Adakah Taksub Itu Milik Pembangkang?
Melalui rangkaian-rangkaian televisyen, akhbar-akhbar dan laman-laman web selepas 'kekalahan teruk' parti pembangkang yang diketuai oleh PAS, maka pengikut-pengikut PAS diserang bertalu-talu dari segenap penjuru. Televisyen, radio berulang-ulang melaporkan betapa penyokong-penyokong PAS tidak dapat menerima hakikat kekalahan mereka semasa PRU-11 yang lepas. Di tambah segmen-segmen tambahan di mana, ketaksuban pengikut-pengikut PAS termasuklah memulaukan ayah Dr. Mashitah, ibu menghalau anak kerana tidak menyokong PAS dan pelbagai versi cerita yang mengambarkan betapa ketaksuban pengikut-pengikut PAS ini di tahap yang melampau.

Benarkah begitu? Namun versi-versi ini terus dimainkan untuk menutup segala kepincangan PRU-11 baru-baru ini. Media massa seolah-olah tidak mendengar rintihan pengikut-pengikut parti pembangkang yang mana tahap penyelewengan yang dilakukan oleh SPR sehingga ke tahap yang paling buruk dalam sejarah.

Dan benarlah seperti yang diungkapkan oleh Ustaz Azizan bahawa BN mempunyai Grand Design untuk mengalahkan pihak pembangkang sehingga demikian teruk sekali. Susunan-susunan ini diatur dengan begitu teliti sekali untuk memudarkan sokongan rakyat kepada
parti-parti pembangkang kebelakangan ini.

Malang bagi kita kerana kita hanya mempunyai akhbar harakah yang diterbitkan dua kali sebulan, dan juga beberapa akhbar alternatif yang terhad keluarannya. Di sokong oleh web harakahdaily yang mana mesejnya pasti tidak sampai kepada penyokong-penyokong di kawasan luar bandar, kita terus diserang dan dinganyang semahunya.

Adakah pengikut-pengikut PAS begitu taksub seperti yang digambarkan oleh media massa masa kini? apakah kebenarannya? Benarkah begitu baik dan sabarnya pengikut-pengikut UMNO dan BN dalam menangani masalah pembangkang? Segala kebaikan hanyalah di pihak mereka sementara di pihak kita hanyalah ketaksuban yang buta semata-mata.

Namun, bagaimanakah untuk kita menyalurkannya? Bagaimanakah kita hendak memberitahu rakyat bahawa kita bukanlah seperti yang digambarkan mereka. Melalui sekatan-sekatan yang dibuat bagaimanakah untuk kita menyampaikan mesej-mesej kita kepada rakyat. Bagaimanakah kebenaran ini ingin diungkapkan? Adakah kita memberi alasan media dikawal, maka kita disekat dari menyampaikan kebenarannya? Inilah kekangan-kekangan yang perlu dibolosi oleh pemimpin-pemimpin PAS dan pembangkang umumnya. Satu strategi yang berkesan harus disusun oleh ulamak-ulamak, intelektual PAS dan
cendekiawan-cendekiawan bagi menyusun gerak kerja yang berkesan.

Kami penyokong-penyokong PAS dan pendokong-pendokong Islam hanya menunggu masa untuk digerakkan oleh pimpinan-pimpinan untuk kembali menyusun strategi bagi mendaulatkan Islam. Ayuh... maralah pejuang-pejuang Islam yang berani. Sesungguhnya syahid itu idaman kami.

- whoami - 01.04.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN