|
.... |
SALAHLAKU
MAHATHIR (Bhg. 2)
Steffan
Khinge & Associates
Terbitan
semula (Petikan drp Laman Bantahan) |
4.
Menghapuskan Kuasa Institusi Raja Berperlembagaan
Mahathir sangat
pakar dalam hal-hal psikologi rakyat Malaysia. Dia gemar pergi menjelajah
seluruh negara setiap kali berlakunya krisis. Lihat sajalah kempen Semarak
yang dikendalikan semasa krisis-krisis 1980an. "Semarak" kononnya bererti
"Setia bersama rakyat" tetapi lebih tepat kalau digelar "Setia bersama
Mahathir dan anak-anak". Tujuannya adalah untuk meraih simpati dan menyakinkan
rakyat biasa bahwa pandangannya sajalah yang betul .
Cara Mahathir
menangani isu-isu berhubung raja-raja Melayu ternyata berbeza dengan Perdana
Menteri yang lain-lain sebelumnya. Almarhum Tunku dan Allahyarham Tun Razak
mempunyai hubungan erat dengan pihak istana. Sebarang masalah pasti akan
dibincangkan secara baik dengan raja yang terbabit tanpa mensasikan isu
tersebut. Allahyarham Tun Hussein pun mampu mengekalkan hubungan harmonis
ini dengan cara diplomatiknya. Bekas pemimpin-pemimpin ini ada sifat "gentleman".
Mahathir bukanlah
seorang "gentleman". Mahathir lebih cenderung mengambil pendekatan konfrontasi
dalam menghadapi kerenah pihak istana. Apa sebab agaknya Sultan Johor memberi
nama jolokan "Mamak" kepada Mahathir? Jika gelaran "Mamak" ini dikaitkan
dengan pelakon cerita yang amat popular suatu masa dulu yang pernah menjadi
Ketua Menteri Tamil Nadu, mendiang MG Ramachandran tidaklah mengapa kerana
MGR selalu berlakon jadi hero.Mungkin Tuanku lihat kelakuan Mahathir seperti
Ketua Samseng ala cerita Hindustan/Tamil agaknya.
Pada tahun 1983
Mahathir menjelajah seluruh Malaysia untuk memberikan penerangan akan perlunya
dihapuskan imuniti (kekebalan) raja-raja Malaysia dari pendakwaan di mahkamah.
Kononnya Raja-raja ini sudah melampaui batas dan perlu dibendung. Pada
tahun 1992-93 timbul pula isu meminda perlembagaan untuk melaksanakan rang
undang-undang tanpa memerlukan kelulusan DYMM Agong asalkan perkara tersebut
telah dimaklumkan kepadanya. Maka Mahathir pun mengelilingi satu negara
menjaja cadangannya. Rapat umum besar-besaran diadakan di segenap ceruk
Malaysia. Dihimpunkan ahli-ahli parti komponen BN, kakitangan kerajaan
dan rakyat jelata untuk mendengar amanat Maharaja Mahathir.
Untuk menyakinkan
rakyat bahwa kekuasaan raja-raja Melayu perlu dibataskan maka propaganda
kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mahathir mula mendedahkan salahlaku
raja-raja. Cerita-cerita lama diberi nafas baru dan di"release"kan semula
untuk tontonan ramai. Wayang-wayang "cheap matinee" ini tidak dikenakan
apa-apa bayaran. Tidak perlu berbaris panjang untuk membeli tiket. Semuanya
percuma ikhlas dari Mahathir kepada rakyat Malaysia. Rakyat dihidangkan
kes-kes wang balak di Pahang, salahlaku anak raja memukul jurulatih, kereta
Ferrari Diablo Sultan Kelantan, "istana-istana mewah" milik raja-raja dan
sebagainya. Sampaikan banglo DYMM Sultan Perlis di Bukit Jambul, Pulau
Pinang pun dinaikkan taraf kepada "istana". Tidak menjadi kesalahan kalau
Mahathir mahu membina sebuah "istana" di Putrajaya. Bukannya Mahathir tidak
tahu cara hidup raja-raja kita selama ini tetapi dia hanya timbulkan hal-hal
itu sebagai ugutan kepada mereka. Apalah nilainya kaum kerabat diraja kalau
sudah hilang daulat. Kalau hanya setakat tinggal "Raja" pada nama, si Rajasekaran,
Rajagopal dan Rajamani pun boleh mengaku saudara. Kesimpulannya, kalau
raja-raja berdegil menentangnya maka akan "pecahlah tembelang" mereka.
Seharusnya Mahathir
diberi tabik hormat diraja kerana dia berjaya melakukan apa yang British
gagal mencapai. Walaupun British berjaya memaksa Raja-raja Melayu menyetujui
rancangan Malayan Union tetapi tidak berhasil melaksanakannya setelah ditentang
hebat oleh orang-orang Melayu yang bersatu di bawah kepimpinan Allahyarham
Dato’ Onn Jaafar. Buat pertama kali dalam sejarah orang Melayu segala perbezaan
semangat kenegerian, loghat, adat resam dan pegangan politik diketepikan
demi menghadapi ancaman musuh besar. Mahathir atau nama penanya C.H.E.
Det melihat sendiri betapa hebat kesannya siri rapat umum yang dianjurkan
ketika itu. Mahathir tahu bahwa rakyat terutamanya orang Melayu akan bersatu
di belakang pemimpin mereka kalau merasa terancam. Pengamatan ini mengajar
Mahathir tentang keberkesanan "mob mentality". Dalam hal ini "modus operandi"
Mahathir lebih halus dan licin berbanding Hitler yang menggunakan kekerasan
untuk mencapai matlamatnya.
Kini Mahathir
tidak perlu lagi bimbang mana-mana rancangannya akan tersadai di Parlimen.
Dia mampu melaksanakan apa sahaja undang-undang yang mendatangkan kebaikan
padanya. Majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang
milik Mahathir. Parlimen yang dikuasai BN hanya setakat menjadi "rubber
stamp". Ahli-ahli Parlimen, jika ada pun yang mengambil kisah, tidak menunjukkan
kesungguhan dan intelek yang tinggi semasa membahaskan sesuatu rang undang-undang.
Sebaliknya apabila pembangkang berhujjah terdapat MP Barisan seperti Badruldin
dari Yan yang sering mencelah, mengganggu dan berlagak seperti samseng
mengeluarkan kata-kata bodoh dan kesat. Raja-raja pula sudah dijinakkan
oleh seorang Mamak Bendahara yang tersangat kebal.
5. Memusnahkan
Kebebasan Kehakiman
Sebelum krisis
melanda kebebasan institusi kehakiman negara , pihak kehakiman negara dipandang
tinggi di serata dunia. Malahan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas diiktiraf
antara hakim terbaik di kalangan negara-negara Komanwel. Malangnya sanjungan
dunia terhadap badan kehakiman kita terhakis begitu rupa angkara Mahathir
yang pendendam.
Kemarahan Mahathir
terhadap badan kehakiman negara tidak terhingga bermula dari episod UMNO
diheret ke mahkamah oleh 11 orang ahli UMNO yang tidak berpuas hati. Kumpulan
ahli UMNO tersebut telah merayu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai
keputusan pilihanraya pucuk pimpinan parti yang diadakan pada tahun 1987.
Semasa pertandingan ini Mahathir hampir tumpas kepada gandingan Tengku
Razaleigh-Musa Hitam. Sewaktu itu UMNO telah berpecah kepada Team A (Mahathir)
dan Team B (penentangnya).
Kumpulan 11
ini membawa kes ke muka pengadilan kerana mendakwa terdapat segelintir
perwakilan yang mengundi datang dari cawangan yang tidak berdaftar secara
sah. Mereka memohon agar pilihanraya tersebut diisytiharkan tidak sah.
Kalau pemilihan terpaksa dijalankan semula tanpa penglibatan perwakilan
"haram" tersebut, mungkin Team B boleh ditabalkan menerajui UMNO. Kalau
ini berlaku maka Team A terpaksa memahat batu nesan dan menyiapkan kain
kapan buat Mahathir. Namun begitu keputusan yang dibuat oleh Hakim Harun
Hashim memeranjatkan semua pihak. Hakim tersebut mendapati bahwa di bawah
peruntukan Akta Pertubuhan 1966 bukan sahaja pemilihan tersebut tidak sah,
malah parti UMNO sendiri adalah sebuah pertubuhan yang tidak sah! Pendek
kata ahli-ahli UMNO adalah anggota pertubuhan yang haram macam
kongsi gelap.
Maka bermulalah
perebutan di antara kedua-dua puak UMNO untuk mendaftar semula parti kesayangan
mereka. UMNO Baru anjuran Mahathir berjaya didaftarkan sebagai pengganti
parti asal yang diisytiharkan haram tempoh hari. Puak Ku Li-Musa yang mendapat
sokongan Almarhum Tunku gagal mendaftarkan UMNO Malaysia. Selepas menewaskan
cabaran Team B, Mahathir mula merancang strategi untuk membendung kebebasan
badan kehakiman kerana "perjuangannya masih belum selesai". Mahathir mahu
memastikan institusi mulia ini duduk di bawah telunjuk Eksekutif i.e. kekuasaannya.
Matlamatnya tercapai apabila pindaan yang membolehkan bidang Eksekutif
menguasai badan kehakiman telah diluluskan oleh Parlimen. Taktik Mahathir
berjaya kerana sebelum itu pada bulan Oktober 1987 pemimpin-pemimpin pembangkang
dan para pengkritik sosial telah ditahan di bawah ISA melalui Ops Lalang.
Mahathir menang "walkover" kerana lawannya tidak dapat hadir.
Serangan bertali
arus Mahathir secara terang-terangan terhadap keutuhan badan kehakiman
menyebabkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas memanggil suatu persidangan
hakim-hakim. Dalam bulan Mac 1988 seramai 20 orang hakim bermesyuarat di
Mahkamah Agung. Mereka mencapai kata sepakat menghantar perutusan kepada
DYMM Agong menyuarakan bantahan terhadap kenyataan-kenyataan berbisa Mahathir.
Tidak sampai seminggu selepas perutusan itu dihantar kepada Sultan Johor
selaku DYMM Agong , Tun Salleh telah digantung dari jawatan Ketua Hakim
Negara oleh Tuanku atas nasihat Mahathir. Pada masa yang sama Tan Sri Abdul
Hamid telah dilantik untuk memangku jawatan berkenaan. Sukar untuk dipercayai
orang macam Mahathir boleh beri nasihat. Rasanya lebih tepat kalau digunakan
perkataan "arahan". Entah-entah Seri
Paduka terpaksa
tunduk kepada kemahuan Mahathir kerana takut rahsia-rahsianya akan didedahkan.
Alasan yang
diberikan untuk penggantungan Tun Salleh ialah kononnya Seri Paduka murka
terhadap perutusan para hakim. Penggantungan ini dilaksanakan juga walaupun
Majlis Raja-raja telah mengesyorkan supaya Tun Salleh dikembalikan kepada
jawatannya. Sebuah Tribunal Kehakiman telah ditubuhkan untuk menentukan
nasib Tun Salleh. Keahlian dan kesahihan tribunal berkenaan menimbulkan
kesangsian tentang niat sebenar penganiyaan Tun Salleh. Pertama, bilangan
anggota tribunal sepatutnya angka ganjil supaya tidak berlaku sebarang
keputusan tergantung (deadlock). Akan tetapi enam orang hakim telah dilantik
menganggotai tribunal ini. Kedua, pemangku jawatan Ketua Hakim Negara yakni
Tan Sri Abdul Hamid tidak wajar menduduki tribunal tersebut kerana mempunyai
kepentingan secara langsung terhadap kes yang akan didengar. Ketiga, menurut
norma-norma keadilan sejagat anggota tribunal hendaklah terdiri dari mereka
yang sekurang-kurangnya sama taraf dengan orang yang hendak dihakimi. Daripada
enam ahli tribunal ini hanya seorang ahli sahaja, seorang warga Sri Lanka,
yang menepati tuntutan keadilan yang disebutkan. Bantahan yang dikemukan
oleh peguam Tun Salleh tidak dihiraukan sama sekali.
Akhirnya Tun
Salleh didapati bersalah di atas tuduhan menghina kredibility Kerajaan
dengan membuat andaian bahwa pihak Eksekutif tidak menyakini kebebasan
badan kehakiman. Tribunal anjuran Mahathir ala mahkamah kangaroo selesai
membicarakan Tun Salleh hanya dalam masa kira-kira empat jam sahaja! Pastinya
suatu rekod yang membanggakan Mahathir ketika itu sebelum dipecahkan oleh
kes-kes Sukma dan Dr. Munawar. Maka lengkaplah penghinaan kepada kebebasan
institusi kehakiman dengan pemecatan Tun Salleh sebagai Ketua Hakim Negara.
Selepas tersingkirnya Tun Salleh dari jawatan tertinggi ini maka tidak
menghairankan sedikit pun apabila tindak-tanduk kepimpinan badan kehakiman
negara mencerminkan mereka ini hanyalah sekadar menjadi orang suruhan Mahathir.
Kepercayaan
rakyat terhadap kebebasan pimpinan tersebut semakin terhakis. Apatah lagi
bila mana terdedahnya dakwaan bahwa berlaku rasuah di kalangan profesion
kehakiman. Penulis "surat layang" yang memuatkan tuduhan berkenaan telah
dikenalpasti sebagai seorang hakim. Anehnya tiada tindakan perundangan
yang diambil terhadap individu berkenaan meskipun dakwaannya teramat serius.
Penulis surat diizinkan berundur secara "terhormat" dan kes tersebut ditutup
begitu saja. Maruah badan kehakiman semakin tercemar apabila pendedahan
dibuat oleh saksi mengenai pembabitan orang ternama termasuk seorang anggota
kehakiman di dalam kes perbicaraan pelacuran Ming Court-Haslinda Merican.
Rakyat seterusnya bertambah gusar apabila mengetahui betapa akrabnya segelintir
anggota kehakiman dengan golongan korporat pro-Mahathir berikutan pengedaran
gambar-gambar percutian kedua-dua pihak. Sesungguhnya konspirasi menjatuhkan
Anwar Ibrahim menyaksikan sekali lagi kesefahaman dan "teamwork" rapat
di antara anasir-anasir tertentu di pihak badan kehakiman dan rejim Mahathir.
Hakim-hakim yang dianggap bersimpati dengan penganiayaan Anwar (dan juga
pembelakangan prinsip-prinsip keadilan sejagat) telah ditukar dengan segera.
Semuanya dilakukan di atas titah Seri Paduka Baginda Mahathir!
Semestinya setiap
usaha dilakukan untuk menaikkan semula martabat institusi kehakiman. Sebelum
tercapainya matlamat ini maka selama itulah cahaya keadilan terus malap
di Malaysia. Rakyat Malaysia masih ternanti-nanti kemunculan pahlawan gagah
berani yang akan menentang pemerintah yang Mahazalim. Tiada jalan maupun
pilihan lagi bagi Malaysia - Mahathir mestilah disingkirkan!
6. Berperang
dengan Ulamak
Mahathir mempunyai
tafsiran radikal terhadap ugama Islam dan peranan ulamak dalam masyarakat.
Dia menolak perlaksanaan undang-undang Islam yang menyeluruh dengan alasan
kononnya undang-undang tersebut tidak sesuai dengan masyarakat majmuk di
negara ini. Bagi Mahathir kalau hukum Hudud dijalankan maka akan ramailah
rakyat yang akan kudung tangan dan tiada lagi batu-batu untuk membuat jalan-jalan.
Oleh itu tidaklah
pelik bila Mahathir menolak cadangan kerajaan Kelantan yang diterajui oleh
PAS untuk melaksanakan hukum hudud. Mahathir mendakwa perlaksanaan hukum
ini akan menyebabkan kezaliman yang ketara berlaku. Dalam sepucuk surat
kepada Menteri Besar Kelantan, Ustaz Nik Aziz yang diutuskan pada tahun
1994, Mahahtir memberi amaran bahwa Kerajaan Persekutuan akan mengambil
tindakan yang sewajarnya jika kerajaan Kelantan masih berdegil mahukan
melaksanakan hukum Hudud.
Mahathir betul-betul
murka dengan pihak berkuasa agama apabila tiga gadis Islam berketurunan
Melayu telah ditahan oleh pegawai-pegawai JAIS di sebuah hotel pada bulan
Jun 1997. Gadis-gadis tersebut adalah Fahyu Hanim, Noni dan Sharina. Mereka
telah didakwa melakukan kesalahan di bawah undang-undang agama Islam negeri
Selangor yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu
cantik.
Sebenarnya pengharaman
tersebut bukannya tidak mendapat liputan meluas media tempatan. Penguatkuasaan
undang-undang tersebut dilakukan setelah 2 tahun rang undang-undang itu
diwartakan. Bukanlah Mufti yang meluluskan undang-undang kontroversi itu
dengan sewenang-wenangnya. Mufti telah mengemukan cadangan melarang wanita
Islam berpakaian tidak sopan dan mengambil bahagian dalam pertandingan
ratu cantik kepada Majlis Fatwa Negeri. Majlis Fatwa tersebut telah menerima
cadangan ini sebagai fatwa yang boleh digunapakai. Rang undang-undang berkaitan
telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor yang didominasi oleh
UMNO. Seterusnya rang undang-undang ini telah diwartakan pada bulan Mei
1995. Ini
bererti DUN
Selangor sendiri telah menghalalkan penggunaan fatwa terbabit.
Semasa penangkapan
tiga gadis ini dibuat Mahathir sedang bercuti di luar negara. Apabila ditanya
pendapatnya mengenai hal tersebut, Mahathir melahirkan rasa kesalnya dan
menuduh pihak JAIS tidak memahami tuntutan agama. Mahathir seterusnya membidas
pihak berkuasa agama dengan dakwaan kononnya mereka telah menyalahgunakan
kuasa. Tindakan menggari ketiga-tiga pesalah tersebut dianggap melampau
dan menjejaskan imej Malaysia. Mahathir sebenarnya mahukan mereka itu diberi
penerangan terperinci mengenai kesalahan yang bakal dilakukan jika meneruskan
penglibatan dalam pertandingan tersebut. Mahathir berdalih mungkin gadis-gadis
itu tidak mengetahui bahwa undang-undang itu telah diwartakan. Alangkah
bertuahnya
semua rakyat jika boleh memberi alasan kepada pihak polis, JPJ dan penguatkuasa
tempatan bahwa kita tidak mengetahui atau memahami sesuatu peruntukan undang-undang
yang diwartakan. Malangnya samada kita membaca atau tidak sesuatu warta
, kesalahan tetap kesalahan kerana sudah menjadi undang-undang sah.
Kemarahan Mahathir
tidak tamat dengan kes tiga gadis itu. Dalam satu ceramah di Kedah Mufti
Selangor, Dato’ Haji Ishak Baharom ada mengingatkan pemimpin-peminpin supaya
berhati-hati dalam menyentuh isu-isu berhubung ugama Islam kerana dikhuatiri
mungkin mengeluarkan pendapat yang boleh membatalkan Syahadah. Mahathir
melenting yang amat sangat kerana mendakwa ada Mufti telah mengatakan dia
hampir murtad. Kontrak Dato’ Haji Ishak tidak diperbaharui.
Pada bulan Ogos
1997 selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, Mahathir
mengumumkan perlunya mengkaji kuasa dan peranan Mufti. Kononnya ini demi
mengelakkan Mufti membuat fatwa sesuka hati. Mahathir mahukan Mufti berbincang
dengan semua pihak termasuk golongan yang bukan berpelajaran agama sebelum
boleh mengeluarkan fatwa. Dalam ertikata lain Mahathir mahukan Mufti merujuk
kepadanya dalam semua hal-hal berkaitan Islam. Hal ini jika dilaksanakan
samalah seperti seorang Arab meminta kawannya yang tidak mahir dalam bahasa
Arab memberi pandangan mengenai suatu rencana yang ditulis dalam bahasa
Arab.
Tafsiran Mahathir
mengenai sesetengah hal berhubungkait dengan undang-undang Islam sangatlah
diragui. Ambil contoh apabila para ulamak dan cerdik pandai Islam menyatakan
pandangan bahwa pihak yang menuduh orang Islam lain melakukan liwat mesti
mengemukakan 4 orang saksi lelaki yang adil. Mahathir beritahu Parlimen
bahwa dalam masyarakat sekarang tersangat sukar untuk mendapatkan saksi-saksi
yang memenuhi tuntutan Syarak ini. Kalaulah betul masyarakat sudah pincang
pegangan agamanya Mahathirlah yang bertanggungjawab terhadap gejala ini.
Mahathir berhujjah seterusnya walaupun tidak dapat dibuktikan kesalahan
itu tetapi Allah Maha Mengetahui segala yang dilakukan hamba-hambanya.
Oleh itu menjadi kewajipan masyarakat untuk menghukum orang yang bersalah
ini. Sungguh hebat "fatwa" yang dikeluarkan oleh Imam Mahathir. Tidak perlu
dirujukkan kepada Majlis Fatwa mahupun diwartakan. Mujurlah bagi seorang
anak Thamby Chik bernama Rahim "fatwa" Mahathir ini dikeluarkan setelah
kesnya ditutup oleh Peguam Negara, kawannya dari Melaka. Mungkin Mahathir
merasa berkewajipan menolong anak thambi ini kerana mengenangkan mereka
dari rumpun yang sama. Sebab "fatwa" inilah Sukma dan Dr Munawar dihukum
dengan seksyen liwat yang bercirikan semangat "Malaysia Boleh". Macam mana
pula dengan Azizan
Abu Bakar yang
mengaku kepada seluruh dunia telah diliwat 15 kali? Mungkin Azizan ada
mencatitkan waktu dan tempat berlakunya setiap pengliwatan di dalam diarinya
kerana khabarnya dia memang tekun menulis setiap gerak-geri bekas majikannya.
Bagi Mahathir
ugama Islam sememangnya boleh ditafsir menurut logik akal saja. Pandangan
ulamak dianggap tidak progresif. Mahathir mahu pendekatan orang Melayu
terhadap Islam dikaji semula supaya dapat disesuaikan dengan peredaran
zaman. Tidak menghairankanlah betapa kurang berminatnya Mahathir menangani
kes-kes murtad. Seandainya Mahathir ikhlas dia akan menjelajah seluruh
negara menjelaskan betapa perlunya dicegah orang Islam murtad. Rakyat Melayu
yang mengaku Islam akan menyokong penuh usahanya. Majoriti dalam Parlimen
yang dimiliknya boleh digunakan untuk meluluskan pindaan yang wajar bagi
menghalang gejala ini. Mahathir boleh humban sesiapa yang menentang usaha
ini masuk ke istana Kamunting. Semuanya boleh berlaku kalau Mahathir benar-benar
mahukan ia menjadi kenyataan.
Sebagai pemerintah
Mahathir akan disoal di Padang Masyhar nanti mengapa dia tidak menghalang
Aishah Bokhari, Hartina Kamaruddin dan ramai lagi orang Islam dari membelakangkan
Islam dan terus menyembah Allah Yang Maha Esa.
bersambung......
.
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|