![]() |
Penubuhan
Kerajaan Yang Bersih (Clean Government - Lee Kuan Yew: The Singapore Story 1965-2000) |
Pernah satu ketika selepas peperangan
di England dulu, saya bertemu dengan beberapa pelajar daripada China yang
amat bersemangat mahu menyingkirkan pemimpin mereka yang sungguh korup
dan tidak cekap mentadbir. Keadaan inflasi di negara mereka sungguh menggunung
tingginya dan peristiwa rompakan harta benda yang terus mengganas, menyebabkan
ramai pemimpin Nasionalis Cina itu yang melarikan diri ke Taiwan. Sikap
para pemimpin yang mudah disuap dan sogokkan wang telah mencetuskan perasaan
jijik di kalangan sebilangan besar pelajar sekolah Cina di Singapura sehinggakan
ramai yang cenderung kepada perjuangan komunisme. Pelajar-pelajar ini nampak
akan contoh-contoh perjuangan yang ditonjolkan oleh para pemimpin komunis
itu yang amat bersabar, berdedikasi, tidak tamak dan tidak mementingkan
diri sendiri sehinggakan perwatakan itu menjadi satu ikutan dan kepercayaan
hidup ramai pengagumnya ketika itu.
Sebelum berlangsungnya pilihan raya
umum Mei 1959 kami ada membuat satu keputusan yang penting yang menyerlahkan
pendirian kami mengenai korupsi.
Kerajaan Lim Yew Hock (1956-1959) sudah menjadi korup ketika itu. Menteri Pendidikan beliau, Chew Swee Kee, pernah menerima wang sogok berjumlah S$1 juta daripada sumber yang berasal daripada Amerika sebagai kos memerangi pengaruh komunis dalam pilihan raya umum itu. Terdapat juga beberapa desas-desus betapa adanya sogokan yang lebih kecil sedikit untuk sebab-sebab yang remeh. Kami memang tidak berapa yakin di pilihan raya umum itu kerana kami merasakan belum berapa bersedia dan juga tidak berapa mantap dalam susunan organisasi memerangi pengaruh komunis yang memang dijangka akan mengganyang kami sebaik sahaja kami berjaya menubuhkan sebuah kerajaan. Tetapi kami tidak mahu memberikan ruang kepada sekumpulan penyangak untuk berkuasa semula selama lima tahun lagi kerana mereka sudah pasti akan berjaya mengotori minda pegawai perkhidmatan awam yang masih lagi jujur dalam tugas mereka. Kalaulah perkara ini dibiarkan bererti kami tidak lagi akan berjaya memperbaiki sistem yang tercemar. Kerana itu kami membuat keputusan untuk terus melawan.
Suasana yang menggoda memang terdapat di mana-mana, bukan semestinya di Singapura sahaja. Sebagai contoh, setiap kali seseorang menjejakkan kakinya di negara yang dilawatinya, hubungan rasmi yang terawal dilakukannya tentulah dengan pegawai imigresen dan kastam. Di beberapa lapangan terbang di Asia Tenggara pelancong asing kerap diperlecehkan oleh pihak kastam sehinggalah pelancong itu mengeluarkan wang tunai sebagai imbuhan. Amalan menjijikkan yang serupa diamalkan juga oleh para polis trafik apabila menahan seseorang pemandu atas tuduhan apa yang dikatakan memandu terlalu laju. Pemandu terpaksa menyerahkan lesen memandu mereka berserta harga imbuhan yang perlu dibayar mengikut kadar semasa, untuk mengelakkan tindakan lanjutan. Ini adalah disebabkan pegawai yang kanan dalam sesuatu peristiwa itu tidak menunjukkan contoh yang baik. Di beberapa bandar besar di rantau ini, kemasukan seseorang ke dalam hospital memerlukan susulan bayaran sogokan tertentu untuk memastikan rawatan segera. Kuasa yang remeh-temeh apabila diamanahkan kepada manusia yang tidak mampu hidup dengan gaji bulanan yang murahan sudah pasti akan mengundang keadaan kerja yang menyalahgunakan kuasa itu.
Kami mempunyai satu misi yang besar untuk mewujudkan satu pentadbiran kerajaan yang bersih dan berkesan. Ketika mengangkat ikrar sumpah setia pada 1959 itu, kami telah mengenakan pakaian serba putih sebagai lambang kejujuran dan keikhlasan dalam tingkah laku kami secara peribadi dan juga dari segi melayani rakyat. Rakyat memang mengharapkan perkara ini dan kami berazam tidak akan menghampakan mereka. Pihak yang pro-komunis telah mengenakan pakaian yang menayangkan imej cara hidup mereka (seluar dan lengan baju yang lusuh), pergerakan mereka adalah dengan menggunakan bas dan teksi, tempat tidur mereka selalunya di bahagian bilik belakang rumah persatuan. Mereka berpendidikan daripada sekolah Cina.
Golongan prokomunis ini kerap mempersendakan keadaan pejabat dan rumah saya yang mempunyai kemudahan hawa dingin,. Begitu juga dengan kereta saya jenis American Studebaker, tabiat saya yang suka bermain golf dan meminum bir. Seterusnya dengan latar belakang keluarga saya daripada kelas marhaen dan pendidikan yang saya terima di Cambridge. Namun mereka tidak berupaya menuduh saya dan rakan-rakan bahawa kami pernah membuat keuntungan daripada usaha membantu para pekerja dan persatuan pekerja yang pernah kami bantu.
Semua menteri kabinet saya, kecuali seorang sahaja, adalah lulusan universiti. Kalau kami tidak menjadi menteri pun memang kami mampu hidup senang lenang dengan kelulusan yang ada pada kami. Memang tidak perlu melakukan kerja-kerja mencari duit sampingan sebagai tangkal di hari tersebut. Yang penting sekali, kebanyakan kami mempunyai isteri yang sedang bekerja yang mampu menyara hidup anak-anak seandainya kami terpenjara. Inilah yang menjadi rukun hidup rakan menteri saya dan isteri mereka. Apabila para menteri menerima keyakinan dan dihormati oleh rakyatnya, pegawai kerajaan pun mampu berkhidmat dengan megah dan membuat keputusan dengan penuh keyakinan. Inilah yang menjadi satu perbandingan yang kritikal dalam usaha kami memerangi pengaruh komunis itu.
Bermula di hari pertama kami melaksanakan
tugas rasmi pada Jun 1959, setiap satu Dollar yang kami terima sebagai
hasil negara direkodkan dalam akaun dengan betul. Kami juga menentukan
setiap dolar itu akan mendatangkan faedah kepada setiap insan di akar umbi
dengan nilainya tetap setara satu dolar tanpa ada sebahagian darinya yang
disauk dalam perjalanan merapati sasarannya. Di tahap awal lagi kami telah
memberikan perhatian untuk menangani masalah yang timbul daripada discretionary
powers (kuasa yang bergantung kepada kebijaksanaan), untuk mengelakkan
sebarang salah laku disebabkan kuasa yang samar tercetus darinya . Sekali
gus kami berupaya menentukan cara dan kaedah untuk mengikis masalah itu
sehingga mampu menyingkirkan kemudahan pengamalnya.
Ada satu agensi khas yang ditugaskan
menghapuskan rasuah. Ia diberi nama 'corrupt Practices Investigation Bureau
(CPIB) yang ditubuhkan oleh pihak British pada tahun 1952. Tujuannya untuk
membanteras korupsi, terutama sekali di peringkat bawah dan juga pertengahan
pasukan polis, di kalangan pemeriksa (merinyu) kesihatan penjaja, dan kumpulan
bailif yang bertugas menyekat perilaku para setinggan di atas tanah kerajaan.
Merinyu ini berupaya mengeluarkan saman ataupun berpaling ke arah lain
untuk menerima imbuhan yang berpadan.
Kami mengambil keputusan untuk memberikan perhatian terhadap kumpulan jerung di kalangan atasan dan mengarahkan CPIB untuk memberi fokus terhadap prioriti ini. Kumpulan ikan sepat pula ditangani dengan cara memudahkan lagi segala prosedur yang ada dan diperbaiki dengan cara menerbitkan panduan bertulis yang jelas. Tindakan ini termasuklah memansuhkan keperluan mengeluarkan permit dan kelulusan dalam pelbagai bidang. Sambil kami menghadapi masalah dalam menjatuhkan hukuman ketika pendakwaan, kami pun melakukan perubahan dalam perundangan secara bertahap.
Pada 1960, kami telah merombak undang-undang pencegahan rasuah dan telah memberi tafsiran yang lebih luas terhadap imbuhan untuk mengambil kira apa saja yang bernilai. Pindaan in telah memberikan kuasa yang lebih luas kepada para penyiasat, termasuk penahanan dan pemeriksaan dan penyelidikan ke atas akaun bank, buku simpanan sesiapa yang disyaki itu termasuk isteri mereka, anak-anak dan agen mereka. Tidak lagi menjadi satu masalah untuk membuktikan bahawa insan yang menerima rasuah itu adalah dalam satu kedudukan untuk menerimanya. Penguat kuasa cukai pendapatan dimestikan memberi maklumat terhadap sesiapa yang disiasat. Undang-undang yang ada ketika itu tidak mengambil kira pembabitan seseorang yang bersubahat kerana ketiadaan bukti yang sah telah ditukarkan untuk membolehkan hakim menerima pengakuan seorang yang bersubahat.
Satu perubahan yang sungguh berkesan telah kami laksanakan pada 1960. Ini memberikan kemudahan kepada mahkamah untuk menerima sebarang bukti betapa seseorang yang dituduh itu telah hidup melebihi taraf keupayaannya ataupun mempunyai harta yang tidak dapat dipadan dengan kemampuan pendapatan bulanannya. Semua ini boleh dijadikan barang bukti bahawa yang tertuduh itu telah menerima ataupun memperoleh rasuah. Penekanan melaksanakan pembasmian rasuah ini dan kuasa untuk menyiasat sesiapa sahaja termasuk setiap menteri dan pegawai, pengarah CPIB yang bertugas di Jabatan Perdana Menteri telah melaksanakan satu reputasi yang sungguh berkesan untuk mendedahkan sesiapa sahaja petualang amanah rakyat itu.
Pada tahun 1963, kami keluarkan undang-undang yang memastikan sesiapa sahaja yang diperlukan menjadi saksi kepada CPIB, menghadirkan dirinya untuk memberikan maklumat yang diperlukan. Pada 1989, denda maksimum kepada sesuatu jenis korupsi telah dinaikkan daripada S$10,000 kepada S$100,000. Memberikan maklumat palsu ataupun maklumat yang songsang kepada CPIB menjadi satu kesalahan yang melibatkan hukum penjara dan denda sehingga S$10,000. Mahkamah juga diberi kuasa merampas sebarang faedah yang terbit daripada korupsi.
Korupsi pernah merupakan satu tindakan yang dirancang secara besar-besaran di beberapa tempat tertentu. Pada 1971, CPIB berjaya menumpaskan satu sindiket yang membabitkan 250 anggota polis yang menerima bayaran di antara S$5 hingga $10 setiap bulan daripada tuan punya lori yang mengecat warna khas di dinding lori mereka. Tuan punya lori yang enggan membuat bayaran itu akan kerap diganggu dan diberikan saman.
Pegawai kastam menerima wang sogok sebagai imbuhan untuk mempercepatkan pemeriksaan ke atas kenderaan yang membawa barangan lari-cukai. Pegawai yang bertugas di Pusat Bekalan (jabatan perolehan kerajaan) membocorkan maklumat mengenai harga tender kerana mereka disogok. Pegawai di jabatan import dan eksport menerima wang sogok untuk mempercepatkan pengeluaran permit. Para kontraktor menyogok kerani kawasan tapak untuk memudahkan kerja menanam cerucuk. Pekerja awam yang mengangkut sampah di upah oleh pekedai dan para penghuni rumah perumahan untuk mengangkut sampah sarap mereka. Pengetua dan guru-guru sekolah di sekolah Cina menerima komisen daripada pembekal peralatan. Kebijaksanaan manusia memang tidak ada hadnya dalam menyalahgunakan kuasa dan kepintaran untuk kepentingan dirinya.
Memang tidak susah untuk membasmi kumpulan haram itu. Tetapi, kisah penyelewengan yang berlaku secara sendirian adalah lebih sukar untuk dikesan. Apabila terserempak pun, selalunya ia terpaksa diabaikan.
Lee Kuan Yew - Terjemahan MT
(suntingan M@RHAEN)
![]() |
![]() |