.... Siri MMMM
Bendera Dalam Tamadun Manusia
Bab 2B
Oleh: Marhaintua

Menanam Semangat Cintakan Bendera Negara

Setiap rakyat di mana jua dia berada sudah ditanam cintakan bendera negaranya sejak kecil lagi. Semasa berada di pra-sekolah lagi anak-anak kecil diasah mengenal bendera negaranya dan digalakkan memegang bendera itu sambil menggoyangkannya. Apabila semakin dewasa, tangan yang diajar menggoyang bendera kecil itu terus menggoyangkan genggamannya ketika dia membesar seolah-olah bendera kecil itu masih ada di tangan. Sekaligus, setiap kata-kata yang ditegapkan dengan genggaman dan hayunan tangan itu adalah disertai oleh semangat ayunan bendera negaranya. Demikianlah seterusnya apabila insan itu membesar dan menjadi dewasa sehingga ada yang mampu menjadi wakil rakyat.

Semangat Kibaran Bendera Malaysia Yang Dipesongkan

Setiapkali tiba bulan kemerdekaan (Ogos) ada sahaja menteri kebinet Mahathir yang sibuk-sibuk mahukan rakyat menghiasi bangunan, pejabat, kediaman dan kereta dengan bendera Malaysia. Ini adalah satu amalan lama yang difikirkan dapat menarik semangat rakyat jelata untuk mengikuti ajakan itu dan diharapkan bendera Malaysia berkibaran di seluruh negara.

Malangnya, rakyat sudah bosan dengan ajakan itu kerana sudah lama sedar, tidak ada gunanya menyahut seruan dan ajakan kerajaan mengibarkan bendera itu sedangkan ajakan dan rayuan rakyat agar kerajaan mendengar rintihan mereka tidak pernah didengar dan diberikan perhatian. 

Kalau dibaca dan didengar segala propaganda kerajaan mengenai usaha mengibarkan bendera itu, ia membuatkan rakyat ‘fed-up’, mual dan jelak sehingga tercetus perasaan marah dan benci yang tidak ada tepiannya.

Secara senyap-senyap dan secara tidak ada sesiapa yang perlu mendahului ataupun mengepalainya, rakyat marhaen enggan mengibarkan bendera itu walaupun ia diberikan dengan percuma. Rakyat masih belum lupa kisah pemberian dan hadiah bendera ‘tajaan’ MBf satu ketika dulu dengan berkesudahaan kerajaan terpaksa menyelamatkan syarikat itu. Sekaligus, yang sebenarnya membeli bendera itu adalah rakyat juga.

Dulu, kos tajaan dikatakan satu juta ringgit. Kali ini kos tajaan Maybank dikatakan lima ratus ribu ringgit. Sekaligus rakyat naik marah, apakah yang dikatakan satu juta ringgit dulu itu benar-benar digunakan untuk membeli bendera ataupun sebahagiannya masuk ke saku sesiapa? 

Demikianlah kisahnya kini, apabila sesiapa merencana sesuatu untuk mempropagandakan kerajaan yang tidak siapa yang mahu lagi. Hanya kerana sehelai bendera yang diberikan percuma untuk rakyat terima dan kibarkan semula, sudah menjadi satu tandatanya mega yang bukan kepalang aibnya.

 Kenapa rakyat kurang ajar?

 Dalam budaya Melayu dan juga budaya orang timur, apabila pihak atasan meminta ataupun bersunguh-sungguh mengajak golongan bawahan melaksanakan sesuatu kerja, ajakan itu adalah sinonim dengan arahan. Jarang sangat arahan itu ditolak mentah-mentah. Di zaman Singapura di langgar todak, penasihat istana mengsyorkan raja meminta rakyat menahankan betis mereka di pergigian air untuk menahan serangan todak, rakyat yang gila-babi telah mematuhi titah diraja dan sanggup membiarkan betis mereka rabak ditombak ikan. Mujur, muncul seorang anak muda yang memberitahu raja, gunakan sahaja batang pisang. Jika tidak, ramai orang Melayu ketika itu tidak berkaki lagi.

Apakah terjadi akhirnya kepada anak muda yang memberikan pendapatnya itu? Dia dihukum oleh raja akhirnya disebabkan orang besar istana cemburu dan takutkan kepintarannya.

Malangnya di zaman Melayu sudah mengenal ICT dan ketika seorang Maharajah Melayu (lantikan dan pertabalan sendiri) sibuk mengajar dunia bagaimana mahu menjadi bangsa yang celik ICT, ada menteri haprak yang tergila-gila mahukan rakyat mengibarkan bendera. Apakah dia tidak sedar, rakyat tidak akan mengibarkan bendera itu selagi tidak dipaksa? Apabila rakyat mengibarnya kerana terpaksa, apakah pula akibatnya? 

Rakyat enggan mengibarkan bendera Malaysia kerana mereka mahu bersikap kurang ajar. Mereka kurang ajar kerana mereka naik muak melihatkan wakil rakyat telalu lama sangat dan galak sangat bersikap kurang ajar. Perdana menteri Mahathir Mohammad dan segala kabinetnya, menteri besar dan ketua menteri dan segala wakil rakyat BNUMNO mesti sedar, apa juga pangkat dan gelaran yang dianugerahkan kepada mereka oleh istana, pada asasnya mereka adalah wakil rakyat. Sama ada mereka menjadi wakil rakyat dulu dengan undi yang bersih tanpa undi hantu serta undi tipu, mereka memegang jawatan yang ada sebagai wakil kepada rakyat. Tidak kiralah kalau lebih tiga ribu pengundi yang memangkah kertas undi di Kubang Pasu adalah mereka yang berusia antara 80 hingga 100 tahun. Pemenang pemilu yang mengalahkan Haji Subki Latif dulu kini begelar wakil rakyat, walaupun dia kini menjadi seorang perdana menteri dan sekaligus naik tanpa sebarang meritokrasi. 

Hakikatnya, kalau seseorang itu adalah seorang wakil rakyat, dia mesti menjalankan tugas menepati hasrat dan harapan yang diamanahkan oleh rakyat. Tetapi, apakah ertinya apabila seorang wakil rakyat sengaja tidak pergi besidang di parlimen, kerana dia mampu menerima tayangan lintas langsung di pejabatnya ketika parlimen bersidang? Apa tujuannya berhibur di luar negara setiap kali parlimen bersidang? Apakah maknanya seorang ahli parlimen seperti Tun Daim bin Zainuddin dan Tun Gahaffar bin Baba mengambil cuti panjang untuk tidak menghadiri sidang parlimen? Bukankah sidang parlimen itu salah satu tugas mereka mewakili rakyat dan membincangkan masalah rakyat?

 Rakyat Tidak Mahu Dirobotkan Lagi

 Rakyat Malaysia tidak kira apa juga kaum dan puaknya, ataupun apakah ideologi parti mereka termasuk UMNO, MIC, MCA, PAS, DAP, Keadilan, PBS dan banyak lagi; sudah sedar bahawa masa untuk Mahathir dan UMNO meneruskan usaha merobotkan mereka, sudahpun berlalu.

Saya pernah menulis panjang lebar mengenai hal ini setahun dua yang lalu. Sejak itu proses merobotkan itu masih berterusan. Yang menjelekkan ialah proses merobotkan cara rakyat berfikir. Dulu, kerajaan mengugut sesiapa yang menyebut bahawa Episod Sauk adalah satu sandiwara akan ditangkap. Tetapi, cuba ikuti perjalanan mahkamah sekarang ini dan teliti apakah akuan mahkamah mereka yang sedang dibicarakan. Bukankah keterangan yang mereka berikan itu sudah menjelaskan bahawa Sauk adalah satu kerja musibat untuk bersandiwara?

Kemudian pada awal tahun ini tercetus kisah Kampung Medan. Kerajaan sibuk dengan usaha meleraikan rusuhan kaum. Yang anihnya orang yang meneroka Kampung Medan berkata bahawa muka yang buat kacau adalah muka orang luar. Sekaligus mereka memberi sindiran bahawa rusuhan kaum di Kampung Medan adalah rusuhan yang dirancang. Sekali lagi kerajaan membuat ugutan menangkap sesiapa yang mengatakan perkara itu satu sandiwara. Dengan kuasa Allah dalam satu bulan selepas meledaknya ‘rusuhan’itu muncul berita bagaimana satu ‘platun’ pasukan polis gerak-gempur di Kelantan mengidap wabak ta’un yang mereka dapat ketika berada di Kampung Medan. Kenapakah mereka yang digerakkan bertugas di Kampung Medan sedangakan beribu polis gerak gempur di Lembah Kelang?

 Soalnya sekarang apakah perasaan ahli keluarga mereka yang kini merengkok kerana sandiwara Sauk? Bagaimana kisah anak isteri dan sanak saudara mereka yang menanggung aib ataupun kehilangan orang yang menyara hidup mereka? Bagaimana pula dengan warga Kampung Medan yang menderita dengan episod ‘rusuhan kaum’ dulu? Apakah mereka ini semua tidak mempunyai saudara mara yang turut menanggung aib dan keperitan penyiksaan yang menimpa? 

Apakah perasaan orang-orang ini apabila disuruh mengibarkan bendera Malaysia sebagai satu lambang patriotisme dan nasionalisme? Mereka akan menjawab, setiap kedutan dalam kibaran bendera jalur gemilang itu adalah laksana kedutan penderitaan yang mereka tanggungi.

Mengibar bendera Mengikut Meritokrasi?

Hanya beberapa minggu yang lalu, Mahathir telah mengaibkan orang Melayu dengan isu meritokrasi. Ini adalah rentetan Dewan Tunku Canselor yang ‘dibakar’ mengikut istilah seorang yang bergelar timbalan menteri bernama Kayveas. 

Tanpa mahu mengambil kira pengorbanan dan penderitaaan orang Melayu selama ini yang merelakan tanah tumpah darah mereka diliwat oleh sekumpulan penyamun dan lanun pimpinan seorang pemimpin yang naik tanpa meritokrasi dan disokong oleh satu kabinet yang sebahagian besarnya dianggotai oleh manusia yang tidakpun layak berada di sana, Mahathir sudah menghina orang Melayu seluruhnya apabila dia mensyaratkan isu meritokrasi kepada pelajar Melayu. Kita akan bincangkan perkara ini lebih panjang dan terperinci lagi, Insya Allah.

Tetapi setakat ini kita mahu rakamkan beberapa perkara dengan soalannya dulu:

Apabila Mahathir menyebut meritokrasi untuk pelajar Melayu, apakah kriteria meritokrasi yang digunakannya untuk menggunakan wang ringgit simpanan orang Melayu untuk menyelamatkan perniagaan anak-anak dan para kroninya?

Apabila Kayveas diarahkan membuat pengumuman bahawa Dewan Tunku Canselor dibakar kerana sabotaj, apakah Kaveas mempunyai meritokrasi untuk menjadi seorang timbalan menteriyang lebih pakar daripada pakar yang bertugas di Jabatan Bomba?

Apabila Aziz Shamsuddin mahu mengarahkan setiap guru dan pelajar menandatangani akujanji dengan kerajaan, apakah dia menepati meritokrasi terunggul menjadi seorang timbalan menteri? Apa jadi dengan kes perbicaraan juruteknik PLUS yang cuba menukarkan cek atas nama isteri pertama Aziz dulu? Kenapakah kes itu dipengapkan sahaja sedangkan rakyat mahu tahu bagaimanakah syarikat ‘mineral water’ boleh membayar wang sebanyak itu kepada isteri seorang bakal timbalan menteri. ?

Mungkinkah Rakyat Dipaksa Mengibarkan Bendera Jalur Gemilang?

Kita boleh menjangkakan ada usaha ugutan mengarahkan rakyat mengibarkan jalur gemilang menjelang 31 Ogos ini. Kalau kerajaan tidak bertindak ke arah ini, bererti kerajaan akan kalah dalam memerangi rakyat. Selama inipun kerajaan telah memusuhi rakyat. Jika tidak, masakan parti pembangkang tidak boleh berceramah secara terbuka, akhbar pembangkang dicatu terbitannya. Kerana regim Mahathir memusuhi rakyat makanya perhimpunan bebas tidak diizinkan dan apa juga usaha rakyat berkumpul membincangkan masa depan mereka diganggu-gugat oleh kerajaan Mahathir.

Menyedari bahawa penasihat utama Mahathir adalah sekumpulan manusia yang sudah sewel dan gila pangkat seperti Aziz Shamsuddin, Zainuddin Maidin, Hamid Osman, Rais Yatim, Sanusi Junid, Rahim Tamby Chik dan banyak lagi, apakah kesudahannya?

 Besar kemungkinannya negara ini akan terus dilanda musibah bikinan manusia. Inilah yang telah berlaku pada Liberia yang membuatkan seorang sarjan (Jeneral Samuel Doe) merampas kuasa dan menjadi diktator. Ataupun huru hara yang pernah berlaku di Uganda di mana seorang bekas tukang masak (Amin Dada) akhirnya menjadi seorang diktator. Atapun seperti yang berlaku di Burma apabila junta tentera naik dan menghapuskan segala warga istana di negara itu dan terus berkuasa sehingga kini. 

Semua ini adalah serba mungkin kerana apa yang berlaku sekarang menunjukkan satu muslihat menukarkan haluan demokrasi yang dipacak oleh kumpulan Tunku Abdul Rahman Putra dengan sokongan orang Melayu, perlahan-lahan berubah menjadikan negara ini menganut beberapa unsur fasisme yang semakin ketara. 

Semua kejadian dan peristiwa yang dilakonkan termasuk debat olok-olok UMNO-PAS adalah satu rancangan mega yang bertali arus untuk memesongkan orang Melayu daripada memberi sokongan kepada parti lain selain UMNO. Segala kerja jijik memburukkan orang Melayu dan mengaibkan setiap golongan Melayu yang dianggap berpotensi sebagai bahaya kepada Mahathir dan pakpacaknya diperangi dan diaibkan dan ditangkap bawah ISA walaupun mereka tidak berbuat sebarang dosa. 

Rakyat amat menyedari perkara ini dan sekarang sedang bangkit memeranginya secara bersendiri. Kali ini rakyat itu adalah marhaen Malaysia tidak kira apakah dia bertugas sebagai peniaga, pelajar universiti, ahli bomba, polis ataupun tentera, guru ataupun apa sahaja yang mencari rezeki yang halal. Mereka mulakannya dengan menolak sebarang usaha dan ugutan untuk mengibarkan bendera Malaysia, tidak kiralah apa nama lain yang mereka berikan kepada Jalur Gemilang itu. 

Ulangtahun kemerdekaan hanya sekitar seminggu lagi. Kita mahu lihat apa yang akan Mahathir katakan dan lakukan. Apa lagi yang akan direncana untuk memusuhi rakyat jelata, rakyat akan sedia menantinya seperti penantian sehelai jalur gemilang berkibar di angin lalu tanpa menyedari berapa lama dia mengibar hala itu.

Kebanyakan rakyat marhaen yang mogok daripada mengibarkan bendera Jalur Gemilang itu, sudah lama ternampak bayang-bayang bendera lain yang sedang berkibar sebenarnya. Itulah bendera hitam, yang mempunyai lembaga putih menyurupai tengkorak manusia di tengah-tengah dengan dua tulang bersilang di bawahnya. Di bawah tulang manusia yang bersilang itu ada yang terbaca nama ‘Mahathir’ di sana. Ada yang ternampak nama Aziz Shamsudin, Zam Mamak, Rafidah, Daim, Eusoff Chin, Augustine Paul, Ariffin Jaka, Patil Brothers, Mokhtar Abdullah, Megat Joned, Yusuf Noor, Umi Darasuntik, Jin Shamsuddinh, Khalid Jaffari, Sanusi Junid, Halim Saad, Tajuddin Ramli, Kaveas, Samy Vellu, Eric Chia, Vincent Tan, tengku Adnan, Khalil Yaakob, Ali Rustam, Shahidan Kassim, Isa Samad, dan banyak lagi.

Salahkah kalau rakyat marhaen terus mogok dan mencemekkan muka terhadap apa yang dikatakan semangat patriotisme itu? 

-Marhaintua- 22.08.01.


Siri MMMM boleh diakses melalui link yang terdapat di kolum kiri muka depan M@RHAEN atau klik di sini: Bab 8 - Bab 7 - Bab 6 - Bab 5 - Bab 4A - Bab 4B - Bab 3A - Bab 3B - Bab 3C - Bab 2A - Bab 2B - Bab 1A - Bab 1B

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!