.... Buktikan Di Mana Kelemahan Negara Islam!
Oleh: Abu Majahed Abdullah Azzam
 

Dewasa ini polemik penubuhan negara Islam yang digagaskan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) sangat diberi perhatian oleh pelbagai pihak di media massa sama ada perdana mahupun alternatif. Ada pendapat yang menyokongnya dan juga pandangan yang menolak pembentukannya.

UMNO melalui Presiden seumur hidupnya turut sama meluangkan masa membahas isu ini di mana beliau melontarkan pandangan bahawa rakyat telah ditipu oleh PAS; di pihak rakyat bukan Islam, PAS bercakap lain dan di pihak Muslim pula, ia bercakap dalam nada yang lain. Justeru, beliau mencabar PAS mengemukakan manifesto penubuhan negara Islamnya di dalam bentuk bertulis supaya rakyat dapat menelitinya.

Dato’ Fadhil Noor pula menjawab cabarannya dengan menyeru beliau merujuk permasalahannya ini kepada think tank Islam kerajaan seperti IKIM dan JAKIM. Manakala Mursyidul Am PAS pula menyuruh Dato’ Seri Dr Mahathir melihat pentadbiran dua buah kerajaan negeri BA pimpinan PAS untuk mendapatkan lebih kepastian tentang negara Islam.

DAP pula menegaskan bahawa negara Islam tidak sesuai dengan lanskap politik dan sosial tanahair di mana Malaysia merupakan negara berbilang bangsa dan agama. Karpal Singh terutamanya tidak setuju dengan isu negara Islam ini sehingga mengugut untuk keluar dari pakatan pembangkang yang dinamai Barisan Alternatif. Beliau yang pada satu ketika dahulu pernah mencabar mana-mana pihak yang hendak menegakkan negara Islam supaya melangkah mayatnya terlebih dahulu sekarang melembutkan kata-katanya bahawa beliau tidak menentang Islam tetapi hanya menentang negara Islam yang menurutnya tidak seiring dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Di kesempatan ini, penulis hanya ingin melontarkan satu persoalan kepada penentang-penentang kewujudan negara Islam ini bahawa adakah mereka memahami apakah yang dimaksudkan dengan negara Islam itu? Kebanyakkan mereka tidak memahami konsep negara Islam dan hanya mengambil pandangan-pandangan negatif tentang negara Islam yang dimulakan oleh Mahathir sejak Kelantan meluluskan Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan pada tahun 1993 dahulu. Mereka tidak pernah mengkaji sendiri kebaikan perlaksanaannya di saat dunia menghadapi pelbagai gejala buruk seperti rompakan setiap hari, jenayah rogol, rasuah dan sebagainya di mana undang-undang ciptaan manusia gagal untuk mengatasinya.

Maka di sini menjadi kewajaran bagi PAS untuk melipatgandakan lagi penerangan supaya dapat mendedahkan kebaikan negara Islam kepada segenap lapisan masyarakat kerana BN khususnya UMNO sangat takut dengan kewujudannya di mana mereka tidak dapat lagi terlibat dalam rasuah, nepostisma, kronisma dan penyalahgunaan kuasa.

Bagi DAP pula, ia perlu memberi ruang kepada PAS untuk menerangkan perkara ini kepada rakyat dan tidak mengambil kesempatan memanipulasikan isu ini untuk tujuan kepentingan politiknya demi mendapat kembali sokongan rakyat khususnya dari kalangan masyarakat Cina yang semakin menolaknya. DAP perlu membersihkan persepsi masyarakat bahawa ia merupakan parti yang bersifat anti Islam adalah sama sekali tidak benar. Sebaliknya, jika DAP terus berkelakuan seperti sekarang, maka ia jangan bermimpi untuk mendapat undi dari masyarakat Islam pada pilihanraya umum yang akan datang.

Negara Islam adalah seiring dengan manifesto bersama BA di mana ia memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih dan mengkritik kerajaan; memberi keadilan kepada semua tanpa mengambil kira latar belakang perbezaan agama dan status ekonomi; institusi Hisbah atau ombusman yang mencegah penyalahgunaan kuasa dan rasuah; kaum bukan Islam wajib diberi hak untuk mengamalkan agama, adat dan budaya tanpa sebarang gangguan dan sebagainya.

Kepada penentang-penentang Islam dan negara Islam, sila tunjukkan dan buktikan di mana kelemahan dan keburukan yang terdapat di dalam negara Islam! Jika ada, penulis sendiripun tidak mahu kepadanya.
 

Abu Mujahed Abdullah Azzam (siarkan)
mpkangar_kmm@yahoo.com (siarkan).

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!