Pak Lah Lacurkan MRSM
Oleh Zukri Aksah (dipetik drp Blog Zukri Keadilan)

Berita Harian edisi timur hari ini (15 Disember 2003) menyiarkan laporan yang memetik kata-kata Dato' Che Mat Jusoh, Pegawai Khas Perdana Menteri, antara lain kata beliau Pak Lah berjanji akan menubuhkan (kembali) dua buah MRSM di Terengganu jika UMNO/BN menang di Terengganu dalam Pilihanraya Umum yang akan datang.

Selanjutnya, Dato' Che Mat Jusoh menjelaskan rasional penubuhan dua buah MRSM tersebut adalah kerana ramainya pelajar-pelajar lepasan UPSR yang cemerlang di Terengganu gagal menyambung pelajaran ke sekolah-sekolah berasrama penuh kerana kekurangan tempat.

Apa sudah jadi Dato'? Saya kira dulu sayalah orang pertama yang mengeluarkan kenyataan membantah penutupan MRYT (Maktab Rendah - Yayasan Terengganu) di Dungun dan Besut, sehari selepas Datuk Seri Nazri mengeluarkan arahan muktamad penutupan dua buah MRYT tersebut, kenyataan ini telah diterbitkan oleh Agendadaily.com (untuk membaca salinannya, sila lawati http://zukri-keadilan.blogdrive.com).

Dulu, antara alasan yang diberikan terhadap penutupan kedua-dua MRYT tersebut adalah kerana keengganan Kerajaan Negeri Terengganu mengurangkan kuota tinggi (80% jika tidak silap saya) kemasukan anak-anak Terengganu ke kedua-dua MRYT Dungun dan Besut ini. Tetapi hari ini Dato' Che Mat Jusoh pula secara sedar mengaku dan membuktikan bahawa memang ramai lepasan UPSR di Terengganu yang cemerlang dan memerlukan DUA BUAH MRSM baru bagi memberi tempat dan peluang bagi mereka menyambung pelajaran. Lantas, di mana silapnya kuota 80% itu?

Kong kalikong apakah yang sedang dimainkan ini? Tutup dua buah MRYT bila UMNO/BN kehilangan kuasa di Terengganu, bina semula dua buah MRSM jika UMNO/BN kembali menang. Tidak jelaskah lagi bagi orang yang berfikir bahawa semua ini adalah tindakan sakit hati politik?

Program-program yang berkait dengan pendidikan seharusnya digerakkan dengan didasari oleh Falsafah dan Dasar Pendidikan Negara, bukan oleh sentimen kesukaan dan kebencian politik, kerana kelak yang menjadi mangsa adalah anak bangsa kita juga.

Kelihatannya Pak Lah cuba menjadikan MRSM sebagai "pelacur" bagi menggamit berahi rakyat Terengganu untuk kembali memangkah UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang. Atau apakah Pak Lah melihat pilihanraya seperti tempat orang "menikam ekor"? Dan kali ini jika rakyat Terengganu "menikam" UMNO/BN, hadiah jack-pot yang menanti nampaknya agak lumayan, kembalinya dua buah MRSM ke Negeri Terengganu!

Apapun keadaannya, melihat bagaimana MRSM sedang diperkudakan, sebagai bekas pelajar MRSM, saya merasa cukup terhina...

Mohd Zukri Aksah
Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang

Posted at 05:20 pm by zukri-keadilan
Klik untuk memberikan komen anda di Blog Zukri Aksah (dibuka dalam browser berasingan)

Sertailah
Blog M@RHAEN - Wadah interaksi yang penggunaannya semakin popular pada masa kini. (Baru)
Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.
Hantar artikel ini kpd sahabat:

Click Here!