidak ada satu peraturan khas dalam perkara seperti ini. Setiap sasaran adalah berbeza. Namun, Henry Paul sudahpun dapat dicangkuknya.

Dengan demikian, tentu Maurice sudah memberitahu Paul apa yang diperlukan darinya: maklumat mengenai pelanggan hotel, termasuk juga mungkin meletakkan alat ‘bugging’ di kamar mereka, dan melaporkan siapa yang kerap mereka jamu dan raikan. Mungkin juga mereka telah membincangkan cara pembayaran, disusuli dengan tawaran membuka satu akaun bank di Switzerland, ataupun jika diperlukan membayar tunai kepada Paul. Mungkin juga Maurice telah menyatakan semua itu bukanlah masalah besar. Tatkala itu dia mungkin sudah memberitahu Paul yang dia akan bertugas untuk Mossad. Semua ini adalah rangkaian peraturan biasa dalam operasi yang mengggunakan pendekatan dingin. 

Mungkin juga Paul menjadi terkejut dan naik takut. Ini tidak ada kaitan dengan kesetiaannya kepada The Ritz; seperti kakitangan yang lain di hotel itu. Dia suka berkerja di Ritz kerana gajinya yang lumayan dan imbuhannya yang menawan. Tentu sekali Paul merasa takut memikirkan dia perlu merisik dalam hotel itu terhadap tetamu hotel yang boleh berakhir dengan dia dimasukkan ke dalam penjara. 

Akan tetapi, seandainya dia melaporkan perkara ini kepada polis, apakah yang akan mereka lakukan? Mungkin mereka tahu kemungkinan dia ditawarkan untuk didalangi. Kalau dia menolak tawaran seperti itu, apa kesudahannya? Seandainya pihak pengurusan hotel mengetahui yang dia telah membeloti apa yang diiktiraf sebagai aset hotel yang paling berharga yakni rahsia pergerakan tetamunya, dengan memberitahu kumpulan paparazzi, dia boleh dipecat dan didakwa. 

Hari-hari penghujung bulan Ogos 1997, merupakan hari yang tidak menyeronokkan Henry Paul. Dia tidak ada pilihan lain. Dia semakin kuat minum, memakan pil, tidurnya sudah semakin resah dan gelisah, dan dia semakin galak membuli kakitangan bawahan di tempat kerja. Paul sudah berubah menjadi seorang lelaki yang menghampiri jurang kemusnahan dirinya. 

Tekanan kerja semakin menggugat ketenteraman yang ada dengan kedatangan Puteri Diana dan Dodi Al Fayed. Paul diserahkan tugas menjaga keselamatan mereka dengan arahan khas melarang paparazzi mendekati tetamu istimewa itu. Pada waktu yang sama juru gambar kerap menyibuk dan menelefon Paul mahukan maklumat terkini dengan janji membayar wang tunai yang lumayan. Godaan untuk menerima tawaran itu semakin menekannya. Ke mana sahaja dia memusingkan muka tekanan itu sentiasa ada. 

Walaupun dia berjaya menyelindingi semua tekanan itu, otak Paul sudah semakin tidak dapat menerimanya. Dia mengambil ubat penenang, ubat tidur, ‘pep-pills’ untuk terus berlakon setiap hari. Kombinasi dadah ini berkemungkinan mengganggu keupayaan Paul membuat keputusan yang boleh diterima akal. 

Beberapa lama kemudian, Ben-Menashe beranggapan kalaulah dia yang menerajui operasi itu, 'itulah ketikanya saya menarik diri'. Henri Paul mungkin berupaya melindungi keadaan mentalnya daripada dikesan orang. Namun kepada seorang operatif yang berpengalaman seperti Maurice, yang amat terlatih untuk mengesan perkara itu, kesan keruntuhan mental itu memang amat ketara. Sudah tentu Maurice sudah memberitahu ketuanya di Tel Aviv, Danny Yatom, betapa mereka harus menamatkan operasi itu. Tetapi, disebabkan alasan yang dia lebih mengetahui, Yatom tidak mahu menghentikan operasi itu. Yatom baru memegang jawatannya yang panas itu, tidak sampai setahunpun. Dia mahu mengukir nama di situ. Keangkuhan seperti juga riak, adalah salah satu bahaya besar dalam kerja risikan. Yatom memiliki banyak unsur ini, yang mungkin dapat diterima – kecuali apabila menghalang kenyataan kerjaya. Kenyataannya ialah Mossad sepatutnya telah menghilangkan diri, pada waktu itu. 
Lampu merah yang menyala – menandakan ada panggilan telefon - telah mengejutkan Maurice dan dirakamkan oleh perakam waktu bertepatan 1:58 pagi, Ahad, Ogos 31, 1997. Pemanggil ialah seorang ‘gendarme’ (anggota polis) bahagian kemalangan yang telah direkrut oleh Maurice beberapa tahun sebelum itu. Dalam komputer Mossad dia dikenali sebagai ‘mabuah’ seorang talibarut yang bukan berbangsa Yahudi. Dalam tiang senarai nama orang upahan Maurice di Paris, nama pemanggil itu ada di bahagian bawahan. 

Namun demikian, laporan orang itu mengenai satu kemalangan jalan raya telah mengejutkan Maurice. Kurang satu jam dulu kemalangan itu berlaku. Sebuah kereta Mercedes sedan telah melanggar tiang konkrit yang terpacak di terowong Place de l’Alma (sebut: Pelasdelma), satu tempat yang memang terkenal dengan kemalangan kereta di Paris. 

Yang terkorban ialah Diana, Princess of Wales, ibu kepada bakal Raja England; Dodi al-Fayed, anak kepada tuan punya Harrods of Knightsbridge yang merupakan ‘The Royal Store’; dan Henri Paul. Pengawal peribadi pasangan itu telah berada dalam keadaan yang kritikal. 

Beberapa jam selepas kemalangan itu, Maurice berlepas pulang ke Tel Aviv, meninggalkan di belakang beberapa persoalan yang tidak akan diketahui jawapannya. 

Apakah tekanan yang menjiwai Paul menyumbang kepada kemalangan? Apakah Henri Paul tidak dapat mengawal kereta sehingga meremukkan tiang nombor tiga belas di terowong yang terletak di bawah Place de l’Alma itu disebabkan dia tahu tidak lagi dapat melepaskan diri daripada cengkaman Mossad? Apakah tekanan itu ada kaitannya dengan banyaknya ubat preskripsi yang ada dalam tubuhnya? Ketika berlepas dengan tiga orang penumpangnya, apakah otaknya sedang ligat berputar memikirkan cara meringankan tekanannya? Apakah dia penyebab satu kemalangan yang ngeri selain menjadi mangsa satu agensi risikan yang paling berbahaya di dunia ini? 

Pelbagai soalan terus menyerabutkan fikiran Muhammad al-Fayed. Pada Februari 1998, dia telah membuat pengumuman secara terbuka: “Itu bukannya satu kemalangan jalan raya. Saya yakin sepenuhnya bahawa kebenaran tidak akan tertanam selamanya.” 

Lima bulan kemudian, satu saluran TV Britain, menayangkan satu dokumentari mendakwa Henri Paul mempunyai pertalian rapat dengan pasukan risikan Peranchis. Perkara itu tidak benar. Program itu juga menyebut bagaimana sebuah agensi risikan yang tidakpun disebut namanya, telah terlibat dengan kematian itu; ada tanda-tanda menyebut bahawa agensi tersebut telah bertindak kerana kerajaan British takut kalau-kalau percintaan Diana dengan Dodi berkemungkinan ‘mencetuskan bencana politik’ kerana Dodi ialah rakyat Mesir. 

Sehingga hari ini, pembabitan Mossad dalam kes Henri Paul telah kekal menjadi satu rahsia tersimpan - mengikut cara yang memang menjadi amalan agensi risikan it. Mossad tidak bertindak bagi pihak sesiapa di luar Israel. Malahan tidak ramai di luar perkhidmatan itu yang dapat menduga betapa Mossad mempunyai peranan terbesar dalam kematian wanita yang paling jelita di dunia. 

Apabila Muhammed Al-Fayed menyedari galaknya kempen menghinanya dalam media British, dia muncul semula dan mendedahkan betapa beberapa agensi risikan telah digunakan oleh pihak tertentu untuk memisahkan percintaan antara anak lelakinya Dodi dan Puteri Diana. Pada Julai 1998, dua orang wartawan majalah Time telah menerbitkan sebuah buku yang mendedahkan satu cadangan betapa Henri Paul berkemungkinan terlibat dengan agensi risikan Peranchis. Sama ada Al-Fayed mahupun dua orang wartawan itu yang berjaya mengemukakan bukti bahawa Henri Paul adalah seorang perisik Peranchis - dan tidak seorangpun daripada mereka yang berjaya mengenal pasti pembabitan Mossad dengan Henri Paul. 

Pada bulan Julai 1998, Mohammed Al-Fayed telah mengemukakan beberapa soalan yang dikirimkannya kepada beberapa ahli Parlimen England, meminta jasa baik mereka mengemukakan soalan itu di Parlimen. Dia mendakwa bawa “ada satu kuasa yang bertungkus lumus menekan jawapan yang saya mahukan.” Gelagat beliau telah dilihat sebagai perangai seorang bapa yang kematian anak kesayangan dan cuba meracau sana dan sini. Soalannya itu memang sepatutnya diungkit semula, bukan sahaja disebabkan peranan Mossad di saat penutup minggu tragedi yang mengorbankan Henri Paul, tetapi kerana momentum keseluruhan tragedi itu sudah semakin ligat dan memerlukan pendedahan fakta sebenar untuk menghentikannya. 

Al-Fayed telah menulis mengenai satu ‘plot’ (rencana jahat) memisahkan Diana daripada anak lelakinya dan berusaha mengaitkan semua peristiwa dengan beberapa soalannya: 

“Kenapakah Diana dibawa ke hospital hanya satu jam empat puluh minit selepas kemalangan itu terjadi? Kenapakah beberapa juru gambar enggan menyerahkan beberapa penggambaran yang mereka rakamkan di tempat kejadian? Kenapakah pada malam yang sama berlaku pecah rumah pada rumahnya di London milik salah seorang juru gambar yang menangani gambar yang diambil oleh paparazzi. Kenapakah kamera ‘close circuit’ televisyen yang terpasang di bahagian Paris itu tidak mempunyai satupun frem gambar kejadian tersebut? Kenapakah kamera kelajuan lalu lintas di jalan itu tiba-tiba sahaja ketiadaan filem-negatifnya dan kenapakah kamera polis trafik tidakpun dipasang? Kenapa tempat kemalangan tidak disekat, tetapi dibuka kepada lalu lintas awam seperti biasa. Siapakah dia dua orang lelaki yang berada dengan kumpulan manusia, dan kemudiannya duduk di bar di Ritz? Mereka membuat pesanan dengan bahasa Inggeris dan melihat dan mendengar dengan gelagat yang sungguh ganjil?

Mossad tidak punyai sebarang minat antara Diana dan Dodi. Minat mereka sebenar ialah untuk menggunakan khidmat Henri Paul sebagai talibarut mereka di Ritz. Mengenai juru gambar yang tidak dikenali, adalah kebiasaannya dari dulu lagi Mossad mengizinkan agennya berlagak semacam juru gambar dan wartawan. Mungkin Maurice orangnya yang bertugas melihat-lihat di luar Ritz. Dua orang yang tidak dikenali di bar itu mungkin ada hubungan dengan Mossad. Soalan begini tentu dapat melegakan Mohammed Al-Fayed kalaulah ada kebenarannya.

.....akan bersambung ke Bahagian Ketiga

Terjemahan SPAR12-tmt-002

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!