.... Bangunlah Mahasiswa 
daripada Lamunan Mimpi!

Oleh: Abu Majahed Abdullah Azzam

Kenyataan Rasmi Kesatuan Mahasiswa Merdeka

Sekiranya kita mengambil iktibar dari proses reformasi yang berlaku di Indonesia,maka kita dapati ia berjaya ditegakkan walaupun bukan di tahap seratus peratus lagi kerana negara jiran itu masih belum keluar sepenuhnya dari krisis ekonomi dan politik. 

Faktor terbesar yang menyumbang ke arah Reformasi di Indonesia adalah kerana gerakan Mahasiswa di sana segera bangkit dari lena di ulit mimpi untuk turun ke jalan raya mengepalai gerakan reformasi walaupun sehingga mengorbankan beberapa nyawa tetapi alhasilnya sang diktator tua seusia dengan memanda perdana menteri kita berjaya dijatuhkan secara yang memalukan.

Malangnya apa yang berlaku di Malaysia, majoriti Mahasiswa sedang alpa dimomok pelbagai masalah sosial dengan membazirkan wang pinjaman pembiayaan cukai rakyat (biasiswa sudah dimansuhkan!) dengan berpoya-poya bersama kekasih,memenuhi kelab-kelab malam, berpeleseran di kompleks –kompleks membeli belah sekadar window shopping, bahkan ada juga yang menyertai aktiviti lumba haram.

Bukan tidak ada yang aktif dalam program-program anjuran pelbagai persatuan di universiti, tetapi ia sekadar untuk mengumpul koleksi sijil dan mengambil kesempatan terbaik untuk mencari jodoh. Lantaran dari budaya jumud akibat AUKU, aktiviti kemahasiswaan tidak mempunyai nilai akademik yang tinggi, kebanyakan program bercorak ingin mencipta nama ala ‘Malaysia Boleh!’ untuk disenaraikan ke dalam Malaysian Book of Record seperti program pertandingan yang bakal diadakan di UIAM untuk membuat sepanduk patriotik terbesar di Malaysia sempena Hari Kebangsaan. 

Forum-forum diskusi ilmiah membincangkan hala tuju negara dan masyarakat amat kurang dianjurkan, dan kalau adapun ia pasti tidak akan mendapat sambutan dari Mahasiswa sendiri. Tetapi yang peliknya forum-forum cinta remaja di kampus-kampus pasti audiennya penuh sampai melimpah ke luar dewan.

Inilah masalah yang perlu diatasi oleh gerakan Mahasiswa kerana kebanyakan Mahasiswa sekarang adalah terdiri daripada golongan apathethic yang tidak mengambil endah langsung apa yang berlaku terhadap masyarakat. Bukan tidak ada yang faham apa yang berlaku tetapi mereka ini golongan subject yang tidak mahu turun ke medan membetulkan kepincangan masyarakat dan negara. 

Ayuh kita ramai-ramai bangun dari mimpi untuk turun ke tengah medan berjuang sebelum negara kita muflis dek angkara dasar kronisma dan nepotisma sang diktator tua yang sedang berpaut pada tongkat yang sudah reput. Mahasiswa hanya perlu mengepalai masyarakat untuk mematahkan tongkat itu.

HIDUP GERAKAN MAHASISWA! MANSUHKAN AUKU! BEBASKAN TAHANAN ISA! MANSUHKAN ISA!

Abu Mujahed Abdullah Azzam (siarkan)
Jurucakap Kesatuan Mahasiswa Merdeka (siarkan)
mpkangar_kmm@yahoo.com (siarkan).

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!