SEMALAM DI KUALA PILAH
Oleh Anak Jati Segamat - Laman M@RHAEN

Mengetahui yang saya agak free, seorang kenalan mempelawa agar saya sudi menemankan dia pergi ke Kuala Pilah kerana ada urusan peribadi. Tanpa berfikir panjang saya bersetuju dengan syarat apabila setelah selesai segala urusan kami akan segera pulang.

Biasalah bila kami bersama berbagai-bagai isu akan kami perbincangkan seolah olah kami ini orang politik. Kami tiba di Kuala Pilah agak awal dari masa yang dijanjikan. Kerana cuaca agak panas kami mencari restoran walau pun sebelum ini kami kerap makan di warung sahaja.

Setelah ketemu restoran, kami mencari tempat yang agak selesa. Tanpa diduga bersebelahan dengan meja kami ada beberapa orang yang kelihatan pertengahan umur sedang rancak berbual dalam loghat Negeri seolah-olah mereka sahaja yang berada di dalam restoran tersebut. Pada mulanya kami tidak menghiraukan, maklumlah kami kurang arif dengan loghat yang mereka gunakan.

Semasa sedang menjamu selera kami terhenti kerana perbualan mereka kini ada hubung-kait dengan isu semasa yang sedang melanda Negara ketika ini. Walau pun ianya telah menjadi pengetahuan umum, elok juga kalau saya kongsi bersama dengan mereka yang sudi membacanya. Topik-topik perbualan mereka yang ingin saya kongsi bersama ada seperti di bawah ini.

1. PEMBANTU RUMAH TERPAKSA BERHENTI.

Apa yang saya dengar, seorang pembantu rumah yang bekerja dengan Tok Undang Johol bernama Kak Habibah (kalau tidak silap) terpaksa berhenti kerana kebelakangan ini Tok Undang sudah dihinggapi satu penyakit, iaitu suka menepuk punggung wanita-wanita yang berdahi licin. Daripada perbualan mereka saya juga difahamkan bahawa Tok Undang adalah pengamal satu tarikat dan pernah menunjukkan kekebalannya kepada seorang teman dengan menetak tangannya dengan parang yang agak tajam dan tak lut. Juga apa yang saya dengar, Mufti Negeri Sembilan kerap berkunjung ke kediamannya. Kalau betullah Tok Undang berperangai demikian mengapa penduduk yang prihatin tidak melaporkan kepada pihak yang berwajib?

2. TELAH MENDAPAT TAUFIK DAN HIDAYAT.

Ada seorang insan yang telah bertemu dengan “JALAN YANG LURUS” telah pergi ke pejabat kadi daerah dengan tujuan untuk menasihati isterinya yang masih berada di dalam jemaah yang tidak mahu menegakkan syiar Islam, malah kerap mempersenda-sendakan kesuciannya. Mengikut ceritanya si suami begitu marah kerana si isteri masih lagi mendendangkan lagu “BERJAYA” dan “IKRAR TA’AT SETIA” kepada para pemimpin pertubuhan tersebut setiap kali bila diadakan perjumpaan. Kerana setelah ketemu dengan “JALAN YANG LURUS” si suami menganggap perbuatan isterinya itu sia-sia, kerana hanya kepada ALLAH yang semestinya kita tumpahkan segala taat setia dengan mengikuti segala perintahnya serta menjauhi segala larangannya.

Daripada perbualan mereka saya difahamkan bahawa si isteri telah sedar dan balik ke pangkal jalan. Saya mengucap syukur di dalam hati dan berdoa agar ramai lagi puak-puak yang di sebelah sana mendapat taufik dan hidayat. Lupakah kita bahawa di akhirat nanti kita akan bersama dengan mereka yang kita lantik sebagai pemimpin. Bagaimanakah rupanya kalau pemimpin yang kita ikuti dari jenis yang tidak mengamalkan perintah ALLAH (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. (Hadis)?

3. APA PENDIRIAN SEBENAR RAIS YATIM.

Saya jangkakan mereka yang berborak itu tidak hanya berbual kosong tanpa mengetahui keadaan sekeliling, kerana dalam perbualan mereka turut menyentuh perbuatan Rais Yatim yang sanggup menggadai maruah dan kesucian agama Islam dengan menyatakan bahawa semua agama adalah sama. Kelihatannya mereka begitu marah bila membincangkan topik ini. Ada dari kalangan mereka berani menyatakan kemungkinan besar si anak Yatim sudah menjadi ka… (maaf kerana saya tidak sampai hati hendak mencatatkan perkataan tersebut).

Ada juga dari kalangan mereka yang sedang rancak berbual itu menyebut perkataan “JIHAD” dan mempertikaikan mengapa tiada pertubuhan Islam yang berani menentang puak-puak kafir itu dengan cara fizikal selain dari hanya mengeluarkan kenyataan dalam akhbar sahaja. “Bukankah ALLAH menyuruh memerangi mereka yang cuba menggugat kesucian agama Islam” kedengaran satu lagi suara dengan agak lantang dan penuh semangat.

Mendengarkan itu saya teringat satu sirah semasa Sayidina Omar hampir wafat. Beliau telah memanggil anaknya untuk bermesyuarat dengan sepuluh orang yang Nabi Muhammad pernah menyebut nama-nama mereka dan mereka itu pula adalah ahli syurga. Yang datang cuma lima orang sahaja. Sayidina Omar berpesan kepada anaknya agar dibuat pengundian andai kata tidak mendapat kata sepakat. Kalau sudah dijalankan pengundian tetapi sekiranya terdapat mereka yang kalah tidak mahu menerima kekalahan Sayidina Omar perintahkan agar mereka di bunuh walau pun sebelum ini Nabi Muhammad s.a.w. telah menyebut yang mereka itu ahli syurga.

Dari sirah ini kita boleh mengambil iktibar bahawa Sayidina Omar takut nanti kalau-kalau timbul harakah Islam yang berpuak-puak. Andai ianya berlaku, puak-puak yang wujud pasti cuba menunjukkan kehebatan harakah mereka. Mungkin itukah agaknya, tiada  siapa yang sanggup ke hadapan untuk menentang kemaraan puak-puak kafir yang berani mempertikaikan kesucian agama Islam. Tambahan pula orang yang mengaku Islam sanggup mengeluarkan kenyataan bahawa agama semua sama.

Adakah kenyataan tersebut bertepatan dengan pertukaran nama “KADHI” sebelum ini kepada “Pegawai Tadbir Agama (adakah semua agama?) Daerah?  Mari kita kira, di Malaysia kini sudah ada berapa pertubuhan Islam? Dalam banyak banyak pertubuhan hanya satu yang tidak berganjak dengan perjuangan nya, dari dulu kini dan mungkin selamanya. Pembentukannya berdasarkan kepada Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Kias. Marilah kita menyokong pertubuhan tersebut kalau kita benar benar hendak menegakkan kalimah ALLAH di Malaysia yang tercinta ini.

Adakah tuhan-tuhan yang mempunyai banyak tangan dan dalam pelbagai berbentuk, sama dengan ALLAH. Hayatilah surah Al-Ikhlas dan surah Al-Kafiruun baru ketemu perbezaan di antara ALLAH dengan tuhan-tuhan ciptaan manusia.

Dalam agama Kristian sendiri ada perbezaan di antara Catholic dan Methodist. Saya pernah bertanya mengapa pada salib mereka ada perbezaan, Catholic ada patung (manusia) dan Methodist kosong. Jawab puak Methodist bahawa mereka khuatir kalau-kalau patung tersebut bukannya Jesus (bukan pun, kerana Nabi Isa telah diangkat ke langit dan akan turun setelah hampir kiamat). Mengapa puak-puak yang hendak menubuhkan ICM tidak mahu mengkaji perbezaan agama-agama lain sebelum cuba menyibuk dengan agama Islam yang sudah lengkap dan Syumul. Adakah orang-orang Islam di Malaysia hendak membiarkan ianya terus berlaku? Fikirkanlah dengan fikiran yang waras.

Saya kira tiga topik yang saya catatkan sudah memadai walaupun banyak lagi seperti, bantuan Tsunami yang tidak menyeluruh pengagihannya, Sureheboh (yang telah dikatakan haram oleh mufti Perak, pembuangan pekerja TM walau pun mendapat untung banyak, pergolakan dalam UMNO dan banyak lagi). Mereka terus berborak walau pun saya dan teman sudah hendak meninggalkan restoran kerana waktu temu janji sudah hampir.

Mungkin malam ini saya akan ke Mersing kerana saya baru mendapat berita, seorang penceramah cum journalist dari New Jersey U.S.A akan memberikan ceramahnya di Markaz PAS yang bertempat di Kg: Air Merah. Sekiranya ada apa-apa yang boleh dikongsi bersama, akan saya catatkan.

ANAK JATI SEGAMAT - 27.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: