Najib vs. Anwar di Manchester UK:
- Najib kerah 2500 pelajar hadir, Anwar low profile
InfoM@RHAEN

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak mahukan lebih 2500 orang pelajar di seluruh U.K untuk berkumpul di Manchester bagi menghadiri program Pelancaran Islam Hadhari di Manchester, United Kingdom. Majlis yang dirancangkan untuk diadakan pada 12 Mac ini bakal menyaksikan program besar-besaran anjuran Timbalan Perdana Menteri ini.

Beribu-ribu pound sterling akan dibelanjakan dalam memastikan ianya akan menjadi kenyataan. Pegawai-pegawai Najib telah lama berada di UK terutama Manchester ini untuk merancang program ini dengan dibantu oleh pegawai-pegawai Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di UK yang diketuai oleh En. Nazir serta Atache Pendidikan MSD yang berpangkalan di Manchester tetapi tinggal di London, Cikgu Ali.

Sebuah dewan besar di Manchester telahpun ditempah malah kesemua padang bolasepak (tidak silap hampir 6 buah kesemuanya) juga turut ditempah. Untuk menjadikan ianya satu program yang meriah, acara sukan Piala Perantau turut akan diadakan. Pelajar-pelajar undergraduate telah dikerah oleh konco-konco Najib untuk mengumpulkan rakan-rakan mereka di seluruh UK.

Untuk acara bolasepak yang akan diadakan nanti, mereka diberi tempoh kurang dari 2 minggu untuk mengumpulkan 60 buah pasukan untuk hadir bertanding pada hari tersebut. Selain bolasepak, pertandingan badminton dan beberapa acara sukan lain juga turut akan diadakan.

Penyediaan makanan untuk 2500 orang juga sedang di atur. Najib juga dijadualkan untuk bertemu dengan pelajar-pelajar lepasan ijazah (Masters/PhD) dalam sessi berasingan.

Yang menariknya, Najib ke Manchester hampir-hampir bertembung dengan kedatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijadualkan untuk turun ke Manchester dalam masa yang terdekat ini untuk satu program bersama masyarakat Malaysia di Manchester dan North West England. Namum program Anwar tidaklah mendapat publisiti yang meluas seperti program Najib kerana pihak MSD dan para penaja sedang sibuk merayau ke sana-ke mari memberi amaran kepada semua pelajar supaya tidak menghadiri program Anwar nanti atau tindakan tegas akan diambil.

Mereka juga sedang mencari-cari dan menduga-duga siapa penganjur program Anwar di Manchester ini dan bila tarikhnya, namun, belum ada sesiapa pun yang mempunyai maklumat tersebut kecuali penganjur dan Anwar sahaja yang tahu.

Walau bagaimanapun, sebilangan pelajar Malaysia di Manchester dan daerah berhampiran telahpun dimaklumkan dan sedang menanti-nanti pengesahan program tersebut. Ianya difahamkan akan diadakan dalam tempoh masa yang terdekat ini.

Tidak seperti program Najib, program Anwar akan diadakan dalam suasana yang agak sederhana, berjimat cermat dan rendah diri. Walaupun pelajar-pelajar diingatkan untuk tidak hadir dalam program Anwar nanti, namun, sebagai pelajar matang dan telah melihat demokrasi dilaksanakan di UK dan seluruh Eropah, mereka dijangka tidak menghiraukan amaran tersebut. Rata-rata yang ditemui oleh penulis menyatakan tidak sabar untuk hadir dalam program tersebut dan tidak akan mempedulikan amaran oleh pengecut-pengecut tersebut.

Walaupun tidak beribu pelajar yang akan hadir nanti, namun, jumlah hadirin yang agak ramai dijangka akan hadir. Ini adalah kerana mentaliti masyarakat Malaysia di Manchester ini adalah lain dengan masyarakat Malaysia di tempat lain di seluruh UK ini. Tambahan lagi, kedudukan geografi Manchester ini yang terletak di tengah-tengah pulau UK ini akan memudahkan untuk semua pelajar dari utara, selatan, serta Ireland untuk hadir dan tidak mengambil masa perjalanan yang lama dan memenatkan berbanding London.

Satu pertembungan yang agak hebat dijangka akan berlaku di Manchester ini dalam masa yang agak terdekat ini dan kita akan saksikan siapa lebih berkualiti, bukan berkuantiti.

Anwar yang telahpun berada di UK ini sejak 24 Januari yang lalu kini adalah pensyarah tamu di Oxford dan telah pun mengadakan beberapa majlis public lecture di beberapa tempat di London dan Oxford. Ini adalah lawatan pertama kali Anwar ke Manchester sejak dibebaskan dari Sungai Buloh.

Beberapa buah universiti lain di seluruh UK ini juga turut menjemput Anwar untuk memberikan syarahan di Universiti mereka masing-masing, tetapi oleh kerana kesuntukan masa dan jadual yang agak ketat di Oxford, maka banyak jemputan yang terpaksa ditolak. Namun, Anwar, sebelum tiba di UK ini telah merancang agar pelajar-pelajar di dua bandar utama di UK ini harus dilawati iaitu di London dan Manchester.

InfoM@RHAEN - 24.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: