Benarkah Dato’ Najib Mengambil Berat Kebajikan Tentera?

Tentera terbahagi 2 kategori iaitu Pegawai Bertauliah dan Lain-lain Pangkat. Pegawai Bertauliah pangkatnya di bahu manakala LLP pangkatnya di lengan baju. Kategori manakah yang dijaga kebajikannya oleh Dato Najib? Kategori manakah yang ramai akan menjadi Pengundi Pos nanti? Jawapannya LLP. Rakyat diberitahu dengan pembelian berbilion ringgit peralatan perang. Tidak dinafikan peralatan perang perlu ditingkatkan dari masa ke semasa tetapi bagaimana dengan kebajikan yang juga akan meningkatkan moral seseorang anggota tentera. Sejak kebelakangan ini Kementerian Pertahanan menghadapi masalah dengan pengambilan anggota berpangkat rendah kerana tiada sambutan dari remaja, walaupun dari keturunan Melayu.

Apabila pemimpin NGO, Lim Lam Thye mencadangkan program `Khidmat Negara` dengan tujuan merapatkan perbezaan kaum di negara ini, Dato Najib tidak menunggu lama untuk menyambar peluang ini. Bukannya semua remaja itu akan kembali belajar atau meneruskan cita-cita asal mereka. Sekurang-kurangnya sebelah kaki telah masuk ke Kementerian Pertahanan. Adakah semua remaja itu yang berminat menjadi tentera akan dipilih sebagai pegawai kadet? Bagaimana yang berminat tetapi kurang kelulusannya yang akan menjadi anggota bawahan (LLP).

KEM TRANSIT JALAN AMPANG, K.LUMPUR

Sementara menantikan penerbangan ke Sabah dan Sarawak, seseorang anggota bawahan (LLP) diwajibkan untuk tinggal di kem tersebut tetapi tidak kepada Pegawai Bertauliah. Mereka dibenarkan untuk tinggal di luar dan dibenarkan untuk membuat tuntutan makan, minum serta lojing.

Keadaan kem transit yang sungguh usang tak ubah seperti kem pendatang yang bangunannya diperbuat dari papan sangat dikenali oleh penduduk KL yang berulang alik dengan menggunakan jalan Ampang. Bilik air masih menggunakan kolah dengan mandi beramai-ramai bukan lagi taraf seorang anggota tentera walaupun berpangkat rendah. Tandas untuk membuang air besar pula menyebabkan seseorang itu membatalkan niat, dengan segera mengambil teksi ke bandar mencari kompleks membeli belah seperti Sogo, walaupun berbayar. Manakala tempat tidur pula seperti mangsa banjir yang tinggal di dewan orang ramai, ada yang berkatil dan sebahagiannya tidak berkatil. Lebih menyulitkan lagi apabila pergerakan berlaku dengan seisi keluarga.

Jika alasan bangunan baru telah dibina di kawasan MINDEF berhampiran flet Tengku Mariam masih dalam pembinaan, kenapakah ianya sudah hampir mencecah lima tahun, masih belum siap-siap? Apakah jika bangunan baru itu bakal digunakan oleh pemimpin UMNO barulah ia disiapkan segera. Begitu juga nasib yang menimpa Puduraya walaupun bukan Dato Najib yang perlu menjawabnya.

Selama 5 tahun itulah pergerakan anggota bawahan yang terpaksa menggunakan kem transit Jalan Ampang. Apa pun alasan diberikan mengenai bangunan baru yang belum siap kenapakah Kem Transit Jalan Ampang dibiarkan berkeadaan seperti itu. Walaupun negara mempunyai peralatan peperangan canggih tetapi anggota tentera berpangkat rendah (LLP) masih menerima layanan menyedihkan. Pernahkah Dato Najib menjejak kaki ke kem tersebut sebagaimana Dato` Najib menjejak kaki ke kawasan Orang Asal di Pekan, Pahang.

PERUMAHAN KELUARGA ATM

Tumpuan hanya di sekitar bandar besar Lembah Kelang, tapi bagaimana dengan perumahan luar bandar terutama kem tentera darat, yang mana bangunannya telah lama dan perlu baik pulih. Tumpuan hanya diberikan kepada pembelian peralatan perang berbilion-bilion ringgit. Adakah Dato Najib mengawasi pegawai-pegawainya untuk melihat kebajikan anggota berpangkat rendah ini? Jangan ditanya sepatutnya permasalahan ini sepatutnya dibawa melalui saluran tertentu, kerana ianya juga seperti organisasi UMNO mulut dan perut ketua bahagian dan cawangan sudah disumbat.

UNDANG-UNDANG TENTERA (AKTA 72)

Menteri Pertahanan yang lepas Dato Hamid Albar, pernah mengeluarkan kenyataan akan meminda AKTA 72, yang mana akhirnya senyap begitu sahaja. AKTA 72 yang mewarisi sistem British ternyata berat sebelah lebih menekan dan menindas anggota berpangkat rendah (LLP). Jangan diberi alasan bahawa profesion tentera berlainan kerana ia melibatkan perintah semasa peperangan, kerana semasa peperangan dan aman adalah dua keadaan yang sangat berbeza. Tahukah Dato Najib dengan kuasa yang diberi `perintah seorang pegawai` berapa banyak mereka yang masih berhingus dan belum faham apa itu `perintah seri paduka` atau `perintah sendiri` membuat anggota bawahan seperti lembu tanpa mengambil kira pengalaman dan pengetahuan mereka yang telah lama berkhidmat. Akhirnya keluarlah ungkapan `ikut saja lah` yang mana akhirnya merugikan perkhidmatan kadangkala melibatkan nyawa. Maka keluarlah kenyataan dari pasukan penyiasat `human error`. Pernahkah Dato Najib sebagai Menteri Pertahanan tahu penyakit bak `barah` ini paling teruk berlaku di dalam perkhidmatan tentera darat? Menyebabkan ramai yang meninggalkan perkhidmatan kerana tidak sanggup menunggu ke tahap pencen, 22 tahun.

JUMLAH PENGUNDI POS YANG PALING RAMAI

Kalau selama ini anda hanya mencemuh dan merungut, maka gunakan peluang satu hari ini yang datangnya 5 tahun sekali, untuk menyatakan protes anda. Jangan menganggap bahawa politik ini hanya untuk orang awam, PEMERINTAH dan PEMBANGKANG sahaja.

Lihat saja bagaimana pelajar di institusi pengajian tinggi lebih peka terhadap politik tanah air, apabila pilihan raya kampus menunjukkan mereka menyebelahi Barisan Alternatif, maka anda yang lebih tua dan matang sepatutnya bersama-sama mereka untuk membentuk kerajaan yang baru yang lebih telus, adil, mengamalkan demokrasi yang sebenar, perpaduan bukan setakat peringkat pemimpin tetapi sehingga ke rakyat jelata. Tunjukkan kepada mereka bahawa pada kali ini anda bersama-sama mereka. Ingatlah saudara kita di kampung yang hidupnya `kais pagi makan pagi, kais petang makan petang`. Jadikan PEMILU 2004 ini sebagai sejarah Malaysia dengan memberi pengajaran kepada Barisan Nasional. Ingatlah juga `hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah`.

- Warrant Officer - 10.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN