KEPONGAHAN MAHATHIR MENGAIBKAN MELAYU
Oleh Naspazi
Tiada perlakuan yang lebih menghiris jantung hampir seluruh umat Melayu di negara ini selain daripada kepongahan Mahathir memecat DSAI. Hatta, seluruh dunia sekalipun turut bersedih dengan perlakuan Mahathir dan sekongkolannya ke atas DSAI. Mengapa DSAI diperlakukan begitu?“Ada pendapat yang serius”, bahawa Mahathir memang berniat jahat dari awal lagi untuk memusnahkan hidup DSAI yang dirancang begitu rapi. Cara mana mereka (sekongkolan) Mahathir memusnahkan hidup DSAI yang Mahathir fikirkan dan laksanakan tidak menjadi pertimbangan kerana “keputusan akhir yang penting”. Dipercayai juga yang Mahathir berpendapat, bahawa sekiranya DSAI tidak berada dalam kerajaan, kemungkinan besar DSAI menggugat pentadbirannya sehingga mampu menyingkatkan pemerintahannya sebagai Perdana Menteri. Sementelahan, ketika itu DSAI telah memiliki kepercayaan dan pengaruh yang luas bukan setakat negara-negara Islam bahkan seluruh dunia yang wujud pergerakan Islam.
Mahathir percaya, dengan adanya DSAI dalam kerajaan, maka idealisme perjuangan DSAI akan dapat dimatikan atau sekurang-kurangnya dilemahkan dengan cara penghuluran pangkat wang. Tetapi Mahathir silap, kerana “Anwar tetap Anwar”. Perhatikan pantun DSAI tahun 70-an berikut:-
“Bunga kemunting di dalam pagar,
Kembang mewangi semerbak sunyi,
Dengan helah pencak pendekar,
Takkan tergugat pahlawan sejati.”Bukan semua orang mampu mempertahankan pendirian awalnya seperti DSAI. Lihatlah Kassim Ahmad dengan perjuangan Sosialisnya, Nakhaie Ahmad dengan perjuangan Islamnya, Zahid Hamidi dengan perjuangan Memperkasa Daya Tahan Menjana Reformasinya, Dr. Chandra Muzaffar dengan perjuangan Politik Barunya (sekadar menyebut beberapa nama), kesemua mereka ini telah gagal mengotakan pendirian awal mereka. Bahkan kita dapati mereka ini sekarang merupakan antara orang yang lantang mencerca DSAI. Mereka ini laksana menjilat kahak hijau sambil membina jambatan yang dibakarnya sendiri.
Mari kita lihat pendirian pemimpin sejati yang berprinsip “pantang mundur, pantang menyerah, pantang mati sebelum ajal”, pada tahun 1997, ketika DSAI memangku jawatan Perdana Menteri secara terang-terangan telah menjelaskan kepada majalah antarabangsa yang beliau akan “mengadakan perubahan dasar terhadap negara” jika menjadi Perdana Menteri. Lantaran itu, Mahathir kecewa dengan pendirian DSAI yang masih tidak berubah walaupun telah “diumpan dengan jerat pangkat dan wang”. Mahathir kecewa kerana DSAI tidak mudah terpengaruh dengan budaya ringgit dan pangkat seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang lain. Hakikatnya, penghuluran pangkat dan wang tidak mematikan atau melemahkan idealisme perjuangan DSAI. Yang demikian, sudah tentu ketegasan pendirian DSAI amat menakutkan atau menggerunkan semua pemimpin UMNO dan BN yang tidak amanah.
Kelakuan “tidak amanah melampau” Mahathir dan para pemimpin UMNO amat tidak menyenangkan hati DSAI. Justeru keluhuran dan ketegasan pendirian DSAI sungguh-sungguh menakutkan Mahathir dan sekongkolannya yang sudah terlanjur berpakat memilik-peribadikan beberapa khazanah negara secara halus demi memperkayakan anak-anaknya dan sekongkolannyanya. Kemarahan yang telah lama dipendam oleh DSAI terhadap Mahathir dan sekongkolannya kita dapat menyelaminya menerusi pantun beliau berikut:-
Akar nibung tumbuh meresap,
Akar mati dalam perahu,
Terbakar kampung kelihatan asap,
Terbakar hati siapa tahu.Kebetulan, gelombang kemusnahan kreatif ekonomi yang melanda negara telah mengheret dan menyapu anak-anak Mahathir dan sekongkolannya ke lembah neraka kebankrupan, sehingga angin yang bertiup dari Seri Perdana membawa perutusan yang Mirzan bin Mahathir ada keinginan untuk mencabut nyawanya sendiri akibat masalah ekonomi yang dihadapinya. Meskipun begitu, DSAI tidak mahu mengikut arahan Mahathir yang mengarahkan Kementerian Kewangan menggunakan “Dana Awam” untuk menyelamatkan anak-anaknya dan sekongkolannya yang jatuh bankrup.
Kesudahannya berakhir dengan senarai panjang pemecatan yang bermula dengan salah seorang Pegawai Penyiaran TV3, Ketua Pengarang Berita Harian, Ketua Pengarang Utusan Malaysia dan ramai lagi yang akhirnya DSAI sendiri dipecat atas alasan fitnah yang teramat jijik dan teramat keji sepanjang sejarah umat Melayu berbangsa dan bernegara setakat ini.
"JABATAN PERDANA MENTERI MALAYSIA.
YANG BERHORMAT DATO SERI ANWAR BIN IBRAHIM.
YANG BERHORMAT DATO,Dengan dukacitanya saya terpaksa melucutkan jawatan-jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan daripada Dato Seri serta lain-lain jawatan dalam kerajaan yang dipegang oleh Dato serta sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Perlucutan ini berkuatkuasa dari hari ini, 2 September 1998 mulai jam 5.30 petang.
Perlucutan ini telah dimaklumkan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Salam Hormat,
Dr Mahathir bin Mohamad
2 September 1998"
Ada penulis pendokong reformasi yang mengatakan bahawa “haram” Mahathir menggunakan perkataan “bin” pada nama penuhnya kerana ia pada asalnya menggunakan perkataan “A/L” pada nama penuhnya, tegasnya atau sepatutnya dengan cara ini “Dr Mahathir A/L Mohamad”.
Semenjak perlucutan jawatan Dato' Seri Anwar Ibrahim, umat Melayu terbahagi kepada dua golongan. Golongan yang pertama memandang Mahathir sebagai "manusia berkepala taik yang busuk lagi membusukkan". Golongan yang kedua terdiri daripada mereka yang “menyembah Mahathir” kerana menganggapnya sebagai “manusia mahakuasa". Golongan yang pertama ramai yang “hidup susah” hatta menderita dalam penjara kerana menjadi mangsa kekejaman Mahathir. Oleh sebab itu, golongan yang pertama ini menganggap Mahathir sebagai "Mahafiraun". Sementara golongan yang kedua ramai yang diberi pangkat, pada hal mereka tidak layak menerima pangkat tersebut kerana mereka hanyalah "manusia kelas kabin" yang merugikan umat Melayu sahaja. Tetapi, oleh kerana golongan yang kedua ini “laparkan wang dan dahakan kuasa” maka mereka pun turut menganggap Mahathir sebagai Mahafiraun juga, tetapi "Firaun baik". "Kalau kurang jelas tanya sama itu Jabat".
Apabila umat melayu terbahagi kepada mereka yang "menolong Dato' Seri Anwar Ibrahim" dengan mereka yang "menyembah mahathir", maka Mahathir menganggapnya sebagai perpecahan umat Melayu. Lantaran itu, ia bergentayangan mengingatkan umat Melayu tentang keburukan perpecahan, tetapi pada masa yang sama ia terus bermaharajagila laksana Maharaja Firaun “memijak-mijak kepala dan maruah umat Melayu” dengan melakukan pelbagai kezaliman seperti "memisahkan suami dari isteri dan anak-anak, memisahkan anak-anak dari kedua ibu bapa", di samping pelbagai label penghinaan kepada bangsa Melayu seperti "Melayu Mudah Lupa, Melayu Haprak, Melayu Bangsa Bertongkat, Mencerca Ulama, Memperlekeh Nabi Muhammad S.A.W." dan sebagainya.
Sesungguhnya perbuatan Mahathir memecat DSAI adalah punca kepada wujudnya percanggahan dan permusuhan di kalangan umat Melayu yang sangat merugikan umat Melayu sendiri. Tetapi, walau apapun yang berlaku kepada umat Melayu "Mahathir tidak rugi apa-apa". Sebabnya, walaupun umat Melayu berperang sesama sendiri ia (mahathir) tetap menjadi Perdana Menteri. Hanya natijahnya, ramai umat Melayu yang hidup terasing dan tersingkir sesama sendiri. Walaupun sesama Melayu tinggal berdekatan antara satu sama lain tetapi setiap orang mendapati dirinya semakin terasing daripada jirannya. Persefahaman dan keikhlasan antara satu sama lain juga semakin tandus dan gersang. Justeru, permusuhan dan kebencian di kalangan sesama Melayu semakin melebar.
Sekarang, selepas Mahathir menyemai angin permusuhan dan percanggahan di kalangan masyarakat, barulah bajingan-bajingan UMNO termasuk Mahathir bergentayangan mendendangkan lagu perpaduan demi keamanan kononnya. Pada hal amankah DSAI dan rakan-rakan beliau dalam penjara? Mahathir jangan cuba menyangka semua orang Melayu bodoh yang tidak tahu dari sudut mana seharusnya keamanan itu bermula. Keamanan adalah hasil dari keharmonian masyarakat, tegasnya keharmonian antara manusia dengan manusia yang lain. Justeru, keamanan yang cuba diwujudkan oleh Mahathir dengan cara paksaan dan penipuan sekarang ini pasti tidak akan kekal, kerana di sebaliknya ada agenda tersembunyi yang berkaitan dengan kepentingan diri, keluarga dan sekongkolannya.
Lantaran itu, para pendokong keadilan, perjuangan mesti diteruskan, tetapi bukan berjuang untuk kepentingan diri yang bertentangan dengan kebenaran, sebagaimana perjuangan yang dilaungkan dari kubur Raja Mendaliar oleh para bajingan UMNO. Daripada sudut moral sejarah, orang yang berjuang untuk keamanan, keadilan dan kebenaran walaupun gagal, akan tetap dianggap sebagai menang di lapangan kebenaran dan budi. Sesekali kita perlu merenung ungkapan bijaksana leluhur kita:
“Agunglah seorang pahlawan yang menang di medan pertempuran, tetapi orang yang dapat menguasai dirinya merupakan pemenang yang lebih agung lagi. Seseorang pahlawan yang berniat baik dan adil, tidak akan menemui kegagalan sekalipun terkorban. Maka berjuanglah dengan berani dan bijaksana semoga kalian menjadi pahlawan yang memperjuangkan kebenaran.” Sebagai penutup, saya memetik semula harapan yang menjiwai penulisan saya yang lepas:
“Saya ingin sekali melihat rakyat Malaysia merempuh diktator Mahathir dengan keberanian tinggi yang bermoral sebagai panglima, sebagaimana keberanian rakyat Peru merempuh diktator Fujimori sehingga tercampak semula ke Jepun. Mahathir agaknya tercampak semula ke mana?
“Saya berfikir, jadi saya ada (cogito ergo sum).” Kata Descartes.
Nota penting kepada para penterjemah Laman Reformasi:
Ada beberapa artikel penting DSAI yang mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai artikel yang hebat. Antaranya ialah:
1. A Wave of Creative Destruction is Sweeping Asia
2. Who Hijacked Islam?Saya percaya, artikel-artikel tersebut penting dibaca oleh seluruh rakat Malaysia khususnya para Pejuang Reformasi. Oleh kerana bukan semua Pejuang Reformasi menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, di samping kesulitan untuk memperolehi bahan tersebut, maka elok sekali jika artikel tersebut dapat diterjemahkan ke Bahasa Melayu untuk disiarkan secara tetap ke seluruh Laman Reformasi.
- Naspazi - 24.12.2002
![]()
.