 |
.... |
Isu
Semasa Yang Perlu Rakyat Tahu Dan Nilai...
Oleh:
Ibn Sabah |
Konspirasi Tertinggi
Untuk Ranapkan Sistem Negara...
Dalam tempoh seminggu dua ini terdapat
banyak peristiwa sedih dan sangat mendukacita rakyat Malaysia dan menarik
untuk diulas dan dibincangkan. Antara yang penulis ingin kongsi bersama
ialah kesedihan atas kemangkatan Yang DiPertuan Agong, kemudian mengharapkan
penggantinya yang lebih berwibawa, bukannya Agong yang berstatus 'pak turut'
kepada kemahuan penguasa politik elit rakus lagi tamak kuasa yang dikepalai
Mahathir and Kroni's. Perletakan jawatan Peguam Negara, Datuk Ainum Mohd
Saaid dan terpilihnya Badut abad ke-21 Gani Patail sebagai Peguam Negara
Baru. Dan apa akan terjadi kepada sistem kehakiman negara ini.
Mangkatnya Yang DiPertuan Agong
Malaysia Ke-11
Dengan kemangkatan Yang DiPertuan
Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 21 November, 2001M. Kita
kehilangan pemimpinan negara yang diperakui ramai sebagai pemimpin dan
raja yang berjiwa tawaduk dan berjiwa rakyat. Mudah-mudahan Allah merahmati
roh Almarhum Seri Paduka dan ditempatkan bersama golongan para solihin
dan siddiqin. AL-FATIHAH... dan ucapan Takziah kita rakamkan kepada Permaisuri
Agong serta sekalian kerabatnya.
Di sebalik peristiwa sedih ini, tanda
tanya siapa bakal Yang DiPertuan Agong selepas ini, apakah secara automatik
Timbalan Yang DiPertuan Agong akan menjadi pengganti. Rakyat menaruh harapan
kebijaksanaan Majlis Raja-raja Melayu untuk memutuskan. Juga diharapkan
Majlis Raja-raja Melayu tidak akan menjadi kumpulan 'kerbau dicucuk hidung'
atau dibayangi oleh penguasa/kumpulan elit politik UMNO/BN yang rakus itu.
Yang cuba mengatur keputusan yang boleh mereka senangi. Institusi Raja
jangan menjadi seperti institusi kehakiman sekarang yang sudah hilang wibawanya
di mata rakyat. Kerana terlalu setia menjadi kuda tunggangan kepada orang
politik UMNO/BN berketuakan Mahathir.
Siapa Bakal Agong Ke-12?
Majlis Raja-raja Melayu yang akan
menentukan, bukan dengan telunjuk atau arahan penguasa politik elit. Rakyat
mengharapkan kedudukan Majlis Raja-raja Melayu sebagai antara institusi
tertinggi negara ini akan melaksanakan amanah ini dengan kebijaksanaan,
keilmuan dan kewibawaan, bukannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang
berkepentingan. Apatah lagi untuk merelakan institusi raja diperkudakan
oleh elit politik UMNO/BN pimpinan Dr Mahathir yang rakus berkuasa dan
selama inipun telah terbukti usahanya merobek sedikit demi sedikit sistem
Raja Berperlembagaan kita.
Rakyat mengetahui bahawa Majlis Raja-raja
Melayu yang dianggotai oleh mereka yang memiliki pelbagai bidang, latar
belakang berbeza dan berkewibawaan untuk membuat keputusan terbaik demi
untuk negara Malaysia, rakyatnya yang majmuk dan kemajuan negara. Slogan
'Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah' diharap menjadi keutamaan
kepimpinan Majlis Raja-raja Melayu. Sama ada Timbalan Yang DiPertuan Agong
sekarang akan diangkat atau ada lagi pilihan lain, kita dan rakyat Malaysia
mengharapkan biarlah yang bakal terpilih itu Sultan atau Raja yang memiliki
segala kelebihan sebagai pemimpin tertinggi negara. Bukan sekadar Raja
atau Sultan penerima nasihat atau tukang tandatangan keputusan penguasa
politik elit yang beragenda politik dan berhati rakus dengan kuasa politik
yang dimiliki.
Kisah Dan Iktibar Dari Datuk Ainum
Mohd Saaid
Perletakan jawatan Peguam Negara,
Datuk Ainum Mohd Said secara cukup mengejutkan kita dan rakyat Malaysia.
Belumpun setahun jagung menjawatnya. Tiba-tiba ribut merempuh, pasti ada
cerita di sebalik yang tersurat itu. Ada hikmah dan iktibar untuk dinilai
oleh rakyat Malaysia. Perletakan jawatan ini jelas cukup kontroversi, walaupun
telah diketahui sebahagian kecil rakyat melalui internet dalam laman alternatif.
Ketika peringkat awal perlantikan Datuk Ainum menjadi Peguam Negara, harapan
rakyat cukup tinggi untuk melihat institusi kehakiman negara dapat dipulihkan.
Setelah jatuh teruk di bawah Datuk Mohtar Abdullah sebagai Peguam Negara
yang dicucuk hidung oleh penguasa politik elit di atas sana. Dengan keupayaan,
wibawa dan kebolehan Datuk Ainum sebagai Peguam Negara, di peringkat awal
perlantikannya dengan harapan serta sanjungan, kenapa tiba-tiba timbul
isu perletakkan jawatannya. Apakah cerita lama terus berulang lagi dalam
sejarah institusi kehakiman negara ini, sejak terpecatnya YA Ketua Hakim,
Tun Salleh Abas dan beberapa lagi YA Hakim pada tahun 1987an dulu.
Gani Patail Badut Abad Ini
Perlantikan Peguam Negara baru, dengan
terangkatnya Gani Patail dari seorang Pendakwaraya Kanan kepada tugas Peguam
Negara yang baru, yang akan berkuatkuasa pada 1 Jan 2002, bukan saja kontroversi.
Tetapi sangat-sangat tidak ingini oleh sesiapa jua rakyat Malaysia yang
telah mengetahui latar belakang diri Gani Patail selama ini. Semua orang
tahu bagaimana tidak profesionalnya dia sebagai seorang yang arif tentang
undang- undang sanggup menjadi orang suruhan atau dengan istilah 'kerbau
dicucuk hidung' oleh penguasa tertinggi politik elit negara ini demi untuk
mensabitkan kesalahan ke atas musuh politik mereka, tanpa langsung memedulikan
nilai-nilai keadilan sebenar. Padahal mereka lebih arif bahawa 'keadilan'
itu adalah jantung hati kepada undang-undang.
Jadi dengan terlantiknya Gani Patail
sebagai Peguam Negara, memang soal dia mendapat habuan dari kerja
jahatnya selama ini membantu PM untuk menzalimi DS Anwar Ibrahim, itu hak
peribadinya. TAPI, apakah dia senang dengan menjadi Peguam Negara yang
dicurigai dan tidak langsung diyakini kebolehannya untuk melaksanakan tugas
maha berat ini. Dengan wibawa, peribadinya dan juga keupayaannya yang sedia
tercalar, cacat dan berada ditahap reputasi amat rendah, adalah mustahil
Gani Patail boleh melonjakkan dirinya sebagai yang terbaik, profesional
dan berwibawa.
Gani Patail dengan jawatan barunya
ini, dia patut menolak jawatan itu kalau dia seorang ada harga diri. Kerana
ramai pengkritiknya, para pengamal undang-undang hatta rakan-rakan atau
sahabat karib yang berhati telus, melihat dan yakin Gani Patail tidak selayaknya
berada diposisi Peguam Negara ini sampai bila-bila, kecuali dia bertaubat
dari dosa-dosanya selama ini dan memohon maaf kepada semua mereka yang
pernah dizaliminya secara undang-undang berat sebelah atau dia kembali
bersikap telus, profesional dan mendaulatkan undang- undang demi menegakkan
erti sebuah keadilan untuk semua, tanpa pilih bulu.
Sistem Kehakiman Negara Akan Bertambah
Teruk
Ekoran perlantikan Gani Patail menjadi
Peguam Negara baru, dengan kewibawaannya yang dipertikaikan, tidak telus
dan tidak bersikap profesional dalam kerja-kerjanya sebagai pendakwaraya
selama ini, adalah sangat ditakuti petaka lebih dahsyat menimpa sistem
kehakiman negara akan berterusan, malah kita dapat meramalkan bahawa sistem
kehakiman negara ini TIDAK AKAN BERTAMBAH BAIK, tidak juga dipandang
berwibawa, bahkan akan bertambah teruk teruk lagi. Kerana semua rakyat
tahu siapa Gani Patail sebenarnya dengan peribadinya serta amalan pilih
bulu, bersedia bersekongkol dengan penguasa politik elit bagi memperkosa
segala undang- undang yang tidak memihak kepada mereka dan pelbagai lagi
amalan cukup tidak adil dan tidak profesional yang terang-terangan berlaku
di depan mata rakyat yang terbuka mata hati mereka.
Namun demikian, sebagai rakyat yang
cintakan kebaikan, keamanan, keadilan dan perpaduan. Marilah kita berdoa
di bulan Ramadan al-Mubarak ini agar petaka tidak akan terjadi di bumi
Malaysia. Dan mereka yang berkuasa tidak akan meneruskan niat jahat mereka
terhadap rakyat yang mahu mengamalkan demokrasi berparlimen, hanya kerana
untuk mencapai matlamat politik sempit lagi zalim ke atas musuh politik
mereka. Mudah-mudahan mereka (penguasa elit politik) yang rakus itu akan
sedar dan kembali menyedari bahawa Malaysia adalah negara demokrasi dengan
sistem Raja Berperlembagaan.
Ibn Sabah,
24.11.2001M.
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|