.... Jembalang Malang Dingin Semalaman...
Oleh: Tupai Rambo

Ipoh kembali menjadi tumpuan minggu ini. Minggu lepas Madey berkunjung menemui ketua-ketua darjah seluruh Malaysia. Beliau juga mengistiharkan bendera yang berukuran 177m x 108m dengan berat 3 tan sebagai bendera terbesar di dunia. Dan bendera itu mahu dipamer lihat kepada dunia pada 31 Ogos ini. 
 
Serentak dengan itu juga pelbagai persiapan dilakukan berhari-hari untuk memastikan bendera tersebut mampu dinaikkan pada 29 Ogos 2001 dengan disaksikan sendiri oleh guru dan pelajar yang mengusahakan jahitan bendera itu. Besi-besi tangga membina bangunan tersusun kemas di padang MBI. Bermula dari rendah hinggalah setinggi 20m. Memang kalau diletakkan bendera tersebut dia atasnya ... mungkin indah mata melihat .. melihat jalur-jalur jembalang megah menghina seluruh Ipoh.
 
Sejak awal 8.00 pagi, 29 Ogos 2001 kelihatan telah bersedia pekerja-pekerja majlis bandaraya dengan dibantu tengok oleh pelajar dan guru SMK. Seri Ampang untuk menyaksikan saat terindah ... menaikkan bendera dengan penuh megah ... dengan penuh gegak gempita seluruh negeri.
 
Bendera diturun dari lori dengan penuh sopan santun, padang dialas dengan plastik biru melintang padang supaya bendera tidak kotor. Amat berhati-hati kerja mereka. Setengah jam kemudian, bendera siap terhampar berbaring di padang beralaskan plastik biru. Pekerja dijamu air mineral sebotol seorang. Tepukan pelajar dan guru berjaya mengimbangi kebisingan kenderaan yang lalu lalang kerana bendera telah selamat turun dari lori.
 
10.00 pagi. Bendera masih di situ. Pekerja memandang ke atas melihat susunan besi-besi yang mencacak hebat. Masing-masing dengan idea tersendiri bagaimana mahu menaikkan bendera seberat 3 tan itu. Tiada seorang individupun yang dilihat menonjol kehadapan untuk memberi buah fikiran utama bagaimana mahu menaikkan bendera tersebut, sedangkan semasa turun dari lori tadi ramai yang memberi arahan itu dan ini. Terdengar dari satu kelompok pekerja ... "kerja gila".
 
Orang ramai singgah mahu melihat peristiwa bersejarah. Menanti dengan sabar bagaimana bendera itu mahu dinaikkan. Pekerja majlis masih setia mundar mandir memegang tepi bendera, seolah-olah bersedia bila-bila masa untuk menaikkannya. Terdengar lagi suara ... " Sampai tiga pagi esokpun tak tentu naik bendera ni". 
 
11.00 pagi. Suasana sama seperti sebelumnya. Orang-ramai yang menonton dari luar silih bertukar ganti. Pelajar dan guru mulai resah di padang. Pekerja majlis mula menyumpah seranah kepada mereka yang menjahit bendera ini. Terpaksa para guru dan pelajar yang ada di padang menebalkan telinga mendengarnya. 
 
5.30 petang. Waktu orang ramai balik dari kerja. Singgah menonton peristiwa indah. Kelihatan juga beberapa buah V6 hitam Exco Perak berada di situ. Tetapi keadaan masih sama seperti pagi tadi. Tiada sebarang perubahan. Kalau ada perubahanpun, pakaian pelajar telah bertukar dari berpakaian lengkap uniform sekolah kepada pakaian sukan. Penuh bergaya mereka. Gembira kerana hari ini sehari tak belajar.
 
Bendera telah basah kerana hujan telah turun pukul 3.00 petang tadi. Entah berapa tan  beratnya kali ini. Pekerja majlis masih setia di sisi bendera, memandang ke atas tanpa bosan walaupun sememangnya telah lama bosan dan terkilan. Besi tetap besi ... bendera tetap kain ... memang ada jembalang bendera ini ... berat sangat ... berat dosa.
 
8.30 malam. Bendera yang dilayan sopan pagi tadi dibiarkan tersadai di padang MBI tanpa ditutup dengan sebarang plastik. Cahaya lampu yang menerangi padang  telah memudahkan ibu bapa membawa anak-anak untuk menikmati betapa syahdunya berada di sisi bendera terbesar di dunia. Anak-anak memijak gembira. Alamat kotorlah bendera tersebut. Pijak dengan kasut. Kasut yang telah memijak permukaan padang yang basah. Pekerja majlis telah pulang ke rumah .. pulang dengan keluhan menyumpah ... "siol ko Madey".
 
Bendera ooo bendera, 
jembalang tanah gelaranmu kali ini,
malam ini kau didera,
bersantai di padang diulit sepi.
 
 
Tupai Rambo
29 Ogos 2001

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!