SEJARAH RINGKAS NABI MUHAMMAD SAW - BAHAGIAN 2

Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

Kelebihan Nabi Muhammad SAW tatkala lahir

Lahir sudah junjungan di dunia dengan keadaan tapak tangannya melekap ke bumi, kepalanya mendongak ke arah langit. Ini menunjukkan keagungan dan ketinggian peribadinya. Ini juga menunjukkan bahawa isyarat atas keluhuran martabat mengatasi semua kejadian Ilahi. Keadaan ini juga menunjukkan bahawa dia adalah kekasih ALLAH SWT, elok kelakuan dan budi pekerti.

Ibunya memanggil datuk junjungan Abdul Mutalib sedang bertawaf di Kaabah. Lalu ia membawa Baginda ke Kaabah dan berdoa dengan hati yang suci penuh rasa kegembiraan hatinya. Ia bersyukur kepada Allah mendapat limpah yang tidak terperi dan lahirlah junjungan dengan keadaan yang bersih dan sudah berkhatan dan tanggal tali pusat dengan kuasa Allah. Semerbak harum mewangi berminyak dan bercelak kedua-dua matanya. Ada yang mengatakan setengah ulama Abdul Mutalib mengkhatankan selepas 7 hari junjungan dilahirkan. Berpestalah ia dan berkenduri serta menamakannya junjungan dengan nama MUHAMMAD yang ertinya lelaki terpuji.

Berlaku beberapa peristiwa yang luar biasa ketika keputeraan Nabi Muhammad SAW mempertandakan akan tanda kenabian memberitahu sekalian bahawa Baginda manusia yang menjadi pilihan Rasullah ke alam ini.

Kawalan di langit diperkuatkan dan penjaga ditambah serta dihalau hantu dan syaitan. Mana-mana yang cuba ke langit dipanah dengan api. Beberapa bintang di langit turun mendekati junjungan Baginda tanda kegembiraannya. Bersinar dan bercahaya seluruh pelosok bumi di tanah haram dan beberapa kawasan yang lain. Terbit cahaya mengiringi kelahiran Rasullah suatu cahaya menerangi mahligai Qausar serta penduduk Mekah melihat sinaran yang sungguh menghairankan dan menggirangkan.

Bergoncang istana Raja Parsi yang berada di negeri Madain sedangkan teguh dan kukuh bangunannya. Bangunan Istana Anuar Sarwan yang tersergam teguh roboh dengan serta merta dengan kudrat Ilahi. Menara pencakar langit 14 buah runtuh. Kerajaan Kisar terguling, terkejut mengenai kejadian menimpa yang tidak tertangguh. Api-api disembah oleh Raja-raja Parsi terpadam dengan serta merta dengan sendirinya. Oleh kerana kelahiran cahaya junjungan yang menyinar seluruh alam. Terjadi kering kontang tempat mandi manda dan minum Raja Parsi yang bernama Tasik Syawah. Sebaliknya Tasik Samawah yang dulunya kontang melimpah-limpah airnya [untuk renungan Ketua Mazhab Islam Hadhari dan kuncu-kuncunya- Penulis ].

Dengan kelahiran junjungan yang mulia bertambah-tambah terkenal Kota Mekah negeri yang berpasir dan berdebu. Di mana negeri yang dilarang mencabut tumbuh-tumbuhan dan memotong kayu. Tarikh keputeraan Nabi Muhammad SAW pendapat ulama yang sahih pada malam fajar hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah.

Perbezaan Bayi-bayi Dengan Bayi Rasulullah SAW

Adalah kesuburan tubuh Rasulullah  SAW satu hari menyamai kanak-kanak lain yang umurnya 1 bulan. Baginda sudah pandai berdiri tegak, berumur 3 bulan berjalan sendiri, tatkala umurnya 5 bulan tegap serta fasih bercakap dalam umur 9 bulan.

Dua malaikat mendatangi Baginda, melakukan pembedahan dada, lalu hati seketul darah hitam dikeluarkan. Dibuangnya habuan ataua tempat syaitan dibasuh dengan air salji. Diisi dada Baginda dengan hikmat dan iman. Selepas itu ditutup dada Baginda dan dimaterikan dengan kalimah Hatamun Nubuah ertinya Nabi Kesudahan.

Kemudian ditimbang yang mana berat kebaikannya lebih 1,000 kali ganda daripada orang-orang lain. Memang sejak kecil lagi Baginda bersifat manusia yang sempurna.

Peristiwa  Penyusuan  Rasulullah SAW.

Mula-mula bondanya Siti Aminah yang menyusukan selang beberapa hari disusukan pula oleh Suwaibatul Aslamiah. Suwaibah asal keturunan hamba kepunyaan Abu Lahab setelah dimerdekakan. Suwaibah menyusukan Rasulullah SAW bersama anaknya bernama Masruh dan Abu Salamah.

Suwaibah juga pernah menyusukan bapa saudara Rasulullah SAW yang bernama Hamzah. Rasulullah SAW menyusu kepada Suwaibah sehingga Suwaibah meninggal dunia. Kemudian wanita muda Halimahtu Sa’adiah pula yang menyusukan Rasulullah SAW. Pada mulanya Halimahtu Saadiah adalah orang miskin, setelah beliau menyusukan Rasulullah SAW kehidupannya bertambah mewah di luar dugaannya.

Penuh embing susu Halimahtu saudaranya yang bernama Masruh menghisab sebelah kiri, manakala Rasulullah menghisab di sebelah kanan. Dari miskin derita dengan kudrat Allah SWT hidupnya bertambah mewah kaya dan gembira. Unta-unta dan juga kambing-kambingnya yang dibela menjadi gemuk. Dengan itu hapuslah segala derita yang ditanggung selama ini yang tidak pernah menikmati kekayaan dan kesenangan.

Akhirnya, Halimahtu Sa’adiah menyerahkan kembali Rasulullah SAW kepada ibunya Aminah dengan hati sedih dan berat. Halimahtu Sa’adiah sering mengunjungi Baginda. Walaupun Baginda sudah berkahwin, Baginda tetap kasihkan Halimahtu Sa’adiah dengan memberi hadiah tatkala ia berkunjung menemui Baginda sehingga pada ke lapan hijrah Halimahtu Sa’adiah masih lagi menemui Rasulullah dan Baginda bangun memberi penghormatan kepada Halmahtu Sa’adiah. Ada setengah ulama mengatakan bahawa Halimahtu Sa’adiah dan suaminya dimasukkan di dalam kumpulan sahabat junjungan.

Sekian. InsyaAllah akan disambung ke Bahagian ke-3 “ Kehidupan Remaja Rasulullah “. Wallahualam.

- Meli - 08.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN