 |
.... |
ANTARA
PAK HARTO DAN PAK DOKTOR
Oleh:
Dr Nologareng |
Masyarakat umum tidak
langsung mengetahui duduk perkara milikan harta Mantan Presiden Indonesia
Suharto selama tiga dekad mengemudi negara tersebut. Suharto memperolehi
jawatan Presiden secara helah politik dan campurtangan asing ekoran dari
tragedy GESTAPO yang telah mematikan karier politik Bung karno.
Menggunakan corak pemerintahan kuku
besi dan ganyangan ganas ke atas simpatisan dan pemimpin Parti Kominis
Indonesia, PKI dan gerakan pemisah Islam kemudiannya, Suharto meneruskan
berbagai agenda demi kepentingan peribadinya. Dibantu dokongan Militer
yang menguasai Dewan dan ahli politik belaannya, Suharto tidak lagi menoleh
ke belakang- Suharto memacu Indonesia ke arah pembangunan dan pembaharuan
di bawah ORDER BARU.
Setelah 32 tahun berlalu, akhirnya
Suharto pun jatuh juga dalam saat sedang meraikan kemenangan besar pemilihannya
sebagai Presiden. Malahan sempat pula ia melantik kerabat, kroni dan anak
sendiri sebagai Menteri. Langkah sumbang ini menjengkelkan rakyat yang
ketika itu sudah bangun dari tidur yang panjang. Dengan kejatuhan ekonomi
serantau, kemegahan kerajaan-kerajaan Asia Tenggara akhirnya melebur oleh
kelicikan pedagang matawang dan juga dasar pembangunan yang tidak efektif
dan proaktif.
Kehidupan jerih dan payah yang dilalui
rakyat umum telah menjadi bertambah sukar. Lantas gelombang kesedaran yang
membuak tidak dapat diempang lagi. Sejarah telah menyaksikan kebangkitan
ynag menyeluruh bermula di pekan-pekan kecil yang terus merebak ke kota-kota
besar termasuk Jakarta. Rakyat yang terdedah dengan berita yang telus dari
berita alternatif seperti internet dan kabel TV telah menyedarkan mereka
dari propaganda murahan oleh media tempatan. Terbongkarlah bagaimana penyelewengan
yang telah dibuat oleh kepimpinan Suharto sehinggakan segala kegiatan ekonomi
hanya berkisar dalam lengkungan keluarga Presiden dan taulannya.
Tumpuan kerajaan yang berorientasikan
perniagaan dengan melupakan golongan papa kedana serta marhaen, akhirnya
menjerut Suharto. Segala perniagaan yang menguntungkan segelintir individu
diutamakan, manakala kebajikan rakyat biasa tidak dihiraukan. Desakan hidup
yang menekan serta tiadanya iltizam kerajaan membaiki keadaan menimbulkan
kemarahan rakyat yang bukan kepalang, apatah lagi apabila menyedari kepimpinan
negara membolot untuk tembolok sendiri!
Berkat kematangan politikus dan tentera,
keadaan kacau-bilau dapat diamankan denagn perletakan jawatan Suharto.
Lalu terdedahlah ‘tengkorak dalam almari’ Suharto yang tersembunyi selama
ini. Tembelang dan keonaran selama masa dia bercendawan di atas puncak
kuasa akhirnya terbongkar. Rupa-rupanya Suharto ligat mengumpul harta secara
pecah amanah melalui proks, kroni dan kaum kerabatnya. Suharto sekeluarga
KAYA RAYA dalam keadaan rakyatnya sendiri PAPA KEDANA. Anggaran harta yang
dikumpul adalah sekitaran US 150 Billion. Rakyat marhaen Indonesia terlopong
dan terkejut.
Senario di Malaysia
Baru-baru ini majalah FORBES ada menyenaraikan
nama-nama ‘Billionaire’ @ Ribujutawan di seluruh dunia. Dengan Bill Gates
mengungguli tempat pertama terkaya,rakyat Malaysia juga tersenarai rupa-rupanya.
3 orang keturunan Cina dan seorang India menjadi wakil Malaysia dalam kelab
tersebut. Setelah 30 tahun berlalu DEB yang digubal untuk meningkatkan
ekonomi Melayu, jelas kerajaan sekarang terpaksa menanggung malu atas kegagalannya
melahirkan walau seorang Ribujutawan Melayu!!
Lalu rakyat yang kritikal mula menyoal,
apakah tiada langsung seorang Melayu yang bergelar Ribujutawan?? Apakah
Daim Zainuddin yang menguasai perbankan negara melalui proses ‘Ular
lidi menelan naga’ tidak layak menjadi Ribujutawan Melayu yang pertama?
Apakah ada seorang lagi yang lebih hebat dan gratis kedudukan kewangannya
yang sengaja tidak disenaraikan? Kita tertanya-tanya siapa gerangan…
Jika menurut rentak tari negara jiran
kita Indonesia, rakyat terpaksa tunggu sehingga kerajaan bertukar tangan,
baru lah cerita sebenar yang bakal menggoncang negara akan terdedah dan
terbongkar. Tidakkah anda terfikir begitu??
Dr Nologareng
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|