30 Polis Barua Pengedar Dadah: Noh Omar Tukang Fitnah?
Oleh Inderaloka

Dato’ Noh Omar sejak menjawat Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah berjaya mempromosikan dirinya sebagai orang yang kuat bekerja.
 
Kekerapannya muncul dengan pelbagai isu kontroversi di layar media elektronik milik kerajaan mahu pun swasta sudah cukup mempopularkan pemenang nombor 7 anggota MT Umno di kalangan penonton setia slot berita /Buletin Utama.
 
Khabarnya PM Imam Hadhari juga selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah memberi kuasa penuh kepada Noh Omar untuk menerajui kementerian itu kecuali yang berkaitan dengan kelulusan mengeluarkan lesen memiliki senjata api.
 
Timbalan Menteri yang pernah menjadi guru dan dikaitkan dengan kejadian meraba payu dara beberapa orang pelajar (gadis sunti) keturunan India di Pulau Carey beberapa waktu dulu oleh musuh-musuh politiknya, sekilas pandang menyerlahkan bakatnya untuk memikul tugas lebih berat jika diberi kepercayaan.
 
Nampaknya tindakan Imam Hadhari melantik Noh sebagai pembantu kanannya di KKDN adalah tepat.
 
Kata pemuka-pemuka Umno yang kurang senang dengan kelincahan Noh: “Siapa tak kenal dengan Noh, disuruh menyalak dia menyalak, disuruh memburu dia memburu, kadangkala overacting pula tu!”
 
Sementara itu jentera propaganda Noh juga tak kurang hebatnya menjaja berita antara yang disemarakkan sejak menjelang pemilihan MT Umno bermula sehinggalah kini ialah kononnya Noh telah berkunjung ke Penjara Sungai Buloh khusus untuk menemui Dato’ Seri Anwar Ibrahim kira-kira dua bulan sebelum mantan TPM itu dibebaskan.
 
Di dalam pertemuan itu kononnya DSAI menyanjungi sikap Noh yang muncul sebagai satu-satunya pemimpin Umno berani mengunjungi beliau setelah hampir enam tahun di penjarakan di situ. Status cerita tersebut adalah sukar untuk diklasifikasikan; para penyokong Noh mati-matian mengiyakannya manakala yang kontra dengan beliau akan menganggap itu sebagai cerita karut.

Perihal Noh dikaitkan dengan cerita karut itu sebenarnya bukan terbit daripada kalangan pembangkang sebaliknya lebih berkisar di sekitar kabilah Umno sendiri.
 
Khabarnya sudah terdapat kelompok-kelompok tertentu di dalam Umno yang mencemburui Noh lantaran itu imejnya mesti digerhanakan perlahan-lahan .
 
Difahamkan dalam Umno Selangor sendiri terdapat pemimpin kanan tidak begitu gembira kerana PM Imam Hadhari terlalu mempercayai Noh.
 
Sudah ada cerita tersebar bahawa orang yang paling dipercayai PM di Selangor ialah Noh Omar bukan Dr Mohd Khir Toyo meskipun MB Selangor itu adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan pemenang No 1 anggota MT.
 
Pengolahan cerita karut versi Noh Omar itu disemarakkan oleh kumpulan tertentu itu apabila baru-baru ini beliau telah mendedahkan terdapat 30 orang anggota polis terlibat sebagai barua pengedar dadah.
 
Menurut Noh operasi pengedaran dadah itu tertumpu di pusat-pusat hiburan tertentu (ertinya secara tak langsung, premis-premis yang menawarkan pelbagai aktiviti maksiat itu turut dilindungi polis-polis terlibat).
 
Noh telah pun menyerahkan senarai nama tersebut kepada Ketua Polis Negara (KPN) dan mengarahkan agar siasatan segera dibuat.
 
Belum pun dua minggu pendedahan berani itu dilakukan oleh Noh tiba-tiba sudah ada kenyataan dibuat oleh golongan tertentu (kabilah Umno) menyifatkan kemungkinan dakwaan 30 orang anggota polis terlibat sebagai barua pengedar dadah sebagai fitnah.
 
Sekiranya dakwaan tersebut dianggap fitnah oleh golongan berkenaan secara tak langsung mereka menuduh Noh Omar sebagai punca fitnah dan penyebar cerita karut. Nampaknya peranan PDRM yang diarahkan untuk menyiasat dakwaan salahlaku sebahagian daripada anggotanya itu telah diambil alih oleh golongan anti Noh Omar.
 
Munasabahkah pendedahan Noh itu dikategorikan sebagai fitnah? Kalau sumber maklumat itu tidak dikutip daripada kaki lima dan kutu rayau, sudah tentu sukar untuk semua pihak menafikan kesahihannya.

Lazimnya seorang Timbalan Menteri tidak akan membuat statemen bersumberkan input kabur kecualilah dia memang haprak suka mengutip maklumat tepian jalanan.
 
Selaku orang nombor 2 di dalam kementerian yang memproses dan menyimpan pelbagai data menyentuh bidang keselamatan dalam negeri,sudah tentu Noh Omar menerima maklumat berkaitan daripada punca-punca perisikan tertinggi dan canggih. Dalam hal ini SB dan lain-lain agensi risikan yang menyalurkan maklumat itu bukan pihak lain!
 
Bagi rakyat marhaen kuantiti tersebut (30 orang) adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan situasi sebenar.
 
Pasti ribuan anggota polis yang bukan sahaja terlibat sebagai barua pengedar dadah malah barua penyeludup, pengusaha mesin kuda, ekor gelap, pelindung pendatang haram, pelindung pengusaha kenderaan perniagaan (lori, bas, dll biasanya bayar rasuah secara bulanan), premis-premis pelacuran serta aneka maksiat dapat dikesan di seluruh pelosok tanah air jika pembongkaran besar-besaran dapat dilaksanakan secara telus dan berani.
 
Perihal PDRM yang telah sinonim sebagai pelindung aktiviti haram (jenayah) bukan cerita baru!
 
Apakah yang mendorong golongan anti Noh Omar menganggap dakwaan beliau sebagai fitnah? Jika mahu menjatuhkan Timbalan Menteri itu, carilah isu lain yang lebih sedap didengar bukan dengan membela sekumpulan manusia haprak dan bangsat laparkan wang haram meskipun terpaksa bersubahat dengan pengedar dadah.
 
Jika Noh tidak mahu dirinya digelar sebagai tukang fitnah beliau mesti komited dengan dakwaannya itu dan terus membongkar apa segala bentuk salahlaku pihak polis dan lain-lain agensi penguatkuasaan,apatah lagi di kawasan parlimennya Tanjong Karang merupakan syurga bagi pengusaha mesin kuda, ekor gelap, pendaratan pendatang tanpa izin dan penyeludupan pelbagai barangan haram dan halal!
 
Jika kawasan sendiri pun sukar untuk dibersihkan ,kurang wajar Noh Omar ribut-ribut tidak tentu fasal nanti dikata orang kuman di seberang laut nampak gajah di depan mata tidak kelihatan! Amat haprak namanya tu!

Inderaloka - 21.10.2004 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: