Ditakdirkan Mahathir Nazak... Bhgn. 5
Oleh Muaalim Toyiban

Benarkah Mahathir Mengutamakan Ekonomi Melayu?
 
Sejarah penonjolan Mahahtir setelah dinyahkan oleh UMNO kerana mendalangi pengaiban Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, ialah melalui PAS. Demikianlah kisah seorang ultra-Melayu yang berani mengemukakan teori dilema Melayu berasaskan sudut genetik sanggup bergantung harap kepada belas kasihan PAS dan anjuran keIslamannya untuk menegakkan kedegilannya yang dipandang sepi oleh pemimpin dan pengikut UMNO.
 
Melalui PAS dan pentas ceramah PAS, Mahathir yang telah tersingkir daripada arus kepimpinan UMNO setelah tumpas bertanding di pemilu 1969 di Kedah, berjaya naik semula, dari satu tangga ke satu tangga sehingga dilantik sebagai seorang senator untuk menganggotai kabinet Tun Razak akhirnya. Dari situ, dia naik meninggi sehingga Tun Razak meninggal dunia, dilantik menjadi timbalan perdana menteri oleh Tun Hussein Onn. Sekaligus, pergantungannya terhadap belas kasihan PAS menghilang begitu pantas sehingga bertukar kepada pandangan serong terhadap parti yang sudahpun keluar daripada gagasan BN
 
PAS yang menerima banyak bantuan dana daripada pengikut Al Arqam terus berkembang biak dan naik melonjak untuk mempengaruhi pemikiran orang Melayu. Walaupun Mahathir pernah menjadi menteri perdangangan dan kemudian menjadi menteri pendidikan sebelum menjawat jawatan timbalan perdana menteri, tidak banyak jasa Mahathir yang menonjol untuk dibanggakan oleh orang Melayu. Namun dia terus dapat mewarnai kepimpinan masyarakat Melayu kerana gelagat retoriknya yang berjaya mempengaruhi minda Melayu sebagai harapan bangsa untuk memperbetulkan ekonomi mereka dan nasib mereka di tanahair kelahiran sendiri. Dengan kata lain, Mahathir belot kepada orang Melayu dalam PAS yang memberikannya perlindungan ketika dihenyak oleh UMNO.
 
Sebaik sahaja dia diangkat semula oleh kepimpinan Tun Razak, Mahathir dilantik sebagai pengerusi FIMA yang menumpukan kegiatan pembangunan perladangan nanas di selatan Johor. Ketika itu dia rapat dengan Eric Chia yang merupakan usahawan bidang traktor dan jentolak (UMW) dan Tan Sri Basir serta beberapa tokoh korporat waktu ini, yang pada waktu itu hanya merupakan orang yang baru belajar dalam dunia perniagaan mega.
 
Pembabitan Mahathir dengan Eric Chia memang begitu jauh ditelan sejarah, sehinggakan pembabitan Eric Chia dalam Perwaja hanyalah satu kesinambungan keintiman persahabatan mereka. Dengan lain perkataan, Eric Chia tentu banyak berjasa kepada Mahathir ketika dia masih meniti tangga pancaroba politik. Apakah Mahahtir sanggup mengenepikan persahabatan yang begitu lama semata-mata untuk memuaskan desakan orang Melayu dalam UMNO, sedangkan mereka biasa makan sepinggan mi bersama-sama.
 
Demikian juga dengan pertalian persahabatan Mahathir dengan Ananda Krishnan yang memang merupakan seorang ‘usahawan’ yang sudah lama kaya setelah mendapat ‘option’ membeli minyak kepunyaan sebuah negara Arab dengan harga separuh dari harga pasaran sekarang. Bayangkan keuntungan yang diperolehi oleh Ananda setiap bulan. Soalnya sekarang, bagaimana Ananda mendapat ‘option’ itu dan apakah peluang itu diperolehi sebagai seorang proksi kepada seorang pemimpin beragama Islam di negara ini. Kita harap MGG Pillai yang amat arif akan perkara ini dapat mendedahkannya. Begitu juga dengan kisah bagaimana Ananda diberikan peluang membeli tapak tanah milik kerajaan yang dulunya merupakan padang lumba kuda dan kemudiannya menjualnya semula kepada kerajaan dengan berkali-kali ganda untuk pembinaan Menara Kembar ‘H’, sambil memegang ekuiti dalam projek tersebut. .Soalnya sekarang apakah Ananda merupakan proksi kepada seorang pemimpin Melayu di negara ini memandangkan begitu mudahnya beliau membeli tanah kerajaan untuk dijualnya semula kepada kerajaan yang sama.
 
Kesangsian orang Melayu betapa Ananda Krishnan adalah proksi ‘lesen emas’ kepada beberapa tokoh poliik Melayu amat menonjol apabila diambil kira jenis bisnes yang dikendalikannya di negara ini: Bisnes telefon bimbit (Maxis), Astro dengan kemudahan satelit di angkasa, Lesen perjudian melalui syarikat yang tersenarai di pasaran saham (Tanjung) dan wujudnya seorang ‘tokoh usahawan Melayu’ yang satu ketika dulu menjadi Ketua Polis Negara yang paling lama khidmatnya di dunia ini (tetapi tidak menemui ayat Al-Quran yang melarang umat Islam berjudi - M@R). Segala kemudahan yang diberikan kepada Ananda Krishnan adalah laksana memberikannya di atas dulang emas, kerana hampir semua projek beliau adalah projek ‘lembu tenusu’ yang cuma perlu diperah untuk memberikan keuntungan kepadanya. Soalnya sekarang siapa lagi yang menikmati segala kemewahan itu? Yang menjadi tandatanya orang Melayu, setiap kali Mahathir keluar negara dia bercuti dengan penglibatan Ananda Krishnan dan segala kemudahan alat percutian yang mahal-mahal milik ‘usahawan super bumiputra’ tersebut.
 
Ramai juga orang Melayu yang menjadi mangsa putar-belit ekonomi Mahathir yang bertanya apakah bentuk minda yang ada pada golongan super-bumiputra itu sehinggakan Mahathir sanggup menghambakan dirinya kepada mereka sambil memperlekehkan orang Melayu dan agama Islam mereka. Dalam kisah keintiman persahabatan Mahathir dengan Ananda Krishnan ada kisah yang dicertiakan oleh orang yang tahu, betapa Ananda Krishnan merupakan insan yang pernah mengongkosi perbelanjaan Mahathir ketika dia merewang-rewang kesan ditendang oleh UMNO selepas 1969 dulu.
 
Malahan ada juga desas-desus yang menyebut, kemasukan Abdullah Ang dalam penjara adalah kesan tipu muslihat pertandingan pengaruh antara para kroni kelas super-bumiputra untuk menentukan kelompok yang mana yang dapat mengawal dan mempengaruhi gerak geri Mahathir dalam jrusan menghambakan dirinya kepada golongan ini.
 
Kita menggunakan istilah Mahathir ‘menghambakan dirinya’ dalam bahagian ini kerana mengambil-kira begitu banyak projek yang ditelan oleh kelas super-bumiputra yang diberikan atas tepak emas oleh Mahathir seolah semua projek itu adalah warisan bapaknya yang sudah lama mati. Sedangkan semua projek itu adalah amanah rakyat untuk diuruskan dengan menggunakan segala hasil mahsul negara.
 
Sayangnya apabila kebanyakan projek itu kantul, ia tidak ditonjolkan secara tersembul seperti kantulnya projek Timedotcom, MAS, UEM dan banyak lagi. Malahan dalam persidangan UMNO tidak banyak perbincangan dibuat terhadap kebajingan Vincent Tan yang mengaitkan pembabitan dan persekongkolan bekas Ketua Hakim Negara (Tun Eusoff Chin) dan bekas Peguam Negara (Mohtar Abdullah), walaupun persekongkolan mereka itu didedahkan hasil perisikan agensi risik terkenal London.
 
Mahathir juga telah memberikan ruang yang luas kepada beberapa peniaga Cina yang akan kita sebutkan nama mereka dengan abjad ejaan nama sahaja seperti VT, JC, TSP, YTL, AA, dan ramai lagi yang menjadi kaya raya lebih dahsyat daripada orang Melayu yang diberikan peluang kaya raya sebagai proksi UMNO.
 
Yang anehnya, kebanyakan anak-didik Melayu yang menjadi proksi UMNO adalah orang Melayu yang mempunyai kelulusan akademik dan mempunyai ketokohan memimpin syarikat besar; seperti Tajuddin Ramli, Halim Saad, Shamsuddin Hassan dan sebagainya. Mereka semuanya didapati kecundang ataupun tidak menepati harapan bangsa Melayu. Sebaliknya kebanyakan usahawan Cina yang diberikan peluang berniaga besar tidakpun mempunyai kelulusan akademik yang tinggi tetapi dikatakan ‘berjaya’ dalam perusahaan kita. Yang disebut berjaya itu adalah propaganda semata-mata sedangkan hampir semua usahawan Cina itu didapati lebih haprak daripada usahawan Melayu yang jatuh terjelepuk. Contohnya, Tan Sri Ting gagal segagal-gagalnya tetapi terus diselamatkan oleh Mahathir dan Daim Zainuddin seolah-olah mereka berdua ini mempunyai kepentingan dengan perusahaan yang diuruskan oleh Ting. Demikian juga dengan Vincent Tan yang gagal di banyak tempat tetapi terus diselamatkan dengan wang rakyat.
 
Kehaprakan usahawan Cina yang dipanggil ‘super-bumiputra’ oleh MGG Pillai, begitu meruntunkan ekonomi negara tetapi sengaja dipengapkan kebajingan mereka sambil Mahathir terus menutup kerja jijik mereka dengan terus membantu dan memberikan peluang perniagaan baru sedangkan kebanyakan projek lama mereka terbengkalai begitu saja untuk diselamatkan oleh Danaharta.
 
Apabila diambil-kira segala kerja penyelamatan projek yang gagal yang diusahakan oleh golongan super-bumiputra itu dengan segala projek milik anak-anak Mahathir yang turut gagal sama, kita dapat melihat betapa golongan usahawan super-bumiputra itu diberikan status yang sama tarafnya dengan anak-anak Mahathir sendiri. Sebaliknya semua kebajingan projek mereka yang gagal itu telah menjejaskan ekonomi negara dan mata pencarian sebilangan besar rakyat marhaen negara ini terutama sekali orang Melayu. Inilah kelas yang dimangsakan oleh pemerintahan Mahathir sehingga kini - mereka menjadi satu kelas bumiputra yang merempat tanpa sebarang halatuju yang tertentu.
 
Begitu juga halnya dengan persahabatan Mahathir dengan Daim Zainuddin yang diangkatnya menjadi penasihat ekonomi negara, menteri kewangan kabinetnya dan bendahari UMNO. Seperti yang terjadi kepada Eric Chia, Daim telah gagal segagal-gagalnya dalam menjalankan tugas yang ‘diamanahkan’ rakyat. Hampir semua tugas Daim hanya untuk menyonglap harta pusaka rakyat marhaen sehinggakan UMNO kini laksana singa tua yang sudah tidak bergigi, hanya tahu mengaum dan menyeringai gusi, tanpa tenaga dan martabat lagi.
 
Oleh kerana kecundangnya banyak projek Mahathir yang dikatakannya untuk mempertahankan ketuanan Melayu, yang terlalu ramai menjadi mangsa kegagalan itu adalah rakyat marhaaen tidak kira sama ada mereka orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut dan apa juga kaum yang ada di negara ini. Takrif ‘bumiputra‘ adalah terlalu jauh di hati Mahathir. Hampir semua projek mega beliau adalah bertujuan utnuk memuaskan nafsu serakahnya, kroni, anak-pinak, suku-sakat dan kelas ‘super-bumiputra’. Apabila semua projek itu gagal, yang menjadi mangsa adalah keseluruhan marhaen Malaysia yang kehilangan pekerjaan kerana kilang dan syarikat majikan ditutup, pembelian saham mereka dengan cara berhutang di bank jatuh merudum dan kos sara hidup yang meninggi sehingga ramai rakyat marhaen terpaksa kerja lebih dari satu mata pencarian untuk menutup hutang bertapuk mereka.
 
Dengan kata mudah, hampir semua projek mega Mahthir gagal segagal-gagalnya menyebabkan rakyat jelata merana. Apabila ekonomi merudum rakyat terpaksa menanggung beban kos sara hidup yang meninggi. Tetapi, semua itu tidak diambil-pusing oleh Mahathir dan dia tetap dengan retoriknya dan tetap dengan lawatan ke luar negara cuba ‘membetulkan kepincangan ekonomi dunia’ sedangkna rakyat terus terhimpit di negara kelahiran sendiri. Sesiapa yang berani bersuara menyanggah Mahathir ditangkap dan dituduh sebagai penderhaka yang terlibat dengan kegiatan keganasan, sedangkan tidak ada sebarang bukti yang menyokong tuduhan itu. Undang-undang zalim (ISA) digunakan untuk menangkap orang yang tidak berdosa kerana mereka berani mencabar kepimpinan Mahathir.
 
Mahathir telah berjaya merobotkan sebahagian besar minda rakyat jelata sehinggakan hampir semua agensi perkhidmatan negara turut dirobotkan juga. Polis, Badan Kehakiman Negara, UMNO, cerdik-pandai Melayu di universiti dan pusat pengajian tinggi, veteran UMNO, veteran perang, media massa, dan hampir semua agensi kerajaan yang ditadbir dengan menggunakan hasil cukai rakyat negara ini telah akur kepada Mahathir, kecuali satu golongan alim ulama yang masih bernaung dalam Persatuan Ulama Malaysia dan orang Melayu yang menganggotai parti pembangkang.
 
Putar belit Mahathir selama ini menyebabkan rasuah berleluasa dan penghayatan ajaran Islam di kalangan ummahnya di negara ini semakin tergugat. Mahathir terus mencengkam kuasa dengan membiarkan korupsi berleluasa dan menekan penghayatan Islam kerana Islam dan rasuah adalah dua fahaman yang tidak pernah mampu berada dalam satu jurusan yang ketara.
 
Jelas, Mahathir sudah melepasi tempoh kegunaannya dan sepatutnya sudah lama berundur ketika diberikan masa dan peluang untuk berbuat demikian.

- Muallim Toyiban - 21.03.2002
Akan bersambung ke Bahagian 6: Kepimpinan Penuh Kepalsuan


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!