Kemenangan Tidak Semestinya Mencerminkan Kebenaran

Deman Pilihan Raya Umum Malaysia ke-11 telah mula dirasai bahang kehangatannya. Daripada pengamatan umum, riak Pilihan Raya Umum kali-11 tampaknya jauh berbeza dengan suasana sebelumnya di mana ketika Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999, kuasa rakyat begitu mencengkam untuk menuntut perubahan dalam pemerintahan negara ekoran reaksi terhadap krisis Anwar-Mahathir. Maka, kali ini melalui pilihan raya (baca: demokrasi) adakah agenda perubahan dapat digarap? Atau wujud lagikah status quo?

Namun begitu, walau apa pun tema dan rentak yang terbias semasa pilihan raya kali ini, UmmahOnline lebih selesa, cenderung dan mahu mengambil sikap sederhana dengan meraikan hasrat para calon serta parti yang mahu menegakkan sistem Islam melalui saluran pilihan raya sekalipun kami tidak percaya kepada sistem demokrasi sama ada ia sebagai ghayah (matlamat) atau wasilah (alat). Maksud tidak percaya kami ialah Islam pasti akan dapat ditegakkan melalui saluran demokrasi.

Mengapa kami berpendirian begini? Perlu difahami, bahawa latar belakang sistem demokrasi adalah bersumberkan daripada gagasan Plato, filsuf terkemuka Yunani (Greek) yang kemudiannya dipopularkan oleh masyarakat Barat. Maka, UmmahOnline sebagai wadah Islami yakin antara demokrasi dan Islam adalah dua sistem yang bukan sahaja berbeza malahan bercanggah antara satu sama lain.

Untuk mengamati perbezaan ini sudah cukup bagi kita dengan melihat konsep kedua-dua sistem ini. Bagi demokrasi, mereka mempercayai bahawa struktur pemerintahan negara hendaklah ditentukan oleh kuasa rakyat di mana rakyat yang memilih pemimpin sebaliknya Islam pula menggariskan bahawa setiap pemimpin adalah dipilih oleh Allah SWT yang di amanahkan untuk membimbing rakyat. Justeru, dipilih (demokrasi) dan ditentukan (Islam) adalah dua perkara yang saling bertentangan!

Ekoran itu, melalui saluran demokrasi, tiada jaminan kepada kita bahawa agenda kebenaran dapat ditegakkan apatah lagi dalam medan politik kepartian. UmmahOnline sebagai wadah yang independen yakin dan percaya, bahawa para calon serta parti yang ingin memperjuangkan Islam melalui kaedah ini sendiri mengakui bahawa tiada peluang untuk Islam disempurnakan pemerintahannya.

Pengharaman FIS di Algeria, Refah di Turki dan Masyumi di Indonesia sudah cukup untuk mengamarkan tanggapan ini. Mungkin di kalangan kita mempersoalkan, jauhnya contoh yang di ambil. Baik, bagaimana pula dengan Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1940-an? Hizbul Muslimin adalah sebuah gerakan yang pernah dilabelkan oleh Tunku Abdul Rahman sebagai ‘Bahaya dari Gunung’ dengan merujuk kepada tanah kelahiran gerakan tersebut di Gunung Semanggol, Perak.

Untuk pengetahuan, gerakan Hizbul Muslimin sangat berbahaya kepada penjajah British kerana perlembagaan gerakan ini tidak dalam restu penjajah British. Sebaliknya UMNO yang memperjuangkan slogan ‘Hidup Melayu’ tidak semena-mena di angkat oleh penjajah British sebagai wakil Melayu dan Islam di tanah Melayu ketika itu walhal Hizbul Muslimin inilah yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Slogannya ‘Merdeka’ mengesahkan kesahihan matlamat perjuangan gerakan Hizbul Muslimin.

Lantaran itu, bagi mengelakkan kita terjerumus dalam kancah yang tidak berfaedah, kita perlu memisahkan pemahaman kita antara kemenangan dan kebenaran. Kemenangan tidak semestinya mencerminkan kebenaran dan begitulah sebaliknya. Sandaran kita kepada Al-Quran memadai untuk menggambarkan hakikat ini. Al-Quran sering kali mengungkapkan golongan majoriti selalu silap dalam percaturan kehidupan. Untuk mencari kebenaran kita perlu kembali kepada Islam bukannya kepada demokrasi.

Selain daripada itu, Al-Quran turut menghimbau bagaimana golongan yang sedikit mampu untuk mengalahkan golongan yang banyak. Bagi mengupas situasi ini, kesudahan peperangan Jalut-Thalut, peperangan Badar dan peperangan ‘masa depan’ Imam Al-Mahdi yang mana kesemua tenteranya berjumlah 313 pada akhirnya berjaya menumpaskan golongan majoriti yang kebanyakannya terdiri dari kelompok elit.

Sehubungan dengan itu, UmmahOnline percaya bahawa sebenarnya tiada ruang untuk kebangkitan Islam dalam medan demokrasi. Demokrasi adalah perencanaan barat untuk melambatkan kebangkitan Islam di seluruh dunia. Dan, lebih berbahaya lagi demokrasi merupakan satu perangkap besar rancangan kuartert Amerika-Israel dalam rangka mereka untuk menghancurkan harapan pejuang Islam yang ingin di realisasikan sebagai Ad-Deen.

Namun sikap tegas kami terhadap demokrasi tidak menghalang kami merasai denyut nadi aspirasi ummah yang mungkin di kalangan para pimpinan parti politik tanah air berpendirian untuk bergelumang (bukan tenggelam) dalam demokrasi hasil dari cerapan dan tafsiran mereka terhadap kaedah fiqh, “kalau tidak dapat semua, maka jangan tinggalkan semua”.

Ya, di sini ada sedikit hujah. Cuma, nasihat kami kepada para calon dan parti politik yang ingin memperjuangkan Islam dalam medan demokrasi, jangan pula anda lalai bahawa matlamat kita yang sebenarnya adalah untuk menegakkan Islam yang sebelum ini telah diawali oleh Rasulullah SAW dan bakal disudahi oleh Imam Al-Mahdi – pemimpin kita! Pastikan anda tidak tergelincir dari garisan ini.

Kepada ummah pula, selamat membuat pilihan..

UmmahOnline Team
ummahonline@yahoo.com
http://www.ummahonline.cjb.net - 11.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN