 |
.... |
Apakah
Nasib PBS Seterusnya?
Oleh:
Ibn Sabah |
Mungkinkah Nasib
PBS Akan Menjadi Seperti USNO?
Nama parti USNO cukup sinonim dengan
politik Sabah, tapi akibat kemurahan hati para pemimpinnya mahu membubarkan
dan mengkuburkan USNO dengan bernisankan dua keris tanpa sarung UMNO, akhirnya
USNO tinggal nama. Apakah PBS juga akan menerima nasib serupa, setelah
kembali ke dalam BN, mungkin tidak? Tapi melihat kegemaran BN pimpinan
Dr Mahathir membubarkan parti-parti kompenannya di Sabah sudah ada bukti
bermula dengan USNO, kemudian Akar Bersatu dan lepas ini mungkin PBS disyaratkan
bubarkan dulu PBS untuk diserapkan ke dalam UPKO nama lama parti politik
di Sabah yang diambil oleh parti pimpinan Tan Sri B. Dompok, dari PDS kepada
UPKO. Kita tunggu dan lihat, akan berlaku seterusnya setelah PBS benar-benar
menjadi kerabat BN semula.
Berita tempatan dalam akhbar-akhbar
di Sabah dalam beberapa minggu ini memberikan fokus utama tentang cerita
PBS masuk BN semula, setelah bercerai sejak tahun 1990 dulu. Dulu bercerai
sekarang rujuk semula adalah sebahagian dari proses alam manusia. Dan ia
suatu yang normal. Mungkin begitulah juga dalam bab politik di Malaysia.
Sepertilah keadaan parti DAP yang telah bersama-sama BA beberapa tahun,
secara tiba-tiba DAP isytihar keluar daripada BA kononnya tidak menjumpai
jalan penyelesaian dalam isu 'negara Islam'. Namun, DAP tetap menjadi pembangkang
utama di Malaysia, DAP tidak masuk BN, malah tidak pernah bersekongkol
dengan BN sejak dari wujudnya DAP. Walaupun, mungkin ada terdapat kepimpinan
besar DAP pernah terlibat dengan parti-parti kompenan BN atau mereka yang
menjadi orang kuat BN sekarang. Itu sebahagian perbezaan prinsip dan juga
pembawaan politik DAP dengan cara berpolitik PBS di Sabah.
Padahal kekuatan pengaruh PBS di Sabah
masih di tahap tinggi dan mantap. Melihat kepada hilangnya majoriti PBS
di DUN Sabah pada tahun 1994 dulu, sebenarnya PBS bukan parti yang kalah.
Tetapi hanya disebabkan beberapa orang ADUN PBS yang tidak mempunyai prinsip
dan jati diri seorang pemimpin kerana bujukan atau godaan pangkat dan material,
itulah menyebabkan ADUN PBS yang diketuai oleh Datuk Lajim Haji Okin melompat
ke dalam kem BN pada 1994 dan mengurangkan majoriti PBS di DUN Sabah. Pada
pilihanraya umum negeri terbaru tahun 1999 pula, PBS memenangi 17 kerusi
DUN dan komponen BN Sabah telah menguasai 31 kerusi DUN Sabah. Tetapi banyak
pemerhati politik Sabah, rakyat Sabah dan juga kakitangan kerajaan sendiri
mengakui bahawa kemenangan BN tempoh hari bukanlah atas nama kemenangan
bersih dalam sebuah sistem demokrasi. Kemenangan BN banyak dibantu oleh
unsur-unsur tidak sihat dalam proses demokrasi itu sendiri dalam pilihanraya
umum negeri tahun 1999 itu. Selain, isu PTI dan warga asing dijadikan pengundi,
pengunaan IC palsu dan pelbagai lagi cara perlaksanaan proses pilihanraya
itu yang tidak melihatkan nilai demokrasi sebenar.
PBS Sebenarnya Parti Pembangkang
Kuat Di Sabah
Dengan kekuatan 17 ADUN dalam DUN
Sabah, PBS mempunyai masa depan politik di Sabah. Itu baru satu parti,
seandainya PBS boleh bergabung dengan parti-parti pembangkang berpengaruh
di Sabah ketika itu parti Bersekutu, pimpinan Datuk Harris Salleh. Tidak
mustahil gabungan pembangkang di Sabah akan berkuasa di Sabah ketika itu.
Tetapi parti-parti politik di Sabah adalah parti yang hanya hidup sewaktu
pilihanraya dan bergantung kepada penaja daripada kalangan orang korporat
atau orang politik elit sama ada yang berpusat di Sabah atau di Kuala Lumpur
yang berada dibelakang tabir. Ertinya kewujudan mereka tiada langsung kekuatan
akar umbi itu. Berbeza dengan parti PBS, kerana PBS mempunyai pengaruh
akar umbi dan kepimpinan negeri yang bertaraf nasional seperti Presidennya
Datuk Joseph Pairin, Dr Maximus Ongkili, Raden Malleh dan lain-lain. Sekalipun
PBS sentiasa dilanda ombak politik disebabkan perangai orang politik dalam
PBS dua alam dan berminda 'katak', tidak tahan uji, mengajar material dan
pangkat serta kedudukan dikalangan YB-YB PBS yang berlompatan mencari tempat
berlindung dalam kem BN Sabah. Namun, PBS tetap wujud dan tidakpun terbubar.
Sebab PBS masih mempunyai kekuatan akar umbi dan kepimpinan Presidennya
yang masih tegak. Pendek kata, PBS adalah parti tunggak dalam politik Sabah
setelah ketiadaan USNO, UPKO (dulu) dan Berjaya. PBS masih mempunyai kekuatan
tersendiri dalam politik Sabah. Kelainan ini tidak dimiliki parti-parti
lain dalam kompenan BN Sabah sekarang. BN Sabah yang mengabungkan pelbagai
parti dari UMNO, SAPP, UPKO dan juga LDP hanya bergantung pada kekuatan
pengaruh BN pusat, wang ringgit dalam mempengaruhi rakyat dan disamping
eksploitasi kuasa yang dimiliki BN ke atas rakyat, jabatan kerajaan dan
agensi-agensi lain dalam kerajaan.
Mungkin PBS Terdesak Atau Didesak?
Kenapa tiba-tiba mahu rujuk semula
ke dalam BN? Setelah cukup selesa berada diluar BN dengan kekuatan tersendiri
serta boleh menegur dan mengkritik lebih terbuka terhadap segala kepincangan
kepimpinan BN Sabah dengan sistem penggiliran KM yang banyak menimbulkan
konflik dalaman BN dan menyusahkan rakyat, selain menimbulkan kesukaran
ekonomi serta pentadbiran kerajaan negeri. Dan paling penting PBS adalah
parti tonggak di Sabah dengan reputasi dan prestasi sangat stabil. Memang
dari segi politik tindakan PBS itu tidak salah. Bukan juga suatu yang haram
dalam amalan politik demokrasi. Tetapi dalam dunia politik abad baru. Pemerhati,
pengkritik politik dan rakyat Sabah umumnya melihat tindakan PBS itu sebagai
suatu tindakan orang yang berada dalam keadaan terdesak atau didesak. Atau
seolah-olahnya PBS sudah kehilangan prinsip serta jati diri dalam
perjuangan politiknya selama ini, sehingga sanggup berkompromi dengan musuh
politiknya iaitu BN Sabah.
Sebelum ini, kita mendengar ADUN-ADUN
PBS yang melompat ke dalam kem BN Sabah adalah dengan sebab-sebab kehendak
rakyat dan demi pembangunan. Kita menyoalkan, apakah disebabkan satu-satu
kerusi DUN itu tidak dimenangi oleh calon BN kemajuan dan keperluan rakyat
kawasan tersebut akan diabaikan oleh pemerintah yang kebetulan dipegang
oleh parti kerajaan BN Sabah. Apakah ahli-ahli politik di Sabah tidak terfikir
bahawa dalam sistem demokrasi kewujudan parti pemerintah dan parti pembangkang
itu adalah sebahagian dari kerajaan atau sebahagian dari rakyat itu sendiri.
Bermaksud, adanya pembangkang dalam mana-mana DUN sebenarnya merupakan
rahmat kepada sistem demokrasi itu demi melaksana tugas 'chek and balance'
dalam sesebuah kerajaan atau pemerintahan. Adalah mustahil dalam sebuah
kerajaan atau pemerintahan di dalam sistem demokrasi tidak diperlukan parti
pembangkang. Malah cukup mustahil akan terhasil sebuah sistem pemerintahan
yang telus, amanah dan bertanggungjawab, apabila hanya satu parti yang
menguasai DUN dan Parlimen. Kerana mereka merasa tidak ada orang yang akan
mengkritik mereka lagi. Apatah lagi dalam keadaan kepimpinan BN sekarang
yang sudah dilanda penyakit gila 'kuasa', harta, pangkat, kedudukan, nama
dan kemewahan dunia yang melampau.
Naik saja pangkat sama ada dengan
pangkat atau jawatan sebagai KM atau MB atau wakil rakyat dalam kerajaan
yang dikuasai oleh BN/UMNO dan kroninya. Boleh dilihat apakah perubahan
mendadak yang paling ketara dalam kehidupan atau peribadi seorang KM, MB
dan wakil-wakil rakyat yang berjenama BN/UMNO dan juga sekutu-sekutunya.
Kata orang belumpun lepas pantang atau belumpun cukup umur setahun jagung,
sudah kelihatan kereta besar, rumah besar, longgokan harta sana-sini. Inipun
sudah jelas untuk menggambarkan betapa amalan rasuah, penyelewengan, salahguna
kuasa dan sebagainya telah tidak terkawal lagi dan seperti penyakit kanser
dalam sistem kerajaan yang dikuasai oleh UMNO/BN.
Jadi, apakah kerana tuntutan-tuntutan
material bersifat duniawi inilah yang melilihkan liur kepimpinan PBS untuk
kembali semula ke alam BN yang pernah mereka rasai dulu. Apakah kerana
mengejar pangkat kedudukan itu menjadi buruan kepimpinan PBS, setelah tidak
tahan menerima ujian ketiadaan pangkat, projek, kedudukan dan sebagainya.
Benarkah, kerana menjadi YB PBS para pemimpin PBS menjadi miskin atau papa
kedana, sehingga menyebabkan mereka meminta para perwakilan membuat keputusan
sama ada PBS wajar rujuk semula ke dalam BN atau tidak. Apakah tanpa masuk
BN masa depan politik PBS di Sabah akan malap. Atau pemikiran para pemimpin
masih lagi terbelenggu, bahawa tanpa BN negara Malaysia dan negeri Sabah
tidak boleh maju. Pemikiran inilah seharusnya diketepikan dari pemikiran
para politikus Sabah. Kemajuan dan pembangunan negara, negeri, rakyat dan
di mana jua bukan ditentukan oleh seorang dua manusia. Tetapi oleh rakyat
seluruhnya mempunyai peranan. Pembangunan atau kemajuan tidak akan menjadi
kenyataan tanpa partisipasi rakyat seluruhnya. Seorang PM atau KM atau
MB yang berkuasa penuh tidak akan mampu membangun negara atau negeri yang
mereka menjadi ketua kerajaan tanpa mendapat dari seluruh sendi-sendi yang
membentuk negara atau negeri itu. Maknanya sokongan, penyertaan dan peranan
rakyat seluruhnya amat penting bagi pembangunan dan kemajuan masyarakat,
negeri serta negara.
Percayalah, Dr Mahathir atas namanya
sebagai PM tidak akan dapat memajukan Malaysia ini dengan hanya dia duduk
goyang kaki menekan punat suis dan komputer dalam pejabatnya di Putrajaya
itu. Sekiranya seluruh rakyat Malaysia tidak memberikan sokongan dan penyertaan
dalam ertikata yang sebenarnya. Silap hari bulan Mahathir sendiri akan
menjadi orang gila dalam mahligainya di Putrajaya. Konon dialah seorang
yang membawa kemajuan di Malaysia tanpa seorangpun rakyat Malaysia berjumlah
lebih 22 juta itu yang lain terlibat dalam membangunkan negara. Dia mendabik
dada mengaku dialah seorang PM yang memajukan Malaysia. Percayakah anda?
Siapa Untung PBS Diterima Semula
Ke Dalam BN
Banyak andaian dan spekulasi yang
boleh dibuat dalam isu politik terbaru di Sabah. Bayangkan ulasan kepimpinan
UMNO/BN sendiri seperti orang mengantuk disorongkan bantal. PBS seperti
bertindak dalam keadaan dan masa terbaik untuknya. Kenyataan akhbar Setiausaha
Agong PBS, Encik Raden Malleh, bahawa hari ini (15.11.2001M) surat permohonan
masuk semula ke dalam BN akan diserah sendiri oleh Presiden PBS, Datuk
Joseph Pairin kepada Pengerusi BN di Kuala Lumpur. Nampak benar kesungguhan
PBS setelah mendapat mandat atau mengambil kira pendapat daripada para
perwakilan partinya yang bersidang semasa Kongres PBS ke 16 di Penampang,
Sabah untuk merujuk semula ke dalam BN. Setelah 11 tahun berada diluar
BN, teringat juga PBS kepada nikmat hidup bersama BN beberapa tahun sewaktu
berkuasa di Sabah sebagai parti utama.
Melihat situasi sekarang seperti PBS
mendapat untung itu dan UMNO/BN di Sabahpun lebih banyak untung, kerana
tidak perlu gusar lagi dengan kritikan dan teguran berani yang memanaskan
telainga kepimpinan BN Sabah dalam DUN daripada ADUN-ADUN PBS selama sebagai
parti pembangkang utama di DUN Sabah. Sekiranya PBS diterima dan menjadi
kerabat BN semula, inilah pertama kali Sabah menjadi negeri tanpa pembangkang.
Sebab di Sabah hanya PBS saja satu-satu parti pembangkang di Sabah sekarang
yang masih menang.
Yang jelas BN Sabah benar-benar mendapat
untung besar dari segi politiknya untuk menghadapi pilihanraya umum negeri
akan datang, kerana tidak perlu lagi berhadapan dengan PBS yang menjadi
saingan sengitnya setiap kali pilihanraya di Sabah. Tetapi belum tentu,
senario ini benar-benar memberi impak lebih baik kepada gabungan BN itu.
Atas sebab antara kompenan BN Sabah selama inipun mempunyai matlamat politik
yang berbeza, sekalipun mahu disembunyikan segala macam ambisi yang masih
tersirat di dalam kalbu masing-masing. Hanya menunggu saat dan waktu sahaja
untuk dinyatakan. Itulah gambaran senario politik unik kompenan BN Sabah
sejak dulu.
Tapi parti KeADILan yang baru menapak
di Sabah hampir pasti mendapat sedikit sinar untuk terus muncul menjadi
parti pembangkang utama dan kuat di Sabah. Malahan ada prospek untuk menerajui
kerajaan negeri pada pilihanraya umum negeri akan datang, seandainya mereka
mampu mengeksploitasi keadaan politik di Sabah sekarang. Sudah tentu ramai
ahli-ahli PBS yang tidak merestui kemasukan semula PBS ke dalam BN akan
beralih arah untuk meneruskan perjuangan mereka. Dengan mencari parti alternatif
lain, dan dengan reputasi serta prestasi baik yang ditunjukkan oleh KeADILan
Sabah dalam kemunculan sulongnya di pilihanraya DUN Sabah di Lakis Julai
lalu. Untuk itu, sehingga kini hanya parti KeADILan Sabah satu-satunya
parti pembangkang yang boleh mengantikan tempat PBS yang telahpun memohon
masuk semula ke dalam BN yang pernah dianggotainya.
Rakyat Sabah yang inginkan perubahan
politik dan kepimpinan negeri pada pilihanraya akan datang, tidak harus
kecewa dengan tindakan PBS itu. Dalam perjuangan menegak kebenaran, keadilan
dan membela nasib rakyat yang semakin diperabaikan oleh UMNO/BN di Sabah.
Kehilangan PBS di barisan pembangkang, pasti akan ada penggantinya, iaitu
parti KeADILan Sabah akan muncul sebagai penerus kepada perjuangan rakyat
Sabah yang masih belum selesai itu.
Kenapa PBS Masuk BN Semula
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan
kenapa PBS merelakan diri mereka 'menjilat kembali ludah' sendiri. Selain
faktor politik itu sendiri, pemerhati politik melihat ada yang tersirat
daripada yang sudah tersurat. Keadaan politik di Sabah cukup baik untuk
PBS sebagai satu-satunya parti pembangkang yang kuat dan mempunyai pengaruh
tersendiri setelah terbubar serta terkuburnya USNO. Apakah kepimpinan PBS
sedia ada tidak berkeyakinan lagi untuk meneruskan prinsip perjuangan mereka
selama ini. Apakah kepimpinan PBS masuk BN semata-mata hendak mengejar
kedudukan, pangkat, kemewahan dan kebendaan atau projek. Atau kerana mereka
tidak tahan uji menempuh ujian sebagai parti pembangkang yang tidak punya
apa-apa kuasa dari segi mengatur apa-apa jua projek seperti yang dinikmati
atau mengkayakan YB-YB BN sekarang. Di Sabah, ada orang kata mahu kaya
masuk BN, mahu jadi YB masuk BN, mahu dapat projek masuk BN dan inilah
lagu orang Sabah. Seolahnya rezeki itu BN yang punya bukan anugerah Allah.
Satu lagi kemungkinan kenapa sebenarnya
PBS mahu masuk semula BN, bukan bersama-sama BA bagi menumbangkan BN Sabah.
Sedangkan KeADILan Sabah memerlukan rakan dari parti pembangkang sedia
kuat di Sabah seperti PBS. Penulis yakin PBS melihat keadaan positif itu
apabila PBS dan KeADILan boleh membentuk gabungan pembangkang Sabah untuk
mencabar BN seterusnya menguasai kerajaan negeri Sabah pada pilihanraya
umum negeri akan datang. Tetapi PBS seperti juga DAP. DAP nampak lebih
realistik dan matang menilai kehendak perubahan semasa politik Malaysia
untuk bersama dalam BA yang dipimpin oleh PAS. Sekalipun sejak dulu DAP
tidak sehaluan dengan PAS. Mungkin bagi PBS dengan kepimpinan utama parti
itu berlatar belakangkan rata-rata mereka yang beragama Kristian, demi
untuk menjaga akar umbi parti PBS yang kuat didokong oleh majoriti penganut
Kristian. PBS mengambil jalan pintas untuk rujuk semula kepada BN. Isu
'negara Islam' yang menjadi ideologi perjuangan PAS sangat tidak serasi
dengan diri mereka. Kerana itu, bagi PBS lebih baik masuk saja BN daripada
bersama KeADILan Sabah, lantaran KeADILan adalah kerabat kepada BA di peringkat
pusat dan juga di negeri Sabah.
Ini juga berpunca daripada sikap politus
Sabah yang phobia dengan isu 'negara Islam' yang menjadi bahan politik
UMNO/BN untuk memecahbelahkan gabungan pembangkang. Satu lagi, punca kenapa
PBS masuk semula BN, ialah pengalaman lama dalam sejarah politik Sabah
dulu. Pertembungan mengapikan emosi atau sentimen 'agama' cukup kuat dikalangan
kepimpinan politik Sabah antara USNO pimpinan Tun Mustapha dengan UPKO
pimpinan Tun Fuad dulu. Inilah akibat daripada ketidakfahaman dikalangan
politikus Sabah terhadap pembawaan isu-isu agama seperti ini demi meraih
keuntungan politik sempit dalam masyarakat majmuk sejak sekian lama. Isu
agama, kaum dan bangsa semata-mata dilihat sebagai umpan politik bagi menaikkan
emosi penyokong supaya menyokong mereka. Padahal mana-mana agama tujuannya
adalah untuk kebaikan manusia atau penganutnya, bukan untuk berkonfrantasi
sesama rakyat, bukan juga untuk menonjolkan sentimen agama secara buta
tuli dan bukan menjadikan agama sebagai tembok yang memisahkan antara rakyat
yang berbeza agama, budaya, tradisi, kaum dan juga bangsa.
Inilah akibat daripada kesan pembawaan
pemikiran dan budaya politik yang ditanamkan oleh BN sebegitu lama ke dalam
benak dan jiwa rakyat Malaysia, sejak berpuluhan tahun. Adalah teramat
sukar untuk membuang karat daki perkauman, sentimen agama buta tuli dan
propaganda politik murahan yang menjadi mainan UMNO/BN selama ini, persis
kerja-kerja penjajah zaman dulu yang memecahbelahkan rakyat yang mereka
jajah agar mudah mereka terus berkuasa. Itulah formula politik UMNO/BN
yang diwarisi daripada penjajahan dulu.
Akhirnya, hanya satu harapan rakyat
Sabah kepada PBS masuklah ke dalam BN, tapi jangan menjadi 'ayam mati'
atau 'kerbau dicucuk hidung' dengan mengiyakan apa sahaja keputusan BN
hatta dalam perkara yang menyusahkan rakyat, negeri dan negara. Asalkan
orang besar UMNO/BN dan sekutu mereka selamat dan aman memperkosa segala
sistem negara, demokrasi dan kedaulatan rakyat negara ini. Pengalaman dulu
sebagai kerabat BN sudah mengajar PBS. Apakah kemasukan kali kedua ini
akan menambah kebaikan untuk rakyat atau sekadar satu tindakan politik
terdesak.
Ibn Sabah,
23.11.2001M.
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|