100 HARI SEORANG PERDANA MENTERI
Oleh Zukri Aksah (dipetik drp Blog Zukri Keadilan)


Banyak pihak yang memperkatakan soal ini. Bukan hanya di pihak pembangkang tetapi juga oleh media massa-media massa arus perdana. Biasalah, akan ada yang memberi kredit, ramai juga yang melontar kritik, itukan hukum demokrasi!

Maka telah lepaslah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyelusuri 100 hari pemerintahannya. Apakah report card yang boleh dibentangkan? Kelihatannya tiada special remark yang boleh diberikan, beliau hanya meneruskan rutin seorang Perdana Menteri dari Dinasti UMNO/Barisan Nasional.

Pertamanya tentulah saya ingin menyampaikan salam takziah buat Datuk Seri Perdana Menteri sekeluarga atas kepergian ke rahmatullah Allayarhamah Bonda beliau. Sedekah al-Fatihah daripada saya, semoga roh Allayarhamah sentiasa dicucuri rahmatNya.

Selain salam takziah, saya juga ingin menyampaikan ucap selamat kepada Datuk Seri Abdullah sekeluarga kerana isteri tersayang beliau, Datin Seri Endon berjaya menjalani pembedahan kanser payudara di luar negara. Tetapi persoalannya mengapa Saudara Anwar terus dinafikan hasratnya untuk berubat di luar negara? Apakah perbezaan hak yang wujud di antara mereka? Datuk Seri Abdullah mungkin berjaya memberi contoh seorang suami yang prihatin tetapi masih gagal menjadi pemimpin yang mengambil berat akan rakyatnya.

Saya juga mengikuti dengan penuh minat iltizam seorang Perdana Menteri untuk menghapus dan membersih amalan rasuah di dalam pentadbirannya. Maka di Pahang ini, kes SGM lawan UMNO Pahang mula disiasat oleh BPR. Faktanya SGM telah memberi rasuah sebanyak RM 320,000 kepada UMNO Pahang untuk mendapatkan konsesi tanah balak. Persoalannya mengapa hanya kes bilis ini yang disiasat? Bagaimana dengan laporan Datuk Fauzi Abd Rahman (ADUN Beserah) mengenai salah urus hasil kuota balak Negeri Pahang untuk tahun 2000 hingga 2004 oleh Tan Sri Khalil Yaakob yang dianggarkan berjumlah di antara RM 1.5 billion hingga RM 4.5 billion? Tan Sri Khalil terus senyum dan naik pangkat lagi, baru-baru ini dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional oleh Datuk Seri Abdullah sendiri. Bagaimana pula dengan skandal rasuah dalam pembelian senjata oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang pernah disiarkan oleh sebuah majalah di London itu?

Datuk Seri Perdana Menteri nampaknya cuba juga untuk bercakap soal ketelusan dalam pentadbiran. Lalu diumumkanlah bahawa selepas ini semua projek kerajaan akan ditawarkan melalui tender terbuka, tetapi jangan dibaca setakat itu sahaja kerana ada sambungannya, "kecuali untuk projek-projek tertentu." Jadi apa bezanya dengan polisi Tun Dr. Mahathir sebelum ini? Terma "kecuali untuk projek-projek tertentu" itu menunjukkan akan terus wujud tender tertutup dan kaedah runding terus, yang memungkinkan pula penerusan amalan rasuah! Bagaimana pula dengan tender yang diperolehi oleh anaknya, Kamalludin Abdullah melalui Kementerian Pertahanan, kontrak selama 15 tahun! Apakah ia diperolehi secara terbuka?

Dalam 100 hari ini, Datuk Seri Abdullah juga mengambil inisiatif mengejut dengan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja Perkhidmatan Polis, alasannya untuk memastikan profesionalisme polis akan berterusan dan wujud tempat bukan polis untuk rakyat mengadu mengenai salah laku anggota polis. Tetapi mengapa dalam masa yang sama kezaliman polis tetap berterusan? Penyokong-penyokong keADILan di Perak termasuk Ketua Angkatan Mudanya, Saudara Zul Helmi Yahya dibelasah oleh anggota polis dalam pelancaran program Gerakan Anwar Bebas peringkat negeri itu.

Bagaimana pula dengan bidang kehakiman dan struktur perlaksanaan undang-undang? Apa pula ikhtiar Datuk Seri Perdana Menteri untuk melepaskan cengkaman kuasa eksekutif keatasnya? Kerana cengkaman ini, Saudara Anwar terus-terusan menjadi mangsa, sementara itu disebaliknya, "Jackie Chan" pula menjadi raja.

Saya tidak mahu sentuh soal sahsiah Datuk Seri Abdullah, terlalu peribadi mungkin! Datuk Seri Abdullah mungkin satu-satunya antara lima Perdana Menteri Malaysia yang mampu dan berani untuk mengimamkan sembahyang secara terbuka. Tetapi tidak salah rasanya untuk saya katakan, bahkan saya percaya orang-orang UMNO juga tahu, malah YB Mat Sabu pernah turut mengaku (jauh sebelum pemecatan Saudara Anwar) bahawa jika Saudara Anwar menjadi Perdana Menteri, beliau akan mampu dan berani untuk menjadi khatib membaca khutbah Jumaat di mimbar Masjid Negara!

Jika saya adalah salah seorang panel pemeriksa kad laporan 100 hari Datuk Seri Perdana Menteri, maka saya akan menggunakan pen merah, akan dipenuhi dengan tanda soal dan catatan "Mengapa," "Bagaimana," serta "Apa."

Mohd Zukri Aksah
Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang - 09.02.2004

Klik untuk memberikan komen anda di Blog Zukri Aksah (dibuka dalam browser berasingan)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN