KEMUNCULAN DAJJAL
Oleh Anak Jati Segamat - Laman M@RHAEN

Sebagaimana yang telah saya janjikan, di sini saya akan cuba untuk berkongsi bersama dengan para peminat setia Laman M@rhaen. Saya berkesempatan untuk menghadirkan diri di markas PAS yang bertempat di Kampung Air Merah Mersing.

Memandangkan bahawa saya terpaksa memandu seorang diri dengan kaedaan kereta yang sudah agak tua  saya mengambil keputusan untuk bertolak cepat dengan harapan untuk sampai di Mersing sebelum waktu maghrib. Setelah melintasi logi Gas Petronas yang terletak di highway Segamat-Kuantan kelihatan kereta yang bergerak dari arah bertentangan kerap memberi lampu. Faham faham sahajalah apa yang sedang menunggu di hadapan. Saya memperlahankan kelajuan dengan mematuhi had laju yang dibenarkan.

Saya tiba di destinasi beberapa minit sebelum azan maghrib. Kaedaan di dalam markas kelihatan agak lengang. Saya meninjau sekeliling sebelum terpandang seseorang yang berjanggut putih sedang membaca Al-Quran. Belum pun sempat saya bertanya seorang kenalan memberitahu bahawa itulah orangnya.

Selesai solat sunat selepas maghrib, tetamu yang dikatakan itu bangun dengan diiringi oleh seorang lelaki Melayu yang akan bertindak sebagai jurubahasa. Di masa inilah baru kelihatan pertambahan kehadiran jemaah. Tetamu tersebut terus memperkenalkan dirinya. Beliau bernama Shiekh Zaki Yuddin Sharfi, berasal dari Pakistan dan kini sudah menjadi penduduk tetap di A.S lebih 30 tahun. Beliau sudah menjelajah hampir ke semua masjid dan 300 buah universiti yang terdapat di A.S. Kini beliau bertugas sebagai Imam di salah sebuah masjid di New Jerseys.

Para hadirin kelihatan tidak sabar untuk mendengara ucapan Tuan Shiekh. Beliau bermula dengan bertanya kepada para hadirin apakah perkataan yang kerap disebut dalam satu hari. Berbagai-bagai jawapan yang mereka beri, menurut Tuan Shiekh, semuanya salah. Tanpa disedari bahawa bagi setiap orang Islam yang istikamah mendirikan solat fardu lima kali sehari semalam, menyebut kalimah ALLAH HU AKBAR sebanyak 170 kali, tetapi malang kerana tidak menghayati kalimah tersebut sepenuh jiwa. Disebabkan itulah kini timbul beraneka gejala sosial dan musibah yang menimpa umat Islam sebabnya kerana kita hanya sekadar menyebut kalimah tersebut tanpa menjiwainya.

Beliau juga menyatakan bahawa kini terdapat umat Islam yang takut mati dan cinta dunia. Oleh kerana itu “JIHAD” yang dituntut oleh ALLAH tidak dilaksanakan, cuma oleh segelintir manusia. Menurut kata beliau lagi, solat, puasa, zakat dan haji akan menjadi sia-sia kalau takut untuk keluar berjihad di jalan ALLAH dengan melihat sahaja segala kemungkaran yang kita sendiri lakukan, yang berlaku dalam rumah, dan masyarakat sekeliling. Apa faedahnya
menyebut ALLAH HU AKBAR tetapi masih lagi mengagungkan kehebatan manusia serta gerun dengan kuasa-kuasa besar dunia. “Bukankah ALLAH yang Maha Besar dan Hebat” kata beliau, dan menyambung, “Apa kita umat Islam tidak percaya atau pun kurang yakin?”

Selepas peristiwa 9/11 ramai rayaat America telah memeluk Islam walau pun di sana Islam ditindas, di cerca dan dihina. Kerana sifat ingin tahu rakyat Amerika, mereka mencari Al-Quran dan mengkaji isi kandungannya sehinggakan mereka mendapat “KEBENARAN”. Malangnya, kita di sini ramai yang boleh membaca Al-Quran tetapi tidak memahami apa yang tersurat dan tersirat. “Adakah Al-Quran hanya untuk di baca dan dipertandingkan?” tanya beliau.

Kini puak Yahudi serta sokongan dari kuasa-kuasa besar dunia sedang memperlengkapkan kekuatan tenteranya dan kini sudah mencecah 3.5 juta orang. Juga kini pihak Yahudi dan sekutu-kutunya sedang membangunkan senjata nuklear untuk menjahanamkan negara-negara Islam. Selepas menakluk negara-negara Arab mereka akan menceroboh India, Pakistan, Indonesia dan tidak terkecuali Malaysia. Dengan nada yang agak keras Tuan Shiekh menyuruh kita bangun dari tidur dengan meningkatkan ketakwaan kita kepada ALLAH. Sambil memegang senaskah Al-Quran beliau berkata, “Dengan berpegang teguh kepada kitab ini serta hadis Rasulallah S.A.W, percayalah umat Islam bakal memperolehi kemenangan, itu janji ALLAH”.

“Dulu semasa Amerika takutkan kemaraan Russia dia sanggup membantu rakyat Afganistan memerangi Russia. Setelah Russia dapat ditewaskan lain pula yang berlaku di Afganistan angkara perbuatan khianat pihak Amerika” kata Tuan Shiekh. “Tidakkah itu menyerupai perbuatan dajjal?” tanya Tuan Shiekh.

Menurut kata Tuan Shiekh bahawa tanda-tanda kiamat sudah ALLAH pertontonkan kepada umat yang mahu berfikir. “Apa kita masih tidak percaya atau pun kurang yakin?” tanya beliau. Kaum Yahudi yang kafir terhadap Al-Quran dan hadis Rasulallah s.a.w kini sedang menanam pokok-pokok Yahudi yang dipanggil “GHORKHOT”. Yang jumlahnya sudah mencicah 40,000 pokok. “Mengapa hadis yang ini mereka percaya” sindir Tuan Shiekh.

Kini King Faad sedang sakit dan akan mati bila-bila masa sahaja. Pihak Amerika sudah pun memulakan peranannya dengan mengacum tiga orang putera Saudi untuk merebut takhta Arab Saudi. Apa yang akan berlaku seterusnya, ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui.

Berhubung dengan dua gerhana bulan dan matahari yang dikatakan akan berlaku pada bulan Ramadhan tahun ini sebagaimana yang diwar-warkan dalam internet, Tuan Shiekh tidak dapat memberi apa-apa komen kerana tidak kedapatan satu hadis pun yang menghuraikan peristiwa tersebut.

Menyentuh berkenaan dengan tsunami beliau berkata itu adalah kehendak dan kuasa ALLAH dan ianya jelas, malah seorang saintis Amerika sudah meramalkan bahawa dalam tahun ini mega tsunami berukuran 10.5 akan melanda pantai Amerika. Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah kesudahannya.

Tujuan kedatangan beliau ke Malaysia adalah untuk  melancarkan satu projek yakni mengagihkan naskah Al-Quran yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris kepada orang bukan-Islam. Bagi sesiapa yang ingin untuk menderma, senaskah Al-Quran berharga RM4.00 sahaja dan boleh menderma seberapa banyak tanpa had. Dipendekkan cerita, saya begitu kagum dengan para jemaah yang tidak sampai 300 orang sanggup menderma sehingga mencapai sasaran sebagaimana yang diharapkan oleh tuan Shiekh-hampir RM5,000.00 berjaya dikumpul, ini termasuk dua bentuk cincin emas dan seutas gelang emas dan sekeping cek berharga RM2,000.00. Saya terfikir, mengapa Tuan Shiekh memilih markas PAS untuk tujuan tersebut. Menurut kata Tuan Shiekh di A.S kumpulannya telah berjaya mengagihkan satu juta naskah Al-Quran kepada non-muslim dan berazam untuk mengagih sehingga jumlah 10% jari jumlah rakyat A.S. Selepas ini beliau akan ke Australia untuk tujuan yang sama.

Sebelum mengakhari ucapannya yang memakan masa hampir dua jam beliau mengingatkan para jemaah supaya  terus berdoa agar kita dijauhkan oleh ALLAH dari fitnah Dajjal sebagaimana yang disarankan oleh Rasulallah s.a.w. Dengan nada yang agak keras Tuan Shiekh menyeru agar para jemaah meningkatkan ketakwaan dan memegang teguh kepada tali ALLAH serta menjiwai kalimah ALLAH HU AKBAR. Mudah-mudahan dengan kalimah tersebut umat Islam akan berjaya menangkis KEMUNCULAN DAJJAL. Tiada apa yang lebih agung selain dari kalimah ALLAH HU AKBAR.

Sebelum berpisah selepas mendirikan solat isyak dengan di imami oleh Tuan Shiekh para hadirin telah di beri dua naskah buku kecil yang berjudul “KEMUNCULAN DAJJAL” dan “THE EMERGENCE OF AL-MAHDI IS IT IMMINENT” yang beliau tulis 25 tahun lepas.
Web site: www.wakeupmuslims.com.org
E-mail: darul_kitab@yahoo.cominternational_research47@yahoo.com.

Setakat ini sahaja yang dapat saya rakamkan kerana saya tidak mencatat segala apa yang Tuan Shiekh perkatakan hanya sekadar apa yang saya ingat. Saya merasa bertuah kerana berpeluang menjadi salah seorang daripada para jemaah. Ya ALLAH tetapkanlah pendirian ku dalam menjalani hidup sebagai seorang muslim. Wahai ALLAH aku berlindung kepada MU dari seksa kubur, dari bencana kejahatan Al-Masih Dajjal dan dari bencana hidup dan mati. Wahai ALLAH, aku berlindung kepada MU dari dosa dan hutang.

ALLAH HU AKBAR, ALLAH HU AKBAR, ALLAH HU AKBAR.

ANAK JATI SEGAMAT - 01.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: