Islam Hadhari Hanya Teori
ISLAM HADHARI hanyalah teori. Ia bukan teori baru, malahan "selepas kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah dan lenyapnya Khilafah Islamiah, usaha mengembalikan semula tamadun Islam terus diperjuangkan. Usaha pembaharuan Islam telah dilakukan tokoh pemikir Islam seperti Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Ridha, Abdul Rahman al-Kawakibi, Syakib Arsalan dan Hasan al-Banna"; itulah ISLAM HADHARI.

Tetapi apakah yang menggagalkan teori Islam hadhari itu daripada dapat dipraktikkan, yang perlu kita cari jawapannya. Sudah berapa ratusan tahun sejarah membuktikan bahawa yang menggagalkan teori ISLAM HADHARI daripada dapat menjadi kenyataan ialah apabila negara merdeka di perintah oleh golongan nasionalis elit berpendidikan Barat. Mereka ini yang sebenarnya adalah sekular, berpura-pura hendak memperjuangkan Islam itu seiring dengan pembangunan dan mengisi kemerdekaan.

Golongan nasionalis elit berpendidikan Barat yang menerajui pemerintahan negara tidak akan sama sekali bersetuju bagi memartabatkan Islam dan perundangan Islam. Lihat sahajalah seluruh dunia apabila golongan tersebut menerajui pemerintahan negara, ada-ada sajalah hukum Allah yang mereka tolak, tidak mahu dijadikan undang-undang. Malaysia dan banyak lagi sebagai contohnya menolak Hukum Hudud dikuatkuasakan.

Buktinya bahawa ISLAM HADHARI itu terus menerus hanya sebagai teori saja. Kebangkitan untuk membangunkan tamadun Islam hanya terus menerus hingga kini tinggal dalam bentuk yg dikemukakan oleh tokoh pemikir Islam seperti Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Ridha, Abdul Rahman al-Kawakibi, Syakib Arsalan dan Hasan al-Banna. Hasil pemikiran, walau sehebat mana sekali pun, jika mahu dilaksanakan, apabila kononnya mahu dilaksanakan oleh golongan nasionalis elit berpendidikan Barat, ia hanyalah semata-mata ilusi bagi menipu rakyat untuk menyokong untuk mengekalkan mereka berkuasa menerajui pemerintah negara.

Satu hakikat yang amat diabaikan oleh golongan nasionalis apabila memerintah Negara ialah mereka tidak mematuhi Perintah Allah ayat 162 dalam Surah An-A'aam. Mereka menubuhkan parti politik dengan tidak mengira kewajiban Perintah Allah tersebut. Tunku, yang berperanan memerdekakan negara bersama UMNO menerima pakai Perlembagaan yang digubal oleh Reid, dan Tunku sendiri mengisytiharkan bahawa Perlembagaan itu adalah Perlembagaan sekular. Ini membuktikan Tunku dan UUMNO tidak mengambil kira ayat 162 dalam Surah An-An'aam di dalam Al-Quran.

Ingatlah segala perjuangan, jika bercanggah dengan Perintah-perintah Allah, maka perjuangan itu sendiri adalah menderhaka kepada Allah. Maka tidak hairanlah kerana tamak menubuhkan Malaysia, Singapura tergadai kepada kupar kufar. Ekonomi terus dikuasai oleh kaum kufar hingga kini.

UMNO hari ini, merupakan parti politik yang menderhaka kepada Allah, apabila parti politik itu menerima penganut kristian sebagai ahli. Ini membuktikan UMNO perjuangannya melalui wadah atau parti politik yang menderhaka kepada Allah, iaitu melanggar ayat 139 dan 144 dalam Surah An-Nisaa, dan ayat 51 dalam Surah Al-Maidah. Sekarang mahu bercakap untuk melaksanakan Islam Hadhari, pada hal wadah, iaitu parti UMNO sendiri tidak mematuhi Perintah-perintah Allah seperti yang dinyatakan tadi. Adakah di bawah pentadbiran Pak Lah, hukum Hudud akan dilaksanakan? Jika tidak dilaksanakan, Islam Hadhari itu hanyalah teori kerana Perintah Allah masih ada yang tidak dikuatkuasakan.

Apabila Perintah Allah tidak dilaksanakan oleh Pemerintah, maka Islam Hadhari itu akan tidak dapat dilaksanakan. Kalau dilaksanakan pun; samalah juga hasilnya sejak pemikirannya dicetuskan, hanya tinggal menjadi teori kerana hasilnya adalah "lagha", iaitu sia-sia.

Menegakkan tamadun Islam bererti mematuhi SEMUA Perintah Allah. Apabila hanya satu saja Perintah Allah, maka itu bukannya layak dikatakan sebagai Tamadun Islam. Malah ia akan bertukar menjadi "Tamadun Islam" hanya pada label atau nama, tetapi yang dibenci oleh Allah sendiri. Prinsip mengenai akibat kebencian Allah itu ada dalam ayat 38 dalam Surah Al-Israa, di dalam Al-Quran.

Prinsip yang terkandung di dalam ayat 38 dalam Surah Al-Israa' itu tidak dipedulikan oleh golongan nasionalis elit yg berpendidikan barat atau dalam negara sendiri justeru golongan ini mengetepikan Perintah Allah, ayat 162 dalam Surah An-An'aam. Tanpa mempedulikan ayat 162 dalam Surah An-An'aam dan prinsip dalam ayat 38 dalam Surah Al-Israa' itu, buatlah Islam Hadhari atau Islam apa pun yang dilabelkan, namun penentuan berjaya tidaknya adalah TETAP dalam kuasa Allah.

Apabila dalam kebencian Allah, apakah Allah akan anugerahkan kejayaan Islam Hadhari bagi umat Melayu, atau hanya akan terus menerus namanya saja Islam hadhari tetapi bagi rakyat Melayu "menang sorak kampung tergadai" terus menerus.

Perjuangan PAS dibenci. Apakah yang diperjuangkan oleh PAS itu bercanggah dengan ajaran Islam? Perjuangan PAS melalui politik supaya memperoleh kuasa memerintah Negara, supaya Negara mematuhi Perintah-perintah Allah, agar Negara tidak terus menerus dalam kebencian Allah. Patuhi segala Perintah Allah bagi menghindari dari datangnya kebencian oleh Allah. Itulah sebabnya Hukum Hudud diberi keutamaan oleh PAS supaya ia dilaksanakan oleh Negara kerana Hudud adalah Perintah Allah.

Soal Hudud boleh atau tidak menjamin tiadanya orang Islam berzina, mencuri dan minum arak, itu bukan persoalannya. Persoalannya ialah mematuhi Perintah Allah, kalau mengaku bahawa Hudud juga adalah Perintah Allah. Sepatutnya UMNO yang juga ahli-ahlinya majoritinya orang Islam, perjuangan mereka mestilah juga supaya Negara tidak dibenci oleh Allah, dengan segala Perintah Allah Negara laksanakan, termasuk Hudud itu.

Apakah gunanya ISLAM HADHARI kalau pada masa yang sama negara dan rakyat Melayu Islam terus menerus dibenci oleh Allah?

Oleh Ummu Solehah Abdullah - 07.04.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Sertai Maillist M@RHAEN