DEBAT PERDANA DADAH
DEDAH AKSI GELOJOH NOH OMAR
Oleh Roslan SMS - Laman M@RHAEN

Setelah tamat musim pertama siri Debat Perdana anjuran RTM, kini bermula pula musim keduanya dengan debat bertajuk: Dadah Musuh Nombor Satu Negara.

Format debatnya dikekalkan sebagaimana biasa dan Johan Jaafar juga kekal sebagai moderatornya.

Ahli-ahli panel kali ini terdiri daripada Noh Omar Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, YB Teng Chang Khim ADUN DAP Selangor, Dr. Lolo Ghazali AJK PAS Pusat dan Prof Dr Mahmud dari UUM.
 

Dr. LoLo berjaya

Debat yang pada mulanya berjalan dalam keadaan tenang dan teratur mula menjadi kelam-kabut apabila Noh Omar dilihat bertelagah dengan Teng ketika giliran Teng memberikan hujah. Noh Omar sebagaimana wakil-wakil Umno/BN sebelum ini dilihat cuba menguasai majlis malah dalam dua ketika beliau berhujah tanpa pun moderator mengemukakan soalan ataupun pertanyaan sebagaimana ahli panel yang lain.

Memaklumi peribadi Noh yang memang robust dan ringan mulut itu, tidak hairanlah beliau cuba membolot majlis dengan berhujah seolah-olah beliau seorang Menteri penuh.

Gelagat beliau membuktikan betapa pimpinan Umno/BN memang sukar duduk berbincang dan berhujah secara ilmiah tanpa emosi kerana barangkali trend perdebatan secara umum sebagaimana sering diamalkan dalam negara-negara demokrasi tidak pernah mereka amalkan kecualilah siri debat di RTM ini.

Yang nampak cool dan lebih berhujah secara ilmiah adalah wakil PAS Dr Lolo dan wakil UUM Prof Dr. Mahmud. Tahniah Dr Lolo yang pastinya turut mengharumkan nama Dewan Muslimat PAS.

Dr. Lolo telah membawa hujah Islam dengan memetik ayat Al-Quran yang berhubung dengan larangan Allah terhadap melibatkan diri dalam kerja-kerja yang membinasakan diri serta hadis Rasulullah saw berhubung perlunya kuasa digunakan untuk mencegah kemungkaran bagi mereka yang berkuasa.

Walaupun sering diganggu moderator dan Noh sendiri Dr Lolo jelas tidak emosional malah berjaya mencuri peluang untuk memaparkan kepada masyarakat di mana lantaran prejudis politik kerajaan PAS Kelantan yang walaupun merupakan negeri dalam persekutuan telah tidak dilibatkan secara langsung dalam AADK ataupun Agensi Anti Dadah Kebangsaan. AADK ini dipengerusikan oleh MB di peringkat negeri-negeri tetapi tidak di Kelantan.

Dr Lolo turut menekankan betapa pendidikan agama penting sebagai langkah pencegahan malah point ini turut dipersetujui oleh Prof Dr. Mahmud. Cuma yang mengecewakan apabila Noh dengan sombong mengecilkan petikan dan hujah Al-Quran yang dibawa oleh Dr Lolo apabila beliau berkata:

"Ayat Al-Quran betul, kita nak tanya apa yang Kelantan buat, apakah Kelantan berikan untuk selesai kes (dadah ini) setakat baca Al-Quran sahaja bolehkah selesai masalah."
Noh dilihat melenting apabila Dr Lolo mendedahkan bahawa rasuah juga merupakan punca merebaknya penyalah gunaan dadah ini. Beliau memetik insiden betapa mudahnya dadah diperolehi di pusat-pusat Serenti yang bukan merupakan rahsia lagi. Dan ini bukti betapa rasuah turut menyumbang ke arah penyakit dadah ini.

Dalam waktu yang terbatas Dr Lolo menegaskan bahawa yang pentingnya adalah untuk mewujudkan:

A God fearing society
Iaitu masyarakat yang takut pada Allah sama ada daripada kalangan rakyat lebih-lebih lagi daripada kalangan pemimpin.

Kesimpulannya saya merasakan wakil PAS telah berjaya membuktikan bahawa PAS sentiasa bersikap terbuka dan bersedia pada bila-bila masa sahaja menyumbang ke arah kebaikan negara. Sebagai bukti seperti diakui Noh, Hj Husam Musa pernah membentangkan kertas kerja dalam satu majlis anjuran AADK. Cumanya pusatlah yang sebenarnya tidak mengiktiraf kewujudan kerajaan negeri PAS di Kelantan yang telah dipilih rakyat.

Saya fikir lanjutan dari debat ini PAS perlu menyahut cabaran Noh bagi menawarkan pusat-pusat pemulihan khususnya di Kelantan bagi membuktikan ada penyelesaian secara Islam. Kalau tidak silap, bekas wakil rakyat PAS di Kuala Krai Ustaz Ibrahim Mahmud memiliki sebuah pusat pemulihan secara Islam di Kelantan. PAS dan kerajaan negeri perlu proaktif dan membina sebuah pusat yang pasti akan menerima sokongan banyak pihak.

PAS teruslah menyertai debat-debat pada masa-masa akan datang!

Sila lawati BLOG saya di http://n32.blogspot.com/

Oleh Roslan sms - 27.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: