 |
.... |
Apabila
Agama Mengikut Akal Dangkal Manusia
Oleh:
Pendakwah Anak Sabah |
Dunia sudah hampir kiamat.
Sampai ada orang dengan ilmu dan akalnya yang dangkal mahu melaberalisasikan
Islam, konon ikut peredaran zaman dan masa. Fikir saja ada manusia akhir
zaman tergamak mengubah hukum haram yang termaktub dalam al-Qur'an seperti
haramnya zina, haramnya riba, haramnya pembunuhan dan lain-lain lagi, agar
menjadi halal atau dibolehkan kerana peredaran zaman atas kehendak globalisasi.
Otak dan akal manusia seperti inilah yang akan menghancurkan generasi manusia
itu sendiri. Sudah banyak bukti yang terjadi dan dialami oleh umat-umat
dahulu kerana menentang agama, menentang hukum Allah dan melaberalisasikan
agama mengikut kemahuan nafsu. Misalnya kaum Nabi Luth a.s yang menuruti
nafsu tanpa mengendahkan nasihat dan seruan Nabi mereka, akhirnya mereka
musnah. Kaum Nabi Nuh a.s juga musnah dengan dilanda banjir besar kerana
nafsu dan kekufuran mereka, Fir'aun dan kaumnya tenggelam dalam lautan
ketika mengejar Nabi Musa a.s akhirnya mereka juga yang binasa dan musnah
dalam lautan, dan hari inipun sudah banyak contoh peribadi, kelompok, bangsa
dan generasi yang pupus musnah dek kerana menurutkan nafsu dan akal cetek
lagi sempit mereka.
Jadi pemikiran manusia di akhir zaman
yang kononnya mahu 'melaberalisasikan' agama ikut perubahan zaman dan era
globalisasi. Atau ikut selera hawa nafsu. Adalah satu pemikiran yang jauh
terpesong daripada kebenaran dan fitrah manusia yang cintakan kebenaran.
Dan jauh daripada ajaran agama dan juga pemikiran Islami.
Seandainya agama mengikut selera hawa
nafsu dan keinginan manusia yang serakah itu atas namanya ikut perubahan
zaman, zaman kemajuan, moden atau globalisasi itu, makan akan hancurlah
segala tamadun dan nilai-nilai kemanusiaan itu. Manusia akan jatuh taraf
lebih rendah dari taraf haiwan. Mari kita singkap jendela sejarah umat
manusia yang terdahulu seperti kaum Nabi Luth a.s yang dimusnahkan Allah
kerana menuruti kehendak nafsu kebinatangan mereka. Kaum Tsamud yang terkenal
dengan kehebatan tamadun binaan mereka, namun akhirnya dibinasakan kerana
mereka menjadi umat yang lupa daratan disebabkan runtunan hawa nafsu mereka,
kaum Nabi Nuh a.s hancur musnah dengan banjir besar, Fir'aun dan kaumnya
tenggelam dalam lautan, Qarun yang terkenal dengan kekayaannya terbenam
ke dalam bumi bersama-sama dengan harta kekayaannya dan begitulah kerajaan
atau pemerintahan Babylon, Rome, Parsi dan lain-lainnya jatuh satu demi
satu kerana menuruti nafsu kuasa yang jauh dari pancaran hidayah Allah
dan jauh dari agama.
Sebaliknya mereka (pendokong budaya
kenafsuan) itu berusaha menganjurkan pelbagai pesta atas nama 'laberalisasi
dan globalisasi' yang berorentasikan hawa nafsu, hiburan yang melalaikan
rakyat, umat Islam dan diri mereka sendiri dengan rupa bentuk kehidupan
yang jauh dari erti moral, akhlak mulia, kemanusiaan dan juga jauh dari
ajaran agama. Golongan seperti itu, adalah kelompok manusia sesat dan menyesatkan.
Mereka bertuhankan hawa nafsu, mereka menjadi hamba abdi kepada hawa nafsunya
dan mereka tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada umat Islam dan masyarakat
seluruhnya, melainkan kebinasaan, kehancuran serta kemusnahan yang akan
menimpa diri mereka dan umat yang bersekongkol dengan mereka. Ini yang
diperingatkan Allah dalam al-Qur'an, surah al-Mukminuun ayat yang ke-71,
yang bermaksud:"Andaikata kebenaran (hak) itu menuruti hawa nafsu mereka,
pasti binasa musnah hancur)lah langit dan bumi bersama segala penghuninya."
Dengan itu, Islam tidak wajar mengikut
akal dan nafsu manusia. Tetapi yang sepatutnya akal dan nafsu manusia wajib
taat patuh dan mengikut ajaran Islam. Islam adalah agama Tuhan dan ajaran
yang diperturunkan Allah kepada manusia melalui perantaraan rasul yang
terpilih. Malahan para rasul yang dipilih Allah itu sendiri tidak menyebarkan
Islam ini mengikut kemahuan hawa nafsu dan akal mereka sendiri, tetapi
dengan wahyu yang diwahyukan oleh Allah Ta'ala kepada diri mereka, sebagaimana
yang disebutkan oleh Allah dalam al-Qur'an, surah an-Najm, ayat 3-4, yang
bermaksud:"Dan dia (Nabi Muhammad SAW) tidak berkata (sesuatu yang berkaitan
Islam) menurut kemahuan hawa nafsunya (atau pendapatnya sendiri). Segala
yang diperkatakannya (dituturkan dan disampaikannya) tidak lain hanyalah
wahyu (dari sisi Allah) yang diwahyukan kepadanya".
Akhirnya, umat Islam hendaklah beristiqamah
dalam menegak kebenaran Islam, istiqamah berpaut pada al-Qur'an dan Sunnah
Rasulullah SAW. Inilah yang pernah diingatkan oleh Nabi SAW dalam sabdanya
yang bermaksud:"Aku (kata Rasulullah SAW) telah tinggalkan pada kamu dua
perkara. Sekali-kali kamu tidak akan sesat (tidak juga menyesatkan orang
lain) selama kamu (tetap) berpegang kuat pada keduanya, (iaitu): Kitabullah
(al-Qur'an) dan Sunnahku". (HR Imam Malik dan Muslim).
Catatan: Pendakwah Anak Sabah (P.A.S),
Kota Kinabalu,
(30.9.2001M).
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|