 |
.... |
APA
KHABAR 6 WIRA RAKYAT DI KAMUNTING? (2)
Oleh:
Siti Muslihat |
Selamat bertemu lagi.
Kali ini saya menulis lagi sebab ada beberapa perkara lagi yang perlu diceritakan
berhubung keadaan 6 wira rakyat di Kem Kamunting (Kem). Buat makluman
rakyat yang cintakan keadilan, 6 wira rakyat ini ditahan di bawah akta
yang zalim dan sepatutnya tidak wujud lagi di zaman yang bertamadun ini.
Namun atas dasar ketakutan pihak pemerintah, ISA digunakan untuk menangkap
mana-mana individu yang mereka jangka boleh memudaratkan keselamatan kerjaya
politik mereka.
Semasa penahanan, alasan yang diberikan
ialah kerana tahanan tersebut boleh memudaratkan keselamatan negara.
Namun daripada sesi soal siasat semasa di bawah tahanan polis, tidak ada
satupun yang disentuh tentang perkara tersebut. Bom, pelancar roket
dan sebagainya yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan dan sudah pasti
oleh surat-surat khabar nasional yang berada di bawah telunjuk kerajaan
tidak langsung disebut apatah lagi disiasat semasa sesi soal-siasat berlangsung.
Salah seorang tapol berkata, kalau betul mereka dituduh ada memiliki senjata-senjata
tersebut dan kerajaan ada bukti (kununnya), bawa mereka ke mahkamah dan
adili di hadapan rakyat. Namun, oleh kerana alasan itu hanyalah untuk
mengelabui mata rakyat semata-mata, maka pastilah mereka tidak akan dibawa
ke mahkamah sehingga bila-bila. Mereka hanya nak menahan tapol ini
kerana sebenarnya mudarat yang dibawa itu adalah terhadap orang-orang tertentu
dalam kerajaan, bukannya mudarat untuk rakyat mahupun negara. Jadi
bagi menjaga pekung dan juga periuk nasi masing-masing, terpaksalah beberapa
orang dikorbankan atas kepentingan peribadi semata-mata.
Pada masa ini keadaan tapol di Kem
alhamdulillah “nampak” sihat sahaja. Cuma ada beberapa rungutan tentang
keguguran rambut, gatal-gatal dan seumpamanya. Seperti yang kita
sedia maklum, Ezam ditempatkan bersama Saari, Tian Chua bersama Hisham
dan Dr. Badrulamin bersama Lokman. Dom yang boleh manampung lebih
kurang 30 orang tahanan dalam keadaan biasa hanya diperuntukkan untuk dua
orang sahaja. Apa alasannya? Wallahu a’alam. Kita buatlah
spekulasi masing-masing tentang ketakutan yang menyerang pihak pemerintah
sekarang.
Di peringkat awal, dom yang menempatkan
dua daripada tapol ini terletak bersebelahan dengan dom tahanan lain (kumpulan
Al-Mau’nah dsb.). Namun selepas itu, tahanan lain tadi dipindahkan
pula ke dom yang lain yang agak jauh agar tidak ada interaksi yang berlaku
di antara mereka dan dua orang tapol ini. Mulanya mereka boleh menyanyi
lagu Negaraku dan berikrar bersama pada setiap pagi (walaupun terpisah
oleh dinding), tapi sekarang tidak lagi. Maka menyanyi dan berikrarlah
mereka berdua setiap pagi… Tidakkah penyiksaan batin namanya tu?
Bercakap pasal ikrar ni pula, pada hari pertama dalam ikrar itu ada dinyatakan
untuk menegakkan keadilan. Tengok-tengok pada hari kedua, perkataan
keadilan sudah hilang dari skrip ikrar mereka! Satu lagi keajaiban
yang boleh ditertawakan… Nampak sangat ketakutan mereka yang tak
berasas.
Saya bercerita ni bukanlah untuk marah
kepada para petugas (digelar “cikgu”) di Kem kerana saya pasti ini semua
di luar bidang kuasa mereka. Yang membuat polisi dan peraturan ini
ialah orang atasan seperti pengarah penjara (yang baru ditukarkan ke Kem
ini), orang-orang KDN dan orang-orang politik pastinya. Walau apapun,
inilah realitinya. Banyak peraturan baru yang dikenakan semata-mata
untuk menekan tapol dan keluarga mereka.
Baru-baru ini pertemuan Ezam dengan
Lembaga Rayuan telah ditunda. Sebabnya, wallahu a’alam. Pertemuan
dengan peguam mereka pula diasingkan bagi setiap tapol walaupun mereka
menggunakan peguam yang sama. Mereka berenam tak dibenarkan berjumpa
sekali gus bersama peguam mereka. Mereka terpaksa mengambil giliran
untuk berbincang dengan peguam. Jadi peguam tak dapat menjalankan
tugas dengan cepat kerana tak dapat berjumpa sekali gus dengan mereka walaupun
perkara yang nak dibincangkan adalah perkara yang sama. Dalam apa
usaha sekali pun, pihak Kem akan sentiasa ingin memastikan para tapol ini
tak dapat bersua muka. Mungkin takut mereka berbincang untuk menggulingkan
pengurusan Kem pulak kot…
Satu lagi kisah yang boleh saya ceritakan
di sini ialah sikap pengurusan Kem yang hipokrit menurut salah seorang
tapol berkenaan. Sebelum pihak Suhakam datang melawat tapol di Kem,
pihak pengurusan punyalah baik selalu datang dan bertanya khabar kepada
tapol. Mungkin untuk memberikan impresi bahawa tapol dilayan dengan
baik dan pegawai-pegawainya baik-baik belaka. Namun setelah lawatan
Suhakam, batang hidungpun tak nampak. Inikan pula nak bertanya khabar.
Apa muslihat di sebalik semua ni? Saya cuba membayangkan perasaan
tapol bila mendengar semua cerita ini dari keluarga tapol yang pergi melawat.
Saya hampir menitiskan air mata bila
mendengar kisah salah seorang emak mertua tapol yang pergi melawat.
Sebaik saja melangkah ke dalam bilik lawatan, emak mertua tapol berkenaan
terus mengalirkan air mata dan tak boleh berkata apa-apa sehingga tamat
masa lawatan kerana begitu sayu dan terharu melihat keadaan anak
menantunya yang diletakkan disebalik pagar dawai dalam bilik itu.
Dalam bilik tersebut tapol dan ahli keluarga dipisahkan oleh pagar dawai
yang tidak membenarkan mereka bergerak bebas dalam bilik. Apatah
lagi untuk anak-anak bebas turun-naik di pangkuan ayah masing-masing seperti
yang biasa mereka lakukan sebelum ayah ditahan. Seorang lagi ahli
keluarga tapol yang lain pulak tergamam bila berhadapan dengan suasana
begini kerana beliau tidak menyangka bahawa tapol tersebut dilayan sedemikian
rupa. Mereka bukannya banduan yang melakukan jenayah dan telah didapati
bersalah. Mereka adalah tahanan politik yang menjadi mangsa keadaan,
mangsa kezaliman pemerintah yang tidak boleh ditegur dan dibetulkan.
Apa peranan kita di sini? Sebagai
rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran, bangunlah dan sebarkan kebenaran
kepada rakyat. Sedarkan rakyat daripada mimpi mereka di siang hari.
Katakan kepada mereka pemerintah sekarang sudah tak relevan lagi dan ISA
mesti dimansuhkan! Bantulah Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan tambahkan
tekanan untuk pembebasan kesemua tapol.
Sekian. Wassalam.
Siti Muslihat (Pendamping keluarga
tapol).
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|