 |
.... |
Sikap
syaitan pemimpin UMNO Sabah
Oleh:
Farisi Faris |
Saudara pengarang,
Kota Kinabalu, 4 Ogos 2001 (Sabtu)
: Rombongan AJK Dewan Pemuda PAS Tanjung Aru, Kota Kinabalu bersama
isteri masing-masing, dengan diketuai oleh Ketua Pemuda telah menziarahi
seorang hamba Allah yang dianiayai oleh kunco-konco kerajaan negeri Sabah.
Lokasinya, Kampung Lobou Baru, Menggatal, bersebelahan dengan Kolej Ibu
Kota (KIK) Kota Kinabalu.
Kami tiba ke rumahnya (perlu dibaca
‘ bangsal’ iras reban ayam) tepat jam 5.00 petang. Ada beberapa buah rumah
di tepi rumah itu sudah menyembah bumi. Kami disambut mesra oleh penghuninya,
saudara Abd. Hamid Ahmad, 45 tahun, isteri dan empat orang anaknya. Sambil
menghulurkan buah tangan yang kami bawa, anak-anak ini datang mencium tangan
semua ahli rombongan. Sayu melihat anak-anak kecil ini, semuanya puteri,
masing-masing berusia 10, 8, 6 dan 2 tahun. Lebih sayu lagi, melihat keadaan
rumahnya; dinding yang ditampal-tampal, lubang di sana sini, zink yang
sudah berkarat. Hanya ada sebuah almari usang dan sebuah meja untuk anak-anaknya
belajar.
Kami dipersilakan duduk di atas kerusi
kayu buatan sendiri yang mengelilingi meja itu. Muslimat duduk bersila
di atas tikar getah yang jelas sudah berkoyak, sambil berbual dengan isteri
Abd. Hamid. Beliau memulakan cerita dengan menyatakan anaknya baru sahaja
diterima masuk belajar di sebuah sekolah rendah berhampiran setelah berhenti
belajar akibat tekanan pihak-pihak tertentu. “Sekarang saya pula tiada
kenderaan. Kereta saya dicuri di bengkel kereta” Abd. Hamid menjelaskan
bagaimana dia tidak mempunyai kenderaan sekarang sambil menunjuk laporan
polis yang dibuatnya. Pelik juga sebab kereta hilang di bengkel kereta.
Abd. Hamid, sebenarnya bekas Ketua
Pemuda UMNO Pulai, seorang yang educated dan fasih berbahasa Inggeris.
Berasal dari Kubang Pasu, Kedah, berkahwin dengan orang Sabah dan menetap
di sini. Beliau menceritakan hayatnya sebelum ini sebagai pemuda yang bermandi
peluh memperjuangkan UMNO, khususnya di Pulai, iaitu kawasan Dato’ Mohamad
Rahmat. Dikeluarkan segala surat, risalah dan gambar kenangan lampaunya.
Diceritakan juga dalam kempen Ketua Pemuda Pulai, beliau telah menghabiskan
lebih RM 100, 000, hanya dalam masa lapan hari sahaja.
Kemudian, sampailah kepada isu utama
kenapa kami datang ke sini. Beliau bersama 300 penduduk sebenarnya telah
menduduki kampung itu sudah lebih 10 tahun dengan keizinan Allahyarham
Yang Dipertuan Negeri Tun Said Keruak. Malangnya, sejak pemerintahan Ketua
Menteri, Dato’ Usu Sukam, tanah itu dikatakan diberi kepada Syarikat Dapans
Holding, milik kroni pemimpin negeri untuk dijadikan padang golf 28 lubang,
kondominium dan rumah penginapan.
Pelbagai tekanan dan keganasan telah
dilakukan oleh syarikat itu untuk mengusir orang kampung daripada tanah
itu. Rumah digeledah, diroboh, anak isteri diganggu dan dicederakan, meminta
tandatangan dengan paksaan dan pelbagai kaedah barbarian lagi dibuat oleh
syarikat ini dan tentera upahannya. Kini hanya tinggal dua buah rumah,
termasuk rumah Abd. Hamid yang masih lagi berdiri tegak. Baki penduduk
yang lain semuanya sudah pergi membawa diri masing-masing kerana tidak
tahan dengan penindasan yang dilakukan.
Kemudian Abd. Hamid masuk mengambil
sebuah fail yang mengandungi salinan dokumen sulit tentang status tanahnya
itu. Juga ditunjukkan kepada kami 16 laporan polis yang dibuat olehnya
atau oleh isterinya tentang gangguan dan keganasan pihak-pihak tertentu
ke atas keluarganya. Juga dilampirkan surat doktor tentang kecederaan anak
sulungnya akibat gangguan orang upahan. Lebih memalukan lagi, ada laporan
polis tentang gangguan dan tekanan daripada beberapa pegawai polis ke atas
keluarganya. Jua, laporan polis tentang Dato’ Usu Sukam yang menuduh Abd.
Hamid cuba menggangunya.
Rupanya, rumah yang kami berada ketika
itu adalah binaan semula setelah rumah asal Abd. Hamid dirobohkan. “Habis
semua pakaian, fail sulit, pinggan mangkuk dimusnahkan. Sampai isteri saya
terpaksa menggadaikan barang emasnya untuk membeli sebiji dua pinggan untuk
anak-anak mengisi makanan” cerita Abd. Hamid dengan sayu. Isteri beliau,
berasal daripada Papar merupakan seorang guru Inggeris di sebuah pusat
tuition di Luyang. Dengan gaji isterinya sebanyak RM 350.00 itulah mereka
sekeluarga meneruskan hidup. Abd. Hamid tidak lagi bekerja tetap, sementelah
tiada tempat kerja yang mahu menerimanya bekerja kerana ada tekanan daripada
orang-orang tertentu.
Isterinya dulu mengajar di sebuah
sekolah rendah dan menjadi guru kelas Darjah 3 kepada Nora Nadina Usu,
anak Dato’ Usu Sukam. Setelah kes nombor telefon Dato’ Usu diketahui oleh
Abd. Hamid, isterinya telah diberhentikan. Ada juga ditunjukkan kepada
kami laporan polis bagaimana Guru Besar sekolah itu telah memanggil isterinya
tentang perkara itu setelah Dato’ Usu ‘menggamuk’ apabila Abd. Hamid menelefonnya
bagi berbincang untuk menyelesaikan masalah tanah itu.
Banyak perkara lagi yang ingin diceritakan
oleh saudara Abd. Hamid ini. Oleh kerana jam sudah menunjukkan hampir masuk
waktu maghrib, kami terpaksa mengundur diri. Kami berjanji akan mendapatkan
khidmat peguam pada esok pagi. Semasa bersalaman, saya ternampak borang
keahlian PAS di celah-celah fail yang berselerak di atas meja itu. “Insyallah,
saya, isteri saya dan ramai lagi penduduk kampung ini saya akan kumpulkan.
Kami semua masuk PAS.” katanya penuh keyakinan.
Ketika melangkah keluar daripada ‘bangsal’
itu, isterinya bersuara, “Maaflah kerana tiada minuman atau makanan. Maaf
juga kerana berbual dalam gelap.” Baru kami sedar, rumah itu tiada aliran
elektrik. Pilu dan amarah mula menggelodak di segenap hati saya. Pilu dengan
nasib mereka, terutama anak-anak kecil ini. Amarah dengan sikap syaitan
pemimpin UMNO ke atas bangsa sendiri.
- Farisi Faris
DPP Tg. Aru, Kota Kinabalu
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|