.... GEMA: REGIM MAHATHIR MENZALIMI PRESIDEN MPMUM 

Gerakan Eksekutif Mahasiswa Alternatif (GEMA) memandang serius tindakan Regim Mahathir melalui kerjasama Kementerian Pendidikan dan Universiti Malaya yang telah menzalimi masa depan Saudara Mohamad Fuad Mohd Ikhwan, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) sesi 2000/2001 dengan menafikan hak beliau untuk meneruskan pendidikan dalam jurusan shari’ah di Akademi Pengajian Islam UM.

Alasan dangkal yang mengizinkan kezaliman ini ialah kerana beliau seorang mahasiswa yang merupakan mantan tangkapan ISA. Kerana itu, beliau telah dikaitkan dengan Pembakaran DTC, pengedaran Vasiti 2001, gerakan militan dan sebarang lagi label yang menguntungkan Regim Mahathir. UM pula secara tergesa-gesa menuruti lagu dan irama Regim Mahathir, meskipun tiada bukti yang mengesahkan label jahat ini. Hukuman ke atas saudara Fuad amat kejam, zalim dan berkepentingan serta mempunyai maksud yang jahat yakni mengerunkan pemimpin mahasiswa di Malaysia tentang bahana menentang Regim Mahathir. Kononnya bagi mereka, Regim Mahathir ini sangat kuat dan rakyat sangat bodoh.

Bagi GEMA tindakan Saudara Fuad adalah selari dengan keluhuran perlembagaan negara yang seharusnya disemai oleh pensyarah-pensyarah iaitu memperjuangkan keadilan dan kebenaran serta menyanggah kezaliman sekalipun ujian besar mendatang. Pertuduhan beliau belum lagi dituduh di makhamah apatah lagi didapati bersalah. Sebaliknya tindakan Regim Mahathir dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan UM telah menjadi halangan kepada beliau untuk mendapat keadilan dan pembicaraan yang bebas dari campurtangan politik.

Regim Mahathir perlu sedar bahawa kezaliman yang berterusan kepada mahasiswa berupaya untuk menjadi pemangkin ke arah kebangkitan menyeluruh mahasiswa memandangkan jiwa mahasiswa amat peka kepada persoalan keadilan dan kebenaran. Apabila kita menyoroti sejarah, tidak pernah mahasiswa berjuang mengunakan senjata melainkan dengan semangat keadilan dan tangan yang kosong. 

Justeru itu, GEMA mengambil pendirian untuk menyokong dan mendukung idealisma Saudara Fuad dan MPMUM serta berharap SUHAKAM akan dapat memastikan bahawa kezaliman Regim Mahathir tidak diteruskan. Hak Saudara Fuad untuk meneruskan pengajian dan memperjuangkan keadilan hendaklah dikembali dan diizinkan menurut kerangka Pelembagaan Negara.

Sekian.
Salam Reformasi.

RA’IZZ MUHAMMAD
Jurucakap GEMA.

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!