.... Terbitan semula
PETIKAN UCAPAN PRESIDEN UMNO 
DALAM  PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-33 
DI KUALA LUMPUR, 10 SEPTEMBER 1982

Dipetik drp arkib UPM


Petikan Ucapan Presiden membidas Raja Nongchik:

42.  Baru-baru ini kita sekali lagi mendengar satu tuduhan yang biasa dilempar oleh seorang yang kononnya ahli UMNO.  Tuduhannya ialah UMNO sudah diresapi oleh Pertubuhan Freemason.  Tidak cukup itu, tuduhan juga dibuat bahawa Jabatan Perdana Menteri dimasuki oleh Freemason, bahawa Setiausaha Politik Perdana Menteri adalah orang Freemason dan saya sendiri adalah penyokong Freemason.  Kerajaan kononnya sekarang Kerajaan dikuasai oleh  Freemason

43.  Sama ada gerakan Freemason ini buruk atau tidak adalah satu perkara lain.  Tetapi menuduh Jabatan Perdana Menteri, Perdana Menteri, Setiausaha Politiknya, UMNO, dan Kerajaan dikuasai oleh badan ini adalah satu perbuatan yang biadab.  Dakwaan orang ini bahawa ia adalah ahli UMNO amat mengecewakan. 

44.  Kita telah perhatikan tindak-tanduk orang ini sekian lama, dan jika ada musang berbulu ayam atau musuh dalam selimut, inilah dia.  Dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1978, orang ini cuba membawa usul tergempar kononnya Kerajaan telah membenar "lumba anjing" di negara ini.  Mesyuarat hendak ditangguhkan kerana mahu membahas perkara ini terlebih dahulu.  Risalah-risalah disebar bukan sahaja kepada para perwakilan tetapi juga kepada orang ramai. 

45.  Kita semua tahu apa yang berlaku.  Apabila orang ini diberi peluang  bercakap, dia tidak bercakap dan tidak pun membangkitkan perkara "lumba anjing" ini.  Sebabnya jelas tuduhan ini tidak berasas.  Tujuannya membawa usul ini ialah supaya majlis menjadi gamat, supaya Kerajaan dikecam oleh ahli UMNO, supaya UMNO rosak, dan tujuan yang terbesar sekali ialah untuk membuka peluang kepada musuh-musuh UMNO menghentam UMNO dan Kerajaan. 

46.  Kegiatan orang ini di mana-mana sahaja mencerminkan keperibadiannya. Ia biasa menceroboh masuk ke bangunan PKNS dan membuka kedai tanpa izin.  Sewa kedai tidak dibayar dan akhirnya barang-barang yang tidak berguna yang ada di kedai itu terpaksa dilelong untuk mendapat balik sewa. 

47.  Ada kedai lain yang disewa dengan mudah kerana dianya bumiputera, dan selepas dapat sahaja kedai itu disewa olehnya kepada bukan bumiputera.  Sewa dikutip dari penyewa bukan bumiputera tetapi sewanya sendiri kepada PKNS tidak dibayar sehingga PKNS terpaksa mengambil tindakan undang-undang. 

48.  Sebagai ketua sebuah persatuan perniagaan Melayu, orang ini membuat syarikat dengan nama yang seakan-akan nama persatuan yang ia dipilih untuk mengetuai.  Syarikat ini memohon sekeping tanah dari Kerajaan.  Kerana disangka yang memohon ialah persatuan dan bukan dirinya sendiri, pihak berkuasa meluluskan permohonan ini.  Dalam masa yang singkat nama pemilik tanah ini ditukar kepada nama syarikat kepunyaannya sendiri dan diserah kepada bukan bumiputera untuk taman hiburan yang tidak mempunyai unsur Melayu sama sekali.  Apabila taman hiburan ini tidak maju, tanah ini dijual terus kepada syarikat bukan bumiputera. 

49.  Ada lagi perbuatan-perbuatan menggunakan nama bumiputera atau Melayu untuk mendapat itu dan ini semata-mata untuk mengkhianati hak orang Melayu.  Tetapi, bila berucap suaranya lantang - mengecam orang lain tidak Islam, tidak bumiputera, tidak mengutama bahasa, Zionis dan sebagainya.  Senarai ahli-ahli Freemason disimpan sebagai alat ugutan.  Tiap kali seseorang mendapat apa-apa sesuatu maka dikeluarkanlah senarai ini.  Senarai ini tidak tetap.  Adakala nama orang-orang tertentu dimasukkan, dan entah dengan tujuan apa nama-nama ini digugurkan dari senarai yang dikeluar kemudian.  Apabila sahaja berpeluang menuduh maka tuduhan dibuat dengan tidak mengambilkira keadaan yang sebenar. 

50.  Freemason bukanlah satu badan yang kita alu-alukan dan orang Islam tidak sepatutnya menjadi ahli pertubuhan ini.  Tetapi janganlah seseorang terpesong dari kenyataan kerana ingin mencari alasan untuk melindung kelemahan kita.  Janganlah kita habiskan tenaga dan masa berjuang dengan bayang sedangkan yang mengancam kita berada di hadapan kita dengan terang dan nyatanya.  Zaman kita hidup di alam khayalan sudah berlalu.  Hari ini kita perlu menghadapi kenyataan dan mengatur langkah berasas kepada kenyataan.  Orang yang percaya kepada khayalan mereka sendiri, dan mengambil tindakan berasas kepada khayalan mereka akan diketawakan oleh musuh mereka yang tahu keadaan yang sebenar.  Hari ini sasarannya ialah Freemason, tetapi sudahpun ada tanda-tanda iaitu selepas Freemason, Kelab Rotary, Kelab Apex, Kelab Lions dan lain-lain lagi kelab khidmat dan badan-badan kebajikan akan menjadi sasaran dan pengharaman mereka dituntut.  Mereka akan mengugut, akan mendakwa bahawa semua badan ini adalah gerakan Zionis dan berperanglah kita bermati-matian sementara musuh kita masuk 

51.  Dalam Islam pembunuh sekalipun boleh diampun.  Inikan pula perbuatan kebudak-budakan di masa muda.  Apakah kita akan singkir mereka yang dahulu terlibat dengan Freemason sehingga tidak mungkin mereka balik ke pangkuan masyarakat?  Apakah kita menolak orang yang sudah bertaubat?  Apakah agama Islam, tidak akui orang yang bertaubat? 

52.  Setiausaha Kerja UMNO telah dipilih kerana ia berkali-kali bekerja dengan sukarela mengendalikan jentera pilihanraya di peringkat pusat.  Kita tidak pernah kalah di waktu beliau bertugas dalam bilik gerakan.  Sebaliknya kemenangan kita  meningkat dari tahun 1974, 78  hingga ke 82.  Jika. benar ia  agen Freemason yang bertuiuan. menghancurkan.  UMNO, maka ia adalah ejen yang tidak pemah berjaya.  Tetapi saya dan rakan-rakan saya tahu tentang kerjanya dan kami puas hati dengan kesetiaannya.  Sebaliknya ada orang yang menuduhnya biasa melesapkan peruntukan pilihanraya di waktu yang sama. 

53.  Apakah jenis masyarakat kita jika orang yang nyata setia dituduh dan orang yang nyata oportunis yang tak bermaruah didewa-dewakan?  Sekali lagi saya ingin katakan, dari segi kesan kepada perpaduan dalam UMNO, orang yang menuduh adalah lebih Freemason, bukan orang yang dituduh.  Jika ada orang yang patut disingkir, orang yang menuduhlah yang patut disingkir.  Dialah musang berbulu ayam, dialah duri dalam daging, dialah musuh dalam selimut, dialah Freemason pada hakikat.  Awasilah orang yang melempar fitnah.  Tuhan telah berfirman yang bermaksud orang yang memfitnah adalah lebih bahaya dari pembunuh - dan Tuhan adalah lebih mengetahui. 

54.  UMNO, dan orang Melayu dan Islam mempunyai tanggungjawab yang besar. Tanggungjawab ini memerlukan kita menumpukan perhatian kepada masalah-masalah yang nyata.  Masalah-masalah ini kita tahu akan memusnahkan kita jika kita alpa.  Lihatlah apa yang sedang terjadi dalam dunia Islam.  Walaupun nampaknya ada kesedaran yang baru terhadap ajaran agama, tetapi kesedaran ini lebih tertumpu kepada soal-soal yang memecah-belahkan umat Islam dan mencetuskan peperangan di kalangan mereka.  Tidak ada perhatian yang serius yang diberi kepada penyerapan ilmu, kepada memperkuatkan persaudaraan dan kepada menentang musuh.  Akibatnya ialah orang Islam tidak hidup bahagia seperti yang dijanjikan kepada umat Muhammad s.a.w. Sebabnya bukan kerana Islam menghalang, tetapi kerana orang Islam mudah dipesong dari ajaran Islam, mudah dipengaruhi oleh nafsu. 

55.  Oleh itu UMNO perlu menarik balik perhatian orang Melayu yang juga orang Islam kepada hakikat masalah yang sebenar dan mengikut kehendak agama dalam mengatasi masalah ini.  Singkirkanlah khayalan.  Elaklah diri dari menghabis masa dan tenaga melawan musuh ciptaan.  Hadapilah musuh yang ada di hadapan kita, musuh yang sebenar, iaitu nafsu dan hasad dengki kita yang tetap menjadikan kita sasaran sesiapa sahaja yang pintar dan berani. 
 

Klik untuk membaca Teks Ucapan Penuh
   

- CETAK & SEBARKAN -

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!
https://e-umno.tripod.com/