SANGGAHAN KEPADA WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI
Oleh: Unicorn
..


Merujuk kepada tulisan Wartawan Rasmi Laman Reformasi (WRLR) didalam Laman Marhaen bertarikh 11 Februari 2004 (Himpunan 100,000 Rakyat (10): Pilihan Jalan Raya Atau Pilihan Raya) aku terpanggil untuk memberi sedikit komen terhadap tulisan beliau.

WRLR dalam tulisan beliau cuba memperlekeh dan merendah-rendahkan perjuangan, pemimpin dan ahli PAS dengan tuduhan yang sangat jahat. Rasa tidak puas hatinya terhadap sambutan dingin rakyat kepada perjuangan haru biru parti bulan mata biru membuat beliau menunding jari kepada pimpinan PAS dengan tuduhan pimpinan PAS sehingga kini masih mencari-cari identity dan menanam fahaman kolot kepada ahli PAS. Ketaatan ahli PAS kepada pimpinan di anggap taksub oleh WRLR. Ahli PAS juga di tuduh sebagai penakut hanya kerana tidak mahu turut serta dalam politik jalan raya mereka. Beliau dengan terang menghina ahli PAS sebagai penakut.

Sebagai seorang ahli biasa PAS aku ingin menjelaskan kepada WRLR bahawa tuduhan beliau itu melambangkan kebodohan dan ketidakcerdikan beliau dalam berpolitik. Apakah ketaatan kepada pimpinan pada anggapan WRLR sebagai satu fahaman ortodoks pengikut PAS yang fanatik. Tidak ada istilah fanatik atau sederhana di dalam Islam. Tidakkah WRLR pernah membaca atau mendengar sabda Rasulluah yang berbunyi

dengar dan taatlah kamu sekalipun yang bertanggung jawab mengarah kamu hanyalah seorang hamba habsyi sementara rambutnya pula bekerinting

Ahli PAS tidak pernah diajar untuk menjadi seorang penakut seperti dakwaan WRLR. Kami bersama PAS adalah atas kesedaran ilmu Islam. Kami didik dan di tarbiah oleh pimpinan melalui usrah dan majlis malis ilmu. Apakah kerana tidak turut serta bersama kamu maka kami dianggap penakut? Kalau begitu keADILan lebih layak di beri gelaran penakut kerana tidak menerima Dokumen Negara Islam yang di bentangkan oleh PAS hanyalah kerana takut di tuduh sebagai penyokong pelampau Islam. Ketaatan ahli PAS sebenarnya tidak pernah membabi buta. Selagi pimpinan PAS tidak tergelincir dari aqidah Islam kami akan sentiasa bersama mereka walaupun susah atau pun senang. Sejarah membuktikan ahli PAS tidak akan bersama walaupun yang meninggalkan PAS itu adalah seorang Presiden. Presiden (dulunya YDP) PAS yang pertama Ustaz Ahmad Fuat Hassan (1951-1953) meninggalkan perjuangan namun ahli PAS tetap beristiqamah dengan perjuangan. Begitu juga tokoh PAS yang hebat Dato’ Asri Bin Hj Muda (1969-1982) meninggalkan perjuangan namun ahli PAS terus dengan perjuangan ini.

Kita ingin bertanyakan WRLR dan rakan rakannya berapa ramaikah orang keADIlan yang telah mati kerana menentang kufar UMNO sehingga kini? Berapa ramai pula yang susah hidupnya kerana dipulau oleh orang UMNO? Ahli PAS sudah 52 tahun mengharungi derita ini. Bukan setakat dianak tirikan dalam masyarakat malah ahli dan pimpinan PAS sudah pernah merasa peluru dan parang hasil kebencian parti yang pernah WRLR sokong dahulu. Tahukah WRLR berapa lamakah presiden PAS yang ketiga di tahan dalam penjara sehinggakan membawa maut? Tahukah WRLR siapa dan berapa ramaikah yang terbunuh di Memali? Kenalkah WRLR YB Abdul Samad Ghul Bin Ahmad Mianji pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1965-1966) yang mati dikapak oleh kufar UMNO. Pernahkah suatu ketika dulu WRLR merasa zalimnya ISA apabila Mohammad Bin Sabu, Ustaz Buyamin Bin  Yaakop, Mahfuz Bin Omar, Ustaz Abu Bakar Bin Chik, Ustaz Sidek Bin Noor dan ramai lagi pimpinan serta ahli PAS dikurung dalam sel penjara???? Ketika itu siapakah pembela mereka ini? Anwar sendiri yang pernah merengkok dalam ISA menjadi penyokong kepada undang-undang zalim ini sewaktu bersama sama golongan kuffar UMNO. Kalau sejarah manis pimpinan dan ahli PAS ini diterjemahkan sebagai penakut dan berhimpun di jalan raya dianggap berani ramailah yang akan menjadi penghuni syurga Allah tanpa diuji keimananya.

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti telah berlaku kepada orang-orang terdahulu daripada kamu? Mereka telah di timpa kepapaan, (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncang(oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)” Al baqarah 214.

WRLR harus sedar perjuangan PAS adalah atas dasar aqidah. Kalau UMNO itu baik dan adil sekalipun kami akan tetap menentang mereka. PAS membela Anwar kerana beliau dizalimi dan kami juga akan membela Dr Mahathir sekiranya beliau dizalimi. Ahli PAS tidak pernah didik untuk membenci individu dalam UMNO. Kami diajar untuk mengenali batas iman dan kuffur. Aku menyeru kepada WRLR supaya marilah bersma sama perjuangan Islam dan percayalah kamu akan menemui sakinah di dalah perjuangan ini yang tidak pernah kamu rasai selama ini.

“ TIADA ISLAM TANPA JAMAAH, TIADA JAMAAH TANPA KEPIMPINAN DAN TIADA KEPIMPINAN TANPA KETAATAN”

UNICORN
survivalunicorn@yahoo.com - 13.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN