BAHASA, PEMIKIRAN DAN SURVIVAL BANGSA MELAYU 
(Bahagian 1)


Bahasa, Pemikiran Dan Survival Bangsa Melayu (Bahagian 1)
Oleh Abdullah Hasan
 

PENDAHULUAN

Bangsa yang maju itu bukanlah perlu mempunyai sumber ekonomi yang lumayan. Bangsa yang maju itu adalah bangsa yang mempunyai kepustakaan besar dan pemikiran yang pelbagai dan kreatif. Pemikiran yang kreatif itu mencipta idea kreatif  bagi mendapatkan dan mengolah sumber bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat penuturnya. Negara-negara kecil seperti Belanda, Belgium, Norway, Sweden, Denmark, Switzerland, Taiwan dan Hong Kong mempunyai bilangan rakyat yang kecil berbanding dengan India, Pakistan, Bangladesh, Mexico dan negara-negara lain. Malah India mempunyai lebih banyak ahli sains berbanding dengan negara-negara kecil tadi. India, Pakistan dan Bangladesh tidak mempunyai kepustakaan dan pemikiran sendiri. Tidak ada kepustakaan ilmu yang besar dalam bahasa sendiri seperti dalam bahasa negara kecil itu. Rakyatnya belajar melalui bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, tidak perlu membina kepustakaan dalam bahasa sendiri. Apabila mereka mencipta ilmu, mereka akan menuliskannya dalam bahasa Inggeris, mereka juga menyumbang kepada kepustakaan Inggeris. Kepustakaan dalam bahasanya sendiri tinggal dalam kemiskinan.

Ada hubungan rapat antara bahasa dan pemikiran sesuatu bangsa. Hubungan ini bertambah signifikan apabila kita melihat ada bukti menunjukkan perkaitan antara bahasa pengantar pendidikan dengan pembinaan pemikiran kreatif sesuatu bangsa. Isu yang dinyatakan di atas tadi, perlu diberi perhatian, demi membina pemikiran Melayu supaya dapat menyaingi pemikiran bangsa lain yang mengongsi wilayah ekonomi pinggiran Asia Pasifik ini.

PENDIDIKAN UNTUK MEMBANGUNKAN EKONOMI

Ada perkaitan antara tahap dan pemerataan pendidikan dengan tahap perkembangan ekonomi negara. Perkembangan ekonomi negara berkembang pesat, setelah sebahagian besar rakyat menerima pendidikan, terutama pendidikan tinggi. Fenomena ini dapat berlaku dengan adanya dasar pendidikan yang membolehkan pendidikan sampai kepada rakyat umum. Strategi yang membolehkan pendidikan sampai kepada rakyat yang dahulunya tidak disentuh oleh pendidikan di Indonesia dan Malaysia, ialah menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan pendidikan dari sekolah rendah hingga ke universiti. Dasar ini telah melahirkan jumlah rakyat yang menerima pendidikan tinggi dari  kalangan rakyat yang dahulunya terhalang daripada menerima pendidikan kerana pendidikan menengah dan tinggi hanya disampaikan dalam bahasa Belanda dan Inggeris. Rakyat yang berilmu inilah yang membangunkan ekonomi negara. Di samping itu, rakyat yang terdidik melalui bahasa Indonesia dan Melayu ini telah lebih memahami antara satu sama lain menimbulkan rakyat yang hidup aman, manakala rakan-rakan kita yang menyampaikan pendidikan melalui bahasa bekas penjajah, masih mengalami pergolakan ekonomi dan politik.

Bukti perkaitan pendidikan dengan ekonomi negara, dapat dilihat di negara-negara lain seperti Korea, Jepun, Taiwan, dan Thailand. Tetapi bukti yang nyata ialah yang dihasilkan oleh United States Census Bureau for the Department of Education pada tahun 1995. Kajian ini dilakukan dengan menemuduga pekerja di 3000 syarikat perniagaan. Hasilnya menunjukkan bahawa peningkatan taraf pendidikan pekerja menghasilkan dua kali ganda keuntungan dalam pekerjaan mereka daripada peningkatan alat dan mesin yang bernilai lebih kurang sama. Ini ditunjukkan dengan kadar bahawa peningkatan 10 peratus dalam pencapaian pendidikan menyebabkan lebih 8 peratus pertambahan produktiviti. Manakala, 10 peratus peningkatan alat dan mesin hanya menghasilkan 3 peratus peningkatan produktiviti.

Pendidikan merupakan satu-satunya cara untuk menjamin peningkatan kekayaan ekonomi, memberi pendidikan, perumahan, kesihatan, dan kesejahteraan kepada rakyat. Ini bermakna, pendidikan merupakan faktor penentu dalam membina kekayaan ekonomi bagi menjamin kualiti dalam kehidupan. Untuk membolehkan pendidikan sampai kepada rakyat, faktor bahasa penyampai adalah kritikal. Hal tersebut berlaku berdasarkan dua pertimbangan:

(i) Pertama, bahasa yang digunakan untuk menyampaikan pendidikan itu ialah bahasa rakyat terbanyak demi menjamin pemerataan pendidikan. Sebarang bahasa asing akan hanya dimengerti oleh sekumpulan elit sahaja.
(ii) Kedua, bahasa penyampai pendidikan itu dapat meningkatkan atau menghalang kreativiti pemikiran rakyat.

Pendidikan melalui bahasa peribumi dapat mengekalkan keaslian pemikiran kreatif, manakala bahasa asing akan hanya melahirkan pemikiran tertawan yang menjadi budaya pinggiran kepada budaya bahasa pinjaman itu, dan hilang ciri kreativiti asli.

BAHASA MELAYU MENGEKALKAN KEASLIAN PEMIKIRAN

Apabila bahasa Melayu digunakan untuk menyampaikan pendidikan, hal tersebut akan meruntuhkan kepungan bahasa yang mengongkong ilmu dan mengisi pemikiran Melayu itu dengan ilmu yang bebas daripada budaya pemikiran bahasa pinjaman tersebut. Bahasa pinjaman akan membina pemikiran yang akan berkiblat kepada bahasa itu. Keaslian pemikiran Melayunya pun mungkin hilang. Sepandai-pandai orang Melayu yang belajar melalui bahasa pinjaman itu tidak akan mampu membina pemikiran seasli penutur kandung bahasa itu. Golongan masyarakat yang dididik melalui bahasa pinjaman akan membina pemikiran pinggiran kepada pemikiran masyarakat bahasa pinjaman itu. Pemikiran pinggiran ini juga menjadi pinggiran kepada pemikiran bangsanya sendiri. Pemikiran demikian juga akan mencurigai pemikiran bangsanya sendiri. Pemikiran pinggiran ini akan kehilangan keaslian dan kreativitinya.

Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan didapati bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa peribumi sebagai bahasa pengantar pendidikan dapat mengekalkan keaslian dan kreativiti pemikirannya. Negara Jepun menerima pendidikan Barat. Jepun meniru Barat tetapi Jepun masih Jepun. Dari segi budaya, Jepun masih Jepun. Pentadbirannya, perdagangannya, sains dan teknologinya antara yang terbaik di dunia. Keaslian pemikirannya jelas. Orang Jepun mungkin bercelana dan berkemeja, tetapi mereka tetap Jepun. Para remajanya seperti remaja Barat juga, memakai celana jean, tetapi kenakalan remaja seperti di Barat hampir tidak ada. Inilah jati diri Jepun. Hal tersebut timbul daripada keaslian pemikirannya yang dikekalkan melalui pendidikan dalam bahasa ibundanya.

KEBEBASAN BELAJAR DAN MEMBINA PEMIKIRAN PERIBUMI

Bagaimanakah pemimpin Jepun membina generasi moden yang berpemikiran Jepun asli? Pemimpin Jepun yang memulakan pembaharuan pada Zaman Meiji, Yukichi Fuzukawa berkata, Jepun hendaklah belajar daripada Barat untuk maju. Count Omare pula berkata Jepun mesti kekal Jepun untuk Jepun, dalam laporannya tentang pendidikan dalam buku Japan by Japanese. Jepun mahu belajar dari Barat, tetapi mahu mengekalkan kebebasan belajar ilmu pengetahuan. Bebas menurut kerangka pemikiran Jepun. Dengan demikian, Jepun mengekalkan keaslian pemikiran mereka.

Untuk menyampaikan ilmu kepada rakyatnya, Meiji memilih bahasa yang paling luas digunakan. Jepun mempunyai empat peringkat bahasa: Bahasa diraja, bahasa samurai, bahasa pedagang, dan bahasa petani dan wanita. Meiji memilih bahasa petani dan wanita untuk menyampaikan ilmu, sebab bahasa itulah yang paling luas penyebarannya. Dari segi bahasa pengantar pula, mereka menggunakan bahasa Jepun yang dituturkan oleh petani dan wanita iaitu bahasa yang paling rendah. Sistem ejaannya pun tidak wujud. Ejaan Hiragana dan Katakana dibentuk, satu untuk perkataan Jepun dan satu lagi untuk perkataan pinjaman. Huruf kanji (Cina) masih dikekalkan. Apabila timbul masalah sebutan, Jepun memutuskan supaya sebutan menurut sebutan penutur bahasa petani dan wanita itu digunakan. Oleh sebab itu, tidak timbul kesukaran belajar dan menggunakan bahasa Jepun dalam bidang ilmu.

Pada hari ini, dapat dilihat bagaimana Jepun telah menyerap pendidikan Barat sepenuhnya, tetapi keaslian pemikirannya masih kekal. Dengan berbuat demikian, kreativitinya meningkat. Mereka menyerap ilmu Barat tetapi berhasil mencipta barangan Jepun, televisyen Jepun, kamera Jepun, kereta Jepun, jam Jepun, dan lain-lain lagi. Mereka menjadi kreatif kerana tidak terkongkong dalam pemikiran budaya lain. Pemikiran Jepun menjadi dominan. Pemikiran Jepun dapat menggunakan ilmu sains untuk membina barangan yang diperlukan. Misalnya, Jepun membina periuk nasi automatik. Jepun membina traktor kecil untuk sawahnya dan banyak lagi. Bangsa Asia lain yang memakan nasi misalnya India, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka. Oleh sebab mereka tidak menerima pendidikan dalam bahasa ibundanya, kreativiti pemikiran mereka tidak timbul walaupun negara-negara ini mempunyai banyak ilmuwan yang bijak-bijak. Barangan yang dicipta oleh Jepun itu tidak pun menggunakan ilmu dan teknologi tinggi. Orang Jepun belajar ilmu dengan bebas, tidak mengikut kerangka pemikiran bahasa pinjaman. Dengan itu mereka mengekalkan keaslian dan kreativiti pemikirannya.

Inilah keaslian pemikiran yang dapat dibina di Indonesia dan Malaysia yang telah mencipta pemikiran Melayu yang kreatif. Berdasarkan pemikiran Melayu yang kreatif, terciptalah barangan seperti Ramly Burger, Proton, Mustika Ratu, rokok kretek, dan berbagai-bagai ubatan tradisional. Thailand juga menyampaikan pendidikannya dalam bahasa ibunda, dan pemikiran orang Thai kekal asli dan kreatif. Begitu juga Korea, China, Taiwan, dan Hong Kong. Malah seluruh pinggiran Asia Pasifik adalah kawasan yang giat membangun ekonominya. Inilah juga kawasan yang menggunakan bahasa peribumi dalam pendidikan. Negara-negara yang menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan, tidak dapat menyaingi kepesatan ekonomi bangsa-bangsa yang menggunakan pemikiran aslinya. Hubungan antara pendidikan yang disampaikan melalui bahasa peribumi dengan kejayaan ekonomi adalah suatu bukti yang nyata.

MEMBINA ILMU DAN MENGIMPORT ILMU

Kekuatan pemikiran sesuatu bangsa ditentukan oleh sebesar mana ilmu dan teknologi yang ada di dalam bahasa tersebut. Sebesar mana kepustakaan yang ada dalam bahasa tersebut, dalam hal ini, pemikiran Melayu itu mempunyai wilayah yang melampaui sempadan politik negara-negara dan daerah orang Melayu yang merangkumi pemikiran seluruh manusia yang menuturkan bahasa Melayu. Sebarang ilmu yang tercipta dalam bangsa itu akan membantu membina pemikiran penuturan bahasa itu. Dalam hal ini mesti juga terbuka kepada ilmu dari luar. Di sinilah letaknya kepentingan bahasa asing untuk mengimport ilmu dan teknologi. Ilmu boleh diimport melalui sebarang bahasa, tetapi ilmu dan teknologi yang diimport itu hendaklah disebarkan kepada rakyat melalui bahasa ibundanya sendiri iaitu bahasa Melayu. Inilah yang berjaya dilakukan oleh Jepun, Korea, China, Thailand, Indonesia, termasuk Malaysia. Sebaliknya, Filipina, India, Ghana, Nigeria mempunyai banyak ilmuwan yang mampu mengimport ilmu melalui bahasa pinjaman. Begitu juga dengan negara-negara Amerika Latin. Tetapi, ilmu itu terkepung dalam bahasa pinjaman dan ilmuwan itu sahaja. Ilmu tidak dapat disampaikan kepada rakyat umum. Akibatnya, negara tersebut tidak dapat membangun, walaupun ada banyak ilmuwan yang bijak. Bahasa pinjaman yang mereka gunakan tidak difahami oleh rakyat. Oleh yang demikian, penguasaan sebanyak mungkin bahasa asing perlu untuk tujuan berkomunikasi dan mengimport ilmu.

Telah dikatakan bahawa bahasa pinjaman akan mengepung ilmu. Ini bermakna, beberapa langkah tertentu perlu difikirkan untuk mengimport ilmu itu ke dalam bahasa Melayu demi mengisi pemikiran Melayu dengan ilmu. Dalam hal, ini dua langkah dapat dilakukan:

(i) para ilmuwan menterjemah atau mengadaptasi ilmu yang terkandung dalam bahasa-bahasa lain;
(ii) para ilmuwan menuliskan ilmu yang mereka cipta di dalam buku.

Ini bermakna, kita perlu serius meningkatkan industri perbukuan, sama ada dalam bentuk buku tradisional atau elektronik. Langkah-langkah untuk mewujudkan prasarana industri perbukuan iaitu: kemahiran mengarang, menyunting, membuat grafik, membuat filem, mencetak dan menjilid hendaklah dijalankan.

Akan bersambung ke Bahagian 2: Bahasa Mengekalkan Dan Menyatukan Budaya

Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 18.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN