BILA PAK LAH CAKAP SOAL DIDERA DAN DIAIBKAN...
Oleh Zukri Aksah (dipetik drp Blog Zukri Keadilan)


Satu dunia terkejut bila akhbar tabloid Britain, Daily Mirror menyiarkan gambar tahanan Iraq yang didera dan diaibkan (dikencingkan ke atas kepala yang tertutup, dibelasah dan dibogelkan) oleh tentera British. Ia kemudiannya diikuti oleh pendedahan sebuah lagi akhbar Amerika, The New Yorker dan pengakuan kebenaran laporan-laporan ini oleh Amnesty International. Seluruh dunia mengutuk, bukan hanya negara-negara Arab, tetapi reaksi sama juga disuarakan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Maka pemimpin-pemimpin Malaysia pun turut sama cuba untuk terus-terusan berlakon. Akhbar-akhbar arus perdana tidak henti-henti menyorot isu ini, berlagak seolah-olah merekalah jagoh kemanusiaan. Syed Hamid Albar telah mengeluarkan kenyataan beliau. Hari ini Abdullah Ahmad Badawi sendiri memberi komen. Kata beliau, keganasan ini (mendera dan mengaibkan tahanan) tidak boleh dimaafkan dan tidak boleh diterima sama sekali. Saya sedang tercari-cari keikhlasan di sebalik kata-kata ini, atau ia hanya retorik politik yang semakin hari semakin jelek dan memualkan.

Kepada Abdullah Ahmad Badawi, ingin saya ingatkan bahawa di Penjara Sungai Buloh sana ada seorang manusia bernama Anwar Ibrahim sedang meringkuk dalam sel tahanan. Saya belum lupa yang Anwar Ibrahim ini pernah didera (dilebamkan matanya, dipukul dengan cara yang boleh membunuh), kemudiannya diaibkan pula (setelah lima hari dibiarkan tanpa rawatan, Anwar dibawa berjumpa seorang doktor perempuan berbangsa India dalam keadaan mata tertutup, tangan bergari dan TELANJANG BULAT!). Ini semua terkandung di dalam Laporan Suruhanjaya DiRaja yang menyiasat insiden ini. Apakah Abdullah Ahmad Badawi terlupa bahawa ini juga adalah perbuatan mendera dan mengaibkan tahanan yang beliau sendiri takrifkan sebagai keganasan yang tidak boleh dimaafkan? Belum lagi dicampur dengan tuduhan-tuduhan liwat yang jelas mendera emosi dan mengaibkan maruah bukan sahaja Anwar Ibrahim tetapi seluruh kaum keluarganya, yang telah dibicarakan pula dalam mahkamah bersuasanakan tidak ubah seperti sebuah orkestra terpimpin.

Jangan Abdullah Ahmad Badawi menjadi ayam yang kokoknya berderai-derai tetapi ekor penuh bergelumang tahi. Walaupun insiden Anwar berlaku jauh sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, kebertanggungjawaban mesti ada kerana kerajaan yang beliau pimpin hari ini tetap kerajaan Barisan Nasional, kerajaan sama yang memerintah pada September 1998. Abdullah, mahupun Syed Hamid Albar mesti menyatakan pendirian yang jelas dan tegas, jangan hanya pandai mengkritik insiden di luar negara sana, tetapi menutup mata terhadap apa yang berlaku di sini; kalau kuman di seberang lautan boleh nampak, jangan pula gajah di depan mata kita tidak perasan.

Kiriman: Mohd Zukri Aksah
Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN