 |
.... |
Guru
Pemangkin Gerakan Reformasi
Oleh:
Sham Abadi |
Tindakan Mahathir
dan kuncu-kuncunya menyerang kaum guru berterusan saolah-olah kaum guru
ini adalah musuh negara nombor wahid. Kaum guru ini adalah golongan
yang tidak tahu bersyukur, menggigit tangan yang menyuapkan nasi ke mulut.
Sedangkan satu ketika dahulu golongan inilah yang menaikkan Mahathir ke
tempat di mana dia berada sekarang.
Siapakah yang menyelamatkannya dan
BN dalam pemilu ke-8 pada tahun 1990 dahulu ? Bukankah golongan inilah
yang turun ke padang menerangkan kepada para pengundi terutamanya Orang
Melayu tentang natijah yang bakal diharungi oleh orang Melayu sekiranya
Gagasan Rakyat di bawah kepimpinan PMS 46, DAP, PBS, IPF dan PRM memenangi
pemilu ke 8 dahulu ?
Keistimewaan Melayu bakal terhakis
kononnya sekiranya kerajaan BN tumbang. Mahathir jadi gelabah apabila PBS
bertindak keluar dari BN dan bergabung dengan Gagasan Rakyat (GR). Rakyat
telah bersedia untuk melakukan perubahan ketika itu, laporan para SB pula
menunjukkan BN bakal tewas lebih daripada 100 kerusi parlimen termasuklah
45 kerusi di Sabah dan Sarawak. BN 3 dan PBDS di Sarawak telah bersedia
untuk mengalihkan sokongan kepada Gagasan Rakyat sekiranya Gagasan Rakyat
mampu memenangi lebih daripada 60 kerusi di Semenanjung. MCA dan GERAKAN
langsung tidak berani mengeluarkan kenyataan untuk sama-sama menjadi pembangkang
bersama Umno sekiranya BN tumbang. Hanya Samy Vellu dan MIC sahaja yang
sanggup menjadi pembangkang bersama-sama Umno. Sementelah MIC hanya bertanding
di 7 kerusi parlimen sahaja.
Analisa menunjukkan bahawa orang Cina
dan India telah sepakat untuk memberikan undi kepada Gagasan Rakyat dan
Angkatan Perpaduan Ummah ( APU ). Di UPU majoriti orang Cina dan India
BN kalah teruk. Cuma yang menyelamatkan Umno dan BN ketika itu adalah undi
orang Melayu yang telah dapat menghidu peralihan sokongan orang Cina dan
India tersebut dan orang Melayu telah mengambil keputusan untuk memenangkan
BN dengan menolak GR dan APU. Cuma di Kelantan sahaja APU menyapu bersih
semua kerusi Parlimen dan DUN. Manakala di Terengganu APU gagal kerana
orang Melayu di Terengganu memihak kepada BN.
Soalnya di sini siapakah yang memainkan
peranan meniupkan kesedaran kepada orang Melayu ketika itu ? Inilah sumbangan
kaum guru yang turun ke padang di serata ceruk kampung meniupkan semangat
tersebut bagi menyelamatkan BN.
Sammy Vellu menang di Sg. Siput kerana
undi orang Melayu. Lee Kim Sai menang di Ulu Langat kerana sokongan padu
orang Melayu. Walaupun hati orang Melayu begitu terhiris dengan isu Melayu
bukan Pribumi Malaysia yang menjadi antara punca Operasi Lalang . Orang
Melayu terpaksa menolak Datuk Harun Idris yang banyak berjasa kepada Orang
Melayu dan memenangkan Ong Tee Kiat semata-mata kerana takut akan kekalahan
BN. Walaupun hati kecil mereka menangis kerana terpaksa menolak Datuk
Harun Idris Wira Bangsa Melayu. Orang Melayu Selangor terpaksa menerima
Ekstrimis Cina dan menolak Wira Melayu semata-mata kerana Umno. Kaum gurulah
yang memainkan peranan besar meniupkan kesedaran itu.
Bak kata pepatah Melayu 'Habis Manis
Sepah Dibuang', apakah ganjaran yang diperolehi oleh kaum guru ini ? Nasib
kaum guru masih tidak terbela, gaji adalah yang terkecil di kalangan kakitangan
kerajaan dalam kategori Pengurusan dan Profesional. Tidak setimpal dengan
apa mereka lakukan.
Tetapi kini kaum guru telah rata-rata
menolak kepimpinan BN dan telah bersedia untuk memberikan sokongan padu
kepada BA. Pemilu ke-10, 1999 yang lalu telah memperlihatkan trend
tersebut. Di setengah sekolah, hampir 90 % kaum guru terang – terang menunjukkan
penentangan mereka. Walaupun tidak membawa persoalan politik mereka ke
dalam bilik darjah. Mereka mengajar seperti biasa. Para pelajar masih
lagi disemaikan semangat cintakan negara. Sebab itu adalah tanggungjawab
mereka. Tetapi di dalam hati mereka siapa tahu?
Menyedari akan hakikat inilah Mahathir
telah meletakkan orang kepercayaannya Aziz Samsudin dalam Kementerian Pendidikan
dengan missi untuk meneutralisekan penentangan kaum guru ini.
Maka ugutan demi ugutan dikenakan
ke atas guru. Guru agama diarahkan untuk menghadiri program dan kursus
motivasi dan para penceramahnya didatangkan khas dari Biro Tatanegara untuk
meng'turn over' para Ustaz dan Ustazah ini. Bila ini masih lagi tidak mendatangkan
hasil, para guru diarahkan pula menandatangani surat ‘akujanji’ berkelakuan
baik. Saolah–olah guru–guru ini buruk sangat pekerti mereka . Sedangkan
kita semua tahu yang buruk perangai dan pekerti mereka adalah para pemimpin
Umno.
Pihak media massa juga memainkan peranan
menyerang habis–habisan kaum guru, pantang ada silap sedikit pasti akan
dijadikan berita sensasi . Semata–mata untuk membentuk minda masyarakat
untuk membenci guru . Namun percayalah semua itu tidak akan mengembalikan
sokongan guru kepada BN malah akan tambah menjarakkan lagi kaum guru daripada
Umno dan BN. Kesetiaan Guru Terhadap Raja dan Negara tak perlu dipertikaikan
cuma apa yang terjadi adalah penolakkan guru terhadap Umno dan BN.
Kaum guru adalah golongan yang amat
prihatin kepada isu-isu semasa dan akan melihat sesuatu isu itu dari sudut
keadilan sejagat. Selagi keadilan tidak ditegakkan di bumi bertuah ini,
selagi DS Anwar Ibrahim tidak diadili seadil-adilnya, selagi kezaliman
BN ke atas kerajaan Terengganu dan Kelantan tidak dihentikan dan selagi
pembohongan BN yang memfitnah sesiapa sahaja yang menentang mereka tidak
dihentikan dan bermacam – macam lagi kemungkaran dan penyelewengan tidak
dihentikan dan diperbetulkan oleh BN selagi itulah kaum guru ini akan menentang
Umno dan BN.
Kita tahu Umno dan BN tidak mampu
melakukan apa yang dituntut oleh kaum guru ini kerana mereka sebenarnya
telah ditutup mata, hati dan akal mereka daripada menegakkan kebenaran
oleh Allah Subhanahuwataala. Lantaran menurut hawa nafsu dan tamak haloba
mereka, mereka bakal dihukum dalam pemilu ke-11 nanti. InsyaAllah dan kaum
gurulah yang kita harapkan bakal memainkan peranan meniupkan kesedaran
kepada rakyat tentang segala kemungkaran dan penyelewengan yang dilakukan
oleh BN sebagaimana yang mereka lakukan dalam pemilu ke-8, 1990 yang lalu.
Memang cabaran dan cubaan serta penindasan
yang tak terduga bakal dikenakan kepada anda semua wahai cikgu–cikgu sekelian.
Tetapi percayalah jika kaum guru di zaman penjajahan dahulu boleh melakukannya,
maka kaum guru yang ada pada hari ini juga mampu melaksanakan Reformasi
ke Arah Menjatuhkan Kezaliman BN dan menegakkan keADILan di bumi Malaysia
ini. Wassalam.
Reformasi 3X……..Allahuakbar 3X…………
Reformis keADILan,
ShamAbadi - 01.09.2001
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|