Ditakdirkan Mahathir Nazak... Bhgn. 4
Oleh Muaalim Toyiban

‘Demokrasi’ adalah satu perkataan yang menggambarkan sistem pemerintahan negara yang sudah banyak kali diselewengkan oleh pucuk pemerintahan. Di Indonesia ketika pemerintahan Soekarno, dia menyebut kepimpinannya berteraskan ‘demokrasi terpimpin’. Itulah sistem pemerintahannya yang berkembang ke tahap dia “Mengganyang Malaysia” ala-konfrontasi dan berakhir dengan kebangkitan parti komunis yang mahu menggulingkan Soekarno sehingga mencetuskan rampasan kuasa tentera yang melonjakkan satu dinasti regim Suharto.

Hampir satu dekad selepas itu Ferdinand Marcos naik menjadi presiden Filipina dan dia turut megah dengan kepimpinan demokrasi sedangkan itulah pemerintahan yang mementingkan kaum ‘Illocano’ daripada Ilocos Norte, tempat kelahiran Marcos dan sukusakat Imelda, isterinya yang lahir di Cavite. Demokrasi ala Marcos telah memberikan kuasa kepada pihak tentera sehinggakan kebangkitan mereka menyebelahi Marcos ditentang oleh kebangkitan rakyat dengan beraninya dan menonjolkan Puan Aquino sebagai pengganti jawatan Marcos yang terpaksa lari dengan bantuan Amerika untuk mendapat suaka politik di Hawaii. Rakyat bangkit secara spontan di bandaraya Makati sebagai simpati kepada Puan Aquino yang kematian suaminya Ninoy Aquino, musuh ketat Marcos yang ditembak oleh orang upahan setibanya di lapangan terbang Manila daripada Amerika. Orang upahan itu adalah rencana jahat panglima tentera yang mempunyai pertalian darah dengan Marcos untuk menentukan beliau terus berkuasa.

Rakyat berjaya menjulang Puan Aquino menjadi presiden dengan sokongan padu pihak gereja pimpinan oleh Kardinal Sin. Dengan kata mudah, walaupun suku-sakat Marcos merencana usaha untuk terus bermaharajagila, rakyat sanggup bangkit apabila disedarkan oleh ketua agama mereka, sehingga sanggup berdiri tegap di hadapan muncung kereta-kebal dan senjata automatik tentera. Kebangkitan rakyat itu disokong oleh hampir seluruh anggota tentera Filipina walaupun mereka sudah menerima arahan memusuhi rakyat dengan kekerasan, mereka tidak tergamak melepaskan sebutir peluru menembak warga sebangsa.

Dalam dua senario di atas yang membabitkan penggulingan presiden negara oleh rakyat dan tentera, ada tanda-tanda yang jelas kini betapa pergolakan tentera dan rakyat itu adalah didalangi kuasa besar yang mahu terus mengkotak-katikkan dua negara tersebut. Dalam dua hal ini Amerika disebut sebagai Tok Dalang Nombor Satu sehingga terhumbannya Soekarno di Indonesia dan Marcos di Filipina. Kita tidak akan bincangkan secara lanjut fenomena yang mempunyai sama irasnya di dua negara anggota ASEAN ini, kerana ia akan memakan banyak masa dan melencongkan minda kita yang kebanyakannya sudah lama dirobotkan untuk taksub kepada seorang Raja Kelentong di negara ini. Apapun kesannya kepada kedua negara itu masih ketara apabila rakyatnya terus menderita dan perbendaharaan negara menjadi papa kedana.

Kenapa Tentera Suka Merampas Kuasa?

Sejarah tentera merampas kuasa bukan perkara baru. Napoleon Bonaparte pernah menjadi seorang sarjan sebelum naik menjulang menjadi Maharaja Peranchis. Adolf Hitler pernah menjadi Korporal sebelum naik menjadi Kaiser Jerman. Idi Amin yang terkenal sebagai presiden gila di Uganda memulakan karier politiknya sebagai seorang tukang masak tentera berpangkat sarjan. Liberia yang satu ketika diperintah oleh sebuah kerajaan demokrasi tumbang apabila beberapa pegawai muda memberontak dan menggulingkan kerajaan Tolbert. Tetapi apabila mereka mengadakan sidang akhbar dan ditanya siapakah pemimpin gerombolan mereka, beberapa pegawai muda berpangkat leftenan diam membisu, sehinggakan seorang sarjan bernama Samuel Doe bersuara mengatakan dia adalah jurucakap kumpulan itu. Sekaligus dia terus merencana menjadi ketua negara yang baru, setelah membunuh para pegawai yang merencana penggulingan pemerintahan sistem demokrasi dulu.

Dengan lain perkataan, rampasan kuasa boleh dilakukan oleh pihak tentera bila-bila masa dan di mana sahaja dan tidak semestinya ia dilancarkan oleh panglima tentera ataupun pegawai atasan yang dianggap berotak geliga.

Di benua Afrika, sejarah rampasan kuasa tentera menjadi mainan pada abad yang lalu, kerana mereka merupakan kumpulan bersenjata yang mudah bersatu menggugat sesiapa yang berkuasa yang ingin mereka singkirkan. Itu sebabnya hingga hari ini, Afrika merupakan benua yang penuh dengan negara ketiga yang masih merempat walaupun banyak yang mendapat kemerdekaan daripada penjajah lebih suku abad.

Di Asia, sejarah rampasan kuasa yang paling ketara dan amat berkesan bahananya ialah di Thailand, Pakistan dan Bangladesh. Thailand pernah mengalami perubahan kerajaan setiap bulan sehinggalah rakyat muak dengan pembabitan tentera sebagai pentadbir kerajaan dan bersatu di belakang Raja mereka untuk mendesak demokrasi dikembalikan. Begitu juga di Bangladesh yang kini sudah berjaya mengamalkan sistem demokrasi setelah menolak kepimpinan tentera ke tepi. Pakistan yang berjaya melumpuhkan kuasa tentera terpaksa akur dengan kehebatan mereka semula kerana pengamal pemerintah demokrasi terlalu tamak dan haloba membalun harta negara sehingga mengundang campur-tangan tentera semula.

Kemunculan tentera mentadbir Pakistan, sekaligus membenam sistem pemerintahan awam yang berlandaskan demokrasi. Rakyat berbelah-bagi dalam hal ini kerana tidak mahu tentera lama berkuasa. Tetapi, dengan bantuan Amerika, panglima tentera yang menjadi presiden Pakistan sekarang ini (Jeneral Musharraf), dapat menumpaskan bantahan rakyat itu dengan melumpuhkan ketua agama (Islam) di Pakistan. Sekaligus, peranan pemimpin agama di Pakistan diperlekehkan sedangkan satu ketika dulu mereka memainkan peranan besar menegakkan ekonomi Pakistan melalui ribuan sekolah pondok dan perkampungan anak yatim-piatu yang bergiat cergas dengan industri kecil dan sederhana di seluruh negara itu. Sekaligus juga, pergerakan ekonomi Pakistan yang dapat bertahan berasaskan ajaran agama Islam kini mahu dipecah-belahkan oleh tentera Pakistan gara-gara sokongan padu Amerika Syarikat.

Amerika yang mendalangi perubahan pemerintah di seluruh negara berjaya melumpuhkan kebangkitan rakyat yang disokong kuat oleh ketua agama mereka (Islam) di Pakistan hasil pengalaman lama betapa mereka gagal melawan kebangkitan rakyat Filipina yang disokong padu oleh ketua agama mereka (Kristian) juga.

Hairankah kita apabila Mahathir mahu terus berkuasa dia menghabiskan banyak wang rakyat marhaen untuk menekan ketua agama Islam di negara ini sekaligus dia sebagai insan yang mempunyai sesudu darah Melayu sanggup memusuhi bangsanya sendiri kerana mahu terus mencengkam kuasa?

- Muallim Toyiban - 20.03.2002
Bersambung ke Bahagian 5


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!