.... Menyingkap Pemikiran Kalim Siddiqui
Oleh: Abu Majahed Abdullah Azzam


Almarhum Dr. Kalim Sidiqui adalah antara pemikir Islam yang terkemuka di akhir abad ke-20. Pemikiran beliau telah memberi kesan yang besar ke atas susur galur pergerakan Islam antarabangsa. Beliau adalah pengasas Muslim Institute, London dan Parlimen Muslim United Kingdom. Beliau telah kembali ke rahmatullah di Pretoria, Afrika Selatan pada 18 April 1996 selepas menghadiri satu persidangan antarabangsa. Tulisan ini bertujuan untuk mengkaji pemikirannya supaya dapat dimanfaatkan bersama khususnya bagi kalangan pencinta gerakan Islam.

Beliau telah membahaskan sekularisma yang dianggap sebagai antara faktor penyumbang kepada kejatuhan empayar Islam satu ketika dahulu dan ianya pada pandangan penulis masih relevan di masa sekarang berperanan besar sehingga menyebabkan umat Islam lemah dari segenap aspek hatta mudah sekali dikucar-kacirkan musuh. Saidina Umar (R.A) pernah beramanat bahawa umat Islam akan maju di dunia sekiranya mereka berpegang teguh dengan Islam dan sebaliknya jika mereka lari dari Islam, mereka akan menghadapi zaman kegelapan yang tak kunjung padam.

Kepercayaan sekular ini menurut Kalim Siddiqui adalah sebuah kepercayaan yang dipegang kuat sebagaimana memegang agama. Ia adalah ibu dan bapa bagi kepada Maxisme, Darwinisme, Fasisme, Nazisme, Negara-bangsa, korporat kapitalisme dan segala yang lain yang membentuk falsafah dan tamadun barat yang kita ketahui selama ini (Kalim Siddiqui: Stages of Islamic Revolution, 1996: 14-15).

Kalim Siddiqui juga turut mengambil berat masalah perpecahan ummah yang boleh dianggap hasil ciptaan penjajah barat untuk menjatuhkan empayar Islam Uthmaniah dengan memecahkan wilayah-wilayah bersatu Islam kepada lebih lima puluh Negara-bangsa umat Islam yang wujud dewasa ini. Semangat pemujaan kepada bangsa ini digerakkan oleh anak didik barat iaitu Mustafa Kamal Attaturk yang merupakan seorang aktivis Freemason.

Kalim Siddiqui menekankan bahawa parti-parti kebangsaan pimpinan ‘bapa negara’ yang menuntut kemerdekaan dari penjajah adalah merupakan produk ciptaan kuasa penjajah barat sendiri. Parti-parti ini dan para pemimpinnya adalah rakan kongsi yang sedar dan tidak sedar dalam agenda global barat untuk mengubah tanah-tanah jajahan mereka kepada negara-bangsa naungan yang tunduk kepada mereka. Barat kemudian terlibat dalam mengubah dunia yang terdiri daripada beberapa empayar yang bertentangan kepada sebuah dunia yang dibahagi-bahagikan mengikut lingkungan pengaruh. Apa yang dipanggil ‘dekolonialisasi’ adalah sebenarnya satu proses menyusun semula sistem kolonial yang lebih mencurigakan. Inilah kemudiannya dikenali sebagai ‘neo-kolonialisme’ (1996: 14-15).

Beliau merupakan pemikir ulung Islam yang begitu berjasa cuba untuk merapatkan jurang perbezaan di antara pergerakan pemikiran Syiah dengan Sunni. Dalam membicarakan persoalan ini, beliau menyimpulkan bahawa selama ini Islam terbahagi kepada pemikiran Syiah dan Sunni, kesilapannya, penyimpangannya, proses pembetulannya dan akhirnya proses pertemuan revolusi Islam negara Islam (1996: 163).

Dalam konteks Malaysia hari ini di mana kita berhadapan dengan perdebatan mengenai negara Islam yang mahu ditegakkan oleh PAS, penulis amat memandang berat hujah yang dikemukakan oleh Lim Kit Siang dalam satu kenyataan medianya, mantan Ketua Pembangkang bahawa demokrasi yang berpanjikan kuasa rakyat adalah bercanggah dengan Islam yang meletakkan hak mutlak kekuasaan kepada Allah (22 Ogos 2001). 

Dalam perkara ini, Kalim Siddiqui menegaskan bahawa negara dalam Islam ialah suatu tindakan ibadat dan tanggungjawab, bukan tidakan persetujuan bersama di kalangan warganegaranya (1996: 95). Walau bagaimanapun, penulis tetap berpegang bahawa konsep negara Islam yang berpaksikan kedaulatan Allah tidak mendatangkan masalah kepada masyarakat majmuk kerana ia memberi keadilan kepada semua tanpa mengira agama. Justeru, bagi penulis, negara Islam adalah selari dengan demokrasi yang bermatlamatkan keadilan sosial. 

Kalim Siddiqui adalah mutiara ummah yang sukar dicari ganti dengan jasanya yang begitu besar kepada dunia Islam. Parlimen Muslim Britian bolehlah dianggap sebagai simbol pengharapannya terhadap perpaduan ummah. Penulis berkeyakinan bahawa pelbagai masalah yang menghantui dunia Islam hari ini terutamanya penaklukan regim Zionis terhadap bumi Palestin dapat diselesaikan melalui kesatuan ummah sejagat yang lebih mampan dari OIC seperti kewujudan Blok kuasa ‘Hijau’ yang bertunjangkan Islam yang mampu menggerunkan musuh Islam.  

Abu Mujahed Abdullah Azzam
mpkangar_kmm@yahoo.com

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!