ISLAM DI MALAYSIA:
KE MANA NAK DIBAWA
Oleh Roslan SMS - Laman M@RHAEN

Sekiranya kita meniliti pentadbiran Islam di Malaysia sejak akhir-akhir ini, nampak seolah-olah satu suasana yang sangat rapuh, memberikan gambaran yang Islam ini sudah semakin dipinggirkan, diuli dan dicanai sehingga tiada lagi bermaya di mata orang kebanyakan walaupun kerajaan bersungguh menonjolkan konsep Islam Hadharinya.

Isu serbuan JAWI di Zouk memberikan gambaran yang penguatkuasa Islam ini ganas dan tidak bertamadun ala Taliban, manakala peraturan pencegahan maksiat dilihat terlalu ekstrem dan mengekang hak asasi.

Sebelum itu sebarang langkah untuk mempertahankan maruah dan akidah umat Islam dilihat sebagai suatu tekanan yang menyusahkan, yang kolot dan seumpamanya. Mufti Perak mengharamkan konsert Sureheboh atas hujah berlandaskan syarak, maka mufti menjadi mangsa serangan pelbagai pihak.

Sementara itu keruntuhan akhlak dan moral di kalangan remaja Islam berterusan berlaku dalam angka yang seolah-olah tidak mampu dikawal lagi.

Dalam keadaan demikian, macam mana kita mahu kembali kepada Islam, hatta Islam apa konsep sekalipun?

Hari in akhbar tempatan melaporkan darihal perasmian Persidangan Kebangsaan Ke Arah Penubuhan ICM (Inter Religious Council of Malaysia). Suruhanjaya yang akan menggabungkan semua agama-agama yang ada di Malaysia yang menurut perasminya Rais Yatim adalah selaras dengan konsep Islam Hadhari sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia:

Beliau menjelaskan, Malaysia perlu melangkah ke hadapan untuk mewujudkan persefahaman di kalangan pelbagai agama termasuk menubuhkan sebuah badan bagi tujuan itu dan ia adalah selaras dengan konsep Islam Hadhari.
Tujuan penggabungan ini adalah bagi membolehkan semua wakil agama membincangkan persoalan antara agama, dan mencari penyelesaian bersama dalam sebarang konflik, sebagaimana kata Rais:
Penganut agama lain mempunyai hak untuk mencurah pandangan, kalau ini pun tidak boleh diterima maka terserahlah.
Walau bagaimanapun, pelbagai NGO Islam yang terkemuka enggan menyertai persidangan ini termasuklah ABIM, Persatuan Ulamak, JIM malah termasuk IKIM. Mengapa?

Kembali kepada isu asal yang cuba dikemukakan di atas, kita kini dalam keadaan mencari-cari penyelesaian ke atas pelbagai konflik dan permasalahan yang timpa-menimpa ke atas umat Islam di Malaysia. Kita berbeza pandangan dalam pelbagai isu, termasuklah isu amar makruf nahi mungkar, isu perlaksanaan hukum Islam dan banyak lagi.

Dalam kemelut yang tidak berkesudahan ini, tiba-tiba kita mahu membelah dan membuka dada Islam yang kita sendiri masih lemah mempertahankannya. Cukuplah sudah banyak yang telah kita gadaikan atas nama perpaduan walaupun kadangkala merugikan umat Islam.

Mengapa tidak kita utamakan Inter Islamic Council ataupun Majlis Perpaduan Islam. Kita bariskan semua NGO, parti dan gerakan Islam tanpa prejudis. Kita bermuzakarah hal ehwal berkaitan Islam dan akidah umatnya. Kita perkasakan diri kita terlebih dahulu sebelum kita melihat perkara yang lain.

Yang jelas ICM ini ditaja oleh satu badan Barat iaitu: Yayasan Konrad Adenauer. Apa halnya kita perlu pada satu badan asing dalam isu antara agama yang melibatkan cuma rakyat Malaysia? Dan kita lihat mereka yang hadir mewakili Islam adalah terdiri dari badan yang pegangan Islamnya sendiri masih dipertikaikan antaranya Sisters in Islam.

Kita membuka Islam kepada mudharat dan bahaya yang sangat besar. Katakanlah isu yang mahu dibincangkan adalah kebebasan agama. Di Malaysia kebebasan beragama dijamin oleh Perlembagaan negara. Akan tetapi penganut Islam tidak dibenarkan menukar agama asalnya. Katakanlah isu ini dipertikaikan. Mengapa rakyat Malaysia apa sahaja agama tidak boleh memilih agama anutan mereka? Lalu apa nak kita perkatakan, kalau wakil Islam sekadar Sisters in Islam, kita sudah boleh agak keputusannya.

Kesimpulannya kita tidak memerlukan satu badan yang akhirnya sekadar meminta untuk menyemak semula peraturan dan hukum berkenaan Islam sahaja. Kita memang perlu duduk dan berunding dari masa ke semasa dalam negara yang bermasyarakat majmuk dan pelbagai agama ini, namun garis panduannya mesti jelas. Dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan penganut Islam sebagai penduduk majoriti perlu diiktiraf dan dihormati terlebih dahulu.

Biarkan badan-badan Islam duduk dan bersetuju terlebih dahulu darihal keperluan majlis seumpama ini dan isu-isu yang berkaitan. Mengapa perlu kita bersungguh-sungguh mahu bergegas menubuhkan badan ini? Fikirkanlah sebelum kita terlambat dan Islam nanti entah ke mana-mana dibawanya!

Sila lawati BLOG saya di http://n32.blogspot.com/

Oleh Roslan sms - 25.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: