 |
.... |
Berpendirian
Anti-kerajaan adalah SAH di sisi Agama
Oleh:
Brother Su |
Tajuk di atas ditujukan
kepada kerajaan yang zalim.
1) Akhbar milik kerajaan masih tidak
henti-henti mengapi-api dan menyeramkan suasana dengan istilah gerakan
militan. Malang sekali beberapa pensyarah telah diberi surat tunjuk sebab
oleh pihak universti kerana disyaki terlibat dengan gerakan militan dan
anti-kerajaan. Untuk melahirkan rasa kebencian dari kalangan rakyat terhadap
mereka yang membantah tindakan kerajaan, maka sentimen 'anti-kerajaan'
digembar-gemburkan. Pelajar pula diancam dengan tindakan disiplin keras
memungkinkan penyingkiran, jika disyaki aktif mempamirkan 'anti-kerajaan'.
Sentimen "anti-kerajaan" adalah satu strategi yang licik untuk mengabui
minda rakyat agar mereka tidak memandang serong terhadap segala tindakan
kerajaan yang memperlekehkan undang-undang.
2) Kemelut ini wajar dilihat dalam
perspektif yang betul dulu. Dengan mengenepikan UMNO, PAS dan lain-lainnya,
akan timbul satu kesedaran hakiki bahawa yang berlaku sekarang sebenarnya
adalah pertembungan nilai, iaitu, pertembungan antara baik dan buruk, antara
adil dan zalim, antara ma'aruf dan munkar. Keengganan golongan pelajar,
pensyarah, kakitangan kerajaan dan rakyat jelata berpihak kepada kerajaan-UMNO
bukan kerana mereka telah dihasut dan dipengaruhi oleh parti pembangkang.
Rakyat yang selama ini telah diasuh dengan nilai-nilai keinsanan, kebaikan
dan keadilan tentunya tidak dapat menerima kedurjanaan, kerakusan dan kebiadapan
kerajaan-UMNO. Apatah lagi kerajaan-UMNO pimpinan
sidiktator tua ini mempamerkan sifat angkuh ala-Firaun, tidak mahu tunduk
kepada mana-mana undang-undang, sama ada undang-undang manusia mahupun
- lebih lagi - undang-undang agama, tentu sekali mengundang
kebencian dan kemarahan rakyat. Maka sokongan yang diberi kepada pakatan
BA adalah kerana sama-sama berkongsi nilai kebenaran dan keadilan - hasilnya
adalah penyatuan yang datang secara tabi'i. Oleh itu ibu bapa dan keluarga
kepada para pelajar dan pensyarah yang dimangsakan oleh pihak universiti
jangan sekali-kali berasa sedih atas pemangsaan ini. Para pelajar dan
pensyarah berkenaan tidak bersalah tetapi berada di pihak yang benar.
3) Adalah menjadi kewajipan untuk
Rakyat menggulingkan kerajaan si diktator tua ini. Untuk tidak disalah-ertikan
penggulingan ini hendaklah dilakukan menerusi proses undang-undang dan
demokrasi - memenuhi tuntutan 'merubah kemunkaran itu dengan lisannya'
dan 'sebaik-baik jihad itu adalah menyatakan kezaliman di hadapan raja
yang zalim'. Jika kerajaan sidiktator tua ini mendakwa para pelajar
dan pensyarah sebagai 'anti-kerajaan' maka wajar disedari kerajaan sidiktator
tua ini adalah sebuah kerajaan yang anti-keadilan, anti-Islam dan lebih
tegas lagi, anti-Allah! Malah anti-Allah ini jelas terserlah pada diri
sidiktator tua ini.
4) Kes fitnah terhadap DSAI adalah
kes klasik membuktikan sidiktator tua ini adalah anti-Allah. Dia menolak
habis-habisan untuk menggunakan kaedah syarak dalam jenayah tuduhan zina
dan liwat seperti yang termaktub di dalam surah An-Nur (Al-Quran). Malah
dia mempersendakan keperluan empat orang saksi yang adil seperti yang dikehendaki
oleh syarak. Dahsyat lagi dia berpendirian
akan tetap menerima pengakuan sesiapa walaupun seorang saksi yang
tidak adil, justeru menunjukkan bahawa dia lebih bijaksana
dan mengetahui daripada Allah SWT. Dia engkar, angkuh dan zalim! Menurut
syarak kegagalan sidiktator tua ini untuk mensabitkan kesalahan zina dan
liwat terhadap DSAI wajib disebat dan kesaksiannya gugur. Dia tidak boleh
lagi diangkat sebagai saksi dalam mana-mana urusan kehidupan. Termasuk
dalam bab 'saksi' ini juga dia tidak boleh mengundi dan diundi. Maka kedudukannya
sebagai pemimpin gugur. Jika dia tidak mahu berundur dengan rela hati maka
rakyat wajib menyingkirkannya. Segala dakwaannya tidak layak lagi diterima
sebagai kesaksian. Inilah hukumannya ke atas seseorang yang melakukan fitnah
zina atau liwat yang besar dosanya disisi Allah SWT.
5) Si diktator tua perlu diingatkan
walaupun dia bercita-cita untuk menjangkaui umur 80 tahun, belum pasti
dia boleh bernafas esok harinya. Allah masih memberinya ruang untuk dia
kembali ke pangkal jalan, atau mengujinya sejauhmana dia mahu mempamerkan
keangkuhan dan kezalimannya. Kepada pemimpin-pemimpin yang zalim dan kuncu-kuncunya
perlu diperingatkan bahawa sejauhmana mereka mahu menayangkan keangkuhan
mereka, ianya langsung tidak berbaloi di hari pembalasan kelak. Kematian
adalah sesuatu yang pasti.
Kepada seluruh rakyat Malaysia dan
pengikut-pengikut UMNO sedarlah si diktator tua ini layak, dari segi syarak,
disingkirkan dari kerusi pemerintahan! Berpendirian 'anti-kerajaan' yang
zalim mengengkari keputusan Allah adalah sah di sisi, malah dituntut oleh,
Islam. - M@R
Salam Reformasi,
Brother Su - 10.09.2001
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|