|
Siri
UMNO
Yang Semakin Kepanasan
Prelud Majlis Pok Amai-amai - Persidangan Agung Lembu Pawah Umno Dan Kempen Kibarkan Jalur Jembalang |
Oleh kerana rakyat Malaysia terlalu sayangkan negaranya, rakyat telah menyetujui rencana Mahathir yang memberi penekanan ke arah Timur dengan meniru kemajuan Jepun dan Korea. Inilah kesilapan terbesar rakyat negara ini terutama sekali pemimpin UMNO yang sepatutnya sedar akan sasaran sebenar Mahathir.
Dasar pandang ke Jepun adalah satu dasar yang banyak merugikan Malaysia kerana apa yang dipraktikkan di negara ini berasaskan amalan di Jepun adalah idea yang disogok oleh Mahathir kepada rakyat. Sedangkan pada waktu yang sama rakyat disogokkan dengan kemajuan serta halehwal pertumbuhan negara Barat.
Alangkah aneh, ketika Malaysia bergantung kepada Jepun dalam serba-serbi kemajuan negara, pelaburan yang paling besar dan pengeksportan keluaran negara adalah tertumpu kepada Amerika? Pada waktu yang sama, berapa ramaikah rakyat Malaysia mampu bertutur dan membaca bahasa Jepun?
Ekonomi Jepun Yang Lama Merudum
Sejak Mahathir memainkan peranan aktif dalam politik Malaysia Merdeka, Jepun sudahpun dipimpin oleh lapan belas [18] Perdana Nenteri. Sila lihat http://www.mizuho-sc.com/english/ebond/politics/prns.html.
Mengikut pengakuan Mahathir sendiri, sejak dia menjadi perdana menteri, dia telah melawat Jepun lebih dari 50 (lima puluh) kali. Malahan, 'Mahathir sentiasa mempunyai ruangan khas setiap bulan di mana dia memeberi syarahan dan tunjuk-ajar kepada orang Jepun bagaimana mahu membangun menjadi satu bangsa yang besar'. Kalau kita baca semua tulisan mahathir kepada orang Jepun, kita boleh nilai otak kelentongnya Contoh terbaik terdapat dalam tulisannya yang diberi judul 'Mahathir’s World Analysis' yang disiarkan secara bersiri oleh Mainichi Interactive (Sila lihat: http://www.Mainichi.co.jp/english.mahathir/index.html ) Sebenarnya tidak ada yang menarik dalam tulisan itu semua, kecuali satu-dua yang merupakan idea kitaran semula persis perilaku Mahathir yang mengitar idea orang dalam pembangunan negara ini. Kerana itu kebanyakan projek negara hancur lebur dibuatnya. Tetapi, ada satu perkara yang kerap diulang-ulang di situ yang berkaitan dengan apa yang disebutnya kelakuan Anwar Ibrahim yang terpaksa disingkirkannya disebabkan ‘kelakuan sumbang’, sedangkan Anwar terpenjara disebabkan tuduhan palsu rasuah yang tidak pun mempunyai bukti yang sah. Malangnya Mahathir tidak sedar sehingga kini, kejatuhan martabat dan maruahnya di Jepun berlaku selepas dia terlalu galak mengaibkan nama Anwar Ibrahim dalam tulisannya itu untuk bacaan masyarakat Jepun. Orang Jepun mempunyai satu budaya unik memberi kehormatan tertinggi kepada golongan ‘wira’ mereka. Budaya ‘samurai Jepun’ memberikan tahap penghormatan yang amat tinggi kepada pejuang. Anwar dianggap oleh orang Jepun sebagai seorang pejuang. Apabila Mahathir menulis dengan mengaibkan Anwar, orang Jepun melihatnya sebagai seorang yang sudah sewel dan sebagai pemimpin yang sepatutnya sudah lama bersara.
Oleh kerana Mahathir terlalu sibuk cuba menonjolkan ketokohannya kepada masyarakat Jepun, dia fikir usahanya itu dapat disebarkan oleh media Jepun sehingga mampu menarik minat orang Barat terutama sekali orang Amerika. Mahathir sudah menjadi gila, beranggapan bahawa gelagat memberikan nasihat kepada Jepun, dia boleh menonjolkan dirinya sebagai pemimpin Asia yang unggul: di mana seorang pemimpin tanah jajahan Jepun sudah mampu menjadi penasihat kepada kerajaan bekas penjajahnya. Mungkin kerana itu masyarakat niaga Jepun memberi gelaran 'Asian Malcolm X' kepada Mahathir.
Sudah menjadi sikap dan budaya Jepun, tidak menggunakan perkataan ‘tidak’ dan ‘tidak boleh’ secara berterus-terang. Mereka ganti budaya itu dengan melengahkan masa sehingga pihak yang lain merasa sendiri apakah jawapan sebenarnya. Inilah yang memerangkap Mahathir dan seterusnya Malaysia. Oleh kerana Jepun tidak pernah kata ‘Mahathir silap ataupun salah’, Mahathir fikir apa yang dicakapnya di Jepun itu diterima pakai.
Mahathir leka sehingga lalai memahami Jepun sedang merudum
Jepun hari ini adalah sebuah negara yang mencelaru kerana baru memasuki ambang reformasi sosial hidup dan perubahan tanggapan ekonomi mereka. Mahathir pernah menasihatkan Jepun agar membiarkan seseorang perdana menteri memegang kuasa lebih lama lagi. Selama dua puluh tahun Mahathir menjadi perdana menteri, Jepun sudah mempunyai lebih lima belas perdana menteri. Ada yang tidak sampai setahun sudah ditukarkan. Tetapi, begitulah budaya Jepun di mana seorang perdana menteri hanya mampu bertahan sekitar dua tahun sahaja. Parti politik Jepun sedang mengharungi zaman peralihan. Ketika gempa bumi berlaku di Kobe beberapa tahun dulu, kerajaan Jepun tidak mampu membantu seluruh rakyat yang menderita. Tetapi, kumpulan Yakuza Jepun (kongsi gelap) telah berjaya memberikan bantuan yang diperlukan oleh mangsa gempa. Ini menunjukkan politik Jepun selama ini adalah laksana suasana perniagaannya yang dikawal serta dipengaruhi oleh kongsi gelap.
Kalau perdana menteri Jepun yang berkuasa hanya sekitar dua tahun, masih mampu dikawal oleh kongsi gelap (Yakuza) Jepun, bagaimanakah kisah Perdana Menteri Malaysia yang banyak dan lama berurusan dengan perniagaan Jepun? Apakah Mahathir bebas daripada cengkaman pengarauh Yakuza Jepun?
Sepandai-pandai Mahathir menipu dan mengelentong orang Malaysia, Jepun ternyata lebih bijak lagi menipu Mahathir. Ketika Mahathir melancarkan projek ‘Pandang ke Timur' dulu, penekanannya ialah kepada Jepun. Tetapi kerana mahu menunjukkan sikap yang tidak terlalu taksub kepada Jepun, dia beri juga sedikit ruang kepada Korea dan Taiwan, sedangkan Taiwan mempunyai masalah dengan China.
Generasi lama tentu masih ingat projek ‘Dayabumi’ yang ketika itu kos pembangunan sepatutnya tidak melebehi RM35 juta. Tetapi, bagaimanakah Dayabumi terpaksa dibeli oleh Petronas dengan beratus juta? Inilah projek Jepun dan Mahathir bersekongkol menipu rakyat negara ini. Apabila Mahathir naik mua dengan projek Dayabumi, menggunakan wang Petronas, dia ulang sekali lagi dengan membina Menara Kembar Petronas secara berkongsi dengan Ananda Krishnan. Bayangkan tanah kerajaan dibiarkan Ananda membelinya dan setahun kemudian kerajaan membelinya semula dengan harga yang berlipat ganda. Kemudian, Ananda dijadikan ‘partner’ kepada projek menara kembar itu.
Mahathir Penyelamat Ekonomi Jepun
Pada tahap awal kita mula-mula pandang ke timur dulu, Jepun sedang dihenyak oleh kegawatan ekonominya. Sikap Malaysia membeli serba-serbi Jepun telah membantu Jepun bangkit semula kerana banyaknya kemudahan yang diberikan oleh Malaysia. Pada waktu itu orang Jepun lebih senang datang ke Malaysia untuk bermain golf selama seminggu dari bermain satu pusingan 18-lubang di Tokyo.
Kemudian, segala yang datang daripada Jepun diberikan kehormatan seolah-olah ia datang daripada kayangan. Kereta buatan Malaysia yang menggunakan teknologi Jepun dianggap terbaik. Tetapi, sehingga kini, Proton masih belum ada lagi ‘wind tunnel’ untuk menguji kereta buatan sendiri. Model Proton Perdana adalah model yang ditolak oleh Jepun kerana adanya ‘computer-design-defect’ di mana pintunya tidak boleh dikatup rapat. Kini, rakyat Malaysia terpaksa membeli kereta 'buatan Malaysia' dengan harga yang lebih tinggi daripada harga yang dijual di luar negara. Kebanyakan kereta Proton di Eropah terutama sekali di U.K,. digunakan oleh syarikat kereta–sewa dengan perjanjian dibawa balik ke Malaysia untuk diganti dengan yang baru. Apabila dibawa pulang, kereta itu dibaiki semula dan dijual sebagai kereta baru.
Kalau industri kereta tidak mempunyai segala infrastruktur menguji model baru, bagaimanakah dengan kisah kereta buatan anak watan? Siapakah sebenarnya yang mahu ditipu oleh Mahathir dengan segala pembohongann ini? Apakah itu caranya Mahathir mahu memajukan kereta buatan Malaysia?
Oleh kerana Mahathir tidak pernah ikhlas memimpin negara ini, kegawatan ekonomi di Jepun tidak pernah diberikan ruang yang luas dalam akhbar Malaysia. Contoh yang terbaik ialah keadaan ekonomi Jepun yang mula merudum dengan secara menyerlah pada tahun 1993. Itulah waktunya Mahathir galak melawat Jepun. Pada waktu itu Jepun sedang giat berbalah mengenai skandal perniagaan dan kerajaan sehinggakan sejak 1993 hingga 2000, jawatan perdana menteri Jepun bertukar tangan sebanyak tujuh kali (bererti seorang perdana menteri untuk setiap tahun). Kalau kita lihat kegagalan Jepun ketika itu, ia menyangkuti pentadbiran kerajaan yang mereput sejak 1993 lagi. Pada 1996, Moody’s Investor Services telah menurunkan taraf sistem perbankan Jepun kepada Gred ‘D’. Ini adalah satu taraf yang selalu diberikan kepada institusi kewangan negara dunia ketiga (sila baca The Ministry: How Japan’s Most Powerful Institution Endangers World Markets oleh Peter Hartcher – Harvard Business School Press).
Punca kegagalan Jepun ialah usaha mereka cuba meniru gelagat Margaret Thatcher dengan ‘The Big Bang’. Margaret Thatcher terpaksa melaksanakan penswastaan itu untuk melepasi cengkaman sistem ‘dole’ yang merupakan rencana sosialisme yang semakin menghenyak ekonomi negaranya. Di Jepun, sistem ini tidak dapat dijayakan kerana masyarakat Jepun bekerja di satu tempat sepanjang hayatnya dan secara turun temurun. Pada awal 1990-an, rakyat Jepun sudah penat dengan budaya berkorban untuk negara sehingga mereka dikejutkan oleh kewujudan Kumpulan Aum Shinrikyo dan beberapa sami agama mereka.
Budaya Berkorban Untuk Negara
Kereputan ekonomi Jepun sekarang ini adalah hasil budaya kesabaran masyarakat Jepun setelah kalah Perang Dunia Kedua dulu. Kerana menanggung malu selepas dua bom atom digugurukan di Hiroshima dan Nagasaki yang mengorbankan lebih 240,000 nyawa, Jepun bangkit untuk menguasai dunia. Selama lebih lima puluh tahun rakyat Jepun bangkit dan bersabar untuk membina semula nama keunggulan Jepun itu.
Kebangkitan Asianisma
Kesabaran yang berpanjangan selama lima puluh tahun itu berjaya menukarkan sebuah negara yang jatuh miskin disebabkan kekalahan perang menjadi satu kuasa besar dalam bidang ekonomi. Dengan menerima penempatan askar Amerika di negaranya Jepun tidak dibenarkan mengembangkan pasukan tenteranya tetapi disuruh menumpukan pembangunan dalam industri kereta dan elektronik. Kesannya, Jepun menguasai industri kereta dunia.
Tanpa disedari oleh dunia barat Jepun telah menegakkan semangat Asianisme. Inilah yang turut mempengaruhi Mahathir sehingga beliau mahu menaja penubuhan EAEC (East Asian Economic Caucus) yang ditentang oleh Amerika dan negara barat.
Penubuhan APEC (Asia Pacific Economic Coperation) diasaskan pada 1989, dan sejak iu persidangan tahunannya dilaksanakan secara bergilir-gilir. Pemimpin negara APEC bertemu untuk kali pertamanya di Seatle di mana masyarakat ‘Pacific Community’ telah disytiharkan. Mahathir tidak menghadirkan dirinya pada persidangan itu. Sebabnya Mahathir jengkel kerana Amerika menolak cadangannya menubuhkan EAEC. Lagipun Mahathir merasa curiga APEC akan menjadikan ASEAN satu nama untuk lipatan sejarah sahaja.
Sejak persidangan Seattle itu beberapa persidangan tahunan telah dijalankan di beberapa negara lain dan keahliaan APEC sudah meningkat daripada 12 ahli pada 1989 menjadi 21 pada 1998. Sehigga bulan lalu, Mahathir masih menyebut akan hasratnya mahukan EAEC diberikan pentas yang lebih luas.
Apabila APEC bersidang di Malaysia pada 1998, Clinton tidak menghadirinya kerana membantah cara Mahathir mengaibkan Anwar. Kerana itu dia telah diwakili oleh Albert Gore yang menyebut perkataan ‘doimoi’ dan ‘reformasi’ secara terbuka.
Pada 1998 dulu, ekonomi Jepun sudah semakin mereput, dan Mahathir amat sedar perkara itu. Waktu itu Ryutaro Hashimoto sudah semakin tercungap dan sedang merundingkan pengundurannya untuk digantikan oleh Keizo Obuchi, seorang perdana menteri yang amat dipuji oleh Mahathir secara melangit tingginya. Orang Jepun hairan kenapa. Pada waktu yang sama Mahathir gila sakan di Malaysia mahukan beberapa projek mega dipercepatkan, sedangkan negara sudah menghadapi masalah matawang yang dikawal serta kesangsian rakyat apabila pasaran saham semakin mengecut. Pada saat ini, rakyat Malaysia sendiripun kehairanan kenapa Mahathir berperangai seperti itu.
Pada pertengahan 1998, hutang bertapuk di Jepun sudah mencecah $600 bilion, (USD 770 bilion mengikut cerita orang dalam). Walaupun kadar faedah pinjaman bank hanya sekitar 1%, bank sudah tidak mampu memberikan pinjaman.
Sebenarnya, iklim perniagaan sudah semakin mencelaru sejak 1996 lagi. Secara tiba-tiba budaya taat setia dan berkorban untuk berkhidmat kepada negara dan bangsa merudum di Jepun. Rakyat Jepun sudah semakin tidak senang hati dengan konsep bekerja pada satu majikan sehingga mati. Semakin ramai yang bertindak bersara dan menarik simpanan mereka untuk melabur di Malaysia dan Thailand. Pada waktu itu, ramai rakyat Jepun yang mengeluarkan simpanan untuk menyertai tabung pelaburan di Malaysia dalam apa yang disebut sebagai pelaburan wang panas. Penaja pelaburan wang panas itu ialah Yakuza. Tetapi, dalam mentohmah kegiatan wang panas di Malaysia, Mahathir hanya menuduh Soros sebagai penyangak matawang, tanpa menyebut pembabitan kumpulan lain seperti Yakuza daripada Jepun, Mafia daripada Itali dan Amerika dan ‘Chinese-Triad’ daripada Hongkong dan Singapura. Kenapakah agaknya?
Kegiatan semua agensi haram ini adalah satu aktiviti yang diakui oleh semua kuasa besar kerana inilah juga pertubuhan yang menyokong dan menjatuhkan pucuk kepimpinan di beberapa kerajaan di rantau ini. Malahan, kalaupun semua pertubuhan ini tidak mahu disebut, Mahathir tentu masih ingat laporan dan pengakuan Daim Zainuddin bagaimana dia melabur di pasaran saham setiap hari 'untuk belanja dapur'. Sehingga hari ini tidak ada sesiapa yang dapat mengagak dapur jenis apakah yang digunakan oleh Daim itu?
-Marhaintua- 29.08.01.
Terbitan semula: 16.08.2004 (suntingan
M@RHAEN)