SEJARAH RINGKAS NABI MUHAMMAD SAW - BAHAGIAN 1

Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

FIRMAN ALLAH :
TIDAK  KAMI UTUSKAN KAMU YA MUHAMMAD MELAINKAN MENJADI RAHMAT UNTUK SEKALIAN ALAM“. SURAH AL-ANBIYA : 107

Bersempena dengan hari lahir  Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal yang jatuh pada hari Ahad, 2.5.2004 yang lepas, maka saya mengambil kesempatan ini untuk menulis secara ringkas sejarah Nabi Muhammad SAW yang dipetik dari Kitab Berzanji. Di samping itu, saya berharap semua kita mendapat berkat dari Allah SWT dalam segala urusan kita di dunia ini dengan mengingati dan menyambut hari lahir Baginda sepanjang bulan Rabiulawal yang mulia ini. Oleh itu, sejarah Baginda saya akan tulis secara bersiri dalam bulan yang mulia ini bagi kita mengambil iktibar darinya.

Risalah Keturunan Nabi Muhammad SAW

Nabi Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Umar bin Abdul Manaf bin Kuqai bin Kilab bin Murroh bin Kaab bin Ilu’ai bin Qhalib bin Fihirr bin Nughar bin Kinnah bin Huzaimah bin Mudrikah bin Ilias bin Muqhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan. Selesailah risalah keturunan Nabi Muhammad SAW yang mulia.

Suasana Alam Semasa Nabi Di Dalam Kandungan

Manakala Allah berkehendak melahirkan junjungan yang mulia iaitu Nabi Muhammad SAW ke alam ini. Jelas nyata bertubuh badan bernyawa, berupa dan bersifat dengan sifat-sifat kebatinan yang mulia.

Dipindahkan ke dalam rahim ibunya Aminah keturunan yang mulia. Ditentukan bahawa Aminah itulah ibu kepada Baginda. Berita Aminah mengandungkan Nur Muhammad itu disampaikan ketujuh lapisan langit dan bumi di ala mini. Setiap yang merestui kelahirannya merasa nyaman seperti udara berhembus di embun pagi menunggu sang suria.

Bumi yang kemarau hilang lenyap dan bumi subur semula laksana memakai sundus atau hamparan yang menghijau melata saujana mata memandang. Buah-buahan menjadi ranum, lebat yang sedia dipetik oleh tuan punya. Singgah sana istana, patung-patung berhala tersembam berdukacita di atas kelahiran Nur Muhammad yang mulia.

Suasana alam cerah gilang gemilang ria laksana orang yang kehausan mendapat seteguk air yang lazat. Para jin-jin juga turut bergembira di samping ahli nujum dan paderi-paderi merasa kecewa. Di suatu malam ibunya Aminah bermimpi yang beliau mengandungkan Penghulu iaitu Nabi yang mulia. Dalam mimpi itu, sekiranya lahir nanti supaya dinamakan dengan nama Muhammad ertinya terpuji kerana dia akan terpuji dan dipuji merata-rata.

Waktu Kelahiran Nabi Muhammad SAW

Manakala genap dua bulan Nabi di dalam kandungan menurut ulama ayahandanya Abdullah meninggal dunia di Madinah. Manakala sempurna kandungan Aminah sembilan bulan menurut keterangan yang sahih lahirlah junjungan Nabi yang mulia. Zaman yang gelap ternyata gilang gemilang cuacanya yang menerangi bumi.

Di malam di saat kelahiran ibu Baginda dihampiri oleh Asiah dan Mariam dari kumpulan bidari syurga. Sampai masanya dan ketikanya Aminah pun merasa sakit hendak bersalin, maka lahirlah junjungan gemilang cahayanya.

Khasidah memuji akan junjungan Nabi Muhammad SAW :

Maka bercahaya, laksana suria
Menyinari alam gilang gemilang

Malam keputeraan, junjungan yang mulia
Lahir Agama, yang benar terang

Waktu itu, Aminah ibu
Anak Wahab keturunan bahagia

Megah bangga sepenuh kalbu
Mencapai kurnia, tiada setara

Aminah, melahirkan seorang perdana
Mengatasi siti Mariam yang dara

Keputeraan anggapan di kafir durjana
Bala menimpa menghancurkan mereka

Bertalu suara, bersorak ria
Suara Qhaib, berbunyi nyata

Muhammad lahir, ke alam dunia
Penghuni alam bersuka  cita

[HARUMKANLAH YA ALLAH MAKAM JUNJUNGAN YANG MULIA DENGAN KATA-KATA UCAPAN SELAWAT DAN SELAMAT SEJAHTERA]
Sekian, InsyaAllah akan bersambung ke bahagian ke dua “ Kelebihan Nabi Muhammad SAW tatkala lahir “. Wallahualam.

- Meli - 06.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN