Ditakdirkan Mahathir Nazak... Bhgn. 3
Oleh Muaalim Toyiban

Sebagai seorang pemimpin Melayu, Mahathir sudah gagal segagal-gagalnya. Semua orang tahu semua ini kecuali Mahathir dan isteri kesayangannya serta para kroni dan suku-sakatnya. Kalau diambil-kira ketokohan Mahathir di mata dunia dan Mahathir yang kini terserlah kehaprakannya, apakah yang akan terjadi kepada negara ini apabila Mahathir nazak?

Yang Pertama: Seperti yang kerap dibincangkan sekarang, rakyat marhaen semakin sedar bahawa Mahathir telah mempapa-kedanakan negara ini. Tidak ada sebuah negeri di dalam negara ini yang tidak berhutang kepada kerajaan pusat. Ini bererti Mahathir sengaja mahu setiap negeri itu berhutang untuk mudah dia mendalangi sesiapa yang dilantiknya menjadi menteri besar di negeri itu. Bagaimanakah Terengganu yang merupakan ‘lembu tenusu’ Malaysia boleh berhutang kepada kerajaan pusat? Sebabnya ialah kerana Mahathir mahu negara paling kaya di negara ini hidup merempat. Ini bererti tujuan utama Mahathir ialah menentukan setiap negeri dalam Malaysia mesti berhutang besar kepada kerajaan pusat.

Yang Kedua: Sepanjang pemerintahannya, Mahathir tidak pernah ikhlas mendidik pemimpin pelapis untuk mempelajari selok-belok memimpin negara. Kerana itu dia sanggup celupar mengatakan orang yang sesuai menggantikannya adalah klon dirinya. Bukankah itu bererti dia menduakan Allah?

Yang Ketiga: Sama ada orang Melayu sedar ataupun tidak, Mahathir banyak dipengaruhi oleh pemikiran orang bukan-Melayu. Sebilangan besar penasihatnya adalah orang lain dan bukan orang Melayu. Ketika zaman Tunku Abdul Rahman Putra sehingga diambil-alih oleh Tun Razak dan kemudiannya Tun Hussein, penasihat mereka adalah orang Melayu dan warga Malaysia. Tetapi siapakah penasihat Mahathir kini? Orang Yahudi, Lee Kuan Yew, Kissinger dan LaRouche, seorang pelampau Amerika yang mahu mengusai dunia melalui fahaman songsangnya, dan Mugabe.

Yang keempat: Mahathir menggunakan ketuanan Melayu dan semangat genggaman ekonomi oleh orang Melayu. Tetapi sebutkan lima nama orang Melayu yang kaya di luar bandar yang mampu berdiri tegak sebaris Ananda Krishnan, Lim Goh Tong, Robert Kuok, Yeoh Tiong Lay dan ramai lagi orang Cina yang kaya raya di negara ini. Pada waktu yang sama sebutkan nama orang Melayu di luar bandar yang mendapat habuan besar seperti Vincent Tan, Eric Chia, Ting Tauke Penyapu dan ramai lagi orang bukan-Melayu yang kaya raya dengan ihsan wang orang Melayu?

Yang kelima: Dengan terbuktinya bahawa Mahathir tidak ikhlas membantu orang Melayu, maka itu dia mudah tertarik kepada falsafah Lee Kuan Yew betapa Malaysia akan hancur jika ditadbir oleh PAS. Siapakah Lee Kuan Yew yang begitu takut akan kekuatan PAS? Kalau PAS berkuasa nanti Lee Kuan Yew dan Mahathir mungkin sudah mati. Tetapi, kalau kita perhatikan perjalanan PAS sekarang ini kita dapat merasakan ia melemah selepas Lee Kuan Yew membuat kenyataan keras betapa bencinya beliau terhadap PAS. Ini dituruti oeh Mahathir dengan mengganyang PAS sedangkan PAS adalah parti orang Melayu. MAHATHIR MUNGKIN BERMUSUH DENGAN PAS KERANA POLITIK, TETAPI DIA TIDAK BOLEH MEMUSUHI ORANG MELAYU KERANA POLITIK PAS. Apabila Mahathir tidak memahami fatwa politik ini, makanya dia sanggup bercakap di New York betapa masih ramai orang Melayu yang beragama Islam yang sanggup membuang TV dan peti-sejuk ke dalam sungai. Suruh dia sebut lima nama orang Melayu yang pernah berbuat begitu?

Satu ketika dulu, Tun Razak berjaya menarik PAS menganggotai Barisan Nasional dan dari situ makanya ramai pemimpin PAS yang memegang peranan penting dalam pentadbiran negara. Inilah penyatuan yang dapat menjana ekonomi negara semula setelah lumpuh disebabkan drama 13 Mei, 1969 yang didalangi oleh UMNO di mana Mahathir memainkan peranan hasutannya. Pada waktu itu tidak ada peristiwa berdarah seperti MEMALI ataupun tuduh-menuduh dan pulau-memulau dalam perjalanan ummah. Kenapa pula sejak Mahathir menganggotai kabinet BNUMNO dan akhirnya menjadi Perdana Menteri, agama Islam menjadi punah-ranah sehinggakan kaum lain yang beragama lain turut tertanya-tanya, menggeleng kepala dan marah?

Kenapakah Mahathir sanggup merestui tayangan rakaman ciptaan ZAM akan peristiwa Memali? Cuba lihat kembali apakah senjata di tangan orang kampung yang menentang polis yang bersenjata lengkap? Adakah mereka memegang bazooka, mesingan dan stengan? Adakah mereka memegang bom tangan? Tetapi apakah yang terjadi? Rumah Ibrahim Libya yang berada di tepi jalanraya dikatakan khemah pengganas? Masuk akalkah segala propaganda UMNO itu?

Oleh kerana Mahathir sudah merobotkan minda orang Melayu, kewarasan untuk berfikir di kalangan orang Melayu betapapun tahap akademik mereka dan jawatan tinggi yang mereka sandang, sudah menjadi satu kebingungan. Mahathir terus dapat mencengkam kuasa dengan bermaharajagila. Kerana itu dia boleh keluar negara ketika parlimen bersidang dan lari daripada tanggungjawab disapina oleh mahkamah ataupun lari daripada menjawab kenapa jerubu begitu tebal ketika F-1 sedang dilangsungkan. Dia mampu keluar negara untuk berlagak sombong bahawa dia adalah penasihat dunia atas segala kesulitan mereka.

Apabila Mahathir nazak, yang paling ditakuti ialah berlakunya rampasan kuasa di kalangan angkatan bersenjata.

- Muallim Toyiban - 19.03.2002
Bersambung ke Bahagian 4


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!