.... TERJEMAHAN ARTIKEL GLOBAL (264)
Di Sebalik Lensa Mossad
Bahagian Pertama


Setiap kali satu lampu merah yang terletak di sebelah telefon menyala, satu alat perakam suara pun digerakkan secara automatik di sebuah apartment Paris berdekatan Pompidou Centre di tengah-tengah Fourth Arrondisement yang hingar-bangar. (Catatan: ‘arrondisement’ ialah perkataan Peranchis bermaksud wilayah. Paris dibahagikan kepada ‘arrondisement’ dan daripada nombornya orang boleh tahu mana satu kawasan mewah dan sebaliknya - penterjemah). 

Lampu itu telah dipasang wayarnya oleh seorang juruteknik Israel yang diterbangkan khas daripada Tel Aviv untuk disambungkan kepada alat perakam. Tujuannya ialah untuk mengelakkan sebarang keraguan jiran berhampiran kalau-kalau telefon itu berdering sepanjang malam. Juruteknik itu ialah salah seorang ‘yahalomin’ seorang petugas Mossad yang pakar dalam hal-hal komunikasi di tempat persembunyian agensi risikan Israel. 

Apartment di Paris adalah serupa sahaja dengan apartment mereka di tempat lain. Pintu depannya adalah kalis-bom, jendelanya mempunyai kaca yang sama jenisnya yang terdapat di Rumah Putih (White House) di Washington, yang mampu membias (deflect) ‘scanners’. Memang banyak apartment seperti itu di kota raya besar di seluruh dunia, sama ada dibeli terus ataupun di sewa untuk tempoh yang panjang. Banyak yang dibiarkan kosong begitu sahaja, untuk digunakan hanya bila sampai masanya. 

Operasi yang diterajui di sebuah apartment di Paris sejak Jun 1997, dengan ketibaan Monsieur Maurice. Dia petah berbahasa Peranchis yang mempunyai loghat Eropah-Tengah. Sejak beberapa tahun sebelum itu, jiran tetangga di situ sudah melihat ramai manusia sepertinya di apartment itu dan kadang kala ada juga kaum wanita, dan mereka semuanya muncul secara tiba-tiba, menginap di apartment itu untuk beberapa minggu ataupun berbulan lamanya, sebelum menghilang dengan cara yang sama. 

Maurice ialah seorang ‘katsa’, seorang perisik Mossad yang bertugas di medan juang mereka. 

Kalau dilihat bentuk badannya, tidak ada sesuatu yang istimewa pada Maurice. Kalau dia berjalan sendirian di khalayak ramai, tidak ada sesiapa yang akan mengsyaki apa-apa darinya. Dia telah diambil untuk menganggotai Mossad ketika agensi risikan itu berada di puncak kegemilangannya. ‘Halcyon times’ kata orang putih, kerana ketika itu Mossad memang sungguh unggul, tiada cacat-celanya. Bakatnya terserlah ketika berkhidmat dengan kerajaan untuk memenuhi syarat khidmat-negara yang mandatori. Apabila tamat dia diterima menjadi perisik khas dan ditempatkan di unit risikan udara. Kepintaran Maurice dalam pelbagai bahasa (beliau pintar dalam bahasa Peranchis, Jerman dan Inggeris) telah dicatatkan dan kebolehannya dalam aspek kehidupan yang lain. Dia pintar melakarkan fakta daripada berita spekulasi, dan dia tahu sempadan membuat kerja-kerja meneka dan menduga. Yang lebih penting lagi dia mempunyai bakat tersendiri merangsang manusia; dia pandai mendesak, memujuk dan kalau semua usaha tidak berjaya dia pandai mengugut. 

Sejak lulus daripada sekolah latihan Mossad pada 1982, Maurice telah bertugas di Eropah, Afrika Selatan, dan Timur Jauh (termasuk Malaysia?). Selalunya dia berjaya menyamar sebagai seorang peniaga, seorang penulis bidang pelancongan, dan seorang juru jual. Dia telah menggunakan beberapa nama berasingan dan biografi yang berbeza, yang disediakan oleh perpustakaan yang menyediakan maklumat nama samaran itu dan yang diuruskan oleh Mossad. Dalam kisah ini dia adalah Maurice, seorang ahli perniagaan. 

Sejak berpindah-randah dalam tugasannya, Maurice telah mendengar beberapa kisah pembuangan orang di ‘Institute’ nama samaran Mossad yang digunakan oleh petugasnya; desas-desus mengenai pemecatan dengan aibnya beberapa petugas dan kerjaya yang terbantut, penukaran pegawai atasan di mana setiap pengarah baru membawa agenda dan prioriti tugasnya. Apapun yang berlaku ia tidak pernah menjejaskan moral kerja di kalangan petugas dalam perkhidmatan itu. 

Kegiatan tugas semakin galak apabila Benyamin Netanyahu dilantik menjadi perdana menteri yang termuda. Beliau mempunyai latar belakang risikan yang sudah terserlah, memahami selok-belok setiap perkara dari segi luar-dalamnya. Dia pintar untuk mendengar dan setakat mana boleh mengejar. Tetapi sebaliknya, dari awal lagi, Netanyahu telah mengejutkan pegawai risikan dengan mencampuri hal-ehwal operasi pula. 

Pada tahap awalnya sikap ini dianggap sebagai penyapu baru yang bersedia melihat kotoran di setiap ceruk dan sudut untuk menentukan dia tahu segala rahsia yang perlu ditanganinya. Namun, keadaan menjadi mendebarkan apabila Sarah, isteri perdana menteri mahu meneliti apa yang ada di sebalik kanta pembesar dan mengetahui perihal risikan Israel. Dia telah mempersilakan pegawai kanan Mossad ke rumah untuk menjawab soalannya, dengan alasan dia meniru cara dan sikap Hillary Clinton yang bertanya kepada CIA. 

Koridor Ibupejabat Mossad di Tel Aviv mula menjadi hingar-bangar apabila muncul bisikan dan desas-desus bahawa Sara Netanyahu meminta fail yang mengandungi butiran peribadi para pemimpin dunia yang mungkin dilawati dan ditemui oleh Benyamin Netanyahu. Yang paling diutamakannya ialah cerita kegiatan seksual Presiden Bill Clinton. Dia juga meminta laporan terkini mengenai duta Israel kerana selalunya dia dan suaminya menginap di kediaman duta tersebut dalam lawatan mereka ke seberang laut. Sara mahu tahu betapa bersihkah dapur kediaman duta itu dan berapa kali pula kelengkapan tidur di bilik tetamu ditukar-ganti. 

Sambil merasakan kelucuan dengan permintaannya, pegawai Mossad telah memberi penjelasan kepada isteri perdana menteri itu bahawa mendapatkan maklumat seperti itu bukan termasuk dalam bidang tugasan mereka. 
Beberapa orang lama dalam perkhidmatan risikan telah ditukarkan daripada tugasan harian kepada diamanahkan tanggungjawab operasi kecilan yang perlu menyediakan kertas laporan yang mungkin tidakpun dibaca. Apabila menyedari kerjaya mereka menjelang maghrib, ramai yang bersara dan kini berselerak di serata Israel, menghabiskan masa dengan membaca, terutama sekali bidang sejarah, sambil menyesuaikan diri dengan hakikat bahawa mereka sudah menjadi manusia biasa. 

Semua kisah ini membuatkan Maurice merasa lega apabila ditugaskan luar daripada Tel Aviv dan menjadi agen di medan juang. 

Operasi terbaru di ibukota Peranchis itu memberinya satu peluang lagi membuktikan dia seorang agen yang teliti dengan tugasnya, dan mampu menyempurnakan arahan yang diharapkan. Dalam kes terbaru ini, tugasnya bolehlah dikatakan mudah, kerana tidak ada bahaya yang ketara, cuma risiko keaiban seandainya pihak berkuasa Peranchis mendapat tahu akan tugasnya itu dan menghantarnya pulang secara senyap dari situ. Duta Israel di Peranchis memang tahu kehadiran Maurice di Paris, tetapi tidak pernah diberitahu apa sebabnya. Itu adalah satu amalan biasa; kalau berlaku sesuatu yang mengaibkan, duta itu boleh bersikap tidak endah sahaja. 

Tugas pertama Maurice ialah merekrut seorang tukang palur. Sikap mencari tali-barut ini dianggap dalam pengajian Mossad sebagai ‘kaedah dingin’ (cold approach) menggunakan khidmat orang tempatan. Setelah bersabar selama dua bulan, Maurice yakin dia sudah hampir mencapai kejayaan. 

Sasaran Maurice ialah Henri Paul, penolong ketua sekuriti di Ritz Hotel, yang juga bertindak sebagai ketua supir kepada tetamu-selebriti. 

Salah seorang tetamu-selebriti ini dulu ialah Jonathan Aitken, seorang menteri dalam kabinet Parti Konservatif yang lalu. Aitken telah diberi tugas khas menguruskan penjualan senjata kepada peniaga Timur Tengah. Kisah ini dilaporkan dalam satu dokumentari penyiasatan TV berjodol ‘World In Action’. Akhbar ‘Guardian’ telah menerbitkan beberapa laporan yang jijik mengenai hubungan Aitken dengan bajingan jalanan, sehinggakan Aitken bertindak menyaman akhbar itu Apabila kes itu dimulakan ada satu soalan yang mahu tahu siapakah yang membayar sewa hotel ketika Aitken menginap di Ritz Hotel menemui tetamu daripada tanah Arab dulu. Ketika menjawab, Aitken bersumpah betapa isterinya yang membayar sewa hotel. 

Melalui sumber yang diperolehi daripada pihak ketiga, Mossad dapat maklumat betapa isteri Aitken tidak pernah pergi ke Paris pada waktu Aitken menginap di sana. Aitken kalah dalam perbicaraan itu. Mossad memang sudah lama menganggap aktiviti Aitken amat bertentangan dengan keselamatan Israel. Kerana itu dia mesti diaibkan. 

Pada 1999, selepas satu kes jenayah yang panjang di London, Aitken didapati bersalah kerana membuat sumpah bohong (perjury) dan dikenakan hukuman penjara. Pada ketika itu isterinya telah menceraikannya dan tinggallah seorang yang pernah berkuasa dalam dunia politik, keseorangan menghadapi masa depannya yang kelam. 

Keadaan seperti ini amat difahami, kalaupun bukan disebabkan simpati oleh Ari Ben-Menashe (kisahnya akan terbongkar dalam bab 8). Dia pernah merasakan keperitan menghuni penjara New York setelah jatuh dari mercu kemewahan sebagai penyelaras risikan kepada perdana menteri Yitzhak Shamir. Ketika memegang jawatan itu, Ari telah melihat betapa Mossad dan satu lagi agensi perkhidmatan risikan Israel menjalankan tugasnya. Beliau menganggap Aitken sebagai 'seorang manusia yang terlalu percaya bahawa dia mampu menipu semua orang, seperti yang dilakukan bertahun lamanya. Kesilapannya ialah memandang rendah keupayaan Mossad. Mereka tidak pernah mengambil banduan.'

Berbeza dengan Jonathan Aitken, yang menghadapi masa depan yang kelam di penjaranya, Ben-Menashe telah pulih daripada keaibannya. Pada 1999, dia telah menubuhkan sebuah syarikat pengumpul maklumat, berpusat di Montreal. Antara pelanggannya termasuklah beberapa negara Afrika dan juga Eropah. Syarikat mega multinasional turut mendapatkan khidmatnya setelah diyakinkan bahawa identiti mereka sebenar tetap dilindungi oleh Ben-Menashe. 

Antara kakitangannya termasuklah bekas perisik kerajaan Kanada, dan mereka yang pernah berkhidmat dengan organisasi yang serupa di Israel dan Eropah. Syarikat ini memberikan khidmat yang menyeluruh dalam bidang ekonomi, industri dan juga perlindungan keselamatan. Pegawainya memang mahir dalam tindak-tanduk peniaga kelengkapan perang dan pintar berunding dengan kumpulan penculik. Tidak ada satu bandar di dunia ini yang tidak mempunyai hubungan dengan mereka kerana Ben-Menashe telah berjaya menjalin hubungan persahabatan dengan ramai konteks sejak dia berkhidmat sebagai seorang perisik yang disegani dalam perkhidmatan risikan Israel. Dia bersama sekutunya kerap mengemaskinikan maklumat akan peredaran suasana politik dalam Dunia Ketiga dan mampu meramalkan kerajaan mana yang berkemungkinan tersembam ke bumi – dan siapa pula akan muncul sebagai pengganti. Bersifat kecil dan padat, syarikat milik Ben-Menashe wujud dengan mengambil contoh pergerakan Mossad. Syarikatnya ‘bergerak’ kata Ben Menashe “laksana pencuri di malam hari. Itulah sahaja caranya dalam dunia perniagaan ini.” Bayarannya memang lumayan sekali. 

Berbekalkan kerakyatan Kanada, dia berasa gembira kerana dapat berkerja dengan segala “anak raja dan warga istana seluruh dunia..... mereka yang terkenal dan mereka yang berbelanja besar untuk mendapatkan perlindungan yang baik-baik. Kepada mereka semua pengetahuan itu adalah kuasa dan salah satu tugas saya ialah memberikan maklumat yang mereka inginkan.” 

Di London beliau menginap di Savoy, dan di Paris, The Ritz adalah hotel yang memuliakannya. 

Dalam satu waktu yang singkat, Ben-Menashe sedar bahawa hotel tersebut masih kekal sebagai tempat pertemuan peniaga alat kelengkapan perang daripada Timur Tengah dan konteks Eropah mereka. Dia mengesahkan perkara ini dengan rakan lama di Mossad. Mereka memberitahu beliau betapa hotel tersebut sudah menjadi salah satu bahagian penting dalam aturan strategi Mossad. Ben Menashe mempunyai kepakaran untuk merisik maklumat; ‘Dari dulu lagi saya tahu tidak ada satu maklumat yang didengar itu yang akan terbuang begitu sahaja.’ Kerana itu dia bertindak meneliti keadaan sekeliling dan menilai kalau-kalau ada sesuatu yang menarik daripada penilaian itu. Itulah dia pendirian tegas yang akhirnya melibatkan beliau dengan kisah Diana, Princess of Wales, dan kekasihnya Dodi al Fayed, anak lelaki playboy tuan punya Ritz Hotel yang kaya raya, Mohammed Al-Fayed. 

....Bersambung ke Bahagian Kedua
 

Terjemahan SPAR12-tmt-001

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!