 |
.... |
Pilihanraya
Negeri Sarawak: Apa Peluang BA Sarawak?
Oleh:
Sham Abadi |
Dewan Undangan Negeri
Sarawak telahpun dibubarkan pagi tadi oleh Taib Mahmud. Pilihanraya negeri
Sarawak bakal berlangsung tidak berapa lama lagi.
Dengar cerita BN Sarawak telahpun
bersedia untuk menghadapi pilihan raya Negeri ini dengan senarai calon
mereka telahpun diserahkan kepada Mahathir untuk kelulusan. Kita juga percaya
BN Sarawak sememangnya telah bersiap siaga barulah Taib berani membubarkan
Dewan.
Dengan keadaan politik Sarawak yang
sedang bergolak sekarang ini kita percaya BA Sarawak mampu melakukan kejutan
dengan menumbangkan BN di Sarawak. Jika pendekatan secara bijak dilakukan
termasuk berusaha memujuk Kumpulan Abang Abu Bakar agar bekerjasama dengan
BA kerana sekiranya tiada kompromi yang pasti akan berlaku perpecahan undi
di pihak pembangkang. Hasilnya BN jugalah yang akan menang besar dan dengan
angkuh kembali memerintah Sarawak dengan meneruskan dasar penindasan yang
selama ini menjadi amalan mereka.
Penulis berpendapat bahawa sebenarnya
Kumpulan Abang Abu ini telah membawa missi MENYELAMATKAN BN Sarawak oleh
Mahathir dengan bertanding di 45 kawasan. Ini semata-mata untuk memecahkan
undi yang bakal diperolehi BA Sarawak, Baik keADILan, STAR mahupun PAS.
Laporan para SB menunjukkan BN menghadapi
laluan sukar di 46 kerusi di Sarawak kerana jumlah majoriti BN pada pilihanraya
Negeri 1996 dahulu menunjukkan BN hanya menang dengan majoriti kurang daripada
2000 undi di 26 kerusi. Manakala 19 kerusi lagi BN menang tanpa bertanding.
Ini bukanlah bermakna BN kuat di tempat tersebut tetapi lebih kepada keupayaan
BN membeli bakal calon Bebas daripada bertanding menentang BN. Tetapi kini
dengan kedatangan keADILan dan PAS ke Sarawak yang bakal berganding bahu
pula dengan STAR dan bekerjasama erat dengan DAP pula rakyat di Sarawak
telah diberi peluang memilih satu lagi kerajaan ALTERNATIF untuk menggantikan
BN Sarawak.
Dengan perkembangan politik terkini
dan isu-isu setempat yang banyak untuk dikemukakan kepada rakyat tentang
penyelewengan BN Sarawak ini kita percaya rakyat yang selama ini ditindas
oleh BN bakal bangkit menolak BN, sementelahan pula mereka telah ada pilihan
lain, BA Sarawak.
Jika dahulu dalam tahun 1987 berikutan
peristiwa Ming Court, rakyat Sarawak telah diberi peluang melakukan perubahan
oleh PBDS – Permas, yang menyahut cabaran tersebut hanyalah barisan pemimpin
dan Orang Iban sahaja. Tetapi tidak mendapat dokongan daripada Orang Melayu
dan Orang Cina. Akibatnya BN3 kekal berkuasa walaupun banyak kerusi yang
mereka tewas. Tetapi kini rakyat sekali lagi mendapat peluang untuk memberikan
BN ini pengajaran agar jangan menganggap sikap para pengundi ini ‘for granted’.
Tinjauan rambang mendapati rata-rata pengundi Melayu dan Cina telah bersedia
untuk berubah. Kawasan di mana Orang Melayu dan Orang Cina adalah majoriti
serta kawasan di mana gabungan Melayu – Cina mengatasi pengundi Iban adalah
melebihi 46 kawasan. Ini telah jelas menunjukkan sekiranya benar Under-Current
kebencian pada BN ini diterjemahkan ke bentuk undi BN Sarawak bakal menggigit
jari.
Hasil analisa yang dilakukan oleh
sahabat penulis yang telah turun sendiri ke Sarawak untuk meninjau peluang
dan harapan BA di Sarawak, adalah 26 kerusi di Sarawak BA punyai harapan
cerah jika mampu turn-over lebih kurang 1000 orang pengundi sahaja. Manakala
19 kerusi adalah untested ground, tetapi jika diambil-kira keputusan pilihanraya
Parlimen 1999, terdapat Under-Current rejection terhadap BN terutama
SUPP dan PBB iaitu dari masyarakat Cina dan Melayu. Jadi 19 kerusi yang
dimenangi oleh BN tanpa bertanding inilah bakal menjadi penentu kepada
siapa tampuk pemerintahan Negeri Sarawak ini bakal diserahkan .
Apa yang merisaukan adalah kewujudan
Kumpulan Abang Abu Bakar yang bakal bertanding di 45 kawasan sebagai calon
Bebas akan menyerahkan tampuk pemerintahan kerajaan Negeri Sarawak ini
kembali kepada BN.
Penulis berpendapat itulah sebenarnya
MISSI penting Abang Abu Bakar atas arahan Mahathir walaupun ianya dinafikan
untuk mengembalikan BN ke puncak kuasa dengan membuat penipuan terhadap
para pengundi yang percaya KAAB ini bertujuan menjatuhkan PBB tapi sebenarnya
untuk menyelamatkan BN.
Kepada para pengundi Sarawak, kita
mengucapkan selamat mengundi dan jangan lupa untuk mengundi Calon-calon
BA Sarawak ke arah Sarawak yang lebih ADIL.
Reformasi 3X……..Allahuakbar 3X…………
Reformis keADILan,
ShamAbadi - 03.09.2001
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|