 |
.... |
APA
KHABAR 6 WIRA RAKYAT DI KAMUNTING?
Oleh:
Siti Muslihat |
Ezam, Tian Chua, Saari,
Dr. Badrulamin, Lokman dan Hisham sekarang ni sedang menjalani hukuman
dari Pak Lah Badawi untuk tinggal selama dua (?) tahun di Kamunting.
Apa kesalahan mereka? Hanya Pak Lah yang tahu sebab kalau betul mereka
bersalah dan ada bukti, kenapa tak dibawa ke mahkamah untuk diadili?
Telah lebih kurang dua bulan mereka di sana. Mungkin ada yang terfikir
apakah mereka sudah bebas. Saya mendapat maklumat dari isteri salah
seorang tahanan tersebut bahawa ada jemputan untuk berceramah untuk suaminya.
Si Penganjur ingat penceramah tersebut telah dilepaskan dari tuduhan di
bawah Akta ISA yang zalim itu.
Macam mana nak lepas? Sekarang
ni kerajaan dah semakin takut dengan pihak pembangkang. Tangkapan
demi tangkapan dibuat. Kezaliman demi kezaliman dilakukan.
Orang berceramah, dia takut. Orang berhimpun dia takut. Pendeknya
orang buat apa saja, mereka sudah menggeletar kepala lutut. Apa nak
jadi dengan negara demokrasi ini jika segala hak rakyat sudah mula ditarik
satu persatu?
Saya banyak mendapat maklumat dari
keluarga tahanan ISA-6. Cerita-cerita yang mereka sampaikan semasa
mengadakan lawatan kepada suami dan keluarga masing-masing amat menyakitkan
hati orang yang mendengarnya. Biar saya perincikan satu-persatu.
Tujuan saya bercerita ni bukanlah berniat nak menempelak sesiapa secara
peribadi. Tapi sekadar untuk memberikan gambaran dan bayangan bahawa
layanan yang diberikan kepada tahan ISA-6 ini memang lain dari yang lain
dan tak sama dengan tahanan ISA yang lain yang berada di Kem Kamunting.
Saya berharap dengan penceritaan sebegini, orang ramai akan tahu keadaan
mereka yang memang tidak mungkin diceritakan oleh pihak kerajaan kepada
rakyat Malaysia. Diharap juga ia akan memberikan lebih semangat kepada
rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran untuk terus memberikan tekanan
demi tekanan kepada pihak berwajib agar ISA dimansuhkan dan kesemua tahanan
politik (tapol) dibebaskan.
Di peringkat awal penahanan mereka
di Kem Kamunting (Kem), hak lawatan diberikan kepada semua ahli keluarga
yang telah disenaraikan oleh isteri atau keluarga berkenaan. Ini
termasuklah anak, isteri, ibu-bapa, mertua, adik-beradik, ipar-duai, anak
buah, pakcik-makcik, keluarga pupu… siapa saja yang ada pertalian darah
atau perkahwinan dengan tapol. Sememangnya ISA memperuntukkan bahawa
keluarga dibenarkan melawat tertakluk kepada peraturan yang mereka tetapkan
(dari segi masa, barang yang dibawa dan seumpamanya). Keluarga ni
siapa? Takkah seperti yang saya senaraikan di atas tadi? Masuk
minggu keempat, senarai keluarga ini telah dipendekkan oleh pengurusan
Kem. Yang dibenarkan melawat hanyalah anak isteri, ibu-bapa, mertua
dan adik-beradik. Yang lain-lain tu tak boleh! Maka kecewalah
mereka yang terdiri daripada kumpulan yang dinafikan hak melawat.
Mereka pun menunggulah di pondok yang disediakan sehingga keluarga terdekat
tadi selesai melawat. Itupun peraturan hanya menetapkan 45 minit
untuk setiap lawatan dan seminggu hanya dibenarkan sekali lawatan sahaja.
Peraturan baru ini pun berkuatkuasalah selama beberapa minggu. Mana-mana
ipar-duai dan anak-anak buah yang mengiring isteri dan anak-anak tapol
sebagai pemandu misalnya terpaksalah bersabar dengan keadaan ini dan menunggu
di pondok saja tanpa dapat berjumpa tapol seperti minggu-minggu yang terdahulu.
Kalau dapat bersabar, tak apa. Ada di antara ahli keluarga tapol
yang menangis di pondok kerana kecewa tak dapat berjumpa dengan tapol seperti
sebelumnya.
Selang beberapa minggu, ada lagi peraturan
baru. Isteri tapol dikejutkan lagi bila ipar-duai yang mengiring
mereka kali ini tidak pula dibenarkan menunggu di pondok yang disediakan
di kawasan Kem, tapi diarahkan untuk menunggu di luar pagar Kem.
Bayangkan dua jam menunggu di luar dan tak dapat berbuat apa-apa.
Macam mana boleh dua jam pula? Semasa isteri tapol sampai di pintu
utama, mereka diminta untuk mendaftarkan diri di pondok pengawal.
Kemudian nama-nama yang mendaftar itu akan diperiksa dengan bahagian rekod
di pejabat. Kalau nama tersebut tersenarai dalam senarai mereka,
selamat. Boleh masuk. Kalau tidak, minta maaf, kena tunggu
di luar. Kalau jadi pemandu, terpaksalah hantar isteri dan anak-anak
tapol ke dalam dan lepas tu keluar dan tunggu di luar kem.
Setibanya isteri dan anak-anak tapol
di dalam kem, mereka akan melapor kepada satu lagi pos kawalan dan nama-nama
mereka akan dipastikan sekali lagi. Lepas tu tunggulah dalam setengah
hingga satu jam, barulah dipanggil untuk masuk berjumpa tapol. Sebelum
masuk berjumpa, satu lagi pemeriksaan dilakukan iaitu untuk menapis barang-barang
yang dibawa. Buah-buahan dan bahan bacaan boleh dibawa dengan syarat
yang dikenakan. Makanan lain kalau nak bawa perlu dulu menulis surat
dan meminta kebenaran pengurusan. Kisah salah seorang tapol yang
meminta buah kurma dari isterinya amat menyedihkan saya. Semasa lawatan,
si tapol tersebut minta agar isterinya membawakan kurma kerana beliau sering
berpuasa dan seperti biasa hendak berbuka dengan buat kurma seperti yang
disunnahkan.
Pada minggu berikutnya, datanglah
si isteri membawakan kurma untuk suami yang tersayang kerana kurma tu masuk
dalam kategori buah, jadi sudah pasti boleh lepas semasa pemeriksaan.
Namun, jangkaan tersebut meleset dan buah kurma yang dipesan tidak dibenarkan
untuk dibawa masuk. Bayangkan kekesalan yang ada pada masa itu.
Sudahlah saudara-mara tak dibenarkan masuk, kurma juga tak dibenarkan.
Isteri-isteri tapol memang selalu
merungut dan mengadu (kadang-kadang boleh bertengkar dan bertekak!) kepada
pegawai yang bertugas pada masa itu, namun tidak ada jawapan positif yang
mereka terima. Masalahnya, segala peraturan telah diikuti, tapi peraturan
sentiasa diubah dan diperketatkan mengikut selera pihak pengurusan kem
seolah-olah ingin lebih menekan lagi perasaan tapol dan keluarga tapol
yang sememangnya sedia tertekan dengan penahanan tanpa bicara ini.
Yang jelas, peraturan yang dikenakan kepada tahanan ISA-6 ini berbeza dengan
peraturan yang dikenakan kepada tahanan lain. Mereka masih boleh
membawa ipar-duai masuk melawat, masih boleh menunggu di pondok yang disediakan
dalam kem. Tapi untuk tahanan ISA-6 lain pula peraturannya.
Alasan yang diberikan, kononnya takut nanti ada pula perhimpunan dalam
kem! Tak logik betul. Kalau dah memang begitu ramai ahli keluarga
tapol, nak buat macam mana? Terima sajalah. Bukan isteri-isteri
tersebut saja-saja nak pergi ke Kamunting yang lebih kurang 4 jam pemanduan
dari KL tu. Kalau tak bersebab, tak teringin mereka nak ke sana setiap
minggu. Namun pemergian mereka ke sana sering bertemu dengan kekecewaan.
Saya simpati dengan keadaan mereka. Dahlah perjalanan ke sana berjam-jam,
dapat jumpa hanya 45 minit, peraturan pulak sentiasa diubah-ubah, masing-masing
pulak ada anak kecil yang sentiasa merengek dan tidak selesa. Kalau
kurang kekuatan, boleh pengsan dan “black-out” isteri-isteri tersebut.
Namun saya yakin kesemua isteri, anak-anak dan ahli keluarga tapol tersebut
mempunyai kekuatan yang sukar nak diceritakan.
Semasa lawatan, mereka cuba mewujudkan
satu suasana yang seceria mungkin bersama suami dan ayah tersayang.
Apa lagi yang boleh mereka buat? Kuasa bukan pada tangan mereka.
Kuasa telah dipegang oleh mereka yang tidak berhati-perut dan buta kebenaran
seolah-olah orang yang mempunyai kuasa itu tidak mempunyai anak-anak dan
isteri yang juga akan terkapar-kapar setelah mereka nanti akan hilang kekuasaan.
Marilah kita doakan kesejahteraan dan kesabaran tapol dan ahli keluarga
masing-masing. Kita yang berada di luar ini, pastikan sentiasa memainkan
peranan semampu yang kita boleh dalam lingkungan yang kita ada. Sekecil
mana atau sebesar mana kita, peranan kita tetap ada. Ingatlah ini
adalah amanah Allah yang kita pegang dan ia akan dipersoalkan di akhirat
nanti di hadapan Allah Azza Wajalla.
Sekian. Wassalam.
Siti Muslihat (Pendamping keluarga
tapol).
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|