Presiden HAPRAK Unintelligent Malays National Organisation (UMNO)
.... TERJEMAHAN ARTIKEL GLOBAL (235)
Malaysia Di bawah Naungan Mahathir
(TIMEasia.com: Malaysia Under Mahathir)
Oleh: Nick Papadopoulos

Mahathir Mohamad, pemimpin Malaysia berusia 75 tahun yang sering mencetuskan kontroversi, merayakan ulangtahun ke 20 beliau berkuasa pada hari Isnin lalu dengan satu majlis sambutan yang sederhana – jika majlis makan malam untuk 25,000 orang boleh dipanggil sederhana. Editor TIME asia.com Nick Papadopoulos bercakap kepada wartawan TIME Southeast Asia Simon Elegant tentang Malaysia di bawah naungan Mahathir. Petikan-petikan dari temubual itu setelah disunting adalah seperti berikut : 

BAGAIMANA MAHATHIR DAN ORANG-ORANG MELAYU MERAYAKAN PENCAPAIAN YANG HEBAT INI? 

Mahathir memotong sebiji kek di Parlimen dan pada sebelah malamnya berada di Melaka – dan ini adalah sesuatu yang pelik tetapi bersesuaian dengan Mahathir bagi memenuhi nafsu anehnya untuk mencipta rekod, dan ia melambangkan semangat Malaysia “boleh” – di mana beliau menjadi tuan rumah kepada jamuan makan malam terbesar yang pernah diadakan di Malaysia. Tetamu dari ‘Guinness Book of Records’ turut hadir; adalah dianggarkan sebanyak 25,000 orang berada di jamuan tersebut. Mereka terpaksa mengangkut orang-ramai dari semua jabatan-jabatan kerajaan, gerombolan yang taat setia kepada parti pemerintah. Mahathir tidak pula memberikan ucapan yang panjang lebar, tetapi apa yang aneh dan paling menarik perhatian berlaku pada malam itu adalah semasa ketibaan beliau. Orang-ramai, walaupun mereka tidak menunjukkan kebencian secara terbuka, kelihatan tidak peduli….Ianya bukanlah kerana mereka tidak menyukainya, namun di sebalik usaha beberapa orang yang cuba untuk memeriahkan suasana, mereka tetap tidak peduli. Keadaan begitu menimbulkan satu suasana yang mengerikan pula. 

ADAKAH MAHATHIR MENERAJUI MALAYSIA DENGAN BAIK?

Kekuatan Mahathir yang hebat adalah bagaimana beliau menguruskan krisis ekonomi dan keputusannya untuk memilih cara yang bertentangan dari kebiasaanya. Saya merasakan bahawa cara tersebut telah berjalan dengan baik sekali dan ia dapat menyelamatkan Malaysia. Orang-ramai berhak untuk menilai pencapaiannya, tetapi ramai juga yang merasakan bahawa kesungguhannya menggalakkan perkembangan ekonomi pengeksportan selama 20 tahun yang lalu telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya. Dari segi kelemahannya, walau bagaimanapun, adalah kemunculan projek-projek mega. Seorang pemimpin pembangkang berbangsa Cina memberitahu saya bahawa Mahathir tidak langsung dapat mengakui kesilapan. Beliau ternyata amat degil sekali. Contoh yang terbaik adalah projek Empangan Bakun, yang cuba dibinanya sejak awal tahun 1980an. Pembinaannya tidak akan mendatangkan kebaikan sama ada dari segi komersial atau ekonomi. Mereka telah memindahkan puluhan ribu penduduk, merosakkan kawasan hutan belantara yang keluasannya menyamai saiz Singapura, ia akan memakan perbelanjaan berbilion ringgit – bagaikan sebuah projek yang bodoh. Dan ini sudah cukup mencerminkan pemerintahan Mahathir. 

BENARKAH BAHAWA MALAYSIA PADA HARI INI JAUH BERBEZA DARI MALAYSIA PADA 20 TAHUN YANG LALU? 

Benar sekali. Rakyat gembira menikmati corak kehidupan yang sangat baik di sini, terutamanya apabila dibandingkan dengan tempat seperti  Thailand. Anda hanya perlu melihat Kuala Lumpur dan infrastrukturnya (untuk memahaminya). Mahathir telah menjadi seorang pembina bangunan; terdapat bangunan-bangunan yang mungkin anda tidak sukai, seperti Menara Petronas, bangunan tertinggi di dunia, dan lebuh-raya-lebuh raya yang begitu banyak sekali, tetapi rakyat Malaysia dapat hidup dengan agak baik. 

APA YANG TELAH MENYEBABKAN MAHATHIR DAPAT MENGEKALKAN KUASANYA SEBEGITU LAMA? 

Semata-mata kerana keazaman yang kuat. Satu daripada kualiti-kualiti hebatnya adalah kesungguhannya dalam mempertahankan kepercayaannya. Namun dari satu segi yang lain pula adalah keyakinan diri yang terlalu tinggi; beliau tidak pernah mengakui kesilapannya. Satu lagi aspek negatif adalah sifat politiknya yang tidak langsung boleh bertolak-ansur, kerana ia begitu yakin yang dirinya sentiasa betul. Itu bermakna, beliau merasakan adalah sesuatu yang wajar buatnya  untuk melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa. 

ADAKAH BELIAU MENDAPAT SEBARANG SOKONGAN DARI RAKYAT? 

Adalah sukar untuk menyatakan hal ini dengan jitu. Tiada sebarang pengundian rasmi berkenaan perkara tersebut pernah dijalankan di negara ini.. Pihak polis merupakan satu-satunya golongan yang pernah melalui pengundian seperti itu dan mereka telah memberitahu Perdana Menteri bahawa dalam sesetengah negeri di Semenanjung , sokongan Melayu kepada partinya telah menurun kepada satu per tiga dari orang-orang Melayu. Rakyat juga masih amat marah padanya berikutan peristiwa yang menimpa Anwar Ibrahim. Mereka merasakan bahawa perkara itu terlalu kejam dan sifat tidak berhati-perutnya itu begitu menyerlah sekali. Prestasi Mahathir di dalam pilihan raya yang lepas tidak begitu memberangsangkan. Dan saya rasa sekiranya beliau tidak berhati-hati, partinya akan berhadapan dengan kekalahan yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang. Itu akan dijalankan pada awal tahun 2004, tetapi mungkin juga lebih awal dari itu. 

ADAKAH TANDA-TANDA YANG MENUNJUKKAN BELIAU AKAN MENYERAHKAN KUASANYA DALAM MASA YANG TERDEKAT INI? BELIAU TELAH MEMBAYANGKAN PADA MASA YANG LEPAS UNTUK MELEPASKAN KESEMUANYA SEKALI. 

Selepas perhimpunan UMNO lebih kurang sebulan yang lalu, beliau telah menyangkal kemungkinan itu. Kini tiada sesiapa pun yang percaya bahawa beliau mempunyai niat untuk meletakkan jawatan, malahan ramai yang percaya bahawa beliau akan terus memegang kuasa sehingga tahun 2007. Beliau menjelaskan kedudukan dirinya dalam satu sidang media sebagai “terperangkap”. “Saya tidak boleh meletakkan jawatan, saya telah terperangkap,” begitulah bunyi kata-katanya, saya rasa. Ramai orang, termasuk diri saya, percaya yang beliau tidak akan sekali-kali meletakkan jawatan. 

PADA FIKIRAN ANDA, APAKAH KESAN PENINGGALANNYA NANTI? 

Saya rasa itulah yang membimbangkannya kini. Beliau lebih suka untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara makmur yang dilengkapi dengan prasarana yang membanggakan dan orang-orang Melayu dapat menikmati hak yang sepatutnya berbanding dengan keadaan mereka sewaktu ditindas oleh golongan penjajah atau menjadi warga kelas dua di negara mereka sendiri. Itulah perkara yang telah mendorongnya sepanjang hidupnya. Namun disebabkan oleh peristiwa Anwar, ramai orang yang menilai dirinya sebagai seorang pemimpin yang tidak berhati-perut dan kejam yang telah menghina dan memusnahkan seorang individu semata-mata untuk terus berkuasa. Jadi mereka inilah yang merupakan dua kesan peninggalannya, dan itulah yang menyebabkannya berada dalam situasi yang tragis sekarang ini. 
 

Terjemahan : SPAR-09-024

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!