BAHASA, PEMIKIRAN DAN SURVIVAL BANGSA MELAYU
(Bahagian 4/Akhir)

Bahasa, Pemikiran Dan Survival Bangsa Melayu (Bahagian 4/Akhir)
Oleh Abdullah Hasan

(Terdahulu: Bahagian 1 - Bahagian 2 - Bahagian 3 )

UNIVERSITI SEBAGAI PENCIPTA ILMU DAN TEKNOLOGI PERIBUMI

Kreativiti dan inovasi adalah faktor kritikal dalam perkembangan pendidikan. Universiti akan berusaha untuk mendapat tempat dan pengiktirafan sesamanya melalui perbandingan kursus, pemeriksa dan penilai luar, pemeriksaan standard, dan lain-lain lagi. Universiti baru akan menggunakan tenaga pengajar daripada universiti yang sudah mantap untuk menjadi penilai dan penasihat. Dari segi ini, universiti tidak boleh lari dari hakikat meniru universiti lain. Walau bagaimanapun, nama sesebuah universiti akan hanya berkembang apabila universiti tersebut mampu melahirkan ilmu dan teknologi sendiri. Ini ialah salah satu daripada tugas universiti, di samping mengajarkan ilmu dan juga pencipta ilmu.

Oleh sebab itu, kemampuan sesebuah universiti yang kreatif dan inovatif yang utama ialah: Bagaimana sesebuah universiti itu dapat mencapai hasrat ini. Bagaimana universiti tersebut dapat berkembang daripada sebuah universiti yang hanya meniru daripada universiti Barat dalam mengajarkan dan menyampaikan ilmu, menjadi sebuah universiti yang dapat mencipta ilmunya sendiri. Itulah yang menjadi hasrat utama sebuah universiti. Menghasilkan ilmu dan teknologi sendiri, untuk memperbaiki kualiti kehidupan menjadi kritikal. Sekali gus universiti akan mendapat pengiktirafan daripada universiti-universiti lain. Nama baik sebagai pencipta ilmu akan menarik pelajar dan sarjana luar untuk datang. Apabila ilmu dan teknologi dapat dicipta, barulah universiti tersebut mempunyai sesuatu yang khusus untuk dijual. Bukan hanya sekadar membungkus semula ilmu dari mana-mana universiti Barat untuk dijual semula.

Apabila kita menghantar pelajar kita ke Jepun atau Korea, kita menghantar mereka untuk mempelajari ilmu dan teknologi yang wujud di sana. Bagaimana kedua-dua negara ini melahirkan ilmu dan teknologinya sendiri? Satu daripada faktor yang membolehkan ilmu dan teknologi ini berkembang ialah, ilmu yang  disampaikan dalam bahasa sendiri. Universiti tersebut bebas daripada kongkongan pemikiran asing. Ada banyak contoh yang dapat digunakan bagaimana pemikiran bahasa peribumi dapat mengolah ilmu yang diimport dari luar untuk menghasilkan teknologi sendiri. Kenapa Jepun kreatif. Kenapa India tidak. Kenapa Nigeria, Ghana, tidak sekreatif Indonesia dan Thailand menggunakan maklumat untuk menyelesaikan masalah dan memperbaiki kehidupan?

MEMBINA BUDAYA ILMU MENURUT ACUAN MELAYU

Dunia moden adalah dunia yang berdasarkan ilmu dan teknologi. Penguasaan kedua-dua bidang ini menentukan nasib sesuatu bangsa dan negara. Tanpa memiliki ilmu dan teknologi yang dicipta  sendiri, sesuatu bangsa hanya menjadi pengguna kepada ilmu dan teknologi asing. Oleh hal yang demikian, bangsa tersebut berada di bawah belas kasihan kekuasaan bangsa-bangsa yang mencipta ilmu dan teknologi itu. Pemikiran saintifik perlu dibina di kalangan ilmuwan kita. Pemikiran saintifik merupakan pemikiran yang digunakan untuk menemui ilmu-ilmu pengetahuan tentang alam semula jadi, manakala teknologi merupakan hasil manipulasi kreatif terhadap pengetahuan-pengetahuan ilmu tersebut untuk mencipta proses, alat dan produk bagi memenuhi keperluan manusia.

Ilmu dan teknologi merupakan dua perkara yang tidak bebas budaya. Dalam erti kata yang lain, unsur-unsur budaya menunjukkan pengaruhnya ke atas ciri-ciri ilmu dan teknologi yang dicipta oleh ahli-ahli ilmu dan pakar-pakar teknologi yang menganuti budaya tersebut. Demikian pula sebaliknya, ilmu dan teknologi menunjukkan pengaruhnya terhadap budaya yang menggunakan ilmu dan teknologi tersebut.

Gagasan Agenda Ilmu Malaysia mula-mula dikemukakan oleh Profesor Dr. Shahrir Mohd. Zain (1995). Beliau mendefinisikan ilmu Malaysia sebagai ilmu berdasarkan sumber-sumber setempat, bagi memenuhi keperluan-keperluan setempat dan dengan mengambil kira isu-isu kritikal setempat. Seterusnya, beliau mengemukakan langkah-langkah yang perlu untuk membolehkan terciptanya ilmu Malaysia berdasarkan acuan setempat. Beliau mencadangkan supaya Malaysia mengeluarkan kumpulan Saintis yang besar yang dilatih dengan menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu. Menurut beliau, penggunaan bahasa Melayu akan dapat menyampaikan nilai-nilai budaya kebangsaan sekali gus dengan latihan saintifik yang diajarkan kepada mereka.

KESIMPULAN

Visi untuk mencipta masyarakat Melayu yang berdaya saing dalam alaf akan datang memerlukan perancangan yang teliti. Strategi-strategi berikut perlu dilaksanakan demi melahirkan manusia Melayu yang berilmu dan berteknologi untuk mendominasi hidupnya, dan tidak didominasi oleh pemikiran bangsa lain.

(i) mengajarkan sains dengan menggunakan bahasa Indonesia dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Strategi adalah untuk memastikan nilai-nilai terkandung dalam bahasa tersebut akan diasimilasikan ke dalam pemikiran para pelajar dan seterusnya akan menjadi pedoman kepada mereka dalam praktik ilmu yang akan mereka jalankan nanti.
(ii) Menambahkan jumlah pelajar yang berfikiran kreatif belajar dalam jurusan sains. Strategi ini adalah untuk membolehkan pelajar-pelajar sains itu menjadi pakar teknologi yang mampu melahirkan pelbagai invensi dan inovasi.
(iii) Kursus berfikir secara umum dan berfikir secara saintifik dan teknikal secara khusus diajarkan sebagai suatu kemahiran di dalam institusi pendidikan bagi menjamin manusia Melayu ini dapat mengolah ilmu yang dipelajarinya menjadi teknologi bagi meningkatkan kesejahteraan hidup.
(iv) Supaya pemikiran Melayu dapat menerima sains dengan lebih pantas, maka agensi berkenaan dalam kerajaan Malaysia dan Indonesia digesa mengambil langkah-langkah untuk memajukan industri perbukuan. Sarjana Indonesia dan Malaysia akan bergabung untuk membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Langkah mengimport ilmu daripada bahasa asing juga dilaksanakan.

BIBLIOGRAFI
(Dipetik daripada buku Kumpulan Kertas Kerja Kolokium Bahasa Pemikiran dan Melayu/Indonesia 1, penyelenggara Darwis Harahap dan Abdul Jalil Hj. Anuar, m.s. 60-83, terbitan DBP)

- Abdullah Hasan

Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 20.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN