EZAM & LOKMAN: KEADILAN CUBA DILEMAHKAN DARI DALAM
Oleh Zukri Aksah (dipetik drp Blog Zukri Keadilan)


Episod pemecatan Saudara Lokman Nor Adam sebagai Setiausaha Angkatan Muda dan serangan balas Saudara Lokman terhadap kepimpinan Angkatan Muda, seterusnya berakhir dengan penarikan balik kenyataan oleh Saudara Lokman telah meninggalkan luka yang bukan sedikit pada perjuangan ini. Hakikatnya, moral para pejuang, kredibiliti dan maruah perjuangan ini sedang diperjudikan.

Tulisan saya ini bukanlah bertujuan untuk menyorot siapa pejuang dan siapa petualang di antara Saudara Ezam dan Saudara Lokman. Maaflah jika ada yang tersinggung. Saya semata-mata mahu memberitahu bahawa keADILan sedang cuba diruntuh dan dijatuhkan menggunakan "makar" atau helah perang yang sangat licik.

Angkatan Muda, jika tidak diporak-porandakan dari dalam merupakan satu armada tentera yang sangat kuat sehinggakan kekuatan ini tidak perlu bergantung kepada jumlah, cukup dengan keyakinan, keperwiraan dan keteguhan. Jadi bagi musuh seperti UMNO/Barisan Nasional, menyerang Angkatan Muda secara langsung adalah satu tindakan bodoh, ibarat menyua kepala ke mulut buaya.

Satu caranya adalah dengan mengucar-kacirkan barisan pertahanan Angkatan Muda, seperti yang dilakukan oleh tentera Quraish terhadap tentera Islam dalam Perang Uhud. Ini dilakukan dengan melemahkan keyakinan, keperwiraan dan keteguhan para pejuang dalam Angkatan Muda. Ia boleh dijalankan dengan menerbitkan rasa cemburu, dengki, saling meragui dan tidak puas hati sesama sendiri.

Bagi UMNO/Barisan Nasional, mereka tidak akan melakukannya dengan tangan sendiri. Mereka juga tidak boleh menghantar polis-polis cawangan khas menyelinap ke dalam Angkatan Muda kerana terbukti orang keADILan begitu mengenali SB-SB ini. Cara paling ampuh adalah menggunakan orang-orang di dalam keADILan sendiri. Segelintir dari kita yang berada dalam keADILan bukanlah yang berjiwa islah dan pejuang, mereka adalah opportunist yang lebih mementingkan perut-perut mereka sahaja, apa sahaja yang mereka ada termasuk kedudukan dan Anwar Ibrahim sendiri akan mereka gunakan sebagai matawang untuk berurusan dengan potential buyer mereka, siapa lagi kalau bukan UMNO/Barisan Nasional. Dan yang lebih malang lagi ada dari kalangan mereka ini yang terselit di celah barisan pimpinan keADILan. Mereka inilah yang memainkan "makar" UMNO/Barisan Nasional dan menjadikan orang seperti Lokman sebagai mangsa.

Saya teringatkan kisah Abdullah bin Ubai bin Salul di zaman dakwah Rasulullah s.a.w. Ketika sembahyang dia akan berada di saf paling depan, di belakang Nabi s.a.w, serbannya paling besar di kalangan sahabat. Tetapi di masa lain, dia akan bersama kaum musyrikin Mekah, paling kuat mencerca dan menghina Nabi s.a.w serta memperlekehkan Islam. Dialah bapa kepada orang-orang munafiq! Apakah wujud Abdullah bin Ubai bin Salul ini di kalangan pimpinan Angkatan Muda kita?

Berbalik kepada pemangsaan Saudara Lokman tadi, Lokman yang mendepani perjuangan dan gerakan reformasi selama ini telah kehilangan segala-galanya. Bukan sahaja kebebasannya pernah diragut tanpa hak selama dua tahun, beliau juga telah kehilangan kemewahan material dan kebahagiaan keluarga.

Situasi Lokman ini dipergunakan sepenuhnya oleh "ulat-ulat UMNO/Barisan Nasional" yang wujud di dalam keADILan. Atas nama ketelusan perjuangan, mereka cuba menyemai dan menyemat rasa cemburu, keliru, dengki, ragu-ragu dan tidak puas hati terhadap rakan sesama pejuang di hati Lokman. Seketika kelihatannya ia hampir berjaya tetapi mujurlah masih ramai yang jujur dalam perjuangan ini dan melihat aset sebesar Lokman tidak harus tergadai begitu sahaja.

Jika mereka, ulat-ulat UMNO/Barisan Nasional ini berjaya mengucar-kacirkan kita dari dalam, saat itulah kita, armada Angkatan Muda ini akan menjadi sangat lemah, dan saat itulah pula mereka akan melancarkan serangan dari luar, saat yang mana kita sudah tiada benteng pertahanan dan kita akan kalah dengan begitu mudah.

Percayalah, kegagalan mereka menjerat Lokman akan membuatkan mereka bakal merancang dan merencanakan "makar" yang lebih hebat lagi dan kita sewajibnya bersedia. Pelajarilah bagaimana Rasulullah berhadapan dengan Abdullah bin Ubai bin Salul, bagaimana pula Abu Sufian dan Khalid Al-Walid merangka strategi perang...

Mohd Zukri Aksah
Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang - 03.02.2004

Klik untuk memberikan komen anda di Blog Zukri Aksah (dibuka dalam browser berasingan)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN