.... Guru dan Politik Malaysia
Oleh: Sham Abadi

Guru dan warga pendidik lainnya adalah satu professyen yang begitu sinonim dengan politik Malaysia satu ketika dahulu. Di mana-mana sahaja ceruk rantau dalam Malaysia ini aktiviti-aktiviti politik Umno baik diperingkat cawangan maupun bahagian adalah digerakkan oleh kaum guru ini terutama guru bukan-siswazah yang berada dalam kumpulan sokongan perkhidmatan kerajaan yang antara golongan yang dibenarkan bergiat cergas dalam politik oleh kerajaan.

Kebanyakan jawatan–jawatan penting dalam Umno, terutamanya jawatan setiausaha dan ahli jawatan kuasa baik dewasa, wanita maupun pemudanya adalah terdiri daripada kaum guru ini. Bagi persatuan-persatuan belia , persatuan penduduk dan NGO yang lainnya juga jawatan setiausaha juga adalah terdiri daripada guru. Ini adalah kerana guru ini mendapat kepercayaan di kalangan masyarakat dan diiktiraf sebagai tenaga penggerak utama dalam mana–mana persatuan kerana mereka ini telah mendapat latihan untuk berpersatuan semasa menjalani latihan sebagai guru pelatih dahulu. Maka ilmu tersebut dipergunakan untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat tempat mereka bertugas.

Di era pra-kemerdekaan, kaum guru inilah yang berperanan menimbulkan semangat patriotisma di kalangan masyarakat Melayu terutamanya. Nama – nama seperti Tun Ghaffar Baba, Datuk Megat Junid dan ramai lagi adalah contoh guru yang terbabit dalam politik Umno di peringkat tertinggi. Malah Datuk Seri Anwar Ibrahim juga boleh dikatakan adalah dari kalangan masyarakat guru juga kerana beliau pernah menjadi Pengetua Yayasan Anda, sebuah sekolah swasta yang diasaskannya sendiri.

Jasa kaum guru kepada Umno tiada ternilai besarnya dalam menggerakkan aktiviti Umno itu sendiri terutamanya di peringkat akar umbi. Apakah ganjaran yang didapati oleh kaum guru ini ? Tiada !!!!!. Mereka adalah insan yang bak lilin membakar diri untuk menerangi orang lain baik para pelajarnya, masyarakatnya maupun persatuan yang dianggotainya. Malah kemenangan Datuk Musa Hitam menentang Tenku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan Timbalan Presiden Umno 1981 yang lalu juga adalah kerana sokongan padu kaum guru yang menjadi majoriti perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno yang mana Musa pada ketika itu adalah Menteri Pelajaran. Begitulah besarnya peranan dan pengaruh guru dalam menentukan hiraki kepimpinan Umno satu ketika dulu.

Tetapi kini fenomena itu hanyalah merupakan sejarah sahaja. Kepimpinan Umno kini telah dikuasai oleh para peguam, doktor, pentadbir dan tokoh–tokoh koperat (keparat?) yang mana nilai menghargai jasa kawan dan pejuang terdahulu telah dikesampingkan. Maka sedikit demi sedikit peranan kaum guru ini telah dipinggirkan. Golongan yang mengambil-alih kepimpinan Umno ini hanya pandai mengarahkan sahaja tetapi tidak turun ke padang bagi sama-sama meredah dan berusaha menjayakan sesuatu program. Mereka hanya pandai menswastakan sahaja sesuatu program itu untuk dikendalikan oleh para juak dengan menaburkan wang ringgit agar program itu berjaya. Natijahnya hubungan mereka dengan golongan akar umbi menjadi semakin renggang dan apa jua komunikasi yang wujud antara mereka dan akar umbi hanyalah melalui para juak ini yang akhirnya mereka gelarkan sebagai kroni. Maklumat tentang akar umbi ini hanya mereka perolehi dari kroni sahaja dan sudah pastilah para kroni ini akan menceritakan yang muluk–muluk sahaja ke telinga Boss. Sebarang perasaan tidak puas hati akar umbi ini akan disorok oleh kroni tadi jauh-jauh dari pengetahuan sang Boss itu. Apabila sang Boss bertanya akan khabar ahli di peringkat akar umbi maka jawapannya ….. semua ok Datuk, beres YB, Bisa diurus Tan Sri…..tiada masalah Datuk Sri… apabila tiba pilihanraya para kroni inilah yang diberi kepercayaan oleh sang Boss tadi untuk mengagihkan peruntukan kepada para petugas, tetapi peratus yang benar-benar sampai ke tangan petugas mungkin tinggal 30% sahaja daripada jumlah peruntukan sebenarnya. Baki 70 % itu disonglap oleh para juak tadi yang hanya jadi broker sahaja. Itulah bahananya apabila kuasa berada di tangan mereka yang tidak layak memilikinya. Orang yang tidak amanah. Bila pengundian dijalankan, keputusannya sang Boss tadi pengsan kerana tidak dapat menerima hakikat dia ditolak oleh pengundi yang dahulunya berbondong–bondong memberikan undi kepadanya.

Tetapi kini apabila tercetusnya Gerakan Reformasi gara-gara tindakan Mahathir cuba membunuh karier politik DS Anwar dengan merobek–robekkan institusi kerajaan yang terlibat dengan konspirasi jahatnya itu, golongan guru yang sekian lama terpinggir itu kembali bangun dan bersama-sama dengan rakyat marhaen menentang parti yang memerintah Malaysia pada hari ini, iaitu Umno/BN.

Ini adalah kerana kaum guru adalah golongan yang prihatin terhadap perkembangan semasa dan menjadi tempat rujukan masyarakat setempat tentang sesuatu isu. Mereka melihat sesuatu isu itu dari perspektif keadilan sejagat, tanpa mengambil-kira kepentingan mana–mana pihak. Maka sudah pastilah majoriti kaum guru ini, dianggarkan melebihi 85% memihak kepada BA kerana ketidak-adilan yang dilakukan oleh BN tidak dapat mereka terima.

Melihat akan trend ini, Mahathir dan para juaknya mula menyerang golongan ini. Bermula dengan arahan daripada Aziz Shamsuddin agar semua guru menandatangani surat akujanji berkelakuan baik yang mana telah ditolak oleh semua kesatuan guru seluruh Malaysia. Pada hari yang sama The Star melaporkan akan penolakkan guru itu, Utusan Meloya pula melaporkan gejala seks berleluasa di Sekolah–sekolah. Serangan demi serangan yang ditujukan oleh mereka terhadap guru ini sedikitpun tidak menjejaskan semangat guru ini untuk terus menentang mereka, malah kaum guru semakin meluat dan penentangan terhadapUmno/BN semakin menjadi-jadi.

Tidak ada jalan penyelesaian terhadap kemelut politik ini melainkan Umno / BN diNyahkan dari puncak persada politik tanahair kita ini dan BA ditabalkan menjadi pemerintah yang baru.

Reformasi 3X……..Allahuakbar 3X…………

Reformis keADILan,
ShamAbadi - 29.08.2001

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!