 |
.... |
ANWAR
DIHUKUM KERANA 'DOSA' KEPADA MIRZAN
Oleh:
Azam (Telah disiarkan pada awal 1999)
Terbitan
semula oleh M@RHAEN (Petikan drp Laman Bantahan) |
Tidak
seperti kisah bagaimana anak Ling Liong Sik yang mencipta kejayaan pada
usia semuda 27 tahun, Mirzan Mahathir muncul dan menjadi terkenal dengan
cara yang berbeza sedikit, di mana sekurang-kurangnya pada peringkat awalnya,
Mirzan naik dengan hati-hati dan berfokus.
Penglibatan
Mirzan dalam dunia korporat menjadi begitu jelas pada awal tahun 90-an
apabila dia masuk ke dalam Konsortium Perkapalan Bhd. (KPB). Waktu itu
usianya sudah pertengahan tiga puluh tahun. Sebelum itu dia pernah bekerja
beberapa tahun di Saloman Brothers di Hong Kong dan di US, iaitu selepas
dia lulus ijazah MBA daripada Wharton's School Of Finance, University of
Pennsylvania. Memang betul, dia lulus dari Wharton meskipun dia hanya memiliki
ijazah pertama yang biasa-biasa sahaja daripada sebuah politeknik di UK
yang pada masa itu belum pun bertaraf universiti, tetapi dia dapat masuk
Wharton kerana mempunyai surat rujukan yang kuat daripada sebuah Pejabat
Perdana Menteri! (Maripapakasi, meritokrasi versi Mahathir - M@RHAEN).
Semasa dia bekerja di Hong Kong dia mengahwini seorang gadis Cina yang
mempunyai kaitan rapat dengan seorang jutawan Indonesia. Kehidupan peribadi
Mirzan tidak banyak diketahui orang.
Selepas untung
beberapa juta hasil pembelian saham-saham syarikat pada harga yang amat
rendah di bawah skim istimewa kerajaan bagi pemindahan hakmilik korporat
kepada Bumiputera, Mirzan mula menunjukkan minatnya kepada KPB.
KPB ialah salah
sebuah daripada lima syarikat pengangkutan kontena di negara ini dan ia
menguasai 25% daripada pasaran, dengan itu ia adalah syarikat kontena ketiga
terbesar, selepas Kontena Nasional dan MISC Haulage. Sewaktu
Mirzan memasuki
KPB syarikat itu sudah beroperasi beberapa belas tahun. Dengan kehadiran
Mirzan dalam pengurusan tertinggi KPB, syarikat itu mula membeli saham
syarikat-syarikat lain dan mengubah strukturnya supaya menjadi sebuah pasaraya
pengangkutan bertaraf mega, meliputi pengangkutan darat yang terdiri daripada
pengangkutan trak dan rumah gudang, sampailah kepada pengendalian pelabuhan,
perkapalan dan pemilikan kapal. Pada akhir tahun 1995, sejurus sebelum
sahamnya disenaraikan, KPB membeli Perbadanan Nasional Shipping Line (PNSL)
daripada Pernas dan Malaysian Helicopter Services.
Jumlah harga
yang dibayar adalah murah memandangkan hampir semua kapal-kapal PNSL disewakan
kepada perbadanan-perbadanan kerajaan dengan kontrak jangka panjang dalam
dolar Amerika. Pada umumnya, kapal-kapal PNSL disewakan kepada perbadanan-perbadanan
kerajaan seperti Tenaga Nasional untuk membawa arang batu, kepada Kedah
Cement untuk membawa simen, kepada Perwaja untuk membawa besi skrap, kepada
Bernas untuk membawa beras, dan ia menyewakan kapal-kapal tangkinya kepada
Petronas, termasuk sebuah kapal tangki LNG saiz kecil.
Melalui langkah-langkah
itu, dan dengan bantuan Rashid Hussain serta beberapa buah bank tempatan,
Mirzan menjadi pemilik tunggal saham-saham KPB, iaitu melalui syarikat
milik peribadinya, Peringkat Prestasi, bersama-sama beberapa individu lain
yang dipercayai adalah pengasas KPB sendiri.
Pembelian itu
segera diikuti pula oleh langkah pembelian MBO ke atas Pernas, yang waktu
itu merupakan agensi pelaburan kerajaan, di mana langkah itu dipelopori
oleh Tunku Shariman dan pasukannya sehingga membolehkan Pernas disenaraikan
di bawah PIHP. Penyenaraian Pernas dipercepatkan untuk mengelakkan harta-harta
syarikat itu daripada dibahagi-bahagikan oleh Mahathir kepada korporat-korporat
lain yang ada kaitan dengan dirinya. Apabila sudah tidak ada lagi harta
karun dalam Pernas, urusan jual beli itu pun dapat diselesaikan dengan
cepat tanpa sebarang bantahan.
Tanpa memiliki
PNSL lagi, perniagaan Pernas cuma tinggal dalam bidang perhotelan, perladangan
dan kilang gula. Perniagaan seperti itu tidak menarik minat korporat-korporat
yang ada kaitan dengan Mahathir, yang pada masa itu lebih berminat dengan
perniagaan yang lebih menguntungkan seperti projek-projek lebuhraya bertol
dan stesen-stesen penjana tenaga.
Para peramal
industri sudah pun menjangka akan berlaku penawaran berlebihan ke atas
bilik-bilik hotel. Ditambah pula dengan perniagaan perladangan yang tidak
memberangsangkan, harga-harga minyak sawit yang selalu turun naik tidak
menjamin keuntungan yang stabil, manakala potensi pembangunan hartanah
dan bank tanahnya tidak menjamin keuntungan besar luar biasa yang cepat.
Pada masa yang sama, perniagaan gula pula susah hendak untung disebabkan
status gula sebagai barangan terkawal.
Tidak banyak
yang diketahui sejauh mana Anwar terlibat dalam MBO Pernas tetapi kebanyakan
pegawai yang rapat dengan Tunku Shariman mengatakan pada masa itu mereka
berdua kenal baik. "Tapi jika saudara tanya Tunku Shariman sekarang, saya
yakin, kalau boleh dia hendak melupakan saja MBO itu," kata salah seorang
pegawai yang tidak mahu namanya disebut. Harga saham PIHP sekarang tidak
sampai RM1 berbanding dengan harga MBO sebanyak RM2.05.
Selepas KPB
dilancarkan dengan jayanya di KLSE (waktu dibuka harganya melebihi RM6.00
berbanding dengan harga yang ditawarkan pada RM2.60), KPB pun memulakan
pelbagai langkah-langkah korporat. Yang paling dipertikaikan ialah pembelian
Pacifc Basin dengan pembiayaan hutang dolar Amerika sebanyak US$240 juta.
Pacific Basin
ialah sebuah syarikat perkapalan yang berpengakalan di Hong Kong dan ia
disenaraikan di bursa saham Nasdaq. Ia memiliki 30 buah kapal pengangkutan
kering bersaiz sederhana yang kebanyakannya beroperasi Asia Timur terumatanya
di Hong Kong dan China. Kebanyakan penganalisis dan pemerhati industri
berpendapat harga pembelian yang dibuat waktu itu adalah mahal kerana waktu
itu pasaran kapal sedang jatuh. "Disebabkan kapal-kapal itu disewakan dengan
kontrak jangka pendek antara 1 hingga 3 tahun, maka harga saham itu tidak
wajar," kata seorang pegawai di syarikat perundingan Drewry Shipping Consultant.
Malah ada pihak-pihak percaya urusan jual beli PNSL adalah permainan syarikat
hantu, di mana sebuah syarikat ketiga, barangkali milik Mirzan sendiri,
berperanan sebagai orang tengah kepada seluruh jual beli itu, dengan cara
membeli Pacific Basin dengan harga murah dan menjualnya kepada KPB untuk
mendapat untung cepat. Para pegawai Pacific Basin enggan mengulas perkara
itu. "Pihak pengurusan Pacific Basin sangat komited kepada kumpulan Konsortium
dengan wawasannya hendak menjadi pemain utama dalam aktiviti perkapalan
dan pengangkutan peringkat wilayah, kalau pun bukan peringkat dunia. Kami
tidak akan mengkhianati nilai para pemegang saham KPB," kata Mark Harris,
seorang pegawai tinggi, di mana beliau juga adalah salah seorang pengasas
Pacific Basin.
Walaupun begitu,
Mark meletakkan jawatannya lewat tahun lalu, tanpa memenuhi kontrak pengurusannya
selama 2 tahun dengan KPB yang ditandatanganinya apabila KPB mengambil
alih Pacific Basin. Meskipun demikian, spekulasi ke atas KPB semakin rancak,
daripada kemungkinan ia diberi penswastaan pelabuhan Barat yang baru itu,
hinggalah kepada pembelian MISC. Pada masa yang sama, perniagaan KPB yang
ada terus mendapat kontrak-kontrak yang menguntungkan dan pelbagai usahasama,
termasuklah kontrak membangunkan bahagian forwarding dan/atau operasi pengangkutan
di Thailand, Indonesia dan Filipina. KPB juga mendapat kontrak penswastaan
pelabuhan kontena di India. Ini semua tidak mungkin diperolehi tanpa bantuan
Kementerian Pengangkutan dan hubungan dua hala antara kerajaan-kerajaan
yang terlibat.
Di satu pihak
lain, syarikat-syarikat milik Mirzan yang lain juga mendapat banyak kontrak
- termasuklah kontrak membekalkan perabot pejabat untuk Menara Kembar Petronas
melalui Artwright Holdings. Lain-lain syarikat miliknya termasuklah Dataprep,
Lion Land, Chocolate Products, Transmile.......senarai itu sangat panjang,
walaupun saham yang dimiliknya dalam syarikat-syarikat itu tidak sebesar
sahamnya dalam KPB.
Usahasama KPB
dengan Westport untuk membangunkan sebuah pusat transit kenderaan semakin
menguatkan lagi spekulasi bahawa KPB akan diberikan kontrak penswastaan
Pelabuhan Barat. Saham KPB naik lagi hingga sekitar RM16.00 apabila ia
mengumumkan langkah penstrukturan semula Diperdana Haulage, salah sebuah
daripada lima buah syarikat pengangkutan kontena yang besar serta PDZ Holdings,
sebuah syarikat perkapalan berpengakalan di Sarawak yang disenaraikan pada
papan kedua.
Pembelian MISC
dijangka akan menjadikan kumpulan KPB syarikat terbesar dalam serba-serbi,
daripada perkapalan sampailah kepada operasi pengangkitan kontena. Sekarang,
KPB cuma perlukan satu saja lagi supaya ia menjadi lebih besar lagi.....
MISC. Seorang pegawai berkata pembelian MISC memang sudah dirancangkan
sejak jual beli KPB/Diperdana/PDZ belum siap lagi. Malah, Mirzan sendiri
memberitahu dia berminat membeli MISC sebagai langkah jangka masa panjang
bagi membolehkan KPB menjadi konglomerat pengangkutan.
Kemudian, pada
pertengahan 1997, KPB menemui Kumpulan Wang Amanah pencen (KWAP), iaitu
dana wang pencen kakitangan kerajaan, untuk membeli saham KWAP dalam MISC
yang bernilai 29%. Tetapi peraturan ketat dana amanah itu mewajibkan sesuatu
asetnya dijual pada harga yang lebih tinggi daripada harga asalnya iaitu
RM7.50 sesaham. Pada masa yang sama, krisis kewangan baru saja bermula,
tetapi semua orang percaya ia adalah sementara sahaja. Isu bagai mana Petronas
ikut terlibat masih belum jelas sampai sekarang. Alasannya memang sangat
jelas, oleh kerana MISC menyewakan lima buah kapal LNG kepada Petronas
dalam keadaan yang amat menguntungkan, oleh itu kontrak sewaan dan pembelian
MISC boleh dilihat sebagai sebahagian daripada aktiviti hiliran pengedaran
gas. Walau bagaimanapun, penglibatan Petronas adalah sementara sahaja sehingga
KPB berjaya menyelesaikan masalah kewangannya bagi pengambil-alihan MISC.
Pada dasarnya langkah pembelian MISC daripada KWAP pada harga yang amat
tinggi iaitu RM9.20 berbanding dengan harga pasaran RM6.30 ialah untuk
membolehkan KPB membelinya kemudian.
Para spekulator
pasaran meramalkan satu lagi penstrukturan kali ini melibatkan kapal-kapal
LNG milik MISC yang amat menguntungkan, di mana dengan cara itu nilai saham
KPB diharapkan naik. Harga-harga saham KPB dijangka akan terus berada di
atas RM17.00. Tetapi keadaan itu tidak pernah terjadi apabila pasaran saham
dan nilai ringgit merudum. Keadaan menjadi begitu buruk sehingga KPB terpaksa
menangguhkan rancangan penstrukturan semula Diperdana dan PDZ Holdings.
Dengan beban hutang RM2 bilion (kebanyakan dalam dolar Amerika) akibat
pembelian Pacific Basin, modal KPB turun ke tahap yang amat membahayakan.
Tindakan mesti dibuat dengan cepat. Petronas mesti diarahkan supaya menyelamatkan
KPB melalui peranan yang akan dimainkan oleh MISC, bukan lagi KPB yang
mesti membeli MISC. Dengan itu maka suatu keputusan pun dibuat supaya MISC
(Petronas sudah sedia memiliki 29% saham KPB) mengambil alih aset-aset
KPB bagi mengurangkan beban hutang KPB.
Pengumuman itu
dibuat semasa Mahathir di luar negera. Petronas Tankers dijadikan pelunak
supaya perhatian dapat dialihkan daripada PNSL dan Pasific Basin. Harganya
belum masih belum ditetapkan, dan pada saat inilah Anwar masuk campur
apabila beliau mencadangkan supaya Clarksons, sebuah syarikat pakar runding
perkapalan, diberikan tugas menentukan harganya. Penilaian yang dibuat
itu sangat mengecewakan dan menyakitkan hati Mahathir kerana ia jauh lebih
rendah daripada harga semasa Mirzan membelinya, walaupun jumlah itu dapat
mengurangkan beban hutang KPB. Mahathir tidak dapat memaafkan dosa
Anwar itu. Cukuplah dengan perbuatan Anwar yang menyebabkan Renong tersungkur
akibat langkah-langkah berjimat cermat yang dilaksanakan oleh Bank Negara.
Sekarang anaknya pula dimalukan begitu sekali.
Mana mungkin
Mahathir memaafkan dosa-dosa Anwar. Anwar mesti dihukum, dan dia mesti
dihukum dengan beratnya.....
- Azam
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|