Kejayaan perjuangan Rasulullah boleh dibahagikan kepada tiga bahagian yang besar berdasarkan kepada tiga peristiwa sejarah. Kejayaan Rasulullah yang Pertama ialah kesanggupan dan keupayaan Rasulullah menyampaikan seruan Islam kepada kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda agar sentiasa berpegang teguh kepada pendirian dan perjuangan Islam yang berintipatikan kepada seruan: "Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh Allah." Ketika Rasulullah cuba dipancing dengan pelbagai umpan rasuah oleh para pemimpin kerajaan Mekah ketika itu (laksana kerajaan BN yang ada pada hari ini), Rasulullah berkata: "Jika sekiranya kamu mampu meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, kemudian kamu memaksa aku meninggalkan perjuangan Islam ini, tidak sama sekali, sehinggalah aku mati atau menang." Dangan kata lain, tidak ada kekuatan harta, tidak ada pelawaan takhta, tidak ada propaganda fitnah dan tidak ada ancaman bunuh yang boleh melemah, mengurang dan menghakis tekad dan perjuangan Rasulullah. Semasa Rasulullah menyampaikan seruan Islam secara terang-terangan kepada seluruh rakyat Mekah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, pengikut baginda hanya sedikit, kekuatan mereka dari segi senjata juga lemah, tetapi iman dan tekad mereka untuk terus menyampaikan seruan kebenaran Islam telah mengatasi segala-galanya. Baginda muncul sebagai seorang pejuang yang sejati. Baginda tidak mudah mengalah atau kelihatan mengalah kepada bajingan-bajingan samseng Mekah yang sentiasa mengancam hendak membunuh baginda. Kejayaan Rasulullah yang kedua ialah ketika Rasulullah berjaya mewujudkan sebuah Masyarakat Madani di Madinah (konsep masyarakat madani akan diterangkan secara ringkas kemudian). Walaupun bilangan pengikut Rasulullah ketika itu hanya sedikit, tetapi mereka adalah terdiri daripada orang-orang yang berwibawa dan berjiwa besar yang mana segala jasa dan pemikiran mereka hingga kini dan seterusnya akan sentiasa dapat dimanfaat dan dinikmati oleh umat Islam zaman berzaman. Lantaran itulah, maka abad Rasulullah dan para sahabat baginda, sebagaimana yang diungkap di dalam hadis Imam Bukhari dan Muslim merupakan sebaik-baik abad atau abad terbaik dalam sejarah Islam, kerana dalam abad mereka terhimpun peribadi-peribadi besar dalam suatu tempat dan zaman secara serentak, seperti Saidina Abu bakar, Saidina Umar, Saidina Usman, Saidia Ali dan ratusan lagi sahabat-sahabat baginda yang memiliki darjah keimanan, ketakwaan dan kecintaan yang tinggi kepada ajaran Islam yang diwahyukan oleh Allah kepada umat manusia melalui Rasulullah. Kehebatan Umat Islam di zaman Rasulullah adalah terletak kepada kemampuan mereka memadukan konsep ketaatan kepada Allah dan kasih sayang kepada sesama manusia ke dalam diri mereka secara serentak. Di dalam diri mereka juga tertanam konsep al-Quran dalam realiti kehidupan mereka berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Suatu paduan semangat keimanan, ketakwaan, kebenaran dan keadilan yang terlalu sukar untuk direalitikan lagi dalam mana-mana masyarakat dan negara. Kualiti masyarakat madani yang dibentuk oleh Rasulullah memang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah umat manusia. Sedangkan, ketika mereka menerima ajaran Islam (kecuali Saidina Ali bin Abi Thalib) kesemuanya telah dewasa. Betapa cepat perubahan pada diri mereka, padahal sebelumnya mereka adalah sekelompok manusia yang bukan sahaja menyembah berhala tetapi juga menyembah sesama manusia. Demikianlah kehebatan dan kecemerlangan Rasulullah dalam usaha membentuk masyarakat madani. Malangnya, kita telah dikejutkan oleh gelagat Anak Kutty yang kini sedang bermaharajalela melakukan kezaliman dan kedurjanaan di negara ini, sehingga tergamak mempermain-mainkan ajaran Islam, menghina sunnah Rasulullah dan memperlekeh para ulamak. Justeru itu, secara peribadi penulis sangat meragui keimanan dan keikhlasan Anak Kutty kepada Islam. Inti dasar kejayaan perjuangan Rasulullah adalah terletak kepada kaedah pembinaan insan yang diterapkan oleh Rasulullah, iaitu bikin serupa cakap. Dalam membina masyarakat dan pemimpin pelapis baginda tidak banyak bercakap, sebaliknya terus bertindak. Disiplin kerja dan perjuangan Rasulullah mudah untuk kita mengesannya dalam hadis-hadis baginda yang kebanyakkannya pendek dan ringkas, sehingga mudah untuk diingat dan dihafal. Inilah kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah, iaitu kepimpinan melalui tauladan, bukannya budaya lidah biawak yang bercabang, seperti lidah Anak Kutty itu. Kejayaan ketiga Rasulullah adalah kejayaan baginda membangun masyarakat madani, iaitu masyarakat yang bergerak di atas landasan hukum Ilahi yang berpaksikan kepada al Quran. Setelah dibina keyakinan terhadap ajaran Islam, kemudian diikuti oleh penggilapan akhlak dan disiplin dalam proses perjuangan, maka langkah terakhirnya adalah melaksanakan hukum syari'ah di bawah bimbingan Al Quran sebagai landasan kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Sekarang penulis akan mencuba menerangkan konsep masyarakat madani secara ringkas sahaja sebagaimana yang penulis janjikan di atas. Masyarakat madani adalah terjemahan dari bahasa Inggeris, civil society. Ungkapan civil society sebenarnya berasal dari bahasa Latin, iaitu civitas dei yang bermaksud kota Ilahi dan society bermaksud masyarakat. Dari kata civil akhirnya membentuk kata civilization yang bermaksud peradaban atau tamadun. Oleh sebab itu, ungkapan masyarakat madani atau civil society dapatlah ditakrifkan secara ringkasnya sebagai masyarakat bandar yang maju dari segi sosial, ekonomi, budaya dan politik. Istilah civil society telah diucapkan oleh umat manusia semenjak ribuan tahun yang lalu, iaitu Sebelum Masehi lagi. Menurut sejarah, manusia pertama yang mencetuskan istilah civil society ialah Cicero (106-43 SM), iaitu seorang pemidato terbilang Yunani purba. Menurut Cicero, civil society ialah suatu masyarakat yang beradab yang memiliki tatahukum sendiri. Justeru konsep bandar dan budaya sesebuah negara, bukan sahaja sebagai tempat kediaman sesuatu bangsa atau masyarakat, tetapi juga sebagai pusat peradaban. Oleh sebab itu, Masyarakat Madani atau civil society, secara mudahnya membawa maksud, masyarakat dalam sesebuah negara yang beradab, berakhlak mulia dan sentiasa menjunjung tinggi nilai-nilai murni sejagat. Di Malaysia, gagasan Masyarakat Madani telah diketengahkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim secara bersungguh-sungguh pada tahun 1995. Masyarakat Madani yang dibayangkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim adalah masyarakat Malaysia yang diasaskan di atas prinsip iman, akhlak dan pemerintahan yang berlandaskan hukum, memupuk pertumbuhan lembaga kemasyarakatan yang menjadi pengantara antara keluarga dan negara, sentiasa komited memberi pertimbangan terhadap kepelbagaian pengalaman sosial dan politik masyarakat yang berlainan, menghidupkan semangat kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, mengembalikan nilai perikemanusiaan dan menyegarkan sikap berlapang dada. Sebaliknya, lawan kepada istilah masyarakat madani adalah masyarakat yang membawa citra biadab, kasar dan ganas. Masyarakat yang biadab akan melahirkan pemimpin yang gila kuasa, cenderung menyalahgunakan kuasa dan suka menindas. Bentuk pemimpin dan kerajaan yang berlawanan dengan budaya masyarakat madani ini samalah seperti gelagat spesies anak kutty yang sentiasa mencanangkan mitos bahawa hanya anak kutty sahaja yang mampu memimpin negara ini untuk mempertahankan staus quo. Masyarakat madani di Madinah yang berperadaban tinggi itu hanya dapat dibangunkan oleh Rasulullah setelah Rasulullah melakukan reformasi dan transformasi ke dalam diri setiap orang perseorangan masyarakat di Madinah yang berpaksikan kepada akidah dan akhlak. Lantaran itu, iman dan akhlak adalah landasan utama kepada dasar Piagam Madinah. Semua prinsip dan nilai-nilai Islam serta sejagat yang terkandung di dalam Piagam Madinah telah dilaksanakan sepenuhnya di dalam semua aspek kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara oleh masyarakat Madinah di bawah pimpinan Rasulullah. Citra keindahan hukum masyarakat madani di Madinah di bawah pimpinan Rasulullah dapat kita bayangkan ketika Rasulullah sendiri mengumumkan kepada masyarakat Islam dengan satu ungkapan yang jelas: "Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya." Penegasan Rasulullah ini adalah disebabkan oleh suatu peristiwa sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari : "Seorang wanita di zaman Rasulullah selepas pembukaan Mekah telah mencuri. Lalu Rasulullah mengarahkan agar tangan wanita tersebut dipotong. Tetapi Usamah bin Zaid telah menemui Rasulullah untuk meminta diringankan hukuman ke atas wanita tersebut. Mendengar rayuan Usamah, wajah Rasulullah berubah. Lalu bersabda: Adakah kamu akan meminta pertolongan untuk melanggar hukum-hukum Allah? Usamah menjawab: Tolonglah pohonkan keampunan dari Allah untuk wanita tersebut, ya Rasulullah. Pada sebelah petangnya Rasulullah telah berpidato: Orang-orang yang sebelum kamu telah dibinasakan oleh Allah, kerana jika keluarga yang berpangkat mencuri tidak dihukum, tetapi jika keluarga yang tidak berpangkat mencuri dihukum. Demi jiwaku yang ada dalam genggaman Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya. Selepas berpidato baginda terus mengarahkan tangan wanita yang mencuri itu dipotong." Justeru itu, adakah pemimpin di seluruh dunia yang setegas Rasulullah dalam usaha menegakkan hukum kebenaran dan keadilan? Di negara ini yang kononnya memiliki "Rukun Negara dan Wawasan 2020", ternyata Anak Kutty sendiri yang memijak-mijaknya. Adakah keberanian pada diri Anak Kutty untuk berkata: "Demi kebenaran dan keadilan, jika terbukti saya dusta mengenai tuduhan saya terhadap mata lebam Anwar, maka saya akan meletakkan jawatan". Si Anak Kutty ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan tidak tahu malu di atas pembohongannya yang telah membusuk ke seluruh dunia, malahan terus mencipta pembohongan dan sandiwara baru untuk mempertahankan kuasa dan kedurjanaannya. Oleh sebab itu, segala hukum dan undang-undang sesebuah negara yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang pongah, bongkak, perasuah dan muflis akal budi, nescaya undang-undang tersebut akan menjadi alat mainan mereka sahaja. Apa tidaknya, Jika undang-undang tersebut mengena batang hidung mereka sendiri, nescaya mereka akan mencari seribu satu alasan bagi melepaskan diri. Tetapi undang-undang yang sama akan diguna-pakai untuk menekan dan menindas orang-orang yang melawan kebangsatan mereka. Akhirnya, segala hukum dan undang-undang laksana lilin yang boleh diubah-ubah bentuk dan tidak lebih dari sekadar alat untuk mengekalkan kuasa dan memuaskan nafsu mereka yang bangsat sahaja. Lantaran itulah, maka segala fitnah dan penghakiman olok-olok yang ditimpakan ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim adalah bukti tentang betapa busuknya undang-undang yang diguna-pakai oleh anak kutty dan para penjilatnya. Di zaman Rasulullah belum ada peguam yang bertindak sebagai pendakwaraya, peguamcara atau peguambela, tapi mereka semua taat kepada undang-undang. Tidak perlu Unit Tindakan Khas (UTK) untuk mengepung atau memecahkan rumah orang yang hendak ditangkap, tidak perlu melebamkan mata orang yang ditangkap, tidak perlu membelasah sehingga patah tulang belakang orang yang ditangkap, tidak perlu menutup mata dan membogelkan orang yang ditangkap, malah mereka akan datang dengan sendirinya kepada Rasulullah dan mengakui kesalahan mereka. Pada suatu hari, seorang wanita telah datang ke rumah Rasulullah menyampaikan penyesalannya kerana telah melakukan zina. Ia meminta kepada Rasulullah agar dihukum mengikut undang-undang syari'ah. Rasulullah bertanya kepadanya, apa buktinya yang wanita tersebut telah melakukan zina? Tanpa ragu-ragu wanita tersebut mengaku yang ia telah mengandung. Selepas mendengar penjelasan ikhlas wanita tersebut, Rasulullah telah menyuruhnya pulang: "Kamu pulang dulu, sila datang semula selepas anak kamu lahir," kata Rasulullah. Selepas wanita tersebut melahirkan anaknya, ia datang semula berjumpa dengan Rasulullah sambil mendukung anaknya yang baru dilahirkan itu. Tetapi Rasulullah berkata, "Kamu pulanglah dulu, beri susu dan rawat dulu anak kamu sehingga berumur dua tahun," kata Rasulullah. Untuk ketiga kalinya wanita tersebut datang lagi kepada Rasulullah setelah anaknya berumur dua tahun. Ia memohon kepada Rasulullah agar segera dilaksanakan hukuman syari'ah ke atasnya. Kali ini Rasulullah tidak dapat menunda lagi, lantas hukuman dikenakan ke atas wanita tersebut. Pengajaran yang pertama, dari kisah dan kejadian ini ialah kita dapat melihat betapa indahnya hukum masyarakat madani yang didasarkan kepada akhlak yang tinggi. Lihatlah betapa bijaksananya Rasulullah menghadapi kejadian tersebut. Rasulullah tidakpun menyiasat dengan siapa dan lelaki mana wanita tersebut berzina. Wanita itu juga tidak melaporkan pasangannya. Rasulullah tidak memerintahkan polis Unit Cawangan Khas (SB) untuk menangkap dan mendera lelaki pasangan zina wanita tersebut. Pengajaran yang kedua, dari kisah dan kejadian ini ialah Rasulullah tidak mengarahkan penahanan atau penangkapan ke atas wanita tersebut. Wanita tersebut bebas pulang ke rumahnya, tanpa pengawalan dan tanpa pengawasan. Ia hanya diperintahkan supaya melaporkan diri selepas melahirkan anaknya dan setelah anaknya berumur dua tahun. Suatu hukum yang sangat bijaksana dan berperikemanusiaan. Cuba pembaca yang budiman bandingkan dengan hukum dan undang-undang Ikut Suka Aku (ISA)yang sedang dikuatkuasakan oleh Anak Kutty dan Anak Yatim di negara ini sekarang? "Aku berfikir, maka aku ada", kata Socrates. - Nas 18.12.01.
|